Silat Gayongman Gerak Satu

Asal Usul & Sejarah sunting

Silat ini bersumber kepada Saiyid Sagaf bin Saiyid Abdur Rahman, seorang yang terkenal dalam bidang keagamaan berasal dari Kampung Paloh, Terengganu. Silat ini telah diajar kepada anak saudaranya bernama Saiyid Hussein.

Silat ini kemudiannya telah dibawa ke Kelantan oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Hussein yang berasal dari Wakaf Berangan, Pasir Putih, Kelantan. Haji Abdul Rahman yang dikatakan pernah belajar agama selama 30 tahun di Mekah telah mempelajari silat tersebut dari Syed Sagaf dan Syed Hussein.

Antara anak murid Haji Abdul Rahman adalah Abdul Talib bin Awang Hamat. Beliau mula mempelajari silat ini semasa pemerintahan Jepun iaitu pada tahun 1944. Selepas itu, Abdul Talib telah mendalami silat ini di Kampung Paloh, Terengganu selama lima tahun. Setelah Haji Abdul Rahman kembali ke rahmatullah, Abdul Talib telah mewarisi dan mengembangkan silat ini di Kelantan.

Pada mulanya silat ini hanya di kenali dengan nama Gayong Man Wak Leh tetapi nama itu kemudiannya telah ditukar kepada Gayong Man Gerak Satu. Abdul Talib telah membuka gelanggang pertama di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Putih, Kelantan. Setelah itu gelanggang turut dibuka di Kampung Merkang, Wakaf, Panggong, Jeram, Nilam Puri, Lembah, Kulim, Gong Patah, Gucil, Temangan di Kelantan. Abdul Talib sempat juga mengajar di Sungai Tong, Terengganu dan Kampung Kerinci, Kuala Lumpur.

Adat Istiadat sunting

Diantara adat istiadat yang terdapat didalam Silat ini adalah seperti berikut:-

  1. Upacara Penerimaan Murid Baru
  2. Majlis Pelimau
  3. Pantang Larang

Upacara Penerimaan Murid Baru sunting

Seorang murid baru dikehendaki menghadap guru di mana majlis perasap akan dilakukan. Semasa majlis tersebut, guru akan membaca ayat-ayat suci Al-quran dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad dan dihadiahkan kepada wali-wali Allah. Setelah tamat majlis ini murid boleh memulakan pelajaran silat di peringkat asas.

Majlis Pelimau sunting

Setelah beberapa bulan mempelajari gerakan dan latihan, maka satu majlis pelimau akan diadakan. Ahli yang akan menyertai upacara ini dikehendaki menyediakan:-

  1. 3 biji limau nipis
  2. Sehelai kain lepas / 2 helai kain putih
  3. Pisau lipat kecil
  4. Sepiring pulut kunyit
  5. Beras 3 genggam
  6. Wang pengeras 13 sen

Sebelum upacara ini dijalankan, sembahyang hajat memohon keberkatan Ilahi dilakukan dan diikuti dengan acara perasap badan dan mandi berlimau.

Pantang Larang sunting

Diantara pantang larang yang terdapat dalam silat ini ialah:-

  1. Tidak boleh melakukan perkara yang dilarang oleh syarak
  2. Tidak boleh meninggalkan tuntutan agama
  3. Tidak boleh derhaka kepada pemerintah
  4. Tidak boleh derhaka kepada guru
  5. Tidak boleh bermusuhan sesama sendiri
  6. Tidak boleh menunjukkan silat dikhalayak ramai dengan tujuan untuk permainan
  7. Tidak boleh bertarung digelanggang sesama Islam untuk upah.

Sistem Pelajaran Silat sunting

Sistem Silat ini tidak mengajar buah-buah silat tertentu atau mempunyai nama tertentu. Antara pelajaran silat yang diajarkan adalah:-

  1. Cara-cara langkah sembah
  2. Perjalanan empat penjuru
  3. Menghadap lawan
  4. Sepakan dan elakan
  5. Pukulan tumbuk dan buangan
  6. Terajang dan buangan
  7. Cara mematikan sepakan, terajang dan tumbukan
  8. Umpanan dan tindak balas
  9. Melemahkan tapak kedudukan lawan
  10. Jenis-jenis tangkapan tumbuk, sepakan dan terajang
  11. Permainan kayu panjang dan pendek serta tek-pi.

Peringkat Pelajaran sunting

  1. Peringkat awal – kedudukan tegak dan gagah
  2. Peringkat sederhana - kedudukan sederhana rendah
  3. Peringkat akhir - kedudukan rendah dan berguling ditanah

Jenis Permainan sunting

  1. Tangan kosong
  2. Kayu panjang dan pendek
  3. Tekpi

Rujukan sunting

  • Majalah Pendekar, A.R. Terbit Sdn Bhd, Kuala Lumpur, April 1991, ms 28 - 31