Silat Kalimah Malaysia

Cerita Lisan sunting

Cerita ini disampaikan dari mulut ke mulut dan turut merujuk kepada rekod sahih peninggalan para guru yang bertanggungjawab mengembangkan ajaran Silat Kalimah.

Kisah ini bermula apabila ilmu seni Silat Kalimah ini diperturunkan oleh Syeikh Abdullah kepada Sultan Kedah yang dikenali dengan nama Sultan Muzaffar Shah. Ia telah dirahsiakan oleh Istana Kerajaan Kedah sehinggalah tiba kepada Sultan Ahmad Tajuddin yang telah bertanggungjawab menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada panglima kanan beliau, iaitu Panglima Tok Ismail.

Panglima Tok Ismail pula menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah kepada Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.

Panglima Tok Ismail akhirnya menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Rashid.

Dan Panglima Tok Rashid merupakan panglima yang terakhir menerima ilmu Silat Kalimah sebelum beliau menurunkan ilmu ini kepada orang awam yang pertama, iaitu anak angkatnya yang bernama Tok Guru Yahya Said.

Hikayat Merong Mahawangsa sunting

Merong Mahawangsa atau dikenali sebagai Maharaja Durbar Raja adalah Raja Kedah yang pertama. Berasal dari Tanah Besar Parsi yang kini dikenali sebagai Iran (berasal dari perkataan Aryan).

Pada asalnya, semasa dalam pelayaran, bahtera milik baginda telah karam dan mendarat di Kuala Sungai Qilah, Kedah. Penduduk Kedah ketika itu mendapati baginda adalah seorang yang terpelajar lagi bijaksana dan mereka telah mengangkat baginda menjadi raja Kedah yang pertama. Pemerintahan baginda berpusat di ibu negeri kerajaan Kedah lama iaitu Langkasuka.

Menurut sumber yang dipetik dari Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasiah Negeri Kedah, telah dinyatakan bahawa Islam tiba di Kedah pada zaman pemerintahan raja yang seterusnya. Raja tersebut dikenali dengan nama Phra Ong Mahawangsa.


Sultan Muzaffar Shah (1136-1179) sunting

Phra Ong Mahawangsa telah memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Sultan Muzaffar Shah, hasil dakwah seorang saudagar Arab yang juga seorang pendakwah Islam yang bemama Syeikh Abdullah Rafae'i Qibrari yang telah singgah ke negeri Qalha atau kini lebih dikenali sebagai negeri Kedah Darul Aman dengan tujuan untuk berdagang.

Baginda mempunyai 3 orang putera iaitu:

  • Paduka Sri Sultan Muadzam Shah ibni al-Marhum Sultan Muzaffar Shah
  • Tunku Muhammad Shah ibni al-Marhum Sultan Muzaffar Shah
  • Tunku Sulaiman Shah ibni al-Marhum Sultan Muzaffar Shah

Sultan Muzaffar Shah merupakan raja Tanah Melayu yang pertama memeluk agama Islam.

Syeikh Tajred sunting

Silat Kalimah telah diilhamkan dan dikembangkan oleh seorang saudagar arab yang diyakini berasal dari tanah besar Parsi. Nama saudagar itu ialah Syeikh Abdullah Rafae'i Qibrari, atau lebih dikenali sebagai Syeikh Tajred.

Merupakan Khalifah ke 30 bagi Tariqah Rifa'iyah.

Beliau telah berdagang hingga ke Ligor iaitu pusat perdagangan Islam yang pertama pada masa dahulu. Beliau telah singgah di sana dan menyebarkan agama Islam di Qalha (kini dikenali dengan nama Kedah Darul Aman) kira-kira 9OO tahun yang lampau. Pada ketika itu, Kedah berada di bawah pemerintahan Phra Ong Mahawangsa dan raja tersebut telah memeluk agama Islam dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.

Sultan Muzaffar Shah amat tertarik dengan cara penyampaian dakwah Islam yang dibawa Syeikh Tajred dan telah melantik Syeikh Tajred menjadi penasihat di Istana Kedah. Syeikh Tajred kemudiannya berkesempatan mengajar seni mempertahankan diri yang diilhamkan daripada kaedah perbuatan dalam solat, kepada Sultan Muzaffar Shah.

Syeikh Tajred menyatakan bahawa seni Silat Kalimah mempunyai nilai mempertahankan diri yang tinggi, berbeza daripada ilmu mempertahankan diri yang lain. Kerana itulah apabila Sultan Muzaffar Shah menerima ilmu Silat Kalimah ini; ia telah dirahsiakan dan hanya diajarkan kepada keturunan kesultanan Kedah sahaja. Warisan diraja ini berterusan sehinggalah tiba kepada pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, pada abad ke-19.

Gambar menunjukkan Masjid Kampung Telaga Batu, peninggalan Syeikh Tajred.


Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah (1804-1843) sunting

Setelah sekian lama Silat Kalimah ini dirahsiakan daripada orang kebanyakan. Dengan kehendak Allah, pada abad ke-19, semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, telah berlaku suatu penderhakaan di Sungai Tuntung, Krian. Ia dilakukan oleh seorang lelaki berketurunan Batak dari seberang, bernama Tuah (bukan Hang Tuah).

Penderhakaan tersebut gagal dibanteras oleh para panglima Kedah sendiri. Sehinggalah Sultan Ahmad Tajuddin mengambil keputusan untuk menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ismail. Ini bertujuan untuk membanteras penderhakaan Tuah daripada berterusan dan Panglima Tok Ismail mengambil masa 44 hari sahaja untuk khatam dalam pembelajaran.

Inilah rentetan peristiwa yang telah menyaksikan ilmu Silat Kalimah ini diturunkan kepada para panglima istana dan seterusnya orang awam.

Kini warisan Silat Kalimah ini masih diteruskan oleh kerabat Kesultanan Kedah sendiri, melalui anak perempuan Tengku Kasim ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu Yang Mulia Tengku Aina. Beliau kini menetap di Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor. YM Tengku Aina telah tamat pembelajaran ilmu Silat Kalimah dan layak menjadi Gurulatih dibawah pimpinan Pak Guru Cikgu Azmi Long sendiri.

Bermulanya Silat Kalimah Di Bawah Panglima Tok Ismail sunting

Setelah mempelajari ilmu Silat Kalimah yang diturunkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Tok Ismail telah berjaya menangkap Tuah penderhaka. Tuah kemudiannya dibawa ke Kuala Krian dekat Tanjung. Di tempat inilah Tuah dihukum bunuh dan akibat peristiwa ini, tempat itu digelarkan dengan nama Tanjung Tuah sehingga sekarang.

Semasa Panglima Tok Ismail berumur 60 tahun, beliau telah menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.


Panglima Tok Ali & Panglima Tok Hadi sunting

Sekitar tahun 1854, berlaku satu peperangan di antara kerajaan Kedah dan kerajaan Siam. Panglima Tok Ali telah mengetuai bala tentera kerajaan Kedah diikuti oleh Panglima Tok Hadi dan Tengku Md Saad. Peperangan tersebut berakhir dengan kekalahan dialami oleh kerajaan Kedah. Akibat peristiwa ini Panglima Tok Ali telah berkecil hati dan bersumpah tidak akan memijak lagi bumi Kedah.

Kekalahan Kedah tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian Tengku Md. Saad yang secara langsung membuatkan Panglima Tok Ali membawa diri ke Batu Bara.

Panglima Tok Rashid sunting

Panglima Tok Rashid dilahirkan di Sedaka Yan,Kedah pada tahun 1863. Beliau mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Panglima Tok Ismail sendiri. Semasa perkara ini berlaku, Panglima Tok Ismail pada ketika itu sudah pun lanjut umurnya, namun masih mampu untuk menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Rashid.

Pada tahun 1890, telah berlaku satu wabak taun di Sungai Limau Yan, Dulang Besar dan Dulang Kecil. Pada tahun ini juga menyaksikan kehadiran penjajah Inggeris, maka Panglima Tok Rashid dan Panglima Tok Ismail membuat keputusan untuk berhijrah dari Mukim Dulang Yan ke Sungai Tuntung Krian.

Akan tetapi sebelum sempat berpindah, Panglima Tok Ismail telah meninggal dunia terlebih dahulu dan jasad Panglima Tok Ismail itu telah disemadikan di sebuah pulau yang terletak di negeri Kedah.

Panglima Tok Rashid kemudiannya telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada anak angkatnya iaitu Tok Guru Yahya Said dan turut serta ialah anak lelaki Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Bukan itu sahaja, beliau juga telah mengajarkan kepada Tok Guru Yahya Said cara-cara membuat ubatan tradisional daripada akar kayu dan pokok-pokok herba di dalam hutan. Apabila Panglima Tok Rashid meninggal dunia, jasad beliau telah disemadikan bersebelahan kubur Panglima Tok Ismail.

Pewaris terakhir bagi Panglima Tok Rashid adalah anak angkat beliau iaitu Tok Guru Yahya Said dan Tok Bidin. Dikatakan kubur Panglima Tok Rashid dan Panglima Tok Ismail dikuburkan bersama - mengikut wasiat Panglima Tok Ismail dan Panglima Tok Rashid di sebuah pulau di utara Semenanjung Malaysia.

*Jika ada sesiapa mengetahui atau mengenali Tok Bidin serta ajaran Silat Kalimah yang dibawa oleh beliau. Sila hubungi Sekretariat Persatuan Silat Kalimah Malaysia di Johor Bahru.

Kisah Hidup Tok Guru Yahya Said sunting

Beliau dilahirkan pada tahun 1903 di Kuala Kerian, Kedah. Tok Guru Yahya Said adalah anak angkat kepada Panglima Tok Rashid. Beliau bekerja dengan Panglima Tok Rashid sebagai seorang pembuat bendang, pembuat atap rumah dan pencari akar kayu untuk dijadikan adunan ubatan tradisional yang dihasilkan oleh Panglima Tok Rashid sendiri.

Pada tahun 1923, Tok Guru Yahya Said adalah orang awam kebanyakan pertama yang mempelajari Silat Kalimah daripada Panglima Tok Rashid. Rakan seperguruan Tok Guru Yahya Said adalah anak Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Apabila tamat perguruan, beliau bekerja sebagai seorang anggota polis dan tinggal di Batu Kurau, Perak.

Pada tahun 1938, Tok Guru Yahya Said mula mengajar Silat Kalimah ini kepada para pemuda di Daerah Batu Kurau. Diantaranya ialah Haji Awang Salleh, Harun Haji Hussein, Md. Daud Tok Sujak dan Haji Baharin Haji Ludin dan ramai lagi. Pada tahun 1942, Yusof Misai dari Bagan Serai, Perak juga telah mempelajari seni Silat Kalimah ini.

Pada tahun 1949, Tok Guru Yahya Said telah menamatkan tugasnya sebagai anggota polis. Beliau mula aktif sebagai penjual ubatan tradisional dan menjualnya ke seluruh pelusuk Malaysia. Dalam pada itu, Tok Guru Yahya Said telah berkenalan dengan Yahya Abdullah@Yahya Masulin, Said Ali Abas, Pak Sawir Labeh, Haji Abu Malik dan Pak Mansor.

Para penjual ubat ini turut mempelajari ilmu Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said sendiri, bermula dari tahun 1950.

Pada tahun 1963, seorang pemuda yang bernama Cikgu Mohd. Zohdi telah berhasrat untuk mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Tok Guru Yahya Said sendiri. Kini beliau adalah Pak Guru Utama Silat Kalimah Yahya Said dan masih mengajar dan aktif di dalam mengembangkan Silat Kalimah di sekitar negeri Perak.

Pada suatu masa, Yang Berhormat Encik Mohd. Khir Johari telah menyatakan bahawa orang Melayu tidak mempunyai ilmu seni mempertahankan diri yang sebenar. Yang wujud hanyalah silat tari untuk menyambut pengantin dan hari perayaan. Bermula dari peristiwa inilah, Tok Guru Yahya Said berazam hendak membuktikan bahawa orang Melayu turut mempunyai seni mempertahankan diri yang benar-benar bercorak keislaman dan setanding dengan ilmu mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa lain.

Pada tahun 1965, dua adik beradik iaitu Fadil dan Che Ngah telah mempelajari Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said.

Kemudian pada tahun 1966, Tok Guru Yahya Said mengembangkannya di Teluk Piai, Jalan Gunung Kriang kepada 20 orang pemuda, di Alor Merah seramai 20 orang. Semasa mengajar di Teluk Wan Jah, seramai 20 orang telah berguru dengan beliau, salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad yang merupakan pengasas dan Guru Utama Silat Cekak Malaysia.

Pada tahun 1968, Tok Guru Yahya Said telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada Pak Guru Azmi Long dan Cikgu Ridzuan Long hingga khatam. Tok Guru Yahya Said telah mengamanahkan Pusaka Parang Lading milik Panglima Tok Rashid kepada Pak Guru Azmi Long dengan harapan Silat Kalimah akan terus berkembang subur.


Pendedahan Kepada Media Massa Oleh Tok Guru Yahya Said sunting

Pada 12 hingga 14 Julai, 1973, sebuah Konvensyen Silat Melayu Malaysia yang pertama telah diadakan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang .

Tok Guru Yahya Said telah memberikan demonstrasi Silat Kalimah ini kepada para perwakilan dan dari peristiwa ini beliau telah menerima gelaran Mahaguru. Tok Guru Yahya Said telah diminta membuat kertas kerja yang lengkap mengenai Silat Kalimah ini.

Angkatan Tentera Malaysia dan Tok Guru Yahya Said sunting

Parti Komunis Malaya (PKM : 1930-1989) telah membangkitkan keadaan darurat di Malaysia semasa dan selepas pemerintahan British antara tahun 1967 hingga 1989. Pak Yahya Said telah diketahui terlibat dalam membanteras kegiatan anggota PKM. Salah satu peristiwa berlaku di Ayer Keroh, dimana Pak Yahya Said berjaya mengatasi serangan dan kepungan PKM sehinggakan anggota komunis mengalah dan berundur.

Pak Yahya Said juga terkenal semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 hingga 1945. Sehinggakan pihak tentera Jepun mencari beliau untuk mempelajari teknik 'mematahkan tangan serangan pedang'. Dan teknik ini dipercayai diserapkan ke dalam ilmu beladiri ketenteraan mereka.

Pada tahun 1974, pihak Pemerintah Angkatan Tentera Malaysia telah mengambil daya usaha menyelidik dan mempelajari kelebihan Silat Kalimah bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia.

Maka pada tarikh 22 Mei, 1974. Seramai 3 orang jenderal, 5 orang kolonel dan 2 orang leftenan kolonel antaranya adalah Brigedier Jenderal Yusuf Din, Brigedier Jenderal Mohd Ghazali Bin Hj Che Mat dan Brigedier Jenderal Wan Ismail. Mereka telah belajar Silat Kalimah hingga tamat dibawah kelolaan Tok Guru Yahya Said sendiri.


Perjuangan Berterusan sunting

Pada tahun 1979 pula, Pak Guru Utama Silat Kalimah iaitu Tok Guru Yahya Said telah menghembuskan nafas yang terakhir dan jenazah beliau dikuburkan di Batu Kurau, Perak.

Hingga kini, masih ada lagi penjual ubat yang mengenali Tok Guru Yahya Said iaitu Pak Mohamad Nasir di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kamaruddin dan Zubir Duyah di Terengganu serta Bustani di Kuantan, Pahang. Ismail di Kuala Perlis, Perlis serta Radin Salleh di Parit Yaani, Batu Pahat, Johor. Selain itu, sahabat Tok Guru Yahya Said yang masih hidup ialah Tok Penghulu Zakaria yang kini menetap di Johor Bahru, Johor.

Itulah kisah Tok Guru Yahya Said yang telah bertindak sebagai pengasas Silat Kalimah moden dan telah berjaya dalam cita-cita beliau untuk menyahut cabaran bahawa orang Melayu mempunyai seni silat yang tersendiri.


Bapa Guru Utama Silat Kalimah Malaysia: Pak Guru Azmi Long sunting

Dilahirkan dalam enam adik beradik di Kedah pada tahun 1934. Dibesarkan oleh ibu beliau yang bernama Fatimah Binte Mohd. Said dan bapanya iaitu Long Bin Ishak yang bertugas di Pejabat Daerah Kulim, Kedah. Salah seorang adik kepada Pak Guru Azmi Long yang setia dengan perjuangan Persatuan Silat Kalimah sehingga akhir hayatnya adalah Allahyarham Cikgu Redzuan Long.

Menerima pendidikan Darjah 1 hingga 4, di Sekolah Melayu Kulim dan terpaksa berhenti belajar disebabkan oleh penaklukan tentera Jepun ke atas Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1944. Bapa Guru Utama Cikgu Azmi Long kemudiannya berjaya meneruskan pendidikan di Sekolah Ibrahim hingga Darjah 6.

Pada tahun 1952, beliau mula bekerja dengan British Army dan ditugaskan di bawah Royal Electrical Mechanical Engineer(REME) sehingga beliau memiliki Army British Gred 1 - Certificate of English, British Army.

Beliau menamatkan tugas dari British Army pada tahun 1959 dan memulakan hidup baru sebagai orang awam. Pada tahun 1960, beliau memulakan karier baru sebagai penjual ubat pil tablet (Gain Weight) iaitu pil bina badan. Dan disitulah bermulanya persahabatan dengan Tok Guru Yahya Said. Hasil dari perkenalan ini, akhirnya Pak Guru Azmi Long dianggap sebagai anak angkat oleh Allahyarham Tok Guru Yahya Said sendiri.

Warisan Terpelihara sunting

Pak Guru Azmi Long terkenal dengan kemahiran tinju dan gusti semasa beliau berkhidmat untuk British Army. Tok Guru Yahya Said telah mendedahkan kelebihan gerak penangkap ilmu Silat Kalimah dan ini menarik minat Pak Guru Azmi Long untuk belajar. Perguruan tersebut berlangsung secara senyap tanpa pengetahuan sesiapa pun dan ia berlangsung setiap kali Cikgu Azmi Long dan Tok Guru Yahya Said bertemu di dalam perjalanan menjual ubatan tradisional ke serata tempat.

Sehinggalah pada satu ketika iaitu pada tahun 1968. Perhubungan yang rapat antara beliau dengan Tok Guru Yahya Said telah menyebabkan Tok Guru Yahya Said berhasrat untuk menurunkan sepenuhnya ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada beliau. Maka Pak Guru Azmi Long pun berguru sehingga tamat. Turut serta dalam perguruan ini ialah adik beliau sendiri iaitu Cikgu Redzuan Long.

Turut diwariskan kepada Pak Guru Azmi Long, sebilah Pusaka Parang Lading milik Panglima Tok Rashid sebagai bukti amanah untuk mengembangkan ajaran ilmu Silat Kalimah


Amanat Bapa Guru Utama sunting

Bapa Guru Utama Azmi Long meninggal dunia pada tahun 2004. Mengimbas soal tanggungjawab yang membawa kepada penubuhan Silat Kalimah Malaysia, selaras dengan tujuan perguruan ini. Beliau telah mengingatkan perkara berikut, "Tujuan suci ini mestilah dipraktikkan selaras dengan harapan pemimpin kita didalam menuju wawasan negara."

Segala amalan dan ajaran hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dengan melatih diri sendiri dahulu sebelum dikembangkan kepada keluarga, rakan dan kemudiannya, masyarakat. Amalan yang sihat pasti melahirkan generasi yang berdisiplin dan mewujudkan negara yang makmur.

" Berlapik Berlantai
Bentang Tikar Tiga Helai
Cari Yang Cerdik
Cari Yang Pandai
Cari Juara Di Tengah Balai
Barulah Kerja Tidak Terbengkalai "


Generasi ke -3, Silat Kalimah Malaysia: Cikgu Poi sunting

Pak Guru Utama Osman bin Hj Mohd. Sidek atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Poi.

Dilahirkan pada 4hb Mei, 1953 di Sungai Petani, Kedah. Seorang yang bercita-cita tinggi dalam mengembangkan Silat Kalimah. Sudah beristeri dan kini menetap di No.13, Lorong Tengah, Kampong Keda, Sg.Layar, Sungai Petani,Kedah.

Mula mempelajari Silat Kalimah bersama-sama Cikgu Hamid Man dibawah pengawasan Pak Guru Cikgu Azmi Long pada tahun 1970an. Telah dinaikkan peringkat dan menjalani upacara mandi limau, dilakukan oleh Tok Guru Pak Yahya Said sendiri. Rakan segelanggang beliau ialah Tuan Hj Yusuf Pulau Langkawi. Tuan Hj Yusuf telah membuka persatuan silatnya sendiri yang dikenali dengan nama Silat Solah, bertempat di Langkawi.

Buat masa ini, Pak Guru Utama Osman bin Hj Mohd. Sidek ada membuka gelanggang di Bukit Kecil. Dimana terdapatnya kaum keluarga Panglima Tok Ismail yang turut mempelajari Silat Kalimah, dibawah pengawasan Pak Guru Utama sendiri.

Merujuk pada sejarah penglibatan beliau. Pak Guru Utama banyak terlibat dalam mengadakan demonstrasi Silat Kalimah bersama Allahyarham Tok Guru Pak Yahya Said dan juga Pak Guru Azmi Long. Rakan segelanggang beliau ketika itu ialah Allahyarham Cikgu Hamid Man. Banyak peristiwa manis dan pahit telah dialami dan dirasai ketika bersama-sama Allahyarham Tok Guru Pak Yahya Said dan Pak Guru Cikgu Azmi Long.

Untuk menyara hidup beliau, Pak Guru Utama bekerja sebagai Jurulatih Sekolah Memandu JV Cergas di Lebuhraya Laguna, Sg. Petani, Kedah.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang peribadi Pak Guru dan Silat Kalimah Malaysia secara amnya, bolehlah menghubungi beliau.

Bersamalah kita dengan wilayahnya Silat Kalimah,
"Silat Aku Silat Kalimah, Aku Silat Dalam Kalimah"
"Mengembang,Menyatu dan Hidup Bersama"
"Pakai Tak Pakai, Tak Pakai Pakai, Selagi Tak Pakai, Itulah Pakai"

Rujukan sunting

semuanya diperoleh dari http://silat-kalimah.com

Buku Sejarah Silat Kalimah Malaysia akan diterbitkan tidak lama lagi dipasaran. Insyaallah.

Pautan luar sunting