Silat merupakan salah satu daripada cabang seni masyarakat Melayu sejak zaman berzaman. Silat adalah bertujuan untuk mempertahankan diri daripada pihak lawan dengan mencari silap lawan.

Jika dilihat dari segi sejarah, seni silat ini wujud di negeri Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar kurun ke 15. Namun begitu ia dikatakan berasal dari Sumatera Utara, Indonesia dan kemudiannya diterima oleh masyarakat Melayu. Persembahan silat ini diadakan di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis diraja dan sebagainya.

Umumnya, terdapat dua jenis silat yang popular di Melaka iaitu Silat Gayong dan Silat Lima Sahabat yang berdasarkan persahabatan lima saudara iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang mempunyai kepandaian dalam pelbagai jenis silat.

Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin mempelajari Silat Gayong mestilah berhadapan dengan mahaguru dan melahirkan hasrat untuk mempelajari silat dan di sini mahaguru akan meminta beberapa jenis barang seperti buah limau, garam kasar, asam jawa, tujuh batang jarum dan sebilah pisau. Kemudian mahaguru akan mengajar tujuh jenis senaman sebagai latihan badan. Apabila telah selesai tujuh jenis senaman tersebut, mereka akan diajar senaman yang ke lapan iaitu satu senaman yang akan menentukan sama ada mereka layak menerima tali pinggang yang berwarna putih atau tidak.

Tali putih merupakan tahap pertama bagi mereka yang ingin mendalami ilmu silat. Tempoh bagi memperolehi tali pinggang kedua ialah selama dua tahun. Tali pinggang kedua dan ketiga akan mengambil masa selama tiga tahun manakala tali pinggang keempat akan memakan masa selama empat tahun.

Terdapat beberapa pantang yang harus dipatuhi oleh setiap ahli. Di antaranya tidak boleh menderhaka dengan orang tua, mahaguru dan tidak boleh melanggar larangan yang telah ditetapkan oleh agama.