Silat Serimau Hitam

Silat Serimau Hitam terkenal di negeri Perak. Serimau Hitam berasaskan lima silat yang dipelajari oleh Baharum Hatir iaitu Silat Wali Suci, Silat Jawa, Silat Cekak, Silat Sambarani dan Silat Gayong. Pada mulanya ia dikenali dengan nama Silat Selima Hitam dan nama perguruan itu ditukar kepada Serimau Hitam bersempena pergerakan harimau dalam perguruan tersebut serta mengambil iktibar dari kekuatan dan kehandalan raja rimba itu.


Riwayat Hidup Allahyarham Pak Guru Haji Baharum sunting

Pada suatu petang keluarga Allahyarham En. Hathir bin Haji Kecil iaitu ayah Pak Baharum sedang beristirehat di rumahnya di kampung Kemunting, Taiping perak. Tiba-tiba datang segerombongan Bintang Tiga kerumahnya untuk menangkap Pak Hathir. Ayahnya telah dituduh sebagai tali barut Jepun (Jitsu).

Ayahnya telah ditangkap dan telah diheret untuk dihukum pancung. Pada ketika itu seorang anak teruna yang berusia 13 tahun iaitu Pak Baharum bin Nin Hathir bersama keluarganya hanya mampu menangis sahaja. Tetapi di sebalik tangisan itu tersemat perasaan dendam membara terhadap Bintang Tiga yang telah menculik ayahnya dan di hukum pancung.

Pada waktu senja, tanpa diketahui oleh ibunya, Allahyarham Pak Baharum dan abangnya iaitu Daud telah menyelamatkan bapanya daripada pusat tahanan Bintang Tiga. Dengan berbekalkan ilmu persilatan yang telah dipelajari daripada datuknya, maka dengan izin Allah S.W.T. mereka berjaya melepaskan bapanya dan melarikan diri sekeluarga ke Kuala Kangsar untuk mendapatkan perlindungan.

Bermula dari situlah allahyarham Pak Baharum mulai sedar bahawa pentingnya ilmu persilatan. Maka beliau mulalah menjelajahi seluruh semenanjung Malaysia termasuk Singapura untuk mempelajari dan mendalami ilmu persilatan sehinggalah beliau diijazahkan sebagai seorang guru dalam ilmu persilatan.

Penubuhan Seni Silat Serimau Hitam sunting

Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak telah ditubuhkan pada awal tahun 1971 oleh Pak Guru Baharum bin Hathir. Pada ketika itu persatuan ini lebih dikenali dengan nama Persatuan Seni Silat Selima Hitam iaitu hasil daripada gabungan dari lima jenis silat yang telah dipelajari olek allahyarham Pak Guru Baharum. Antaranya ialah beliau telah menuntut Silat Gayung, Silat jawa, Silat Cekak, Silat Sambarani dan Silat Wali Suci.

Oleh kerana nama Selima itu tidak begitu popular pada masa itu, maka pada penghujung tahun 1971, Persatuan Seni Silat Selima Hitam yang no pendaftaran -1920/pk telah ditukarkan kepada seni silat Serimau Hitam Perak yang no pendaftarannya ialah – 2526/86. Pada sekitar awal tahun 1980-an persatuan ini hanya bergerak secara kecil-kecilan iaitu dari sekitar Kampar dan Malim Nawar, Perak sahaja. Tetapi pada akhir tahun 80-an silat ini mula berkembang di daerah-daerah lain termasuk sekolah dan pusat pengajian tinggi. Sehingga kini jumlah keahlian adalah melebihi 5000 oarang yang telah menyertai seni silat Serimau Hitam Perak di sekitar Perak.

Sejarah Gabungan Lima Jenis Perguruan Persatuan Seni Silat Serimau Hitam sunting

Selepas kejadian peristiwa oleh Bintang tiga keatas allahyarham Pak Baharum, beliau mula mendalami ilmu persilatan dengan lebih serius dan bersunguh-sungguh. Persilatan pertama Pak Baharum ialah dengan Pak Lek Juwono bin Rawi Klang di negeri Johor. Beliau mempelajari dan memdalami seni Silat Jawa sehinggalah diijazahkan sebagai guru.

Oleh kerana beliau merasakan dirinya tidak cukup berilmu maka beliau menuntut dengan guru lain. Selepas itu beliau mempelajari ilmu Seni Silat Cekak dan berguru dengan Tuan Hj Yahya. Menurut cerita Seni Silat cekak berasal dari negeri Kedah iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin.

Pada ketika itu Silat Cekak ini adalah hanya dipelajari oleh kaum kerabat diraja sahaja. Tetapi oleh kerana tiada waris yang boleh lagi diperturunkan maka barulah ilmu tersebut diajar kepada rakyat jelata pada ketika itu. Selepas beliau berguru dengan Tn.Hj. Yahya dan mendalami ilmu silat Cekak, beliau pula berguru dengan Mahaguru asal seni Silat Gayung, iaitu Tuan Syed Al-Atass di Pulau Selulung, Singapura. Pak Baharum berguru sehinggalah diiktiraf sebagai guru kanan dan diiktiraf sebagai gelaran khalifah tertinggi dalam persilatan tersebut. Semasa diperguruan inilah ilmu kebatinan seperti mandi tapak, potong tangan, mandi minyak, mandi hujung pedang dan sebagainya telah diperolehi dari Tuan Syed. Oleh kerana pada ketika itu Haji Baharum merasakan lagi kekurangan tentang ilmu persilatan, maka beliau memperhambakan diri dengan guru Pendekar Amin yang berasal dari negeri Perak. Beliau mempelajari ilmu Silat Sambarani (Helang)

Corak latihan dan pengajaran yang dipelajari bersama Pendekar Amin adalah sangat lasak dan tangkas. Ia memerlukan kekuatan fizikal untuk bersilat secara layang dan terbang serta main bawahan kekuda rendah. Setelah khatam berguru dengan pendekar Amin, beliau mendalami ilmu Seni silat Wali suci di negeri kedah, dengan seorang guru yang bernama Pak Bidin. Dalam ilmu persilatan inilah pak Baharum mendalami ilmu agama dan pelbagai ilmu seperti perubatan ilmu kebatinan dan tradisional dan sebagainya lagi.Oleh kerana Pak Bidin semakin uzur maka Pak Baharum telah dilantik dam ijazahkan sebagai guru sekali lagi.

Pak Baharum juga mendalami ilmu Silat Wali Suci dengan Pak Karim di Perak.

Pak Baharum telah mendalami dan mempelajari ilmu persilatan selama lebih 15 tahun. Setiap perguruan beliau dianugerahkan sebagai guru. Beliau mempunyai azam , matlamat dan daya usaha yang gigih bagi mencapai cita-citanya. Kini beliau telah diiktiraf sebagai guru dan pengasas PERSATUAN SENI SILAT SERIMAU HITAM PERAK.

Adab-Adab sebelum Bermain Silat Di Gelanggang sunting

Setiap jenis silat mempunyai adab-adab yang tertentu sebelum masuk gelanggang. Sebelum bermain silat diatas tanah, perkara pertama jurulatih mestilah bertafakur iaitu meletakkan tangan kanan mencecah bumi lalu membaca surah Al- Fatihah dan selawat ke atas nabi. Selepas itu jurulatih kemudiannya berniat agar pesilat-pesilat terhindar dari mara bahaya semasa latihan dan permainan berlangsung.

Selepas jurulatih masuk gelanggang dan selesai bertafakur, Kemudian barulah diikuti oleh para pesilat berbuat demikian dengan cara duduk antara dua sujud sambil membaca surah Al- Fatihah dan selawat Nabi sebanyak tiga kali.

Selepas itu dengan diikuti adab memasuki gelanggang adalah sama dengan penutup gelanggang. Tetapi niat oleh jurulatih adalah berbeza iaitu bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpahan dan kurnianya memperolehi ilmu dan keselamatan daripada ditimpa musibah yang tidak diingini.

Adab-adab yang lainya ialah seperti adab hormat. Adab hormat ini dilakukan sebelum memulakan sesuatu majlis atau demonstrasi, para pesilat mestilah memberi hormat kepada hadirin, iaitu dengan cara berdiri tegak kedua-dua kaki dirapatkan manakala kedua-dua tangan rapat ke dahi selaku mengankat sembah hormat. Mana-mana silat pun mempunyai adab hormat kepada hadirin sebelum memulakannya sesuatu demonstrasi.

Selain itu juga, adab-adab lain seperti adap peluk tubuh. Adab ini dilakukan dalam keadaan berdiri dimana tanagn kanan bertindan ke atas tangan kiri dan rapat ke dada. Peranan peluk tubuh mempunyai keistimewaan tertentu dan kelebihan-kelebihannya. Peranan peluk amat penting antaranya ialah salah satu kaedah atau cara untuk menempis dan menyerang musuh. Dengan cara memeluk tubuh, kita dapat menepis atau menyerang musuh apabila saat-saat diperlukan dan menjadikan pesilat lebih yakin dan berani apabila berada dalam persekitaran dan sentiasa berjaga setiap masa daripada serangan musuh.

Adab seterusnya ialah cara duduk seni, dalam silat pelbagai adab termasuk cara duduk seni diamalkan cara-cara duduk seni dalam persatuan seni silat Serimau Hitam ini adalah kelihatan tertib dan kemas. Semasa duduk, kaki kanan para pesilat bersilang di atas kaki kiri dan kedua-dua tangan diletakkan secara bebas diatas persilangan kaki tersebut. Kedudukan ini memudahkan para pesilat tersebut bangun dengan pantas dan bersedia untuk menerima serangan ataupun menyerang lawan.

Adat Istiadat sunting

Silat Seni serimau hitam adalah bersendikan adat. Manakala adat bersemadikan syarak Jadi setiap orang yang menjadi ahli harus pula menjalani upacara mandi limau adat sebagai memenuhi syarat penerimaan sebagai murid seni silat Serimau Hitam. Di samping itu setiap bakal murid yang akan menjalani upacara mandi adat ini perlu menyediakan pengkeras yang berupa wang tunai. Walaupun pengkeras ini adalah hak Mahaguru atau warisnya sebagai satu ikrar halal-menghalal di antara Mahaguru dangan muridnya, namun ia tidak diberatkan kepada mereka yang tidak mampu.

Pada peringkat permulaan, pesilat baru diwajibkan membawa limau sebanyak tiga biji, bunga tiga jenis, tiga batang jarum, kemenyang dan wang pengeras. Limau tiga biji itu akan dipotong tiga oleh pak guru dan semasa memotong limau tersebut pak guru akan menjampi limau tersebut. Jarum yang tiga batang tadi digunakan, tiga batang paku tersebut akan dipakukan diatas limau. Antara salah satu batang jarum tersebut akan di simpan oleh Pak Guru manakala dua batang lagi akan disimpan oleh para pesilat. Dalam seni persilatan ini mandi limau salah satunya ialah untuk menghilangkan segala kekotoran yang terdapat pada tubuh pesilat, manakala jarum pula ialah untuk melihat sejauh mana ketajaman yang terdapat pada para pesilat.

Sistem pelajaran sunting

  1. Pergerakan badan (Jurus)
  2. Latihan Jimnastik
  3. Buah kosong (pukulan dan tepisan)
  4. Permainan Senjata Tradisonal seperti keris, pisau, parang, lembing dan kerambit
  5. Permainan senjata kayu, rotan dan tongkat.

Rujukan sunting

  • Majalah Seni Beladiri, Mei 1999, m/s 35