Spaniel air Amerika

baka anjing dari Amerika Syarikat

Spaniel air Amerika[a] ialah satu baka spaniel yang berasal dari Amerika Syarikat. Ia dikembangkan di negeri Wisconsin semasa abad ke-19 daripada sebilangan baka lain, termasuk spaniel air Ireland dan spaniel air Inggeris. Baka ini diselamatkan oleh Dr. Fred J. Pfeifer, yang mendirikan kelab dan merangka piawaian baka dan kerja beliau membawa kepada pengiktirafan untuk baka ini oleh United Kennel Club, dan kemudian, American Kennel Club. Walaupun ia merupakan anjing negeri Wisconsin, ia kekal merupakan baka jarang.

Spaniel air Amerika
Spaniel air Amerika
Nama lainSpaniel perang Amerika
Spaniel air perang Amerika
Nama ringkasAWS
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat Jantan 25–40 lb (11–18 kg)
Betina 25–40 lb (11–18 kg)
Tinggi Jantan 15–18 inci (38–46 cm)
Betina 15–18 inci (38–46 cm)
Bulu Lapis bulu ganda, lapis luar keriting
Warna Cahaya warna perang
Saiz perinduk 4–6 ekor anak anjing
Jangka hayat 10–12 tahun
CatatanAnjing negeri Wisconsin
Anjing (Canis lupus familiaris)

Ia merupakan anjing bersaiz sederhana dan mempunyai lapis bulu ganda yang terdapat dalam pelbagai cahaya warna berkaitan dengan perang. Sebagai anjing pemburu serba guna, ia juga sesuai untuk kehidupan pangsapuri kerana usaha oleh pembiak baka untuk mengembangkan baka dengan perangai sesuai. Spaniel air Amerika mungkin telah terlibat dalam perkembangan spaniel Boykin.

Sejarah sunting

 
Spaniel air Amerika yang digambarkan pada 1913

Dengan asal usul di Wisconsin, spaniel air Amerika ialah anjing negeri Wisconsin.[1] Baka ini berasal dari kawasan di sepanjang Sungai Fox dan anak sungainya di Sungai Wolf semasa awal abad ke-19. Pemburu memerlukan anjing yang dapat bekerja di darat dan di dalam air, pemburu serba guna yang mahir mendapatkan pelbagai jenis buruan. Pemburu juga menginginkan anjing pemburu yang cukup padat untuk diangkut di dalam skiff kecil, yang mampu menahan suhu air sejuk Wisconsin.[2] Baka yang terlibat dalam penghasilan spaniel air Amerika dianggap termasuk spaniel air Inggeris, spaniel air Ireland, anjing pengutip berbulu keriting,[2] anjing asli Indian, pudel,[3] dan sama ada spaniel Sussex atau sejenis lain spaniel padang.[2]

Anjing perang kecil ini yang dihasilkan dikenali pada masa itu sebagai spaniel perang Amerika dan berukuran seberat sekitar 40 paun (18 kg). Ia mempunyai lapis bulu keriting tebal yang melindunginya daripada suhu sejuk air dan musim sejuk. Ia digunakan untuk memburu unggas air, ruffed grouse, ayam prairie besar dan pelbagai haiwan berbulu.[4]

 
Lapis bulu spaniel air Amerika adalah kalis air

Selama bertahun-tahun, bilangan baka ini mula berkurangan disebabkan oleh penurunan populasi itik melalui kawasan-kawasan lembah itu dan kerana peralihan perburuan – daripada cara untuk mengumpulkan makanan untuk kemandirian kepada tujuan rekreasi. Selain itu, ikutan Perang Dunia Kedua,[5] jenis-jenis anjing baharu menjadi tersedia di Wisconsin seperti seter, anjing penuding, dan spaniel lain, yang membolehkan pengkhususan tambahan dalam perburuan.[4]

Dr. Fred J. Pfeifer, dari New London, Wisconsin, menubuhkan Wolf River Kennels untuk menyelamatkan baka ini. Bilangan yang dipegang oleh kenel itu naik turun tetapi ada kalanya meningkat sehingga 132 ekor anjing.[4] Beliau mengiklankan anjing secara meluas di seluruh negara dan menjual anjing jantan dengan harga $25 dan anjing betina dengan harga $20.[3] Sebahagian daripada promosi jualan yang disuratkan oleh Pfeifer kepada bakal pemilik anjing berbunyi, "Spaniel perang Amerika ialah produksi secara distingtif dari Amerika. Para pemburu telah mengenali jenis ini selama bertahun-tahun dan melalui usaha mereka anjing ini dibiakbakakan.... Selama bertahun-tahun kami telah membiakbakakan hanya ternakan terpilih, pembiakbakaan untuk gameness, kestabilan, keberanian, kecerdasan, dan kecantikan. Ia merupakan anjing untuk dikagumi dan dipercayai dalam semua keadaan sama ada dalam lingkungan rumah atau di padang dengan orang ruangan luaran."[3]

Oleh sebab usaha Pfeifer, baka ini diiktiraf oleh United Kennel Club (UKC) sebagai American Water Spaniel ("spaniel air Amerika") pada tahun 1920 dan oleh Buku Pembaka Anjing Padang pada tahun 1938. Anjing milik Pfeifer sendiri, bernama "Curly Pfeifer" ialah spaniel air Amerika pertama yang didaftarkan dengan UKC.[4] John Scofield dari Missouri dan Thomas Brogdan dari Rush Lake, Wisconsin bekerjasama dengan American Water Spaniel Club (AWSC) untuk memperoleh pengiktirafan baka dengan American Kennel Club (AKC) pada tahun 1940.[5] Sebelum pengiktirafan oleh AKC, baka ini tidak pernah ditunjukkan dalam gelanggang pertunjukan.[6]

Baka ini mempunyai pautan dengan spaniel Boykin dan dianggap sebagai baka utama yang digunakan untuk mengembangkan spaniel Boykin. Perbezaan antara spaniel Boykin dengan spaniel air Amerika dapat diabaikan dengan sesetengah ahli sejarah anjing yang mencadangkan bahawa spaniel Boykin asli, yang dipanggil "Dumpy", yang ditemukan di jalanan di Spartanburg, Carolina Selatan, sebenarnya ialah seekor spaniel air Amerika yang telah tersalah letak semasa transit. Walau bagaimanapun, kelab-kelab baka untuk spaniel Boykin tidak bersetuju dengan keterangan ini.[3]

Baka ini dijadikan anjing negeri Wisconsin pada tahun 1985.[7] Spaniel air Amerika kekal sebagai baka jarang. Pada tahun 1998, hanya 233 ekor anak anjing didaftarkan dengan AKC, dengan anggaran 3,000 ekor anjing yang wujud kebanyakannya di sekitar Barat Tengah Amerika Syarikat,[8] khususnya di Wisconsin, di Minnesota, dan di Michigan.[9] Pada tahun 2010, baka ini dinilai sebagai baka ke-143 paling popular di Amerika Syarikat, daripada 167 baka. Ini ialah penurunan sejak tahun 2000, semasa baka ini berada di kedudukan ke-125.[10] Anjing ini tidak dikelaskan secara khusus sama ada sebagai anjing pengutip atau sebagai spaniel dan oleh itu tidak boleh bertanding dalam ujian padang AKC, tetapi boleh bertanding dalam ujian perburuan AKC (ujian spaniel dan anjing pengutip) dan ujian perburuan anjing pengutip yang ditaja oleh AWSC, kelab baka di Amerika Syarikat.[8] American Water Spaniel Field Association ditubuhkan pada tahun 1993 oleh para penggemar baka yang menyokong pengelasan spaniel AKC dan berhasrat untuk menyediakan kesempatan pelatihan padang kepada pemilik baka.[11] Dalam undian yang diadakan oleh para anggota AWSC pada tahun 1999, mereka memilih untuk mengekalkan baka ini tidak berkelas.[5]

Penampilan sunting

 
Seekor spaniel air Amerika dengan lapis bulu bercorak marcel

Kepopularan terbatas spaniel air Amerika membatasi perkembangan, lalu menyebabkan baka ini agak kurang berubah sejak asal usulnya pada abad ke-19. Ia merupakan anjing bersaiz sederhana, dengan lapis bulu keriting berwarna hati, perang, atau coklat.[2] Purata ketinggian pada paras kelasa untuk baka ini ialah 15–18 inci (38–46 cm) dan beratnya ialah sekitar 25–45 paun (11–20 kg). Ia mempunyai ciri serupa dengan spaniel air Ireland, tetapi baka Ireland adalah lebih besar, iaitu setinggi 21–24 inci (53–61 cm) dan seberat 55–65 paun (25–29 kg).[11] Lapis bulu spaniel air Amerika dapat tergolong dalam dua corak berlainan, sama ada keriting halus atau dalam "corak marcel", iaiatu apabila bulunya menurun dalam alunan. Susur galur pekerja dan susur galur pertunjukan belum mencapah seperti sesetengah baka spaniel lain dan kedua-duanya kelihatan sama,[11] dengan anjing pertunjukan baka ini sebagai yang jarang.[12]

Lapis bulunya mempunyai lapis bulu luar kasar yang menghalang air dan melindungi anjing daripada dedaun seperti rimbun duri. Lapis bulu dalam menyediakan penebatan untuk mengekalkan kehangatan anjing. Lapis bulunya mempunyai rasa berminyak, yang mengeluarkan "bau anjing".[13] Piawaian baka menyatakan bahawa warna mata patut selaras dengan warna lapis bulu dan tidak patut langsung berwarna kuning. Tengkoraknya lebar dan membawa telinga panjang dan lebar.[2] Ekornya biasanya tidak terpotong.[9]

Perangai sunting

 
Seekor spaniel air Amerika dengan seekor itik

Di padang, spaniel air Amerika kurang bersemangat berbanding dengan springerspaniel Inggeris, tetapi ia mahir dalam pengutipan seperti anjing pengutip Labrador atau anjing pengutip keemasan. Ia serba guna tanpa mengira jenis rupa bumi dan, di dalam air, ia bukan perenang terpantas tetapi mempunyai paras daya ketahanan tinggi.[8] Baka ini juga bagus dalam ketangkasan dan flyball, dengan anjing pertama baka ini yang menerima gelaran kejuaraan flyball pada tahun 1993.[13]

Anggota baka ini suka menjadi pusat perhatian dan kadang-kadang dapat menjadi agak lantang. Ia merupakan anjing sebuah keluarga dan kerap menjalin ikatan dengan seorang individu tertentu. Selama bertahun-tahun, baka ini "dibiakbakakan dalam kawanan", iaitu apabila ia diizinkan untuk hidup dalam kumpulan. Sejak masa ini, para pembiak baka telah berusaha untuk membiakbakakan anjing berperangai sekata yang sesuai untuk perburuan dan kehidupan keluarga.[14]

Spaniel air Amerika mempunyai fikiran sendiri pada masa-masa tertentu dan mencapai prestasi puncak dengan pemilik yang berdedikasi dalam pengajaran anjing tentang yang diharapkan daripadanya. Baka ini menerima latihan dengan baiknya dan terutamanya cemerlang dalam latihan yang menawarkan kepelbagaian dan bukannya latihan rutin.[15] Walau bagaimanapun, anggota baka ini dapat mempunyai masalah dengan kepemilikan makanan.[16] Ia dapat menjadi degil dan lambat secara mental untuk menjadi matang dari usia anak anjing. Sesetengah susur galur baka ini masih mengekalkan perangai dominan dan agresif; selain susur galur ini, spaniel air Amerika bergaul dengan baik dengan kanak-kanak dan seronok bermain dengan mereka. Walaupun pada asalnya ia dibiakbakakan untuk berburu, kerana saiznya, ia sesuai untuk kehidupan pangsapuri selagi ia mendapat senaman cukup.[17]

Kesihatan sunting

Pembiakbakaan kawanan pada awal perkembangannya membawa kepada suatu paras variasi genetik, maka keadaan keturunan bagi baka lebih popular adalah tidak lazim pada spaniel air Amerika. Walau bagaimanapun, baka ini diketahui menderitai isu mata termasuk katarak dan atrofi retina progresif.[2] Pewarisan disyaki dalam kedua-dua keadaan, dengan purata usia permulaan katarak di bawah usia satu tahun.[18]

Kebimbangan tambahan merupakan hipotiroidisme, alahan, epilepsi, kencing manis, dan gangguan kelenjar yang mungkin menyebabkan kebotakan.[19] Keguguran bulu berlaku pada usia sekitar enam bulan dengan menjejaskan leher, paha, dan ekor; namun, kekerapan telah dikurangkan melalui kerja yang dijalankan oleh kelab-kelab baka.[18] Displasia pinggul terlihat pada kira-kira 8.3% populasi baka menurut tinjauan yang dijalankan oleh Orthopedic Foundation for Animals dalam tempoh dua puluh lima tahun pada antara tahun 1974 dengan tahun 1999. Ini ialah salah satu keputusan lebih rendah bagi baka sukan dengan grehaun yang memiliki angka paling rendah pada 3.4% dan spaniel Boykin yang berkaitan di tempat kedua tertinggi pada 47%. Tiada bukti displasia siku yang ditemukan.[20] Baka ini mempunyai purata jangka hayat sebanyak 10–13 tahun.[16][21]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: سڤانيئل اءير اميريکا; bahasa Inggeris: American water spaniel

Rujukan sunting

Spesifik sunting

  1. ^ "Smith: Wisconsin's official dog breed is smart, hard-working, versatile. Can you name it?". Milwaukee Journal Sentinel (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 10 Mac 2024.
  2. ^ a b c d e f Spiotta-DiMare (1999): hlm. 30
  3. ^ a b c d Smith (2002): hlm. 21
  4. ^ a b c d Spiotta-DiMare (1999): hlm. 31
  5. ^ a b c Willging, Robert C. (2011). History Afield: Stories from the Golden Age of Wisconsin Sporting Life (dalam bahasa Inggeris). Madison, Wisconsin, Amerika Syarikat: Wisconsin Historical Society Press. m/s. 94–95. ISBN 978-0-87020-429-6.
  6. ^ "American Water Spaniel Did You Know?" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 10 Mac 2024.
  7. ^ "State Symbols of Wisconsin" (dalam bahasa Inggeris). Wisconsin.gov. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Januari 2010. Dicapai pada 10 Mac 2024.
  8. ^ a b c Spiotta-DiMare (1999): hlm. 32
  9. ^ a b Roebuck, Kenneth C. (1982). Gun-Dog Training Spaniels and Retrievers (dalam bahasa Inggeris). Harrisburg, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Stackpole. m/s. 38. ISBN 978-0-8117-0778-7.
  10. ^ "AKC Dog Registration Statistics" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Februari 2015. Dicapai pada 10 Mac 2024.
  11. ^ a b c Spiotta-DiMare (1999): hlm. 33
  12. ^ Smith (2002): hlm. 107
  13. ^ a b Spiotta-DiMare (1999): hlm. 37
  14. ^ Spiotta-DiMare (1999): hlm. 34
  15. ^ "A Little Information About the AWS" (dalam bahasa Inggeris). American Water Spaniel Field Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Julai 2011. Dicapai pada 10 Mac 2024.
  16. ^ a b Smith (2002): hlm. 106
  17. ^ Spiotta-DiMare (1999): hlm. 35
  18. ^ a b Gough, Alex (2004). Breed Predispositions to Disease in Dogs and Cats (dalam bahasa Inggeris). Oxford, United Kingdom; Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Blackwell Pub. m/s. 1980–1981. ISBN 978-1-4051-0748-8.
  19. ^ Spiotta-DiMare (1999): hlm. 38
  20. ^ Smith (2002): hlm. 52
  21. ^ Palika, Liz (2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 131. ISBN 978-0-470-00921-5.

Umum sunting

Pautan luar sunting