Spaniel padang

baka anjing dari England

Spaniel padang[a] ialah satu baka anjing bersaiz sederhana daripada jenis spaniel. Ia pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing pertunjukan sepenuhnya hitam pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 dan tidak popular untuk kerja sebagai anjing pemburu. Walau bagaimanapun, semasa pertengahan abad ke-20, ia dikembangkan semula sebagai anjing bertungkai lebih panjang yang lebih sesuai untuk digunakan untuk kerja padang. Ia kini dianggap sebagai baka jarang dan berdaftar sebagai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club.

Spaniel padang
Negara asalEngland
Trait
Berat 16–27 kilogram (35–60 lb)
Tinggi 40–48 sentimeter (16–19 in)
Anjing (Canis lupus familiaris)

Bulunya lebih gelap daripada spaniel lain dan tidak mempunyai lapis bulu bawah seperti kebanyakan spaniel jenis padang lain. Lapis bulunya terdapat kebanyakannya dalam warna padu kadang-kadang dengan tanda-tanda pada dada. Ia dapat menjadi anjing keluarga bagus dan sabar dengan kanak-kanak, tetapi mungkin memerlukan sejenis tujuan, mungkin kerja perburuan atau ketangkasan untuk mengelakkannya daripada bosan dan bersikap pemusnah.

Sejarah sunting

 
Ch. Clareholm Dora, Best Champion dalam Crufts pada 1909

Spaniel padang pada asalnya dikembangkan untuk gelanggang pertunjukan[1] oleh petanding yang mencuba untuk mengembangkan spaniel hitam menyeluruh.[2] Sesetengah kaedah pembiakbakaan pengembang awal tersebut dikritik; salah seorang pembiak baka pertama bagi spaniel padang, Thomas Jacobs, berkata tentang asal usulnya; "Banyak yang telah ditulis dan diperkatakan tentang ketulenan baka ini; menolak cara yang telah saya gunakan untuk menghasilkannya seperti yang diperkirakan untuk mengubah jenis anggapan, dan misil kerap telah dihalakan ke arah saya dan anjing-anjing saya dari belakang pagar. Tetapi di manakah spaniel hitam baka tulen yang banyak kita dengarkan? Bukti kewujudan yang daripada baka tulen (jika pernah ada!) belum muncul. Seperti kebanyakan anjing sukan, ia merupakan hasil silangan berlainan."[3]

Ia tidak popular sesama ahli sukan kerana warna gelap baka ini tidak kelihatan dalam keadaan perburuan dan rupa bentuk memanjang dan pendek baka awal ini tidak begitu praktikal untuk bergerak semudahnya melalui semak.[2] Keragaman rendah bagi spaniel padang dikembangkan oleh Phineas Bullock daripada anjing yang sebelumnya dimiliki oleh Sir Francis Burdett,[3][4] setiausaha Pertunjukan Anjing Birmingham. Burdett dikatakan memiliki suatu keragaman kokerspaniel hitam. Bullock menyilangkan spaniel padang dengan spaniel Sussex dan spaniel air Inggeris. Pada tahun 1870-an, Burdett sangat berjaya dalam gelanggang pertunjukan dengan keragaman spaniel padang beliau; walau bagaimanapun, ini menghasilkan anjing yang hampir sama dengan spaniel Sussex dengan pengecualian kepala sendiri.[5]

Anjing yang dianggap sebagai leluhur bersama bagi kokerspaniel Inggeris moden ialah Ch. Obo, yang lahir pada tahun 1879 kepada seekor bapa spaniel Sussex dan seekor ibu spaniel padang. Anak jantan kepada Obo, Ch. Obo II, dianggap sebagai bapa kepada kokerspaniel Amerika moden yang diperihalkan hanya setinggi 10 inci (25 cm) dengan tubuh agak panjang.[6]

Menjelang tahun 1909, purata berat spaniel padang ialah 35–45 paun (16–20 kg).[7] Pengacukan lanjut baka ini berlaku dengan unsur-unsur anjing pemburu baset yang diperkenalkan. Pelbagai isu kesihatan genetik timbul dan tindakan diambil untuk membetulkan masalah dalam baka ini. Springerspaniel Inggeris digunakan untuk memperkenalkan unsur-unsur lebih sihat ke dalam baka ini dan menghasilkan spaniel bertungkai lebih panjang yang dikenali kini. Kebanyakan anjing baka moden dapat dijejak kembali kepada empat ekor anjing dari tahun 1950-an; Colombina of Teffont, Elmbury Morwena of Rhiwlas, Gormac Teal, dan Ronayne Regal.[8]

Spaniel padang kekal sebagai baka jarang, walaupun di United Kingdom. Pada tahun 2009, sejumlah 51 ekor anjing didaftarkan dengan The Kennel Club dan, sejak itu, ia telah menurun dengan mantap sejak tahun 2000. Daripada semua baka spaniel yang berdaftar dengan The Kennel Club, spaniel padang mempunyai angka paling rendah yang didaftarkan dari tahun ke tahun, dengan hanya spaniel Sussex yang menduduki tempat kedua dengan 60 pendaftaran pada tahun 2009. Ini mungkin dibandingkan dengan springerspaniel Inggeris dengan 12,700 pendaftaran dan kokerspaniel Inggeris dengan 22,211 pendaftaran pada tahun 2009 sahaja.[9] Untuk mempromosikan baka ini, ia telah didaftarkan sebagai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club.[10]

Perihal sunting

Penampilan sunting

 
Spaniel padang berwarna hati

Saiz piawai untuk spaniel padang ialah ketinggian 16–19 inci (41–48 cm) pada paras kelasa[2] dan berat 35–60 paun (16–27 kg).[11] Ini menempatkannya kira-kira antara kokerspaniel Inggeris dengan springerspaniel Inggeris dari segi saiz.[12] Lapis bulunya terdapat dengan warna padu hitam dan hati, atau dengan warna kemerah-merahan. Titik-titik sawo matang, tanda-tanda putih pada tekak, dan dada dapat berbintik atau sewarna dengan selebih tubuh.[13][2]

Ia mempunyai lapis bulu tunggal sederhana panjang tanpa lapis bulu bawah. Jumbai bulu muncul pada dada, perut, telinga, dan pada belakang tungkai. Lapis bulunya tidak seberat yang pada kokerspaniel tetapi memerlukan penjagaan untuk mengelakkan kusutan daripada muncul pada bulu.[4] Pemotongan ekor telah dilarang di beberapa buah negara, termasuk United Kingdom. Walau bagaimanapun, pengecualian dibuat untuk haiwan pekerja.[14]

Perangai sunting

 
Seekor spaniel padang berwarna hitam padu

Spaniel padang ialah baka aktif dan ingin tahu dan merupakan pendamping baik. Walau bagaimanapun, jika dibiarkan bersendirian dan tidak sibuk untuk jangka masa lama, ia mungkin menjadi bosan dan bersikap pemusnah.[15] Ia sesuai untuk senaman ketangkasan anjing dan perburuan. Ia sabar dengan kanak-kanak dan suka berada dekat dengan keluarganya.[16] Apabila tersosialisasi, ia baik dengan anjing lain.[4] Ia pada umumnya jinak dan berdikari dan tidak mudah teruja seperti kokerspaniel.[12] The Intelligence of Dogs karya Stanley Coren menyenaraikan baka ini sebagai baka di atas purata dalam kecerdasan kerja.[12]

Kesihatan sunting

Terdapat beberapa keadaan mata yang untuknya spaniel padang mempunyai predisposisi. Ini termasuk katarak, atrofi retina, dan displasia retina.[17] Displasia pinggul telah muncul pada susur galur British bagi spaniel padang.[12] The Kennel Club dan British Veterinary Association sangat mengesyorkan agar pengujian mata dan penskoran pinggul dijalankan oleh pembiak baka spaniel padang.[18][19] Dalam tinjauan kesihatan yang dijalankan oleh The Kennel Club (United Kingdom), punca utama kematian pada spaniel padang ialah kanser dengan punca kedua paling kerap yang merupakan usia lanjut. Jangka hayat median untuk baka ini didapati pada 11 tahun dan 8 bulan, lima bulan lebih tinggi daripada umur median untuk semua baka anjing. Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh para pengarang, kadar maklum balas hanya 24% mungkin menyebabkan ketepatan berkurangan.[20]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: سڤانيئل ڤادڠ; bahasa Inggeris: field spaniel

Rujukan sunting

  1. ^ Arkwright, W. (1903). Drury, W. D. (penyunting). British dogs, their points, selection and show preparation (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-3). Upcott Gill. m/s. 315.
  2. ^ a b c d Smith, Steve (2002). The Encyclopedia of North American Sporting Dogs: Written by Sportsmen for Sportsmen (dalam bahasa Inggeris). Willow Creek Press. m/s. 136–137. ISBN 978-1-57223-501-4.
  3. ^ a b Mercer, F H F (1890). The Spaniel and Its Training (dalam bahasa Inggeris). Forest And Stream Pub. Co. m/s. 25–26. ISBN 9781444647990.
  4. ^ a b c Palika, Liz (2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties (dalam bahasa Inggeris). John Wiley & Sons. m/s. 236–237. ISBN 978-0-470-00921-5.
  5. ^ Walsh, John Henry (1878). The Dogs of the British Islands (dalam bahasa Inggeris). The Field Office. m/s. 93–94. ISBN 9781444653601.
  6. ^ Palika, Liz (2009). Cocker Spaniel: Your Happy Healthy Pet (dalam bahasa Inggeris). John Wiley & Sons. m/s. 20–21. ISBN 978-0-470-39060-3.
  7. ^ Smith, A. Croxton (1909). Everyman's Book of the Dog (dalam bahasa Inggeris). Hodder and Staunton. m/s. 101.
  8. ^ "Breed History". Field Spaniel Society of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Mac 2024.
  9. ^ "COMPARATIVE TABLES OF REGISTRATIONS FOR THE YEARS 2004 - 2013 INCLUSIVE" (PDF). The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 7 November 2014. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  10. ^ "An Introduction to the Vulnerable Native Breeds". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Januari 2013. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  11. ^ "Spaniel (Field) Breed Standard". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Julai 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  12. ^ a b c d Burke, Don (2005). The Complete Burke's backyard: the Ultimate Book of Fact Sheets (dalam bahasa Inggeris). Murdoch Books. m/s. 791–792. ISBN 1-74045-739-0.
  13. ^ "Breed Information Centre - Spaniel (Field) - Description". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Mac 2024.
  14. ^ "Tail docking". www.thekennelclub.org.uk (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Julai 2017. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  15. ^ "Introduction to the Field Spaniel". www.fieldspanielsociety.co.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Mac 2024.
  16. ^ "Pros and Cons of the Sweet and Sensitive Field Spaniel Temperament". www.dogtemperament.com (dalam bahasa Inggeris). 14 November 2018. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  17. ^ Gough, Alex (2010). Breed Predispositions to Disease in Dogs and Cats (dalam bahasa Inggeris). Wiley-Blackwell. m/s. 85. ISBN 978-1-4051-8078-8.
  18. ^ "Health Information - Spaniel (Field)". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Disember 2017. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  19. ^ "Field Spaniel Health Charity - Health Schemes". www.fieldspanielhealth.co.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Mac 2024.
  20. ^ "Report from the Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association Scientific Committee; Summary Results of the Purebred Dog Health Survey for Field Spaniels" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 9 Jun 2012. Dicapai pada 9 Mac 2024.

Bacaan lanjut sunting

  • Grayson, Peggy (1984) The History and management of the Field Spaniel (Inggeris), Scan Books, ISBN 0-906360-10-2

Pautan luar sunting