Buka menu utama

Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah

(Dilencongkan dari Sultan Abdul Hamid Halim Shah)

Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah; KCMG, ialah Sultan Kedah ke-25. Baginda memerintah selama 61 tahun dari 22 September 1881 hingga 13 Mei 1943, iaitu daripada pemindahan ketuanan Siam kepada pihak British sehingga peralihan beransur-ansur daripada sistem pemerintahan beraja kepada sistem raja berperlembagaan.

Sultan Abdul Hamid Halim Shah
Kedah Darul Aman
Pemerintahan 22 September 1881 - 13 Mei 1943
Pendahulu Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II
Pengganti Sultan Badlishah
Raja Muda Tunku Badlishah
Pasangan 1- Tunku Kutam
2- Cik Samanarit
3- Cik Sepa Chandra [Sepacendera] (meninggal 10 February 1907)
4- Cik Larasa, Che’ Puan Paduka Bonda (meninggal 12 Mei 1946)
5- Tuan Sharifa Mariam binti Sayyid Muhammad Al-Idrus.
6- Nai Sofiah binti Abdullah (meninggal 22 Ogos 1948)
7- Mak Cik Manjalara binti Long Nara Cik Menyelara, Mak Che’ (1874-23 April 1941)
8- Sharifa Seha binti Sayyid Husain Jamalullail (meninggal 10 Julai 1940)
9- Sharifa Fatima binti Sayyid Idrus Shahabudin (meninggal 8 September 1949)
Anakanda
Tunku Abdullah
Tunku Ibrahim
Tunku Zainal Rashid
Tunku Ahmad Tajuddin
Tunku Mansur
Tunku Muhammad
Tunku Yusuf
Sultan Badlishah
Tunku Kasim
Tunku Abdullah Thani
Tunku Muhammad Jiwa
Tunku Yakub
Tunku Muhammad Akil
Tunku Abdul Jalil
Tunku Abdul Rahman Putra
Tunku Yahya
Tunku Abdul Majid
Tunku Zainal Abidin Thani
Tunku Muhammad Shu’ib
Tunku Muhammad Said
Tunku Putri
Tunku Ruqaiya
Tunku Zamzam
Tunku Zohra [Sahara]
Tunku Fatima
Tunku Kalsum
Tunku Nur
Tunku Hindun [Don]
Tunku Daria
Tunku Sofiah
Tunku Jahara
Tunku Hajar
Tunku Baharum
Tunku Amina
Tunku Bilqis
Tunku Zakiya
Tunku Toh Puan Habshah
Nama penuh
Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah
Tempat persemayaman Istana Anak Bukit, Alor Setar
Ayahanda Sultan Ahmad Tajuddin III Mukarram Shah
Bonda Wan Hajar binti Wan Ismail
Keputeraan (1864-06-04)4 Jun 1864
Kemangkatan 13 Mei 1943(1943-05-13) (umur 78)
Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, Tanah Melayu
Dimakamkan Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah
Agama Islam

Pemerintahan (1882 - 1910)Sunting

Kedah merupakan satu negeri lindungan Siam dan pihak British mempunyai tapak di Pulau Pinang dan beberapa bahagian di tanah besar yang bersebelahan pada tahun-tahun akhir abad ke-19. Oleh itu, ketika Sultan Hamid naik takhta pada tahun 1882 pada umur 19 apabila abangnya Zainul Rashid mangkat, baginda berada dalam keadaan yang tidak menyenangkan disebabkan dikehendaki menghadapi dua kuasa asing, setiapnya dengan niat masing-masing. Pertabalan baginda disahkan oleh Raja Chulalongkorn, sebagai Yang Di-Pertuan pada 21 Januari 1882. Sultan Hamid mempunyai hubungan yang mesra dengan Raja itu, tetapi kenyataan politik antarabangsanya penuh dengan kepayahan, dan ini diketahui Sultan Hamid tidak lama kemudian.

Pada tahun 1895, Raja Chulalongkorn menganugerahkan Sultan dengan Darjah Kebesaran Gajah Putih Kelas Pertama dengan gelaran Chao Phya Saiburi dan kemudiannya gelaran tambahan Phya Riddisongkram Ramabhakti. Raja Chulalongkorn juga menghantar dua orang anak lelaki Sultan Hamid ke Eropah untuk melanjutkan pendidikan mereka. Tunku Yusuf kemudian berkhidmat kepada Raja Chulalongkorn ketika kepulangannya, dan Tunku Badlishah tinggal di Siam untuk satu tempoh yang singkat selepas memperoleh ijazah ekonominya daripada Universiti Oxford.

Hubungan yang baik dipeliharakan antara kedua-dua negera, dengan Kedah menghadiahkan ufti dalam bentuk "Bunga Emas dan Perak" setiap tiga tahun kepada Istana Siam di Bangkok sebagai tanda pertuanan Siam. Sehingga kemangkatannya pada tahun 1910, Raja Chulalongkorn menunjukkan kasih sayang terhadap Sultan Hamid dan sangat menghormati baginda.

Sultan Hamid membuat empat lawatan ke Siam pada tahun 1890, 1892, 1895 dan 1903. Sebaliknya, Raja Chulalongkorn melawat Kedah pada tahun 1874, 1890, 1896 dan 1904. Bagaimanapun, menurut himpunan surat Sultan Hamid, Raja Chulalongkorn hanya membuat satu lawatan ke Kedah pada tahun 1890.

Dari masa naik takhta Sultan Hamid pada tahun 1882 sehingga 1905, Siam tidak campur tangan dalam pentadbiran dalam negeri baginda. Bagaimanapun, negeri Kedah mengalami krisis kewangan (antaranya akibat perkahwinan putera baginda Raja Muda Tunku Ibrahim selama 3 hari dan pinjaman ceti) pada tahun 1905, dan terpaksa meminjam wang sebanyak $2,500,000 daripada Siam. Pinjaman diberikan dengan syarat bahawa seorang Penasihat Kewangan dari istana Siam diterima oleh Kedah, dan sebuah Majlis Negeri ditubuhkan untuk membantu Sultan dalam pentadbiran semua hal ehwal awam. Pinjaman itu sebenarnya daripada Negeri-Negeri Selat, dan penasihat kewangan tersebut ialah seorang British bernama WJF Williamson.

Ini menyebabkan pengisytiharan sebuah perlembagaan yang baru pada 29 Julai 1905. Pada tahun-tahun yang berikut, pentadbiran negeri dikendalikan oleh Majlis Negeri yang diketuai oleh Pemangku Raja Tunku Abdul Aziz (1905-1907), adik Sultan, dan kemudiannya oleh lagi seorang adik, Tunku Mahmud (1907-1914), diikuti oleh anak-anak baginda, Tunku Ibrahim (1914-1934) dan Tunku Badlishah (1937-1943). Penubuhan Majlis Negeri bermakna bahawa kuasa Sultan disekat.

Pada tahun 1909, sebagai satu langkah strategi untuk melindungi kemerdekaan Siam daripada kuasa-kuasa asing yang terbesar (British dan Perancis), Raja Chulalongkorn memeterai satu perjanjian yang memindahkan hak ketuanan Siam terhadap negeri-negeri Melayu di utara, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Britain. Ini dilaksanakan tanpa sebarang persetujuan daripada sultan-sultan Melayu. Perbuatan ini melukai hati Sultan Hamid, dan baginda didengar bertitah: "Beta boleh mengampunkan pembeli tetapi beta tidak boleh mengampunkan penjual".

Namun pada tahun 1910, baginda masih lagi menghantar bunga emas kepada Siam seperti biasa. Pada tahun itu juga baginda menghantar dua pokok bunga emas kepada Raja Edward VII di London sebagai tanda persahabatan.

Kehidupan peribadiSunting

Hidup peribadi Sultan Hamid diceritakan dalam buku Datuk James F. Augustine, "Kenangan Masa Lampau Kedah".

Walaupun Sultan Hamid menjadi seorang penyendiri pada tahun-tahun akhirnya, baginda masih sedar akan apa-apa yang berlaku. Baginda seorang Islam yang warak, dan selalu dilihat berjalan-jalan atau duduk di dalam lanca yang ditarik oleh pengiringnya bedekatan Istana Kampung Bahru pada setiap pagi. Baginda kadang-kadang berjalan di hadapan lancanya semasa berdoa dengan membilang buah tasbih.

Makanan Sultan Hamid disediakan oleh seorang tukang masa Cina dan baginda tidak makan banyak. Baginda cemerlang dalam permainan biliard dan bermain hampir setiap hari di dalam bilik biliard peribadinya. Kecuali ketika baginda pergi ke masjid untuk sembahyang fardhu Jumaat atau untuk berjalan-jalan dengan kereta Victoria yang kemudian diganti oleh Rolls Royce berwarna kuning, baginda jarang muncul di khalayak ramai.

Sebagai kebiasaan, ahli-ahli kerabat diraja dan pegawai-pegawai kerajaan kanan akan mengunjungi Sultan Hamid pada Hari Raya di Istana Kampung Bahru. Pelawat-pelawat akan disambut di bilik tamu di tingkat atas. Ketika menunggu kemunculan Sultan, cerut akan dibahagi-bahagikan dan sapu tangan dipercikkan dengan minyak wangi. Sultan Hamid tidak banyak bertitah pada masa-masa seperti itu dan tidak lama kemudian, baginda akan berangkat.

Pada petang hari keputeraan Sultan Hamid, sebuah majlis akan diadakan di kawasan Istana. Baginda akan menghadiri majlis ini dan berjalan-jalan dengan diiringi oleh sekaki payung kuning. Tanda kebesaran kerajaan ini menimbulkan satu peristiwa ketika Kelab Gymkhana Kedah mengadakan mesyuarat pertamanya di Alor Star. Sultan Iskandar dari Perak sedang berjalan-jalan di halaman dengan payung dirajanya ketika Sultan Abdul Hamid muncul tanpa disangka. Sultan Hamid telah turun dari petak diraja untuk berjalan-jalan diiringi oleh payungnya. Sultan Iskandar dengan segara memerintah pembawa payungnya untuk menutup payung. Ini merupakan contoh yang ketara tentang sopan-santun dan protokol.

KeluargaSunting

Sultan Abdul Hamid berkahwin sebanyak 8 kali, mempunyai 45 anak dan 92 cucu. Antara isterinya ialah Cik Menyelara, Che Sofiah, Sharifah Fatimah binti Syed Idrus, Sharifah Seha binti Syed Hussein, Che Spachendra, Sharifah Mariam dan Che Laraseh. Putera Sultan yang ketujuh dan anak baginda ke-20 dengan Cik Menyelara ialah Tunku Abdul Rahman, yang lahir ketika baginda berumur 39 tahun. Penggantinya, Sultan Badlishah pula merupakan anaknya dengan Che Sofiah.

KemangkatanSunting

Sultan Abdul Hamid telah mangkat pada 13 Mei 1943 ketika berusia 78 tahun di Istana Anak Bukit, Alor Setar. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Langgar dan diganti oleh anakanda baginda, Sultan Badlishah.

AnugerahSunting

Baginda telah dikurniakan beberapa bintang-bintang kebesaran dari luar negara, terutamanya dari Siam dan United Kingdom.

  Thailand :

  • Knight Grand Cordon of Order of the Crown of Siam (1890)
  • Knight Grand Cordon of Order of the White Elephant (24 Ogos 1895)
  • Knight Grand Cordon of Order of Chula Chom Klao (special class) (Disember 1908)

  United Kingdom :

  • Knight Commander of the Most Distinguished Order of St Michael and St George (19 Jun 1911)
  • King George V Coronation Medal (1911)
  • King George V Silver Jubilee Medal (1935)
  • King George VI Coronation Medal (1937)

Pautan luarSunting

Lihat jugaSunting


Penyandang Terdahulu Sultan Kedah
1881 – 1943
Penyandang Kemudian
Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II Sultan Badlishah