Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III (1780 – 9 Ogos 1832) ialah Sultan Johor ke-16 dan Sultan Pahang ke-23. Baginda merupakan Sultan terakhir bagi Kesultanan Johor Lama kerana Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali tidak mengiktiraf Sultan Hussein Muhammad Shah dan Sultan Ali Iskandar Shah sebagai Sultan Johor yang sah kerana pertabalan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor yang dilakukan tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama adalah tidak sah menurut adat Melayu.
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah | |
---|---|
Sultan Johor-Pahang | |
Pemerintahan | 14 Januari 1812 – 29 Oktober 1830 |
Didahului oleh | Sultan Mahmud Riayat Shah III (sebagai Sultan Johor-Pahang) |
Diikuti oleh | Sultan Hussein Muhammad Shah (sebagai Sultan Johor) |
Sultan Riau-Lingga | |
Pemerintahan | 29 Oktober 1830 – 9 Ogos 1832 |
Didahului oleh | Tiada (Kesultanan Riau-Lingga ditubuhkan pada tahun 1830) |
Diikuti oleh | Sultan Muhammad II Muazzam Shah |
Keputeraan | Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Mahmud Riayat Shah III 1780 Tanjung Pinang, Kepulauan Riau |
Kemangkatan | 9 Ogos 1832 Kepulauan Lingga |
Pemakaman | 9 Ogos 1832 Bukit Cengkeh, Daik, Kepulauan Lingga |
Pasangan | 1. Raja Antia Tik Fatima binti Raja Sulaiman 2. Inche Ayu Buruk 3. Tengku Suanhit binti Sultan Zainal Abidin II |
Anakanda | 1. Sultan Muhammad II Muazzam Shah 2. Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah 3. Tengku Wuk Daud 4. Tengku Mahmud 5. Tengku Kechil 6. Tengku Tengah Aisha 7. Tengku Andak 8. Tengku Hitam 9. Tengku Mandak 10. Tengku Maimuna 11. Tengku Prabhu (Perbu) |
Wangsa | Wangsa Bendahara |
Ayahanda | Sultan Mahmud Riayat Shah III |
Bonda | Inche Mariam binti Dato' Hasan |
Agama | Sunni Islam |
Baginda juga merupakan Sultan Riau-Lingga pertama kerana negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaannya selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian 29 Oktober 1830 ditandatangani yang menyebabkan Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830.
Latar belakang
suntingTengku Abdul Rahman dilahirkan pada 1780 dan merupakan putera kedua kepada Sultan Mahmud Riayat Shah III dan Inche Mariam yang merupakan puteri kepada seorang pemimpin Bugis yang bernama Dato' Hasan. Baginda juga merupakan adinda kepada Tengku Hussein yang kemudian menjadi Sultan Johor bergelar Sultan Hussein Muhammad Shah.
Sultan Johor (1812-1830)
suntingPerebutan takhta Sultan Johor antara pihak Tengku Abdul Rahman dan pihak Tengku Hussein (Tengku Long) selepas kemangkatan ayahanda mereka, Sultan Mahmud Riayat Shah III telah berlaku apabila Tengku Abdul Rahman dilantik sebagai Sultan Johor ketika Tengku Hussein sedang berada di Pahang pada ketika itu.
Pelantikan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor dibuat oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar tetapi mendapat bantahan daripada Bendahara Tun Ali dan Engku Puteri Raja Hamidah, balu kepada Sultan Mahmud Riayat Shah III dan bonda tiri kepada Tengku Abdul Rahman dan Tengku Hussein, kerana Tengku Abdul Rahman bukan putera sulung Sultan Mahmud Riayat Shah III. Raja Hamidah tidak mahu menyerahkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor kerana beliau tidak merestui tindakan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, yang juga merupakan saudara lelakinya, yang telah melanggar adat dan tradisi Kesultanan Johor. Bendahara Tun Ali dan Raja Hamidah berpihak pada Tengku Hussein dalam tuntutannya ke atas takhta Sultan Johor. Namun, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar berjaya menabalkan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dengan bantuan daripada Belanda selepas Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dan Belanda menandatangani Perjanjian Persahabatan Johor-Belanda 1818 di mana Belanda mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor dan sebagai balasan, Belanda diberi keistimewaan dalam urusan perdagangan laut dalam Kesultanan Johor. Perjanjian ini telah mendorong campur tangan Belanda dalam urusan pemerintahan Kesultanan Johor yang berpusat di Lingga.
Pada masa yang sama, selepas Syarikat Hindia Timur Inggeris melalui pegawai mereka yang bernama Sir Thomas Stamford Raffles mengetahui krisis perebutan takhta Sultan Johor daripada Temenggung Tun Abdul Rahman, Raffles mengambil kesempatan dengan menjemput Tengku Hussein ke Singapura untuk melantik baginda sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Hussein Muhammad Shah melalui Perjanjian 6 Februari 1819. Pelantikan ini telah menyebabkan Kesultanan Johor mempunyai dua orang Sultan yang bersemayam di Lingga dan Singapura. Walaupun Sultan Hussein Muhammad Shah berjaya menjadi Sultan Johor dengan bantuan daripada British, baginda berusaha untuk mendapatkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor daripada Engku Puteri Raja Hamidah. British cuba merasuah Raja Hamidah dengan wang sebanyak 50,000 ringgit Sepanyol tetapi Raja Hamidah menolak dan berasa terhina dengan tawaran British. Apabila British gagal untuk mendapatkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor, British bertindak biadap dengan mencuri perabung Istana Raja Hamidah dan membawanya ke Singapura untuk dijadikan sebagai simbol pertabalan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor.
Pada tahun 1822, Belanda telah memasuki Istana Raja Hamidah dan mengambil alat kebesaran diraja Kesultanan Johor daripada simpanan beliau. Dengan bantuan daripada Belanda, pada tahun 1823, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah berjaya ditabalkan semula sebagai Sultan Johor bersama alat kebesaran diraja Kesultanan Johor. Dengan kejayaan menobatkan pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Bendahara Tun Ali dan para pembesar Melayu yang lain bersepakat untuk mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor dan segala jajahan takluknya. Namun begitu, Bendahara Tun Ali tidak menghadiri istiadat pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang diadakan di Riau yang merupakan kawasan pemerintahan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar. Bendahara Tun Ali hanya meminta Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar untuk menjadi wakilnya dalam istiadat pertabalan tersebut. Tindakan Bendahara Tun Ali menunjukkan bahawa beliau tidak suka dengan tindakan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar yang meminggirkan peranan dan kuasa tradisi beliau sebagai Bendahara.
Sultan Riau-Lingga (1830-1832)
suntingPerjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah membahagikan kawasan untuk diletakkan di bawah pengaruh British dan Belanda dan kawasan tersebut berada di Alam Melayu yang melibatkan Kesultanan Johor. Namun, Sultan dan para pembesar Kesultanan Johor tidak terlibat atau dilibatkan dalam urusan perjanjian tersebut. Pada tahun 1825, Belanda memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar mengenai perjanjian tersebut. Ini menyebabkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar berada dalam dilema kerana beliau terhutang budi kepada Belanda yang banyak membantunya untuk mendapatkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor secara paksa daripada saudara perempuannya Engku Puteri Raja Hamidah bagi menobatkan pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor tetapi pada masa yang sama, sebagai pembesar utama Kesultanan Johor, beliau tidak boleh memberikan sokongan kepada usaha Belanda dan British untuk membahagikan wilayah dalam Kesultanan Johor. Namun, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar akhirnya membuat keputusan untuk menerima sahaja syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut lalu membawa kepada satu lagi perjanjian antara beliau dan Belanda yang ditandatangani pada 29 Oktober 1830.
Antara isi kandungan Perjanjian 29 Oktober 1830 ialah:
- Johor dan Pahang tidak lagi berada di bawah naungan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang kini menjadi Sultan Riau-Lingga.
- Kesultanan Riau-Lingga diletakkan di bawah naungan Belanda.
- Kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau diperkukuhkan lagi dengan status sebagai pentadbir utama Riau.
- Hanya waris Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar sahaja yang menjawat jawatan Yang Dipertuan Muda Riau.
Dengan termeterainya Perjanjian 29 Oktober 1830, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah secara tidak langsung menjadi pengasas Kesultanan Riau-Lingga yang merupakan serpihan dan kesinambungan Kesultanan Johor Lama. Pada zaman pemerintahan baginda, Riau telah menjadi pusat perkembangan dan penyiaran agama Islam. Pada 1 Syawal 1249 Hijrah (tahun 1823 Masihi), baginda telah mendirikan Masjid Raya di Pulau Penyengat di Riau yang masih ada sehingga hari ini.
Mangkat
suntingSultan Abdul Rahman Muazzam Shah mangkat di Lingga dan dimakamkan di Bukit Cengkeh di Daik, Kepulauan Lingga pada 9 Ogos 1832.
Rujukan
sunting- Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 9789971693763.
Nota kaki
suntingLihat juga
suntingSultan Abdul Rahman Muazzam Shah Tarikh keputeraan: 1780 Tarikh kemangkatan: 9 Ogos 1832
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III sebagai Sultan Johor-Pahang |
Sultan Johor-Pahang 14 Januari 1812 – 29 Oktober 1830 Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar pada tahun 1812 dan kemudian diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali pada tahun 1823 selepas istiadat pertabalan dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |
Diikuti oleh: Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor Diangkat menjadi Sultan Johor oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1819 melalui Perjanjian 6 Februari 1819 tetapi tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Tun Ali kerana istiadat pertabalan tidak dibuat mengikut adat-istiadat Melayu |
Didahului oleh Tiada Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 akibat Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dengan Residen Belanda di Riau yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu lalu wujudnya Kesultanan Riau-Lingga |
Sultan Riau-Lingga 29 Oktober 1830 – 9 Ogos 1832 |
Diikuti oleh: Sultan Muhammad II Muazzam Shah |