Sungai Linggi merupakan salah satu dari dua batang sungai yang utama yang berada dalam Negeri Sembilan, selain Sungai Muar. Sungai ini membentuk sempadan semulajadi dengan negeri Melaka di bahagian hilirnya.

Sungai Linggi
سوڠاي ليڠڬي
Sungai Linggi di Rasah, Negeri Sembilan
Lokasi
NegaraMalaysia
Negeri-negeriNegeri Sembilan dan Melaka
Ciri-ciri fizikal
SumberBanjaran Titiwangsa
 • lokasiPantai, Daerah Seremban, Negeri Sembilan
MuaraSelat Melaka 
 • lokasi
Kampung Tanjung Agas, Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan
Kuala Linggi, Daerah Alor Gajah, Melaka
Panjang83.5 km
Ciri-ciri lembangan
JambatanJambatan Kuala Linggi, termasuk beberapa jambatan kecil ke hulu

Arah aliran sunting

 
Penghujung lembangan Sungai Linggi, dengan sungai tersebut boleh dilihat dengan jelas.
 
Sungai Linggi berdekatan pekan Rantau.

Lembangan Sungai Linggi meliputi Negeri Sembilan dan Melaka, merangkumi daerah-daerah Seremban, Rembau, Port Dickson dan Alor Gajah.

Sungai sepanjang 83.5 km ini bermula dari kaki Banjaran Titiwangsa di kawasan Kampung Jerlang, Pantai di Daerah Seremban dan mengalir melalui kawasan lembangan sekitar daerah ini dan Daerah Port Dickson, dan berakhir di Kuala Linggi, Daerah Alor Gajah, Melaka. Terdapat beberapa anak sungai utama yang menyumbang aliran air ke Sungai Linggi iaitu Sungai Jerlang, Sungai Paroi, Sungai Temiang Diversion, Sungai Temiang, Sungai Kepayang, Sungai Mantau, Sungai Kayu Ara, Sungai Belangkan, Sungai Simen dan Sungai Rembau.

Aliran sungai dari muara sehingga ke pertemuan dengan kuala Sungai Temiang Diversion dikenali dengan nama Sungai Linggi, manakala aliran bermula dari titik pertemuan dengan kuala Temiang Diversion hingga ke pedalaman punca sungai di Kampung Jerlang dikenali dengan nama Batang Penar.

Sungai Linggi menjadi sempadan semulajadi bagi Negeri Sembilan dan Melaka, bermula di kuala antara sungai ini dengan Sungai Rembau berhampiran Lubok China hingga ke Kuala Linggi di pesisir Selat Melaka.

Sejarah sunting

Menurut sumber lisan, dahulu-kala Sungai Linggi boleh dimudik sejauh ke Pantai. Kapal-kapal kecil boleh belayar jauh ke pedalaman lembah Sungai Linggi.

Sejak abad ke-16 Masihi, Sungai Linggi menjadi laluan perdagangan utama antara Melaka dan Sungai Ujong. Pada abad ke-18 Masihi, ia menjadi laluan perdagangan bijih timah. Kawasan-kawasan seperti Seremban, Rasah, Rahang, Mambau, Rantau dan Pengkalan Kempas menjadi kawasan rangkaian perdagangan bijih timah yang penting ketika itu.

Sungai Linggi juga menjadi kawasan dan sempadan pengaruh politik antara Datuk Syahbandar Sungai Ujong dan Datuk Kelana Sungai Ujong. Datuk Syahbandar Sungai Ujong mengawal dan berpengaruh bermula dari Linggi, Pengkalan Kempas, Rantau, Mambau, Rahang, Bukit Kepayang dan Labu. Manakala Datuk Kelana Sungai Ujong berpengaruh dari Lenggeng, Mantin, Ampangan, Paroi dan Sungai Gadut. Tambahan pula, sungai ini turut menjadi saksi konflik persempadanan antara Sungai Ujong dan Kesultanan Selangor.

Pelancongan sunting

Kerajaan negeri Melaka mengambil inisiatif membangunkan kawasan sekitar muara Sungai Linggi sebagai laluan penyelusuran sepanjang sungai dalam usaha memantapkan sektor ekopelancongan di negeri tersebut. Projek yang dikenali sebagai Eco Cruise Sungai Linggi ini dijangka akan memberikan kesan limpahan ekonomi yang positif terutamanya di kawasan utara Melaka (Masjid Tanah dan Lubuk China), termasuk juga di selatan Negeri Sembilan, oleh kerana sungai ini memisahkan kedua-dua negeri berkenaan. Selain itu, kerajaan negeri Melaka turut mewartakan sebahagian rizab hutan paya bakau di tebing selatan muara berhampiran Kuala Linggi sebagai Hutan Rekreasi Paya Laut, Kuala Linggi.

Sungai Linggi, terutama di muaranya, merupakan antara habitat-habitat terbesar bagi buaya air masin di Malaysia.

Galeri sunting

Rujukan sunting