Sungai Ramal Dalam

Sungai Ramal Dalam (atau lebih dikenali sebagai Kampung Sungai Ramal Dalam) adalah merupakan sebuah penempatan perdesaan tengah bandar yang terletak di mukim Kajang, daerah Hulu Langat, Selangor. Nama Sungai Ramal ini adalah diambil sempena nama sebatang sungai yang mengaliri kawasan tersebut dan merupakan pecahan dari Sungai Ramal Luar yang lokasinya lebih hampir dengan bandar kajang. Tidak dapat dipastikan siapa orang pertama yang membuka kawasan ini, tapi apa yang pasti hari ini Sungai Ramal Dalam adalah merupakan antara kawasan penempatan kampung yang agak 'masyhur' di Lembah Klang ini oleh kerana lokasinya yang strategik yang dikelilingi oleh kawasan pembangunan yang maju lagi pesat membangun. Antara kawasan kejiranannya ialah, Country Heights (sebuah kawasan penempatan elit) yang terletak di bahagian utara, Bandar Baru Bangi di sebelah selatan, bandar Kajang di Timur dan juga Putrajaya di sebelah barat. Dengan berposkodkan alamat 43000 Kajang, maka melihat situasi ini, tidak hairanlah mengapa Sungai Ramal Dalam sering kali menjadi tumpuan penduduk sehinggakan nilai hartanahnya saban tahun sering kali mengalami peningkatan yang amat tinggi sama seperti mana yang berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pembangunan sunting

Termasuk dalam rancangan pembangunan yang berwawasankan 'Greater Kuala Lumpur', beberapa tahun dari sekarang, tidak mungkin Sungai Ramal Dalam ini akan berubah wajah dari segi infrastruktur dan reka binaan rumahnya yang bercirikan moden serta mempunyai penduduk yang berorientasikan pendapatan yang tinggi. Dari segi demografik pula, Sungai Ramal Dalam dihuni oleh masyarakat Melayu keseluruhannya yang mana berakar umbikan masyarakat dari suku Kampar dan Jawa serta sebahagian daripadanya merupakan imigran dari Aceh dan Madura. [perlu rujukan]

Melihat keadaan ini, masyarakat setempat sering kali menganggap kawasan ini adalah 'Indonesia Malaysia'[perlu rujukan] oleh kerana kesemua penduduknya berketurunan suku Melayu yang berasal dari negara jiran itu. Beberapa ketika yang lalu, Sungai Ramal Dalam pernah dipimpin oleh seorang ketua kampung yang bernama Haji Salleh bin Taruddin yang telah pun meninggal dunia pada tahun 2010 pada usia 80 tahun. Allahyarham disifatkan sebagai seorang ketua yang mempunyai jati diri keMelayuan yang kuat sehinggakan berjaya menyatukan suku Kampar dan Jawa yang sering kali bertelagah suatu ketika dahulu, yang mana pada hari ini mereka dapat hidup bersatu padu dan makmur di sini tanpa sebarang permasalahan yang berlaku lagi. Ini kerana di Indonesia sendiri, sehingga hari ini suku Kampar dan Jawa itu adalah disifatkan masyarakat sebagai 'anjing dan kucing yang tidak boleh berjumpa' kerana sering kali menimbulkan ketegangan walaupun pada hakikatnya mereka adalah sama taraf kewarganegaraannya. Allahyarham Haji Salleh dilahirkan di Tanah Kampar, Riau, Sumatera yang hidup pada era pemerintahan Sultan Syarif Kasim II dari Kesultanan Siak Sri Indrapura sehinggalah penyerahan kedaulatan kepada kerajaan Republik Indonesia semasa negara tersebut memperoleh kemerdekaan dari Belanda. Beberapa tahun setelah itu, beliau berhijrah ke Tanah Melayu dengan menaiki sampan sehingga ke Kuala Linggi, Melaka oleh kerana faktor peribadi beliau sendiri. Sebaik sahaja Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau sendiri turut menyaksikan permasyhuran kemerdekaan oleh Almarhum Tuanku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada keesokannya itu. Maka tidak hairanlah mengapa beliau mempunyai jati diri keMelayuan yang tinggi oleh kerana beliau sebenarnya adalah seorang yang boleh dikatakan bangsawan yang berkerakyatan bukan Indonesia dan juga bukan Malaysia, akan tetapi yang lebih tepat adalah Nusantara.