Surah Al-Kahfi

Good Surah in Al Quran
(Dilencongkan dari Surah al-Kahfi)


Surah Al Kahfi (سورة الكهف) adalah surat ke-18 dalam al-Quran. Surah ini mempunyai 110 ayat dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah. Dinamakan Al-Kahfi (bahasa Arab:Gua) dan Ashhabul Kahfi yang membawa maksud Penghuni-Penghuni Gua. Selain itu, nama ini diambil daripada cerita yang terdapat dalam surah ini pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya. Selain daripada cerita tersebut, terdapat pula beberapa buah cerita dalam surah ini mengandungi pengajaran yang amat berguna bagi kehidupan manusia. Terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menyatakan keutamaan membaca surat ini.

Isi kandungan sunting

  1. Keimanan: Kekuasaan Allah SWT untuk memberi nikmat kehidupan pada manusia melebihi biasa: dasar-dasar tauhid serta keadilan Allah tidak berubah untuk selama-lamanya; kalimah-kalimah Allah sangatlah luas meliputi segala sesuatu sehingga manusia tidak sanggup untuk menulisnya. Kepastian mengenai datangnya hari kebangkitan; Al Quran adalah kitab suci yang isinya bersih daripada sebarang penyelewengan dan kepalsuan.
  2. Hukum-Hukum: Dasar hukum wakalah (berwakil); larangan membangunkan tempat ibadah di atas kubur; hukum membaca "Insya Allah", perbuatan salah yang dilakukan kerana lupa adalah dimaafkan; keizinan merosak suatu barang untuk menghindarkan bahaya yang lebih besar.
  3. Kisah-Kisah: Cerita Ashhabul Kahfi; cerita dua orang lelaki yang seorang kafir dan yang lainnya mukmin; cerita Nabi Musa AS dengan Khidhir AS; cerita Zulkarnain dengan Ya'juj dan Ma'juj.
  4. Dan lain-lain: Beberapa pelajaran yang dapat diambil dari cerita-cerita dalam surah ini antara ialah mengenai kekuatan iman terhadap Allah S.W.T serta ibadah yang ikhlas kepadaNya; kesungguhan seseorang dalam mencari guru (ilmu) adab sopan-santun antara murid dengan guru; dan beberapa contoh tentang cara memimpin dan memerintah rakyat, serta perjuangan untuk mencapai kebahagiaan rakyat dan negara.

Penghuni Gua sunting

Dalam ayat 9–26[1] dalam surah ini ada menceritakan perihal Ashabul Kahfi iaitu "Penghuni Gua". Ia memperihalkan tentang sekumpulan anak muda yang beriman yang berada pada zaman penindasan oleh pemerintah yang tidak beriman. Atas petunjuk dari Allah, mereka melarikan diri dari kota bersama-sama, dan berlindung di dalam sebuah gua tempat mereka ditidurkan. Allah menidurkan mereka selama beberapa tahun. Menurut ayat tersebut, ada orang dari kota itu menyatakan 300 tahun, ada pula mendakwa 309 tahun. Bilangan tahun yang sebenar hanya diketahui oleh Allah semata-mata. Allah menjadikan keajaiban ini untuk melindungi pemuda-pemuda beriman tersebut dan menunjukkan kekuasaan-Nya terhadap makhluk. Apabila mereka terjaga, mereka tersedar yag mereka berada dalam masyarakat yang telah beriman dengan Allah.

Kisah sang miskin dan sang kaya sunting

Dalam ayat 32–44, surah ini memperihalkan perumpamaan dua orang yang satunya dikurniakan Allah pelbagai nikmat kemewahan dan satu lagi dalam serba kekurangan. Si kaya itu membuat maksiat serta menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada pada dirinya serta gah pada keturunannya yang mulia.

Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
al-Quran, Surah Al-Kahfi Ayat 34[2]

Akhir kisah ini, Allah memusnahkanapa yang telah diberikan kepada orang itu.[3]

Nabi Musa dan Al-Khidir sunting

Kisah utama dalam surah ini (ayat 60–82[4]) ialah tentang Nabi Musa mengembara untuk mencari ilmu dari hamba Allah yang lain yang tidak disebutkan nama, tetapi menurut tafsir ibn Kathir, lelaki itu dipanggil Al-Khidir.[5]

Zulkarnain sunting

Akhirnya, surah menyatakan dalam ayat 83–98[6] tentang seorang lelaki yang mengembara jauh ke timur dan barat - yang diberi nama Zulkarnain.

Kisah penurunan sunting

Sejarawan, Muhammad bin Ishaq, dilaporkan dalam Sirah bahawa surah kelapan belas dalam al-Quran (yang mengandungi kisah Zulkarnain) diwahyukan kepada Nabi Muhammad oleh Allah untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh rabai yang tinggal di Madinah - manakala ayat ini diturunkan semasa baginda berada di Makkah. Menurut Ibn Ishaq, kaum Quraisy yang ketika itu sedang gelisah dengan ahlinya yang mengakui akan kenabian mula berunding dengan para rabai berkenaan hal tersebut. Kaum Quraisy menghantar dua orang untuk berjumpa dengan para rabai di Madinah, memandangkan yang mereka mempunyai ilmu yang lebih tinggi tentang kitab dan nabi. Kedua-dua orang tersebut menceritakan tentang Muhammad kepada rabai tersebut.

Para rabai memberitahu lelaki itu untuk bertanyakan kepada Nabi Muhammad tiga soalan:

Mereka [para rabai] berkata, "Tanya dia tentang tiga perkara yang akan kami beritahu kamu untuk ditanyakan, dan jika dia menjawabnya, maka dialah Nabi yang telah diutus; dan jika dia tidak menjawab, ketahuilah apa yang dikatakannya (selama ini) tidak benar, bermakna apa yang kamu nak buat dengannya terserahlah kepada kamu. Tanyakan dia tentang para pemuda yang hidup pada dahulu kala dan tanyakan dia tentang kisah mereka memandangkan kisah mereka aneh dan menakjubkan. Tanyakan dia tentang seorang lelaki yang mengembara jauh hingga ke timur dan barat dunia, apakah kisahnya. Dan tanyakan dia tentang Ruh – apakah itu? Jika dia memberitahu kamu tentang hal ini, maka dia ialah Nabi, oleh itu, ikutilah dia. Tetapi, jika dia tidak memberitahu kamu, maka dia adalah orang yang mereka-reka, terpulang kepada kamu apa yang kamu ingin lakukan padanya."[7]

Menurut Ibn Ishaq, apabila Nabi Muhammad ditanyakan tiga soalan daripada para rabai tersebut, baginda berkata yang baginda akan menjawabnya pada keesokan pagi tetapi tidak mengungkapkan "insya-Allah" (jika diizin Allah). Selama lima belas hari baginda menunggu wahyu tetapi tidak kunjung tiba dan selama itu juga baginda tidak menjawab soalan tersebut. Penduduk Makkah mula meragui kenabian baginda. Kemudian, selepas lima belas hari berlalu, baginda menerima wahyu berupa Surah al-Kahfi sebagai jawapan kepada persoalan rabai.

Amalan sunting

Terdapat hadith dalam Sahih Muslim yang menyatakan bahawa baginda Nabi Muhammad bersabda (tentang Ad-Dajjal):

Daripada Abi Darda' daripada Nabi , baginda telah bersabda: "Sesiapa menghafaz sepuluh ayat daripadanya permulaan surah al-Kahfi, maka terhindar daripada Al-Dajjal."

Riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Nasa'i, Al-Tarmizi daripada Qatadah

Daripada Abi Al-Darda’i, Nabi bersabda : “Sesiapa membaca sepuluh ayat akhir daripada surah Al-Kahfi, maka terhindar daripada fitnah Al-Dajjal.

Hadis Riwayat Muslim dan Al-Nasa'i

Antara hadith yang menyebut akan kebaikan membaca surah ini ialah:

Daripada Muaz Ibnu Anas Al-Juhani daripada bapanya daripada Nabi bersabda : "Sesiapa membaca awal dan surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi."

Hadis Riwayat Ahmad

Daripada Umar berkata: Nabi telah bersabda: "Sesiapa yg membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat."

Hadis Riwayat Ibnu Katsir

Pautan luar sunting

Dengar bacaan di sini


Surah Sebelumnya:
Surah Al-Israa’
Al Quran (القــرآن الكـــريم) Surah Berikutnya:
Surah Maryam
Surah 18