Suriani Kempe & Ors lwn Kerajaan Malaysia & Ors

Suriani Kempe & Ors lwn Kerajaan Malaysia & Ors [2020] 8 CLJ 666 ialah sebuah kes undang-undang pada 2020 melibatkan sekumpulan wanita yang berkisarkan isu pemberian kewarganegaraan Malaysia terhadap anak seorang wanita yang lahir di luar Malaysia berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Malaysia.

Latar belakang sunting

Perkara 14 Perlembagaan Malaysia menetapkan hak-hak kewarganegaraan Malaysia kepada seorang individu, dan ketetapan-ketetapan ini adalah berlandaskan bahagian-bahagian yang diberikan (dalam kes ini, Jadual II Bahagian Kedua bagi anak yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia).[1] Walau bagaimanapun, berdasarkan ketetapan pada Jadual II, anak seorang wanita dengan suami bukan warganegara tidak berhak memperoleh kewarganegaraan Malaysia sekiranya anak itu dilahirkan di luar Malaysia. Hal ini terjadi memandangkan Jadual II menetapkan anak kepada hanya bapa warganegara yang berhak menerima kewarganegaraan (Jadual II Bahagian Kedua, 1(b)(c)).[2] Hal ini menyebabkan para ibu warganegara dengan masalah ini terpaksa memohon rayuan untuk memberikan taraf warganegara kepada anak mereka; kebanyakan permohonan ini ditolak.[3]

Sejarah sunting

Kes ini melibatkan ketua pertubuhan Family Frontiers, Suriani Kempe serta enam lagi wanita (plaintif) yang menghadapi kesukaran untuk memberikan akses keperluan-keperluan asas kepada anak-anak mereka, dengan masalah-masalah yang dihadapi termasuk akses pendidikan, perumahan, kesihatan dan kebajikan sosial yang terhalang. Di samping itu, perihal pandemik COVID-19 menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk pulang ke Malaysia akibat halangan kemasukan orang bukan warganegara.[4]

Pada 9 September 2021, keputusan akhir disahkan oleh pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa anak wanita warganegara dalam kes ini berhak menerima kewarganegaraan Malaysia. Menurut keputusan, hal ini bertepatan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan yang mengharamkan sebarang diskriminasi gender seperti di bawah:

Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang ...

Dalam keputusan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir menyatakan bahawa berdasarkan petikan Perlembagaan di atas, frasa "bapanya" yang tertulis di Jadual II hendaklah merangkumi pihak ibu juga.[5]

Proses pemindaan Perlembagaan sunting

Walau bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, pihak kerajaan berkeputusan untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan itu.[6] Menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, langkah itu dilakukan untuk mengelakkan isu penghinaan mahkamah (akibat perlanggaran Perlembagaan) terhadap kerajaan. Selain itu, keputusan kes Suriani dikatakan bercanggah dengan kes-kes mahkamah sebelum ini, termasuk kes Mahisha Suhaila pada 2020. Hamzah turut menambah pendapat bahawa kewarganegaraan ialah "hak tertinggi yang diberikan kerajaan" dan bukan sesuatu yang boleh diberi sesuka hati.[7] Keputusan ini mendapat tentangan ramai pihak kerana dikatakan akan menyusahkan pihak terlibat.[8] Pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dalam hal ini menekankan kepentingan untuk meminda Perlembagaan secepat mungkin sebagai kemas kini berdasarkan hal ini.[9] Pada 22 Disember, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan ini.[10]

Pada November 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang Parlimen, menyatakan bahawa usul pemindaan Perlembagaan untuk mengemas kini keputusan Mahkamah Tinggi kepada Majlis Raja-Raja di samping pindaan-pindaan lain.[11]

Reaksi sunting

Kes mahkamah ini telah mendapat perhatian banyak golongan termasuk orang awam berkenaan isu kewarganegaraan serta hak wanita di Malaysia.[12] Keputusan Mahkamah Tinggi dilihat oleh banyak pihak sebagai langkah ke arah kesaksamaan gender di Malaysia.[13] Menurut pemerhati hak kesaksamaan gender, Catherine Harrington, keputusan ini dijangka akan mempengaruhi kerajaan negara-negara lain untuk melakukan reformasi serupa berkenaan pemberian kewarganegaraan.[4]

Rujukan sunting

  1. ^ "Perkara 14. Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang". Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam. Dicapai pada 18 November 2021.
  2. ^ "Jadual Kedua-Bahagian II-Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang bagi orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia". Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam. Dicapai pada 18 November 2021.
  3. ^ Ayamany, Keertan (25 September 2021). "Family Frontiers: Putrajaya's appeal of citizenship ruling 'baffling'". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 18 November 2021.
  4. ^ a b Batha, Emma (13 September 2021). "Malaysian mothers win citizenship rights for their children". The Christian Science Monitor (dalam bahasa Inggeris).
  5. ^ "Children born overseas to Malaysian mums eligible for citizenship, court rules in landmark decision". The Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 9 September 2021. Dicapai pada 18 November 2021.
  6. ^ "Govt appeals High Court ruling over automatic citizenship for children of Malaysian mothers born overseas". The Star (Malaysia) (dalam bahasa Inggeris). 14 September 2021. Dicapai pada 18 November 2021.
  7. ^ "Hamzah defends home ministry's move to appeal court order on equal citizenship". Malaysia Now (dalam bahasa Inggeris). 12 Oktober 2021. Dicapai pada 18 November 2021.
  8. ^ "Let High Court ruling on citizenship issue prevail, lawyer tells govt". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). 16 September 2021. Dicapai pada 18 November 2021.
  9. ^ "Press Statement No. 12-2021 (OCC)_CC is Saddened by the Government's Decision to Appeal the Kuala Lumpur High Court's Judgment on Suriani Kempe Case". Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (dalam bahasa Inggeris). 27 September 2021. Dicapai pada 18 November 2021.
  10. ^ Lim, Ida (22 Disember 2021). "Government loses bid to delay giving citizenship papers to kids born abroad to Malaysian mums". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 Disember 2021.
  11. ^ "Pinda perlembagaan isu lompat parti dibentang menjelang Julai 2022". Sinar Harian. 15 November 2021. Dicapai pada 18 November 2021.
  12. ^ "Mums, kids shouldn't have to wait long for citizenship, says activist". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). 23 September 2021. Dicapai pada 18 November 2021.
  13. ^ S., Indramalar (9 September 2021). "Govt appeals High Court ruling over automatic citizenship for children of Malaysian mothers born overseas". The Star (Malaysia) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 18 November 2021.

Pautan luar sunting