Syed Azidi Syed Abdul Aziz

Dato' Syed Azidi Bin Syed Abdul Aziz (lahir 2 Februari 1970) merupakan seorang pengarah filem dan perunding politik. Syed Azidi pernah memenangi dua anugerah di Festival Filem Malaysia. Beliau juga terkenal dengan panggilan nama pena 'Sheikh Kickdefella' di laman web kickdefella.wordpress.com. Blog tulisan beliau aktif pada hujung dekad 2000 dan lantang dalam kritikan terhadap kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Syed Azidi merupakan penduduk Malaysia ke-4 pada bulan Ogos 2008 ditahan di bawah Akta Hasutan. Beliau telah ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu, Kelantan pada 17 September 2008. Sewaktu beliau ditahan, beliau merupakan kakitangan kerajaaan badan berkanun iaitu sebagai Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Sewaktu bersama PBMK, beliau dilihat sebagai orang kanan kepada Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa.

Selepas khidmat beliau bersama PMBK tamat, beliau menjadi seorang perunding politik dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Komunikasi Korporat di Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 1 April 2020.

Latar Belakang sunting

Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 2hb Februari 1970, Syed Azidi merupakan anak bongsu kepada 6 adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan. Syed Azidi mendapat ijazah pertama dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1994 dalam bidang filem. Pada tahun 2014, beliau menerima Sarjana Kesenian (Masters of Arts, MA) dari University of Edinburgh, Scotland dalam jurusan pengarahan filem. Pada 28 Julai 2016 bersamaan 23 Syawal 1437 Hijrah, Syed Azidi dianugerahkan Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) yang membawa gelaran Dato' di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Karier Dalam Bidang Filem sunting

Syed Azidi mula mengarah filem pada tahun 1992. Filem pertamanya berjudul Lautan Di Waktu Subuh merupakan sebuah filem eksperimental berdasarkan sajak oleh Zaihasra. Filem keduanya bertajuk Karamnya Bahtera Merdeka yang diarahkan pada tahun 1993 telah terpilih mewakili Malaysia di The Third Film Festival of International Cinema Students di Tokyo, Jepun. Filem ketiganya bertajuk Potret Seorang Patriot diarahkan pada tahun 1994 telah memenangi anugerah filem cereka terbaik di Festival Filem dan Penyiaran anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada tahun 1999, Syed Azidi menerima anugerah Cerita Asal Terbaik menerusi skripnya bertajuk Perempuan Melayu Terakhir di Festival Filem Malaysia ke-14. Filem tulisan beliau itu juga merangkul anugerah bagi Sinematografi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Bintang Harapan Lelaki Terbaik.

Festival Filem Malaysia ke-19 menyaksikan Syed Azidi sekali lagi memenangi anugerah di persada filem tersohor negara. Beliau dianugerahkan Pengarah Harapan Terbaik bagi filem arahannya, Persona Non Grata. Filem tersebut menerima 4 pencalonan.

Kesalahan menghasut sunting

Beliau didakwa di atas kesalahan menghasut rakyat Malaysia pada 23 Ogos 2008 agar mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik ketika menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos sebagai tanda protes kepada kerajaan kepimpinan Tun Abdullah. 3 pegawai polis Bukit Aman bertindak merampas komputer riba ketika beliau berada di rumah bersama isterinya, Bariah Ishak. Waran tangkap tidak ditunjukkan ketika 3 polis berpakaian preman ke rumahnya. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Amir Hamzah Ibrahim menjelaskan bahawa siasatan tersebut dikendalikan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.Siasat ini berikutan satu laporan di Balai Polis Dang Wangi bahawa beliau telah menghasut agar Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik menjelang 31 Ogos 2008. [1]Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan Syed Azidi ditahan dibawah Akta Hasutan Seksyen 4(1). Kesalahan menghasut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Tahanan reman sunting

Pada 18 September 2008, polis mendapat perintah tahanan reman selama 24 jam dari Majistret Fadzlin Suraya Mohd Shah di Mahkamah Majistret Kota Bharu. Difahamkan, Datuk Husam Musa selaku Exco kerajaan Kelantan akan menyediakan peguambela.

Pada 19 September 2008, Hakim Majistret Kota Bharu, Kelantan, Tengku Amalin A'Ishah Putri Sultan Ismail Petra membenarkan tahanan reman selama dua hari bagi membolehkan polis Bukit Aman meneruskan siasatan.

Syed Azidi sepatutnya dibawa ke Bukit Aman bagi siasatan lanjut namun terpaksa dipindahkan ke Dang Wangi apabila penyokongnya berkumpul di hadapan Bukit Aman dan berlaku rusuhan kecil.

Pada 20 September 2008, setelah ditahan reman selama 3 hari beliau dibebaskan di bawah jaminan polis dan dikehendaki melaporkan diri semula kepada pihak polis pada 17 Oktober 2008. Beliau dibebaskan di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur serta ditemani ahli keluarga. Syed Azidi berkata beliau tidak memberi sebarang kenyataan kepada pihak polis dan hanya akan berbuat demikian sekiranya didakwa di mahkamah kelak.

Kritikan sunting

Yap Swee Seng selaku Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menegaskan bahawa penahanan Syed Azidi 'tidak dapat dijustifikasikan' selain memberi amaran bahawa blogger tidak bebas dan boleh ditahan jika ditafsir boleh mengancam keselamatan negara.[2] Sebelum ini ada beberapa pihak betul-betul telah membakar dan mengoyak bendera negara asing dan negara Malaysia sendiri. Malah ada bendera yang dilukis dalam bentuk yang tidak sempurna .

Tun Dr Mahathir Mohamad memberi sokongan kepada Syed Azidi dan Raja Petra Kamaruddin pada 19 September 2008 dengan mengatakan bahawa kerajaan Tun Abdullah tidak mempunyai justifikasi untuk menahan dua individu tersebut.

Selepas dua hari, Syed Azidi telah dibebaskan pada 20 September 2008 jam 1 tengah hari di Ibu pejabat Polis Bukit Aman. Dalam satu kenyataan media di Rumah Persekutuan, Syed Azidi menjelaskan beliau telah dibenarkan betarawih dan berzikir. Turut hadir ialah peguamnya, Amrit Pal Singh dan Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, Salahudin Ayub. [3]

Rujukan sunting