Syis Hawthornden ialah sejenis batuan termetamorf berusia Silur Awal yang terdapat di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, Malaysia.

Sejarah Pengkajian sunting

Kajian tentang Syis Hawthornden terawal dilakukan oleh Jones (1973) yang menamakannya bersempena nama Ladang Hawthornden di Kuala Lumpur di mana ia mula-mula ditemui tersingkap.

Singkapan batuan yang hampir sama di sekitar Nilai, Sepang dan Labu ditemui oleh Khalid Ngah (1972).

Chow et al. (1994) melaporkan Syis Hawthornden turut tersingkap di sekitar kawasan Putrajaya, tetapi dikelaskan semula sebagai formasi batuan berbeza iaitu Syis Kajang oleh Lim (2001).

Taburan sunting

Batuan ini bertaburan di sekitar Hulu Klang di Kuala Lumpur dan sepanjang jalan baru Nilai - Sepang serta jalan Nilai - Labu yang menghubungkan Selangor dan Negeri Sembilan.

Korelasi Dan Penentuan Usia sunting

Jones (1973) menyatakan Syis Hawthornden melapisi Syis Dinding secara selanjar dengan ketebalan jujukan sekitar 900 meter.

Tiada fosil ditemui dalam batuan ini. Oleh itu, Jones (1973) menganggarkan usia Syis Hawthornden berusia Silur Awal dan boleh dikorelasikan dengan Formasi Mahang yang terdapat di Kedah dan Perak.

Khalid Ngah (1972) mencirikan batuan yang tersingkap di Labu, Nilai dan Sepang sebagai Syis Hawthornden kerana mempunyai ciri litologi yang sama.

Litologi sunting

Batuan ini terdiri daripada filit berbutiran halus berwarna hitam dan kelabu yang berselang lapis.

Rashidah Hj. Abdul Karim (1984) menjelaskan filit hitam ini mempunyai kandungan mineral legap seperti pirit dan grafit.

Pencirian geokimia oleh Marilah Sarman dan Kadderi (2003) pula menunjukkan kandungan karbon dalam Syis Hawthornden masih berciri organik dan belum terhablur menjadi grafit.

Struktur sunting

Di sekitar jalan Nilai - Sepang dan jalan Nilai - Labu, Syis Hawthornden berjurus utara-selatan ke timurlaut-baratdaya dengan kemiringan 50 hingga 70 darjah ke timur serta tercangga hebat berdasarkan kehadiran ira kerdutan dan lipatan ketat (Khalid Ngah, 1972).

Rujukan sunting

  1. Chow, W.S., Nurzaidi Abdullah & Lai, K.H., 1994. Geotechnical investigation of the proposed Pusat Pentadbiran Persekutuan Perang Besar, Geological Survey Department of Malaysia, Kuala Lumpur.
  2. Jones, C.R., 1973. Lower Palaeozoic. In: Gobett, D.J. & Hutchison, C.S. (eds.) Geology of the Malay Peninsula. New York: Wiley Interscience, p. 25-60.
  3. Khalid Ngah, 1972. Brief Geology of the Seremban Area, Sheet 103. Malaysia Geological Survey Annual Report, 86-91.
  4. Lim, C.K., 2001. Structural style of Cyberjaya and Putrajaya, Selangor. Proceedings Annual Geological Conference 2001, Geological Society of Malaysia, p.67-70.
  5. Rashidah Hj Abdul Karim, 1984. Geologi, petrologi dan geokimia batuan Syis Dinding, Daerah Hulu Kelang, Selangor. Tesis Ijazah SmSn. (Kep), Universiti Kebangsaan Malaysia. (tidak diterbitkan)