Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina merupakan perayaan penting bagi orang Cina.

Tahun Baru Cina atau Hari Raya Cina (Cina ringkas: 春节Cina tradisional: 春節pinyin: Chūn Jié) merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat Tarikh perayaan di bawah.)

Tahun Baru Cina
تاهون بارو چينا
Malam Tahun Baru Cina di Meizhou, China
Also calledTahun Baru Qamari, Perayaan Musim Bunga
Observed byMasyarakat Cina
TypeChina, kebudayaan, agama Buddha
SignificanceHari pertama kalendar Cina (qamari)
CelebrationsSambutan Tahun Baharu, perhimpunan keluarga, makan besar.
DateHari Tahun Baru Cina
2023 date22 Januari, Arnab
2024 date10 Febuari. Naga
Related toCap Goh Meh yang mengakhiri perayaan ini
Tahun Baru Cina
Tulisan Cina Tradisional農曆新年
Tulisan Cina Ringkas农历新年
Maksud harfiahtahun baru takwim qamari
Alternative Chinese name
Tulisan Cina Tradisional春節
Tulisan Cina Ringkas春节
Maksud harfiahperayaan musim bunga
Tahun Baru Cina, Naga
Tahun Baru Cina – 10-2-2024
Telah berlangsung
Waktu tempatan

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang angpau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Cap Goh Mei.

Tahun Baru Cina disambut di negara-negara dan wilayah-wilayah yang diduduki oleh ramai orang Cina, seperti China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina, Singapura,[1] Taiwan, Thailand, dan juga di pekan cina di merata dunia. Tahun Baru Cina juga disambut di tempat-tempat yang kuat dipengaruhi dengan budaya Cina (termasuk memakai takwim qamari Cina), termasuk Korea (Seollal), Tibet dan Bhutan (Losar), Mongolia (Tsagaan Sar), Vietnam (Tết), dan Jepun hingga tahun 1873 (旧正月 kyūshōgatsu).

Tarikh perayaan

sunting
 
Sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Cina, London.

Tarikh hari Tahun Baru Cina dari 1996 hingga 2024 (dalam kalendar Gregory) adalah disenaraikan seperti berikut, besertakan lambang haiwan dalam zodiak Cina dan lambang dahan buminya. Nama-nama dahan bumi tersebut bukan perkataan bahasa Cina bagi haiwan-haiwan tersebut.

Haiwan Dahan bumi Tarikh
Tikus 19 Februari 1996 7 Februari 2008 25 Januari 2020
Lembu chǒu 7 Februari 1997 26 Januari 2003 12 Februari 2021
Harimau yín 28 Januari 1998 14 Februari 2010 1 Februari 2022
Arnab mǎo 16 Februari 1999 3 Februari 2011 22 Januari 2023
Naga chén 5 Februari 2000 23 Januari 2012 10 Februari 2024
Ular 24 Januari 2001 10 Februari 2013
Kuda 12 Februari 2002 31 Januari 2014
Kambing wèi 1 Februari 2003 19 Februari 2015
Monyet shēn 22 Januari 2004 8 Februari 2016
Ayam yǒu 9 Februari 2005 28 Januari 2017
Anjing 29 Januari 2006 16 Februari 2018
Babi hài 18 Februari 2007 5 Februari 2019

Sejarah

sunting

Sebelum Dinasti Qin, tarikh perayaan permulaan sesuatu tahun adalah tidak jelas. Barangkalinya, awal tahun ini bermula dengan bulan 1 ketika Dinasti Xia, bulan 12 ketika Dinasti Shang, dan bulan 11 ketika Dinasti Zhou di China. Namun, adalah diketahui bahawa "bulan lompat" yang dipakai untuk memastikan kalendar qamari selari dengan matahari, sentiasa ditambah selepas bulan 12 ketika Dinasti Shang (menurut catatan tulang orakel yang masih wujud) dan Zhou (menurut Sima Qian). Maharaja pertama China Qin Shi Huang menukar dan menetapkan awal tahun pada bulan 10 pada 221 SM. Sama ada Tahun Baru diraikan pada awal bulan 10 atau bulan 1, atau kedua-duanya, itu tidak diketahui. Pada 104 SM, Maharaja Wu yang memerintah sewaktu Dinasti Han menetapkan bulan 1 sebagai awal tahun, yang masih kekal sampai masa ini.

 
Puisi Tahun baru Cina tulisan tangan ditampal pada pintu ke rumah orang, di Lijiang, Yunnan, China.

Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián () ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 11 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过年), yang bermaksud "menyambut tahun baru", membawa erti harfiah "meredah raksasa Nian".[2]

Sambutan perayaan

sunting

Sambutan Tahun Baru Cina disambut dengan menziarahi ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat serta penggunaan warna merah yang berlebihan. Ang pau diberikan kepada orang muda dan kanak-kanak oleh orang tua dan yang telah kahwin.

Sebelum Tahun Baru

sunting

Pada hari-hari sebelum Tahun Baru Cina, keluarga-keluarga Cina membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, kerana mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik. Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Ada orang yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

Acara terbesar pada malam Tahun Baru Cina ialah makan besar. Hidangan yang terdiri daripada ikan terdapat di atas meja makan untuk tujuan paparan sempena jamuan ini. Di China utara, adalah juga menjadi adat untuk memakan ladu untuk jamuan ini. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa jongkong emas Cina. Angpau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu makan besar. Sampul merah ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.[3]

Hari pertama

sunting
 
Perayaan Tahun Baru Cina, pada hari kelapan, di pinggir kota Vancouver, Kanada.

Hari pertama adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Kebanyakan orang yang meraikannya, terutamanya penganut agama Buddha, menghindari diri daripada memakan daging pada hari ini kerana adalah dipercayai bahawa ini memastikan mereka akan lanjut usia.[4]

Yang paling penting, hari pertama Tahun Baru Cina merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior dalam seluruh keluarga mereka, biasanya ibu bapa, datuk nenek atau moyang.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.

Hari kedua

sunting

Hari kedua Tahun Baru Cina atau hari "membuka tahun" (Cina Tradisional: 開年, Cina Ringkas: 开年, kāi nián) menyaksikan anak perempuan yang telah kahwin untuk menziarahi ibu bapa kandung mereka.[5] Menurut tradisi, anak perempuan yang telah kahwin mungkin tidak banyak berpeluang menziarahi keluarga kandung sendiri.

Hari ketiga

sunting

Hari ketiga perayaan ini dipercayai ramai sebagai hari yang tidak sesuai untuk menziarahi saudara mara atas kepercayaan berikut:

Hari ini dikenali sebagai "mulut merah" (赤口 chì kǒu), yang bermaksud bahawa adalah amat mudah untuk terlibat dalam pergaduhan, maka hari ini tidak sesuai untuk ziarah-menziarahi, sebaliknya berdiam di rumah sahaja[5] Keluarga yang mengalami kematian ahli terdekat dalam jangka masa tiga tahun lalu tidak akan menziarahi rumah sesiapa sebagai tanda penghormatan kepada si mati. Hari ketiga Tahun Baru wajar dijadikan hari menziarahi kubur.[6]

Hari kelima

sunting

Di bahagian utara China, ladu (Cina Tradisional: 餃子, Cina Ringkas: 饺子, jiǎozi) dijadikan sarapan pada pagi "pecah lima" (破五, pò wǔ). Ini juga merupakan ulang tahun hari lahir Cai Shen, dewa kekayaan Cina. Di Taiwan, perniagaan biasanya dibuka semula pada hari tersebut dan diserikan lagi dengan mercun.

Hari ketujuh

sunting

Hari ketujuh dikenali sebagai hari jadi orang ramai (人日, pinyin: rén rì, Kantonis: yan yat), iaitu hari yang mana usia setiap orang ditambah lagi setahun menurut pengiraan kalendar qamari Cina.[7]

Inilah harinya bila salad ikan mentah lambung, yee sang, dimakan. Kaum sekeluarga berkumpul untuk melambung salad berwarna-warni dan menyampaikan hajat bagi menambahkan kekayaan dan kemakmuran. ini merupakan adat resam yang terutamanya diamalkan oleh kaum Cina di rantau Asia Tenggara, seperti Malaysia dan Singapura, tetapi jarang diamalkan oleh kaum Cina di merata dunia selain rantau tersebut.[7][8]

Hari kesembilan

sunting

Hari kesembilan tahun baru merupakan hari bagi kaum Cina untuk menyembah Maharaja Jed di Kayangan (天公 tiān gōng) di tokong agama Tao.

Tambahan pula, hari ini dianggap sebagai "tahun baru" suku kaum Hokkien. Apabila tibanya tengah malam pada hari kelapan tahun baru, suku Hokkien menyembahkan doa syukur kepada Maharaja tersebut. Penyembahan ini termasuk tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien dari ancaman penghapusan beberapa generasi lalu.

Teh dituang sebagai adat bagi menghormati orang ternama.

Hari kelima belas

sunting

Ini adalah hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina yang diraikan sebagai Yuánxiāo jié (Cina Tradisional: 元宵節, Cina Ringkas: 元宵节), atau Cap Goh Mei (十五暝) dalam bahasa Hokkien, versi Cina bagi Hari Kekasih. Tāngyuán (Cina Tradisional: 湯圓, Cina Ringkas: 汤圆), bebola pulut manis dalam sup, dimakan pada hari ini. Tāngyuán ialah sejenis makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut. Tepung pulut ini dicampur dengan sedikit air untuk membentuk bebola, kemudian dimasak dan dihidangkan dalam air yang mendidih. Tangyuan bolehlah sama ada berisi atau tanpa isi. Bergantung kepada amalan setempat, hari yang sama ini juga dikenali sebagai Perayaan Tanglung.

Hidangan Tahun Baru

sunting

Makan besar

sunting

"Makan besar" (Cina Tradisional: 團圓飯, Cina Ringkas: 团圆饭 tuányuán fàn) diadakan pada malam sebelum Tahun Baru, ketika semua ahli keluarga, sama ada tinggal di rumah atau jauh dari kampung halaman, bertemu untuk perayaan. Jamuan ini biasanya diadakan di rumah yang didiami anggota keluarga paling tua. Jamuan ini amat kaya dengan makanan yang lazimnya merangkumi daging ayam dan ikan. Ikan (Cina Tradisional: , Cina Ringkas: , pinyin: ) sebagai makanan penting, tidak dimakan sampai habis (sebaliknya, bakinya disimpan semalaman), bak pepatah Cina nián nián yǒu yú (Cina Tradisional: 年年有餘, Cina Ringkas: 年年有余), yang bermakna "semoga ada lebihnya setiap tahun", yang sama bunyinya dengan "semoga ada ikan setiap tahun."[3][9]

Intisari makanan

sunting
Nama Bahasa Cina [*] Huraian
Luohan zhai luóhàn zhāi Luohan zhai ialah hidangan vegetarian yang biasanya merangkumi 18 bahan, sering disaji pada hari pertama Tahun Baru. Sejenis lumut berbentuk rambut manusia, disebut "fat choy" dalam bahasa Kantonis sering menjadi ciri-ciri utama hidangan Buddha dan sajian lain, kerana namanya sama bunyinya dengan "kemakmuran". Suku kaum Hakka biasanya menyaji kiu nyuk (扣肉) dan yong tau fu.
Ikan Ramuan yang penting sepanjang sambutan tahun baru. Sebutan perkataan Cina bagi ikan serupa dengan "lebihan" (Bahasa Cina: ; pinyin: yú). Ramuan utama bagi yee sang.
Yee sang yúshēng Ikan Salmon yang dilambung cebisan ramuannya apabila disambung untuk menyambut tuah.[8]
Ladu jiaozi jiǎozi Ladu ini dimakan di China utara kerana bentuknya serupa dengan tongkol emas Cina kuno, seolah-olah berisi tuah.
Limau mandarin 金橘 jīnjú; atau
gān
Limau ini merupakan buah-buahan paling kerap ditemui semasa perayaan tahun baru. Fungsi buah limau mandarin bagi masyarakat Cina ialah untuk dipuja di Tokong dan daunnya untuk buang sial, buah limau mandarin pula melambangkan kesejahteraan dan kemewahan.
Kuih bakul 年糕 niángāo Kuih ini paling laris didapati di China timur (Jiangsu, Zhejiang dan Shanghai) kerana namanya serupa sebutan dengan "kian tahun kian tinggi".[2]
Mi Mi dihidangkan tanpa dipotong, melambangkan panjang hayat, namun amalan ini tidak terhad kepada sambutan tahun baru.
Gula-gula Gula-gula dan buah-buahan kering disimpan dalam kotak gula-gula Cina berwarna merah atau hitam.
Tikoy Puding yang diperbuat daripada tepung pulut, kanji gandum, garam, air, dan gula. Warna gula yang digunakan menentukan warna puding ini (putih atau perang).

[*]: Tulisan Cina diberi (tulisan Cina ringkas disediakan dalam kurungan jika berlainan dari bentuk tradisionalnya) diikuti pinyin.

Amalan Tahun Baru

sunting

Angpau

sunting

Secara tradisi, angpau atau sampul merah (Cina Tradisional: 紅包, Cina Ringkas: 红包, pinyin: hóng bāo, bahasa Hokkien (POJ): âng-pau; bahasa Hakka: hung bao; 利是, 利市 atau 利事, bahasa Kantonis: lai shi atau lai see) diedarkan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina, oleh pasangan suami isteri atau orang tua kepada muda-mudi yang belum berkahwin. Adalah satu kebiasaan untuk orang dewasa memberi sampul merah ini kepada kanak-kanak.[2]

Sampul merah ini sentiasa mengandungi wang, sama ada dua ataupun seratus ringgit. Jumlah wang dalam angpau sepatutnya bermula (bukan berakhir) dengan angka genap, kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang tunai yang ditukarkan dalam upacara pengebumian (帛金, bó jīn). Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial, kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati, maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 Ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah (kerana sama bunyinya dengan "kaya"), maka 8 Ringgit selalu didapati dalam angpau. Kadang-kala syiling coklat dimasukkan dalam angpau.[10]

Pasar Tahun Baru

sunting
 
Membeli-belah di Pasar Tahun Baru Kreta Ayer, Singapura

Pasar khas didirikan menjelang Tahun Baru untuk menjual barangan Tahun Baru. Pasar ini biasanya berbentuk pasar terbuka dan menampilkan barangan bunga, mainan, pakaian dan sebagainya kepada para pembeli untuk membeli hadiah untuk kunjungan tahun baru atau sebagai hiasan rumah.

Bunga api

sunting

Pada zaman silam, batang buluh yang berisi serbuk meriam dan dibakar untuk menghasilkan letupan kecil pernah digunakan di China untuk mengusir puaka. Pada zaman moden pula, kaedah ini berubah menjadi penggunaan mercun pada musim perayaan. Mercun biasanya diikat pada tali panjang berlakur yang digantung. Setiap batang mercun digulungkan dalam kertas merah kerana warna merah itu bertuah, dan berisi serbuk merian dalam terasnya. Apabila dibakar, mercun melepaskan bunyi meletup-letup yang kuat. Oleh sebab mercun biasanya berangkai dalam bilangan ratusan, mercun menghasilkan letupan memekakkan yang dipercayai boleh mengusir roh-roh jahat. Penyalaan mercun juga melambangkan peristiwa yang ria dan menjadi satu aspek penting dalam sambutan Tahun Baru Cina.[11]

Larangan mercun

sunting

Meskipun penggunaan mercun adalah sebahagian amalan tradisi dalam sambutan tahun baru, namun selama ini telah menyaksikan kejadian yang memilukan. Setiap tahun adanya laporan mengenai pengguna mercun hilang penglihatan, anggota badan, atau menderita akibat kecederaan serius yang lain, terutamanya pada musim perayaan. Maka, kerajaan-kerajaan dan pihak-pihak berkuasa akhirnya menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan sepenuhnya penggunaan mercun untuk tujuan peribadi, terutamanya atas sebab-sebab keselamatan.

  • China: Mercun diharamkan di kebanyakan kawasan bandar, namun Beijing menarik balik larangannya pada tahun 2006 setelah sedekad, dan undang-undangnya tidak selalu dikuatukuasakan.[12] Di kawasan luar bandar pula, mercun masih digemari ramai dan lorong-lorong selalu diliputi warna merah bangkai mercun.
  • Hong Kong: Bunga api diharamkan atas sebab-sebab keselamatan. Namun begitu, kerajaan kolonial sebelum tahun 1997 dan kerajaan SAR selepas itu juga mengadakan pertunjukan bunga apa di Pelabuhan Victoria pada hari kedua Tahun Baru Cina. Pertunjukan seumpamanya juga diadakan di bandar-bandar raya dalam dan luar China.
  • Singapura: Pengharaman separa dikenakan terhadap mercun pada Mac 1970 setelah berlakunya kebakaran yang meragut enam nyawa dan mencederakan 68 orang lain.[13] Ini dilanjutkan menjadi larangan penuh pada tahun 1972, selepas berlakunya letupan yang mengorbankan nyawa dua orang[14] serta satu serangan terhadap dua orang polis yang cuba menghalang sekumpulan orang daripada membakar mercun pada Februari 1972.[15] Bagaimanapun, pada tahun 2003, kerajaan membenarkan mercun dilepaskan pada musim perayaan. Ketika kegiatan menyala mercun di Kreta Ayer, tepat pada waktu malam hari pertama Tahun Baru Cina, mercun dilepaskan dalam keadaan terkawal oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Peristiwa-peristiwa lain yang membenarkan mercun ditentukan oleh lembaga pelancongan atau pertubuhan kerajaan lain. Namun begitu, mercun tidak boleh dijual secara komersial.
  • Malaysia: Mercun juga dilarang atas sebab-sebab yang sama dengan Singapura. Bagaimanapun, kebanyakan orang Malaysia berupaya menyeludup mercun dari Thailand untuk memenuhi kehendak diri mereka.
  • Indonesia: Mercun dan bunga api dilarang penggunaanya di khalayak awam ketika Tahun Baru Cina[16], terutamanya di kawasan-kawasan yang kebanyakan penduduknya bukan kaum Cina agar menghindari apa-apa pertelingkahan antara kaum, kecuali di beberapa kawasan metropolitan seperti Jakarta and Medan, di mana tahap toleransi sosial antara kaum cukup memuaskan.
  • Amerika Syarikat: Pada tahun 2007, Bandar Raya New York menarik balik larangan mercun setelah sedekad, agar membenarkan pertunjukan 300,000 batang mercun dibakar di Chatham Square, Pekan Cina.[17]

Pakaian

sunting

Pemakaian yang melebihkan warna merah sering dipakai sepanjang Tahun Baru Cina kerana dipercayai warna merah akan menakutkan roh jahat dan nasib malang. Tambahan, orang yang memakai baju baru dari kepala hingga kaki pula melambangkan permulaan baru pada tahun baru.

Shou Sui

sunting

Shou Sui (Cina Tradisional: 守歲, Cina Ringkas: 守岁) berlangsung apabila ahli keluarga berkumpul bersama pada malam selepas makan malam bersama dan mengenangkan tahun yang telah berlalu sementara menyambut tahun yang akan tiba. Sesetengahnya percaya bahawa anak-anak yang Shou Sui akan memanjangkan usia ibu bapa.[18]

Simbol

sunting

Sepanjang 15 hari Tahun Baru Cina, orang akan mula melihat pantang larang atau kepercayaan budaya tradisional dengan maksudnya yang boleh mengelirukan orang yang tidak menyambutnya. terdapat sebab yang menerangkan semuanya, bukan sekadar hiasan, yang berputarkan warna merah. Pada satu-satu masa, emas merupakan warna pendamping bagi sebab yang sangat jelas. Satu sebab baik dan biasa bagi poster merah berbentuk berlian dengan aksara (), atau "tuah" yang dipamerkan sekitar rumah dan pintu. Tanda ini sering kelihatan tergantung terbalik, memandangkan perkataan Cina (dǎo), atau "terbalik", berbunyi sama dengan (dào), atau "tiba". Maka, fú dào melambangkan ketibaan tuah, kegembiraan dan kemakmuran.[19]

Berikut merupakan hiasan bunga yang paling biasa pada Tahun Baru dan sering dijual ketika pasaran tahun baru.

Hiasan Bunga Maksud
Bunga plum melambangkan tuah
Kumkuat melambangkan kemakmuran
Narcissus melambangkan kemakmuran
Bunga kekwa melambangkan panjang umur
Buluh tumbuhan digunakan sepanjang tahun
Bunga matahari bermaksud tahun yang elok

Ikon dan hiasan

sunting
Ikon Makna Ilustrasi
Ikan Ikan koi sering kelihatan dalam lukisan. Sajian berhias yang memaparkan ikan juga dapat dilihat. Ikan melambangkan lebihan atau simpanan tambahan supaya ada lebih untuk hidup pada baki tahun. Ikan berpadu dengan pepatah Cina niánnián yǒuyú (年年有餘).[9]
Jongkong Yuanbao Yuanbao emas (金元宝; jīn yuánbǎo) melambangkan wang dan/atau kemewahan. Jongkong berbentuk Yuanbao ini merupakan perantara pertukaran piawaian di China zaman silam.  
Tanglung Tanglung kertas Cina tradisional ini biasanya berbeza daripada tanglung yang digunakan ketika Perayaan Kuih Bulan. Tanglung ini berwarna merah dan selalunya berbentuk bujur. Tanglung-tanglung yang digunakan pada hari ke-15 Tahun Baru Cina untuk Pesta Tanglung, dinyala terang-terang, berwarna-warni, dan berbagai-bagai saiz dan bentuknya.  
Perhiasan Hiasan secara amnya menyampaikan ucapan Tahun Baru. Poster kaligrafi Cina memaparkan peribahasa Cina. Hiasan-hiasan lain termasuk gambar Tahun Baru, simpul Cina, keratan kertas dan gurindam.  
Tarian singa Tarian singa sering diadakan pada Tahun Baru Cina. Adalah dipercayai bahawa pukulan gendang yang kuat dan bunyi simbal yang memekakkan serta wajah singa yang menari dengan agresif sekali boleh mengusir puaka jahat. Tarian singa juga dipamerkan pada upacara pembukaan perniagaan orang Cina. Ia juga terdapat dari dua jenis rupa dari Utara atau Selatan.  
Cai Shen Cai Shen (財神; 财神) merupakan dewa kekayaan yang disembah orang agar memperoleh tuah dan berkat pada malam Tahun Baru dalam kepercayaan Cina. Ia

juga dianggap sebagai ikon masyara/rakyat at cina.

 

Balik kampung

sunting

Waktu Tahun Baru Cina juga menyaksikan penghijrahan manusia bermusim yang terbesar, apabila warga luar bandar yang bekerja di kawasan bandar China, serta juga orang Cina seberang laut di seluruh dunia pulang ke kampung halaman untuk berjamuan bersama sanak saudara pada malam tahun Baru. Tempoh ini dipanggil "Chunyun" (Cina Tradisional: 春運, Cina Ringkas: 春运) dan boleh disamakan dengan fenomena "balik kampung" sewaktu masyarakat Melayu menyambut Aidilfitri. Masyarakat Cina Malaysia tidak terkecuali daripada balik kampung, maka timbulnya keperluan mengetatkan kawalan keselamatan jalan raya khususnya untuk perayaan ini seperti mana yang dijalankan ketika Aidilfitri.

Rumah terbuka

sunting

Ketika menyambut perayaan utama di Malaysia, rumah terbuka diadakan oleh golongan pembesar negeri untuk menjemput rakyat berbilang kaum dan agama, dan juga pelancong asing, beraya bersama-sama. Tahun Baru Cina tidak terkecuali, dan rumah terbuka perayaan ini dianjurkan oleh pembesar kaum Cina.

Perayaan di luar China Raya

sunting
 
Hiasan pada perayaan Tahun Baru Cina – Sungai Hongbao 2016, Singapura

Tahun Baru Cina juga disambut setiap tahun di banyak negara yang menempatkan penduduk Cina yang penting. Ini termasuk negara di seluruh Asia, Oceania, dan Amerika Utara. Sydney,[20] London,[21] dan San Francisco[22] mendakwa menjadi tuan rumah sambutan Tahun Baru yang terbesar di luar Asia dan Amerika Selatan.

Asia Tenggara

sunting

Di beberapa negara Asia Tenggara, Tahun Baru Cina ialah cuti umum negara dan dianggap salah satu cuti tahunan terpenting. Malam Tahun Baru Cina biasanya cuti separuh hari bagi Malaysia dan Singapura. Perayaan terbesar berlangsung di Malaysia (terutamanya di Kuala Lumpur, George Town, Johor Bahru, Ipoh dan Klang) dan Singapura.[23]

Ucapan

sunting

Tahun Baru Cina diserikan dengan ucapan yang diucap dengan kuat, yang dikenali sebagai "ungkapan pembawa tuah" (Cina Tradisional: 吉祥話, Cina Ringkas: 吉祥话, pinyin: jíxiáng hùa).

Selamat Tahun Baru

sunting

"Selamat Tahun Baru" (新年快乐); bahasa Hokkien (POJ): Sin-nî khòai-lo̍k) ialah ucapan kontemporari yang mencerminkan pengaruh barat ini diterjemah secara literal dari ucapan Happy new year yang kerap didengar di negara Barat. Namun di bahagian utara China, "guò nián hǎo" (Cina Tradisional: 過年好, Cina Ringkas: 过年好) yang dijadikan ucapan tradisi, bagi membezakannya dari Tahun Baru antarabangsa, boleh dipakai dari hari pertama hingga hari kelima tahun baru.

Gong xi fa cai

sunting
 
Kung Hei Fat Choi di Lee Theatre Plaza, Hong Kong

"Gong xi fa cai" (恭喜发财) ; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki". Ungkapan ini yang sering tersalah angggap sebagai bersinonim dengan "Selamat tahun baru" mula digunakan berabad-abad lalu. Dua aksara pertama ungkapan ini mempunyai kepentingan sejarah yang lebih lama (menurut legenda, ucapan tahniah adalah bagi kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, namun secara praktis ini juga boleh melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk)[24]; manakala dua aksara terakhir ditambah sebagai menyentuh idea kapitalisme dan konsumerisme yang makin penting di kalangan masyarakt Cina seluruh dunia. Ucapan ini kerap didengar di kalangan komuniti yang berbahasa Inggeris sewaktu Tahun Baru Cina di beberapa tempat dsi dunia yang mempunyai komuniti berbahasa Cina yang ketara, termasuk komuniti pendatang Cina yang lama menetap selama beberapa generasi, serta pendatang baru dari tanah besar China, Hong Kong, Macau dan Taiwan, dan pendatang transit (khususnya golongan siswa).

Ucapan lain

sunting

Terdapat ucapan lain bagi Tahun Baru Cina, antaranya boleh dijerit dengan sekuatnya tanpa mengira penerima dalam situasi tertentu. Contohnya, memecah objek ketika tahun baru dianggap tidak bagus, dan jika berlakunya sedemikian "Suìsuì píng'ān" (Cina Tradisional: 歲歲平安, Cina Ringkas: 岁岁平安) diucapkan serta-merta, yang bermakna "semoga keamanan berkekalan tahun demi tahun". (Suì, bermaksud "usia") sama bunyi dengan ("pecah"), sebagai demonstrasi bagi kegemaran orang Cina "bermain-main" dengan perkataan dalam bahasa mereka. Melalui cara yang sama, 年年有餘 (Niánnián yǒuyú), hajat penambahan hasil setiap tahun, memanipulasi suku kata yú yang juga ditulis (ikan), menjadikannya ungkapan utama bagi sajian tahun baru berikan dan juga lukisan dan grafik ikan yang digantung pada dinding atau dijadikan hadiah.[2][9]

Ucapan-ucapan ini juga diujar sebelum menerima angpau oleh kanak-kanak, apabila bertukar hadiah, menziarahi tokong, atau ketika melambung ramuan-ramuan yee sang di Malaysia dan Singapura.

Kanak-kanak nakal sering berjenaka dengan mengucap (Cina Tradisional: 恭喜發財,紅包拿來, Cina Ringkas: 恭喜发财,红包拿来, pinyin: Gōngxǐ fācái, hóngbāo nálái), yang diterjemah menjadi "Tahniah dan semoga peroleh rezeki, mintalah bagi angpau."

Pantang-larang sewaktu perayaan

sunting

Tuah baik

sunting
  • Membuka pintu dan tingkap dianggap menjemput masuk tuah pada tahun baru.
  • Membiarkan lampu menyala semalaman dipercayai menghalau hantu dan puaka pembawa musibah yang mampu mempengaruhi nasib sekeluarga sepanjang tahun.
  • Gula-gula dan manisan dimakan untuk "memaniskan" nasib sepanjang tahun bagi pemakannya.
  • Pembersihan rumah di setiap sudut wajib dilangsungkan sebelum hari tahun baru agar mudah menerima tuah bagi tahun yang menjelang.
  • Ada orang yang percaya bahawa apa yang berlaku pada hari pertama mencerminkan peristiwa yang akan berlangsung sepanjang tahun.
  • Memakai selipar baru yang dibeli sebelum tahun baru bermaksud memijak orang yang bergosip tentang pemakainya.

Nasib Malang ("Tuah buruk")

sunting
  • Membeli kasut baru dianggap pembawa malang bagi sesetengah orang Cina kerana perkataan bahasa Kantonis bagi "kasut" sama bunyinya dengan perkataan "kasar" atau "sukar".
  • Membeli seluar baru juga dipandang sebagai pembawa malang kerana perkataan Kantonis bagi "seluar" sama bunyinya dengan "pahit". (Namun ada yang menganggapnya sebagai positif, kerana perkataan bagi "seluar" dalam dialek itu juga sama bunyinya dengan "kaya".)
  • Menggunting rambut juga ditegah kerana perkataan bagi rambut sama bunyinya dengan hasil. Maka menggunting rambut juga dipandang sebagai "memotong hasil dalam bahasa Kantonis".
  • Mencuci rambut juga dianggap sebagai mencuci keluar kekayaan (namun perihal kebersihan sering telah mengatasi tradisi ini.)
  • Menyapu lantai juga dilarang pada hari pertama kerana ini akan menyapu keluar tuah bagi tahun baru.
  • Perbualan mengenai kematian juga kurang sesuai bagi beberapa hari terawal Tahun Baru Cina kerana ini turut dianggap tidak bagus.
  • Membeli buku juga membawa malang kerana perkataan sesetengah dialek Cina bagi "buku" sebunyi dengan perkataan bagi "kalah".

Rujukan

sunting

Nota kaki

sunting
  1. ^ http://www.visitsingapore.com/festivals-events-singapore/cultural-festivals/chinese-new-year/
  2. ^ a b c d "CHUNJIE, Spring Festival (The Chinese New Year) (1st of the 1st month)" (dalam bahasa Cina). huayinet.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-03-07. Dicapai pada 21 Januari 2008.
  3. ^ a b "Chinese New Year's Eve Dinner aka Reunion Dinner". Everything2. 20 Januari 2004. Dicapai pada 21 Januari 2008.
  4. ^ "Chinese New Year Customs Around the World". Quick Brown Fox. Mac 2006. Dicapai pada 21 Januari 2008..
  5. ^ a b "Celebrating Chinese Lunar New Year in a Cantonese's Way". NewsGD.com. Dicapai pada 21 Januari 2008.
  6. ^ "Chinese New Year". Kiwi Families for Passionate Parents. Dicapai pada 21 Januari 2008.
  7. ^ a b "Yan Yat: Everybody's Birthday". Christine O'Keeffe's New Year Legends. Dicapai pada 21 Januari 2008.
  8. ^ a b "Lo Hei". Mana Makan - The Feast Crusade. 2006-01-28. Dipetik 2008-01-21.
  9. ^ a b c "Yu San (Chinese New Year Fish Salad)". DimSum. 2001-01-01. Dicapai pada 21 Januari 2008.
  10. ^ "Chinese New Year". HK Information. Dipetik 2008-01-21.
  11. ^ "Firecrackers Singapore". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-13. Dicapai pada 2008-01-10.
  12. ^ Yardley, J. (27 Januari 2006). "Bang is back for Beijing's New Year". International Herald Tribune. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-12. Dicapai pada 2008-01-21.
  13. ^ "Book soul 1970". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-11-21. Dicapai pada 2008-01-10.
  14. ^ Chingay Past
  15. ^ Akbur M., Peer (2002). Policing Singapore in the 19th and 20th centuries. Angkatan Polis Singapura. m/s. 100. ISBN 981-04-7024-X.
  16. ^ "Singkawang dan Pinyuh Sepi Petasan, YBS Setuju Imlek Tanpa Petasan". Equator Online, Kalbar. 2003-01-30. Dipetik 2008-01-21.
  17. ^ "Can you pig it? New York goes hog-wild for Chinese New Year". New York Post. 2007-02-17. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-09-06.
  18. ^ "HAPPY NEW YEAR part 3, News Archive - Feb 2003". 2003-02-03. Dipetik 2008-01-21
  19. ^ "fu dao". Everything2. 2002-12-23. Dipetik 2008-01-21.
  20. ^ "Chinese New Year parade doomed as Baird government's new route 'too narrow' for floats". Smh.com.au. 2015-08-15. Dicapai pada 2019-02-11.
  21. ^ "London – Chinese New Year – "The largest celebrations outside of Asia"". BBC. 22 Januari 2009. Dicapai pada 2 November 2011.
  22. ^ Kim, Ryan (28 Februari 2010). "Year of the Tiger off to roaring start at parade". San Francisco Chronicle. Dicapai pada 1 Mac 2010.
  23. ^ "Chinese New Year in Southeast Asia". Goseasia.about.com. Dicapai pada 2 November 2011.
  24. ^ "The origins and meaning of Gong Xi Fa Cai". Daily Express. 2007-02-17. Dipetik 2008-01-21.

Pautan luar

sunting