Tahun Kesedihan

(Dilencongkan dari Tahun Dukacita)

Dalam sejarah Islam dan sirah nabawiyah, Tahun Kesedihan atau Tahun Dukacita (Arab: عام الحزن; 'Aam al-Huzn) ialah gelaran suatu tahun dalam takwim Islam yang bertepatan dengan tahun ke-10 kenabian, dan 619[1] atau 620[2] M. Ia dinamakan sedemikian kerana kedua-dua Abu Talib dan Khadijah binti Khuwailid—bapa saudara dan isteri pertama Muhammad—meninggal dunia pada tahun itu.

Ar-Raheeq Al-Makhtum menyebut bahawa Abu Talib jatuh sakit dan meninggal dunia pada bulan Rejab atau Ramadan. Khadijah pula meninggal dunia selepas itu pada bulan Ramadan.[3]

Dalam Nur-ul-Absar pula, pengarangnya menyebut bahawa tarikh kematian Abu Talib ialah 1 Zulkaedah selepas berakhirnya sekatan ekonomi terhadap orang Islam selama 8 bulan 21 hari.[4] Khadijah pula meninggal dunia beberapa hari kemudian. Boikot para penduduk Makkah telah memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka berdua yang telah tua.[5]

Antara cara Allah memujuk baginda ialah melalui peristiwa Israk dan Mikraj.[6]

Setelah kematian Abu Talib, yang merupakan ketua suku Banu Hashim, Muhammad kehilangan jaminan keamanan dalam sistem kesukuan di Arabia pada waktu itu, dan mulai dikenakan tindakan ganas di Mekah. Dia pergi ke Ta'if untuk meminta pertolongan dan menyeru penduduknya untuk memeluk Agama Islam, tetapi orang-orang Ta'if menolak.

Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Muhammad meminta jaminan keselamatan dari beberapa pemimpin suku di Mekah. Muth'im bin Adi, pemimpin klan Banu Naufal, menerima permintaan ini dan mengantar Muhammad ke Mekah dan mengumumkan bahawa Muhammad berada di bawah jaminan puaknya.

Meninggalnya Khadijah sunting

Khadijah binti Khuwailid adalah isteri pertama Muhammad dan satu-satunya isteri selama 25 tahun sehingga kematiannya. Dia meninggal pada tahun 619 Masihi pada usia 65 tahun.[7] Pada masa itu Muhammad berusia hampir 50 tahun, dan kejadian ini berlaku tidak lama setelah boikot Quraisy terhadap suku Muhammad, Banu Hasyim.[7] Dengan boikot ini, penduduk Mekah dilarang berniaga dan menjalankan urusan lain dengan keluarga Muhammad.[8] Ini mengakibatkan kekurangan makanan yang mungkin menyebabkan kematian Khadija. [9]

Meninggalnya Abu Talib sunting

Abu Talib adalah salah seorang bapa saudara Muhammad, dan merupakan pemimpin suku Banu Hashim. Dia membesarkan Muhammad dalam keluarganya sendiri setelah kematian datuk Muhammad, Abdul Muttalib (ayah dan ibu Muhammad telah meninggal). [10] Sebagai pemimpin suku, dia menjadi pelindung Muhammad dalam sistem kesukuan di Arab, dan terus mempertahankan keponakannya bahkan setelah dia memusuhi pihak-pihak di suku Quraisy setelah menyeru Islam. [11] Menurut kebiasaan di Mekah pada waktu itu, jaminan atau perlindungan suku seperti ini tidak dapat dilanggar, sehingga musuh-musuh Muhammad tidak dapat berbuat banyak. [11]

Walaupun dia melindungi Muhammad, Abu Talib sendiri tidak memeluk Islam, dan pada akhir hayatnya Muhammad mengajaknya masuk Islam dengan mengucapkan kata-kata shahada. [12] Adik Abu Talib, Al-Abbas, yang juga hadir ketika kematian Abu Talib merasa bahawa dia mendengar saudaranya membaca shahada, tetapi Muhammad tidak mendengarnya.[12] Setelah Abu Talib meninggal, Muhammad ingin berdoa kepada Allah untuk meminta pengampunan untuk mendiang pamannya, tetapi menurut riwayat Muslim, pada masa itu Muhammad menerima wahyu dari Allah yang menyatakan bahawa seorang tidak layak untuk seorang Nabi dan orang-orang yang beriman untuk meminta ampunan Allah bagi orang-orang musyrik, bahkan saudara mereka sendiri. [13][14]

Kehilangan perlindungan suku sunting

Kematian Abu Talib bermaksud bahawa Muhammad tidak lagi dijamin keselamatannya oleh suku sendiri. Kedudukan Abu Talib digantikan oleh adiknya Abu Lahab. Walaupun Abu Lahab juga saudara bapa Muhammad, ia tergolong orang yang keras menentang Islam dan perlindungannya tidak dapat diandalkan.[15] Muhammad tidak menemui pemimpin suku lain yang mahu melindunginya, [9] sehingga menurut adat istiadat Mekah pada waktu itu statusnya tidak dilindungi sama sekali dan boleh dibunuh tanpa pembalasan. [9][13]

Rujukan sunting

  1. ^ Bab A Restatement of the History of Islam and Muslims "Muhammad's Visit to Ta'if" di Al-islam.org
  2. ^ Wife of the Prophet Muhammad (SAWAS) Ummah.com
  3. ^ Safi-ur-Rahman al-Mubarkpuri (1995). "The Year of Grief". Ar-Raheeq Al-Makhtum (kulit keras) |format= requires |url= (bantuan) (dalam bahasa Inggeris). Riyadh: Maktaba Dar-us-Salam. m/s. 123–126.
  4. ^ Imam al-Mahdi (a) oleh Ayatollah Sayyid Sadr-al-Din al-Sadr di al-shia.com
  5. ^ The Excellent Exemplar - Muhammad IslamAhmadiyya - Ahmadiyya Muslim Community - Al Islam Online
  6. ^ Syahidatul Akmal Dunya (23 Mei 2014). "Sains di sebalik Israk, Mikraj". Dicapai pada 9 Ogos 2014.
  7. ^ a b Lings 2006, m/s. 98.
  8. ^ Armstrong 2007, m/s. 12–13.
  9. ^ a b c Armstrong 2007, m/s. 13.
  10. ^ Lings 2006, m/s. 28.
  11. ^ a b Lings 2006, m/s. 55.
  12. ^ a b Lings 2006, m/s. 99.
  13. ^ a b Al-Mubarakfuri 2016, halaman 146–147
  14. ^ Qur'an Templat:Pranala quran id
  15. ^ Lings 2006, m/s. 100.