Takhta Bunga Kekwa

Takhta Bunga Kekwa (皇位, kōi, "Semayam Diraja") merupakan gelaran yang diberikan untuk takhta kerajaan Jepun bergelar Maharaja, satu-satunya ketua negara yang memegang gelaran 'maharaja' di dunia. Bunga kekwa (Bahasa Jepun: 菊花, translit. kikuka) merupakan lambang khusus kekuasaan baginda terpapar dalam cap mohor yang digunakan baginda.

Singgahsana Takamikura (高御座) digunakan untuk upacara naik takhta Maharaja Naruhito di istana diraja Kyoto tahun 2019.

Takhta Kekwa merupakan monarki tertua di dunia. Menurut babad sejarah Jepun bertajuk Nihon Shoki, kerajaan Jepun diasaskan oleh Maharaja Jimmu pada 660SM maka maharajanya yang terkini, Naruhito, merupakan keturun baginda yang ke-126. Ini berdasarkan rekod yang tertulis sejak pemerintahan Maharaja Ojin pada awal kurun ke-5. Walaupun lapan orang Maharani pernah memerintah Jepun pada suatu ketika, ini tidak lagi berlaku pada masa kini disebabkan undang-undang yang dicipta oleh Agensi Rumah Tangga Diraja dan Badan Penasihat Raja pada pertengahan kurun ke-19.

Maharaja Jepun (tennō 天皇, "raja di langit") bertindak sebagai ketua tertinggi agama Shinto, walaupun kuasanya dikurangkan oleh perlembagaan baharu yang digubalkan setelah Perang Dunia Kedua. Menurut perlembagaan Jepun, Maharaja merupakan simbol kesatuan negara dan rakyat; baginda tidak memiliki kuasa politik yang sebenar dan dianggap sebagai ketua negara menurut adat-istiadat dan seorang raja berperlembagaan.