Takungan Abberton

takungan di United Kingdom

Takungan Abberton ialah takungan simpanan air tawar yang dipam di timur England berhampiran pantai Essex, dengan keluasan 700 hektar (1,700 ekar). Kebanyakan airnya dipam dari sungai Stour. Ia adalah jasad air tawar terbesar di Essex.

Takungan Abberton
تاكوڠن ايببرتن
Pandangan udara takungan
Takungan Abberton is located in Bumi
Takungan Abberton
Takungan Abberton (Bumi)
Lokasilnik= Essex, England
Koordinat51°49.2′N 00°51.6′E / 51.8200°N 0.8600°E / 51.8200; 0.8600Koordinat: 51°49.2′N 00°51.6′E / 51.8200°N 0.8600°E / 51.8200; 0.8600
JenisTakungan, rizab alam
Nama asliAbberton Reservoir
Aliran masuk utamaDipam dari sungai Stour dan sungai Great Ouse
Badan pengurusan
Dibina pada1935; 89 tahun yang lalu (1935)
Limpahan pertama1939
Luas permukaan700 he (1,700 ekar)
Kedalaman maksimum17 m (56 ka)
Isi padu air41,000 megaliter (9.0×109 imp gal)
Laman sesawangwww.essexwt.org.uk/nature-reserves/abberton
Ditetapkan24 Julai 1981
No. rujukan
220[1]

Dibina antara tahun 1935 dan 1939, Takungan Abberton dimiliki dan diuruskan oleh Essex and Suffolk Water—sebahagian daripada Northumbrian Water Group—dan terletak 6 km (3.7 bt) dari barat daya Colchester berhampiran kampung Layer de la Haye. Semasa Perang Dunia II, takungan itu dipasang dengan periuk api laut untuk menghalang pencerobohan kapal terbang laut, dan digunakan oleh Skuadron No. 617 Tentera Udara Diraja British ("The Dam Busters") untuk latihan bagi pengeboman empangan-empangan Jerman di Ruhr. Satu projek bagi meningkatkan kapasiti Takungan Abberton kepada 41,000 megaliter (9.0×109 imp gal) dengan meninggikan tebingnya telah siap pada tahun 2013, bersama-sama dengan sambungan baharu untuk memindahkan air dari sungai Ouse di Norfolk ke Stour.

Takungan air itu penting untuk pembiakan burung dendang air, langkau sejuk serta penyalinan bulu bagi unggas air dan burung hijrah. Takungan itu juga merupakan tanah bencah yang penting di peringkat antarabangsa yang ditetapkan sebagai tapak Ramsar, Tapak Kepentingan Saintifik Khas dan Kawasan Perlindungan Khas serta disenaraikan dalam karya A Nature Conservation Review. Sebahagian kecil tapak ini diuruskan oleh Amanah Hidupan Liar Essex.

Sejarah sunting

Essex adalah salah satu kaunti paling kering di United Kingdom,[2] di mana ia terletak di kawasan England Timur yang merupakan bahagian terkering di Britain.[3] Projek besar pertama untuk menangani keperluan air tempatan ialah penubuhan South Essex Waterworks Company pada tahun 1861, yang mengambil air dari akuifer kapur di bawahnya melalui telaga dan lubang gerek. Ini membekalkan air di kawasan timur laut London dari East Ham ke Grays dan Brentwood. Walaupun telaga baharu digali, dengan tercetusnya Perang Dunia I, permintaan air melebihi bekalan dan akhirnya keperluan untuk mencari sumber baharu membawa kepada pembangunan takungan baharu.[pet. 1]

Akta Parlimen 1928 memberi kuasa kepada syarikat air untuk merancang dan mengawasi pembinaan takungan baharu untuk membekalkan air di kawasan tempatan, dan undang-undang selanjutnya pada tahun 1935 meluluskan prasarana yang diperlukan dari segi saluran paip ke Stour, stesen pam dan loji rawatan air.[pet. 1] Takungan itu dibina di antara tahun 1935 dan 1939 di tapak yang dahulunya merupakan tanah ladang dengan beberapa hutan kecil, dengan mengempang anak sungai Layer Brook, walaupun kebanyakan airnya dipam masuk dari sungai Stour, 14 km (8.7 bt) ke timur laut takungan.[pet. 2]

Tembok empangan setinggi 690 m (2,270 ka) telah dibina menggunakan tanah liat London untuk membina teras lempung kedap yang tidak telap. Lapisan tanah dan kerikil dilonggokkan pada kedua-dua sisi teras tanah liat untuk meningkatkan kekuatan empangan. Bangunan sedia ada dan tumbuhan dibersihkan dari dalam sempadan lembangan takungan, serta tanah atas digondolkan dan digunakan untuk memprofilkan tepian takungan. Anjung konkrit dan jalan raya meliputi 13.7 kilometer (8.5 bt) bagi perimeter sepanjang 17.7-kilometer (11.0 bt). Dua jalan raya sedia ada dikekalkan, melintasi hujung barat takungan pada tambak yang disiapkan pada Mei 1939. Takungan itu pada asalnya mengandungi 25,000 megaliter (5.5×109 imp gal) air.[pet. 1]

Perang Dunia II sunting

Takungan Abberton pertama kalinya diisi sebelum bermulanya Perang Dunia II pada 1939 dan Kementerian Pertahanan gusar di mana takungan itu mungkin digunakan oleh kapal terbang laut Jerman sebagai sebahagian daripada kegiatan pencerobohan. Bagi mengatasinya, 312 periuk api laut yang dipautkan dengan kabel keluli diletakkan dalam suatu grid merentasi takungan. Kabel-kabel keluli itu dibentangkan merentasi bahagian takungan yang paling hampir dengan stesen pam kerana lombong yang meletup mungkin boleh merosakkan bangunan. Ada periuk api yang diletupkan oleh ais secara tidak sengaja, tetapi kebanyakannya telah meletup selepas perang oleh tentera yang melepaskan tembakan dari tebing.[pet. 3]

Sebuah pesawat pengebom Heinkel Jerman yang pulang dari serbuan di padang terbang Hornchurch ditembak jatuh di atas Abberton pada 24 Ogos 1940. Salah seorang daripada anak kapalnya yang terjun keluar dari pesawat ditangkap dan yang lain pula lemas.[pet. 3]

Takungan Abberton digunakan oleh Skuadron No. 617 RAF ("The Dam Busters") sebagai tempat latihan bagi serangan terhadap empangan-empangan Jerman di sungai Ruhr ketika Perang Dunia II (Operasi Chastise). Takungan ini dirancang untuk meniru Empangan Edersee di Jerman.[4] Pesawat pengebom Lancaster yang dipasang dengan bom lantun khas, direka bentuk oleh Barnes Wallis telah digunakan untuk latihan-latihan ini[5] dan polis tentera menutup tambak semasa latihan dijalankan.[6] Penerbangan latihan terakhir merupakan raptai lengkap serangan Ruhr dan dilangsungkan pada malam 14 Mei 1943.[7] Serangan sebenar terhadap empangan-empangan di Jerman berjalan dua malam kemudian pada 16 Mei 1943.[8] Empangan Edersee diserang dan dipecahkan selepas empangan Möhne berjaya dimusnahkan.[9]

Pembesaran sunting

Pemilik semasa takungan Abberton iaitu Essex and Suffolk Water, anak syarikat kepada Northumbrian Water Group mengesahkan pada 2007 bahawa kapasiti takungan air tersebut tidak memadai untuk memenuhi permintaan tempatan yang semakin meningkat.[10] Projek pembesaran bernilai £140 juta dimulakan bagi meningkatkan kapasitinya kepada 41,000 megaliter (9.0×109 imp gal) dengan meninggikan tebing takungan. Projek yang selesai pada tahun 2013[11] itu juga termasuklah menggantikan laluan sedia ada dari Stour ke Abberton dengan paip baharu serta berkapasiti lebih tinggi, melalui laluan berbeza dan mengambil air dari Wormingford bukannya Stratford St. Mary.[2][12]

Bahagian utama lain projek adalah untuk membolehkan pengalihan air dari Ouse, 141 kilometer (88 bt) dari Norfolk[pet. 2] ke takungan melalui Stour.[2] Saluran-saluran paip dan prasarana berkaitan sedia adas eperti stesen pam membawa air dari Ouse di Denver ke Kirtling Green. Dari situ, terowong sepanjang 15.5 kilometer (9.6 bt) yang baharu dibina ke Wixoe, di mana saluran-saluran paip sedia ada telah melengkapkan pengalihan ke Stour.[10][13]

Takungan Abberton mempunyai keluasan maksimum semasa 535 hektar (1,320 ekar) dan tiga seksyen yang diasingkan oleh tambak-tambak Layer Breton dan Layer de la Haye. Seksyen utamanya di paling timur asalnya berukuran 140 hektar (350 ekar) telah diperbesar kepada saiz semasa 535 hektar (1,320 ekar) pada tahun 2013, manakala seksyen pusat melitupi keluasan 49 hektar (120 ekar) dan seksyen barat pula 16 hektar (40 ekar).[11] Kedalaman air maksimum semasa adalah kira-kira 17 meter (56 ka), 3.2 meter (10 ka) lebih dalam berbanding sebelum skim pembesaran.[2]

Pada tahun-tahun lembap, Abberton dan takungan air utama Essex yang lain di Hanningfield mampu memenuhi keperluan 750 ribu penduduk di Essex dan timur laut London dengan hanya menggunakan air dari Stour dan sumber-sumber tempatan yang lain. Walau bagaimanapun, dalam tahun purata 7% daripada aliran masuk melibatkan pengalihan dari Ouse, meningkat kepada 35% semasa musim kemarau.[14][10]

Ekologi sunting

 
Peta kawasan takungan Abberton.
LBC: Tambak Layer Breton
LDNC: Tambak Layer de la Haye
     Rizab alam
     Laluan dan tempat hendap burung
     Pusat pelawat

Takungan Abberton merupakan jasad air tawar terbesar di Essex dan terletak 6 kilometer (3.7 bt) di barat daya Colchester berhampiran kampung Layer de la Haye dan kurang dari 8 kilometer (5.0 bt) dari pesisir laut.[11] Seksyen barat dan tengah takungan ini mempunyai pantai semula jadi dengan tumbuhan mensiang dan dedalu yang berdekatan dengan air, mencerun ke padang rumput lembap dan padang tanaman. Bahagian utama takungan pada asalnya mempunyai sempadan konkrit, tetapi lapis lindung sepanjang 12 kilometer (7.5 bt) dan jalan perimeternya telah dipecahkan semasa projek pengembangan di antara tahun 2010 dan 2013. Kebanyakkan sisi diprofilkan semula untuk menjadikannya lebih menarik bagi burung-burung air. Tanah bersebelahan yang berkeluasan 200 hektar (490 ekar) kini diuruskan oleh Essex and Suffolk Water dan Amanah Hidupan Liar Essex untuk meningkatkan biokepelbagaian di kawasan sekelilingnya.[11]

Reka bentuk baharu mencipta kolam di sekeliling sempadan takungan dan membenarkan penciptaan tanah rawa di sebelah barat tambak Layer de la Haye. Pembetung di bawah tambak itu disekat bagi membenarkan aras air di seksyen barat dikawal secara bebas oleh jasad utama air.[2]

Burung sunting

Abberton telah menjadi tempat tenggeran musim sejuk bagi burung dendang air dari 1950-an dan menjadi koloni sarang pokok pertama di England apabila lapan pasangan burung dibiakkan di situ pada tahun 1981. Terdapat 584 pasangan pada 1993, walaupun bilangannya telah menurun kepada sekitar 180 pasangan. Burung bangau kecil pertama kalinya membuat sarang di situ pada 2014, dengan jumlahnya menjadi 31 pasangan menjelang 2019 manakala sepasang burung bangau kendi membiak pada 2010. Kawasan tersebut turut mempunyai 20 pasangan bagi tiap-tiap burung siul Cetti dan rindu malam. Spesies tanah ladang tipikal seperti burung bunting jagung, yellowhammer dan pungguk jelapang juga membiak di kawasan perlindungan itu. Sehingga lapan pasangan burung rapang gelang kecil membiak di tepian takungan yang diprofilkan semula.[11]

Takungan ini merupakan tapak utama bagi langkau sejuk unggas buruan dan mempunyai bilangan burung yang terbesar di kawasan jasad air pedalaman United Kingdom, biasanya menampung sekitar 35 ribu burung tetapi boleh meningkat sehingga 40 ribu pada musim sejuk yang teruk. Ia mempunyai kepentingan antarabangsa bagi langkau sejuk untuk burung-burung itik bemban, itik paruh bajak dan itik bersiul serta kepentingan kebangsaan untuk swan bisu, teal, itik selam, itik jambul, Bucephala, pangling hitam dan grebe jambul besar. Kebanyakan itik juga akan bersalin bulu semasa mereka berada di takungan air ini. Terdapat sebilangan besar burung randai pada musim dingin, termasuklah kedidi ekor hitam, kedidi ropol, rapang utara dan kedidi emas Eropah. Semasa musim itu juga, burung pucong danau secara kerapnya berada di hujung barat takungan, manakala lang sayap hitam, merlin, falko belalang dan lang kepala putih akan memburu di padang rumput bersempadan.[11]

Lokasinya yang berhampiran dengan pantai bermakna Abberton mungkin mempunyai spesies lebih langka seperti itik smew dan itik ekor panjang, serta jarang termasuklah itik teal sayap biru (1996), canvasback pertama Britain (1997–2001) dan itik Aythya affinis (2004–2005).[11] Burung tern langka seperti camar tiram yang membiak pada 1949 dan 1950, camar Kaspian, camar batu berumbai, camar kepak putih, lima daripada spesies terakhir hadir bersama pada Mei 2019. Spesies langka lain termasuklah bunting ortolan (2019), camar Bonaparte (2017, 2019), camar Franklin (2016), wheatear gurun (2012). Terdapat juga banyak rekod bagi burung falko kaki merah dan sualo gua selama bertahun.[11]

Hidupan liar lain sunting

Selain burung, Abberton juga menjadi habitat bagi memerang, mencit air, kelinci Eropah dan lapan spesies kelawar serta binatang lain seperti cicak, ular rumput dan neut jambul besar. Serangga yang hadir termasuklah dua spesies kekabuh langka seperti Rhynchites auratus dan Anthribus fasciatus.[11]

Pengenalan udang krai isyarat dari Amerika menjadi masalah kerana saiznya yang lebih besar dan pembiak baka yang lebih prolifik berbanding dengan spesies asal udang krai cakar putih yang digantikan. Mereka juga menggali lubang di tebing sungai, yang mungkin mengurangkan kawasan tersedia untuk tumbuh-tumbuhan akuatik di Abberton dan meningkatkan jumlah endapan yang memasuki takungan dari Layer Brook.[15]

Perlindungan sunting

Abberton ditetapkan sebagai satu Kawasan Perlindungan Khas pada 5 Disember 1991 hasil daripada populasi langkau musim sejuk bagi burung kedidi emas, itik bemban, itik paruh sudu dan teal serta populasi membiak bagi burung dendang air. Terdapat juga bilangan signifikan burung kedidi ekor hitam, rapang, pangling hitam, Bucephala,[16] itik jambul, itik selam, itik runcing utara, itik bersiul dan grebe jambul besar.[16]

Kawasan ini juga merupakan tanah lembap dengan kepentingan antarabangsa setelah ditetapkan sebagai tapak Ramsar pada tahun 1981[1][17] dan menjadi Tapak Kepentingan Saintifik Khas pada 1998,[18][19] tiga tahun selepas Takungan Hanningfield menerima status yang sama.[20]

Sebahagian kecil tapak ini diuruskan sebagai hutan simpan oleh Amanah Hidupan Liar Essex.[21]

Capaian sunting

 
Pusat pelawat Abberton

Amanah Hidupan Liar Essex mempunyai tempat letak kereta dan cagar alam Taman Penemuan Alam Takungan Abberton di hujung utara tambak Layer de la Haye. Terdapat juga pusat pelawat dengan kedai, kafé, tandas dan kawasan permainan, serta tiga rumah pemerhatian burung; dua menghadap ke selatan dan timur ke seksyen utama, dan satu lagi di hutan cerang. Pusat pelawat dan rizab dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang setakat 2021.[21]

Seksyen barat dan tengah boleh dilihat dari tambak-tambak Layer Breton dan Layer de la Haye; di mana Layer de la Haye juga memberikan pemandangan bagi seksyen utama. Tiada akses awam ke seksyen barat, tetapi tempat letak kereta di hujung selatan tambak Layer de la Haye memberikan capaian kepada skrin tontonan dan skrap (kawasan lumpur bebas tumbuh-tumbuhan) untuk pengembara di seksyen utama. Sebahagian daripada seksyen utama yang lain boleh dilihat dari laluan pejalan kaki awam dan Gereja St Andrews di kampung Abberton.[11]

Rujukan sunting

  1. ^ a b "Abberton Reservoir" [Takungan Abberton]. Perkhidmatan Maklumat Tapak Ramsar (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2018. Dicapai pada 25 April 2018.
  2. ^ a b c d e "Project Focus: Abberton Reservoir enlargement" [Projek Fokus: Pembesaran Takungan Abberton] (dalam bahasa Inggeris). WWT – Water & Wastewater Treatment. 22 Mei 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Januari 2021. Dicapai pada 5 Julai 2021.
  3. ^ "Eastern England: climate" [Timur England: Iklim] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Kaji Cuaca. 11 Oktober 2016. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 1 Ogos 2021. Dicapai pada 22 Mei 2021.
  4. ^ Sweetman, John (1982). Operation Chastise: The Dams Raid : Epic Or Myth [Operasi Chastise: Serbuan Empangan: Epik atau Mitos] (dalam bahasa Inggeris). Jane's. m/s. 65. ISBN 978-0-86-720557-2.
  5. ^ "The Incredible Story of the Dambusters Raid" [Kisah Luar Biasa Serbuan Dambusters] (dalam bahasa Inggeris). Imperial War Museums. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Oktober 2020. Dicapai pada 31 Oktober 2020.
  6. ^ "Abberton Reservoir – what was there before" [Takungan Abberton – apa yang ada sebelum ini]. Muzium Mersea (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 6 November 2020. Dicapai pada 31 Oktober 2020.
  7. ^ Holland, James (2013). Dam Busters: The True Story of the Inventors and Airmen Who Led the Devastating Raid to Smash the German Dams in 1943 [Dam Busters: Kisah Sebenar Pencipta dan Askar Udara yang Mengetuai Serbuan Memusnahkan untuk Menghancurkan Empangan-empangan Jerman pada 1943] (dalam bahasa Inggeris). Grove/Atlantic, Inc. m/s. 267–268. ISBN 978-0-8021-9306-3.
  8. ^ Lukasik, Sebastian H. "The triumph, and horror, of the Royal Air Force's 1943 'Dambusters Raid'" [Kemenangan dan kengerian, 'Serbuan Dambusters' Tentera Udara Diraja 1943]. Washington Post (Review) (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0190-8286. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mac 2020. Dicapai pada 31 Oktober 2020.
  9. ^ Harwood, Jeremy (2014). World War II From Above: An Aerial View of the Global Conflict [Perang Dunia II dari Atas: Suatu Pandangan Udara Konflik Sejagat] (dalam bahasa Inggeris). Voyageur Press. m/s. 127. ISBN 978-1-62788-236-1.
  10. ^ a b c "The Abberton Scheme Environmental Statement Non-technical Summary" [Ringkasan Bukan Teknikal Kenyataan Persekitaran Skim Abberton] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Northumbrian Water. Disember 2007. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 1 Ogos 2021. Dicapai pada 10 November 2020.
  11. ^ a b c d e f g h i j Holt, Chas; Wallis, Kim; Durham, Maurice; Ekins, Graham; Hearn, Richard; King, Roy (2020). "Great bird reserves: Abberton Reservoir" [Rizab burung besar: Takungan Abberton]. British Birds (dalam bahasa Inggeris). 113 (11): 686–704.
  12. ^ Jenkins, Jim. "Abberton Scheme: Wormingford Pumping Station" [Skim Abberton: Stesen Pam Wormingford] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Water Projects Online. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 19 Mei 2021. Dicapai pada 20 Mei 2021.
  13. ^ Jenkins, Jim. "Abberton Pipelines Project" [Projek Saluran Paip Abberton] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Water Projects Online. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 20 Mei 2021. Dicapai pada 21 Mei 2021.
  14. ^ Wilson, Daniel (2012). "Abberton Reservoir Enhancement" [Peningkatan Takungan Abberton] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Water Projects Online. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 20 Mei 2021. Dicapai pada 22 Mei 2021.
  15. ^ Acres, Miranda (10 Mac 2017). "Project Topsoil: Layer Brook and Abberton Reservoir" [Projek Tanah Atas: Layer Brook dan Takungan Abberton] (dalam bahasa Inggeris). Amanah Essex and Suffolk Rivers. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Mei 2021. Dicapai pada 19 Mac 2021.
  16. ^ a b "Abberton Reservoir" [Takungan Abberton] (PDF). Natura 2000 Standard Data Form (dalam bahasa Inggeris). Jawatankuasa Bersama Pemuliharaan Alam Semula Jadi. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 27 September 2020. Dicapai pada 4 November 2020.
  17. ^ "Designated and Proposed Ramsar sites in the UK and Overseas Territories & Crown Dependencies" [Tapak Ramsar yang Ditetapkan dan Diusulkan di UK dan Wilayah-wilayah Luar Negeri & Wilayah Tanggungan Mahkota] (dalam bahasa Inggeris). Jawatankuasa Bersama Pemuliharaan Alam Semula Jadi. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 November 2015. Dicapai pada 19 November 2015.
  18. ^ "Abberton Reservoir SSSI" [Takungan Abberton SSSI]. Tapak Kepentingan Saintifik Khas (dalam bahasa Inggeris). Natural England. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Mei 2021. Dicapai pada 25 Mei 2021.
  19. ^ "Map of Abberton Reservoir" [Peta Takungan Abberton]. Tapak Kepentingan Saintifik Khas (dalam bahasa Inggeris). Natural England. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mac 2016. Dicapai pada 30 Oktober 2015.
  20. ^ "Hanningfield Reservoir SSSI" [Takungan Hanningfield SSSI]. Tapak Kepentingan Saintifik Khas (dalam bahasa Inggeris). Natural England. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Mei 2021. Dicapai pada 25 Mei 2021.
  21. ^ a b "Abberton Reservoir Visitor Centre" [Pusat Pelawat Takungan Abberton] (dalam bahasa Inggeris). Amanah Hidupan Liar Essex. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Mac 2018. Dicapai pada 4 November 2020.

Petikan sunting

Karya yang dipetik sunting