Taman Negara Bukit Lambir

Taman Negara Bukit Lambir merupakan sebuah taman negara yang terletak di Miri, Sarawak, Malaysia. Ia terletak hanya sekitar 40 minit perjalanan dari Miri. Taman Negara Bukit Lambir memiliki satu ekosistem semulajadi yang pelbagai dan kompleks. Di Taman Negara Bukit Lambir terdapat kawasan hutan dipterokarpa tanah rendah dengan keluasan sekitar 6,952 hektar yang melitupi kawasan sehingga ketinggian 450 meter. Keluasan hutan ini dan dan perbezaan ketinggiannya membolehkan ia menampung tahap biodiversiti tumbuhan antara yang tertinggi di dunia.

Taman Negara Bukit Lambir

Pengunjung ke Taman Negara Bukit Lambir dapat melihat pelbagai fauna dan flora dengan lebih 237 spesis burung, tupai terbang, babi hutan, gibbon, beberapa jenis monyet, beberapa spesis rusa, serangga-serangga yang luar biasa pelik dan beberapa lagi invertebrate yang tinggal di sini.[1] Kepelbagaian ini turut menarik para saintis dari seluruh dunia untuk datang membuat kajian di sini. Bagi para pengunjung yang ingin berehlah, Taman Negara Bukit Lambir turut menawarkan mempunyai beberapa lorong denai yang sampai ke kawasan air terjun dan kolam mandi di seluruh taman. Kebanyakan trek ini saling bersambung antara satu sama lain, membolehkan pengunjung meneroka beberapa denai dalam masa satu hari.

Diantara laluan yang ada termasuk Laluan Denai Air Terjun Latak yang paling popular dan mudah dilalui. Ia boleh dilalui dalam masa 20 minit, melalui kawasan laluan air jernih melepasi dua air terjun yang cantik sebelum berjumpa dengan sebuah kolam mandi hutan yang besar dikelilingi dinding batu curam dan di penuhi oleh air dari air terjun Latak pada ketinggian 25 meter. Selain itu, terdapat kemudahan bilik persalinan, tandas dan kawasan berkelah. Kanak-kanak juga boleh mandi di kolam mini dengan selamat. Bagaimanapun pengunjung dinasihatkan berjaga-jaga, terutama pada kanak-kanak dan orang yang tidak pandai berenang, kerana terdapat beberapa kawasan kolam yang dalam di sini.


Lalaun Trek Puncak ditanda dengan merah/biru dan memakan masa 3 jam setengah perjalanan. Ia agak sukar bagi mereka yang tidak biasa, namun pengunjung dapat menikmati pemandangan indah serta orkid liar yang menjadikannya satu pengalaman yang berharga. Mereka yang tabah akan dapat berehat seketika di kolam mandi air terjun Dinding yang terdapat di sini. Lambir juga menyediakan beberapa trek sukar bagi mereka yang berpengalaman. Maklumat lanjut boleh didapati dari warden yang bertugas taman ini.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting