Tanda Putera merupakan sebuah filem drama politik Malaysia 2013 yang menceritakan kisah menurut pendapat pengarah Shuhaimi Baba mengenai persahabatan di antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya Peristiwa 13 Mei. Datin Paduka Shuhaimi Baba juga telah bertindak sebagai penerbit, pengarah dan penulis bagi filem ini. Filem ini juga membariskan pelakon seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim. Filem ini telah memenangi tiga anugerah dalam Anugerah Skrin 2014 [2] dan lima anugerah (termasuk Anugerah Khas Juri) dari sebelas pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-26.[3]

Tanda Putera
PengarahShuhaimi Baba
Penulis
  • Noraini Baba
  • Shuhaimi Baba
  • Haslina Samad
Lakon layarShuhaimi Baba
Cerita oleh
  • Noraini Baba
  • Shuhaimi Baba
  • Haslina Samad
Dihasilkan oleh
  • Shuhaimi Baba
  • Kavita Sidhu
  • Ibrahim Elias
  • Kamarul Nizam Abdul Rahman
Dibintangi
SinematografiFilus Ghazali
Disunting olehH. W. Kuang
Muzik olehSharon Paul
Syarikat
penerbitan
Tarikh tayangan
  • 29 Ogos 2013 (2013-08-29) (Malaysia)
Masa tayangan
115 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 4 Juta
Pecah panggungRM 0.93 Juta [1]

Plot sunting

Filem ini mengisahkan tentang persahabatan yang akrab di antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak (lakonan Rusdi Ramli) dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail (lakonan Zizan Nin) yang terpaksa berahsia serta mengetepikan masalah kesihatan yang dihadapi masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran daripada tercetusnya peristiwa hitam pada 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak terpaksa menyimpan rahsia tentang penyakit leukemia yang dihidapinya kerana tidak mahu keluarganya tertekan. Beliau juga bimbangkan keselamatan negara pada ketika itu. Mereka berdua juga telah berkongsi doktor melalui Dr. Macpherson (lakonan Ali Steven Shorthose). Bilik bacaan di rumah Tun Dr. Ismail telah dijadikan klinik rahsia untuk rawatan mereka tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga Tun Dr. Ismail sendiri.

Mereka memiliki aura yang kuat serta kecekalan dan keazaman mereka telah menangkap imaginasi pelajar seperti Zarah (lakonan Ika Nabila), tenaga pengajar Kara (lakonan Kavita Sidhu), dan seorang anak muda Zaman (lakonan Ahya U). Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail telah mencorakkan warna hidup warga muda seperti pelajar dan tenaga pengajar di institusi pendidikan tinggi ketika itu serta mereka yang bertugas di pejabat.

Apabila mengetahui penyakitnya akan membawa maut dalam masa dua tahun, Tun Abdul Razak bersyukur kerana rakan baiknya iaitu Tun Dr. Ismail yang juga dianggap sebagai orang kepercayaannya, bersifat jujur dan berintegriti akan dapat meneruskan rancangan mereka bagi pembangunan negara. Tun Abdul Razak juga yakin Tun Dr. Ismail akan dapat menunaikan janji untuk menjaga keluarganya nanti. Tetapi, apabila terjadinya perkara yang tidak disangka-sangka olehnya, Tun Abdul Razak mendapat kejutan besar yang hampir memudaratkan lagi kesihatannya.

Beliau telah mula mengejar masa untuk melaksanakan pelbagai perancangan bagi menjamin kestabilan serta masa depan negara. Beliau terpaksa menghadapi pelbagai ancaman daripada pihak komunis yang menyasarkan pembunuhan pemimpin tertinggi daripada jabatan polis. Krisis ini telah menjadi teruk apabila berlakunya pembunuhan Ketua Polis Negara (lakonan Norman Hakim) diikuti pembunuhan Ketua Polis Perak, keadaan menjadi semakin meruncing.

Tun Abdul Razak telah mengambil langkah yang lebih berani dengan membina hubungan diplomatik dengan Republik China bagi melemahkan pengaruh komunis tempatan walaupun dia dikecam oleh kuasa barat dan negara sekutu. Dalam masa yang singkat, Tun Abdul Razak telah membawa rakyat yang miskin seperti keluarga Zarah dan Zaman untuk keluar dari tahap kemiskinan tegar. Tun Abdul Razak juga telah menanam semangat baru di dalam diri Zaman, Zarah serta rakan-rakan mereka.

Namun, perjuangan Tun Abdul Razak berakhir di sebuah klinik di London ketika rakan-rakannya di Malaysia sedang berusaha memenuhi permintaannya untuk berjumpa anak bongsunya, Nazir buat kali terakhir. Selepas itu, semua rakyat di Malaysia telah mengejar masa untuk menyediakan klinik udara bagi membawanya pulang ke tanah air.[4]

Pelakon sunting

Pelakon utama sunting

Pelakon pembantu sunting

Penampilan khas sunting

Ulasan sunting

Rata-rata ulasan mengenai filem ini ialah sederhana dengan pujian terhadap idea yang dibawa oleh filem ini dengan kritikan dari segi penceritaan dan kesinambungan cerita.[5] Kolumnis portal berita, The Malaysian Insider, Muhammad Za’im Mohamad Yusoff, memuji pengarah dengan jayanya mengangkat tema kenegaraan melangkaui partisan.[6] Beliau turut mengulas: "Mungkin Tanda Putera itu agen propaganda, tetapi tidak dapat dinafikan ia juga filem mengenang jasa dan air mata." Pendapat beliau turut dikongsi oleh pembaca, Jason Kay yang mengatakan beliau mendapat inspirasi oleh filem ini.[7] Aidil Rusli dari The Star, pula mengatakan filem ini sebagai "...satu pengalaman yang memukau."[8] Yusmirnadia dari portal hiburan Ohbulan.com pula mengatakan "...filem ini sememangnya berbaloi untuk ditunggu kerana isi dan jalan ceritanya cukup berkesan dalam membangkitkan kembali ingatan rakyat terhadap sejarah kemajuan Malaysia."[9] Rudy Imran Shamsudin dari Harian Metro[10] dan portal hiburan Tupai.com.my memuji persembahan para pelakon terutamanya Rusdi Ramli dan Zizan Nin.[11] Eryna Mahyuni dari The Malay Mail pula mengkritik lakonan pelakon, penulisan skrip dan penyuntingan filem ini. Beliau turut mengatakan filem ini harus ditonton supaya menjadi cabaran kepada pengkarya filem akan datang.[12] Carrie Rina dari portal berita Malaysiakini pula mengkritik penggambaran Tun Abdul Razak di dalam filem ini.[13] Filem ini mendapat rating 3.5 per 10 dalam portal perfileman, IMDb.[14]

Kontroversi sunting

Sebelum pengumuman filem ini, telah tercetus kontroversi tentang ketepatan kandungannya selepas penayangan perdana berhubung dengan rusuhan 13 Mei. Ahli parlimen pembangkang mendakwa bahawa filem ini menggambarkan kaum Cina dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam konteks yang negatif. Selain itu, timbul lagi kontroversi selepas halaman rasmi Facebook filem ini memaparkan satu gambar ahli parlimen, Lim Kit Siang sedang dibawa jauh oleh sekumpulan pegawai beruniform dengan kapsyen dibawahnya yang mendakwa bahawa beliau telah membuang air kecil pada bendera Selangor yang terletak di rumah bekas Menteri Besar Selangor, Harun bin Idris. Lim Kit Siang menafikan dakwaan itu dan berkata bahawa gambar tersebut sebenarnya diambil di Sabah pada tahun 1984, manakala pengarah Shuhaimi Baba menafikan bahawa Lim Kit Siang dipaparkan dalam filem itu. Shuhaimi Baba mempertahankan filem itu dengan mengatakan bahawa ia adalah berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah yang benar serta bukan berunsur propaganda. Shuhaimi Baba juga menegaskan bahawa filem itu berkisar tentang persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, manakala insiden 13 Mei adalah peristiwa atau garis masa yang berlaku sepanjang perkenalan mereka.

Kegagalan filem ini untuk tercalon sebagai Filem Terbaik dan pengarahnya sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 turut mendapat perhatian oleh pengulas filem veteran, Mustafar AR. Beliau mempertikaikan mengapa FFM ke-26 lebih memberi penghargaan kepada filem lain yang “tidak patriotik”.[15] Walau bagaimanapun,Fadli al-Akiti, editor majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tidak sependapat dengan beliau dengan mengatakan perkara ini sebagai tindakan yang tepat kerana filem ini longgar, mempunyai cerita “berselerak” serta mempunyai babak tergantung.[16]

Lihat juga sunting

Anugerah dan pencalonan sunting

Anugerah Kategori Penerima Hasil
Anugerah Skrin 2014 Filem Terbaik Datuk Paduka Suhaimi Baba Menang
Pengarah Terbaik Menang
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Zizan Nin Menang
Festival Filem Malaysia ke-26 Pelakon Lelaki Terbaik Rusdi Ramli Menang
Skor Muzik Asal Terbaik Sharon Paul Menang
Lagu Tema Terbaik Menang
Pereka Kostum / Busana Terbaik Hasnan Yaacob/Fadzilah Abdullah Menang
Kesan Khas Terbaik Datuk Paduka Suhaimi Baba Menang
Anugerah Khas Juri Menang
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Zizan Nin Tercalon
Sinematografi Terbaik Filus Ghazali Tercalon
Penataan Seni Terbaik Aida Fitri Buyong/Kamarul Nizam Tercalon
Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Ahya U Tercalon
Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013[17] Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Faezah Elai Tercalon

Rujukan sunting

Pautan luar sunting