Tanzimat (تنظيمات), bermakna penyusunan semula Empayar Uthmaniyyah, adalah tempoh pembaharuan yang bermula pada tahun 1839 dan berakhir pada Era Perlembagaan Pertama pada tahun 1876. Perkataan Tanzimat berasal daripada perkataan Arab iaitu tanzim yang membawa maksud mengatur, menyusun dan memperbaiki. Pembaharuan Tanzimat digambarkan sebagai cubaan untuk memodenkan empayar, dan melindungi integriti wilayahnya daripada pergerakan nasionalis dan kuasa-kuasa agresif. Pembaharuan ini bertujuan untuk mengintegrasikan bukan Islam dan bukan Turki ke dalam masyarakat Turki Uthmaniyah dengan memberi mereka lebih kebebasan sivil dan kesaksamaan.

Tokoh penggerak yang mempelopori gerakan ini ialah Mustaffa Reshid Pasya, Ali Pasha dan Fuad Pasha. Mereka telah menguasai kerajaan semasa era Tanzimat dan membawa semangat pembaharuan dalam Daulah Uthmaniyah. Terdapat dua kumpulan yang memainkan peranan penting semasa era Tanzimat ini iaitu kumpulan berpendidikan barat terdiri daripada Mustafa Reshid Pasha yang ingin menggunakan pendekatan barat sepenuhnya dan kumpulan intelektual terdiri daripada Ibrahim Sinasi, Ziya Pasha dan Namik Kemal yang digelar sebagai Ottoman Muda.

Asal-usul sunting

Idea Tanzimat ini muncul daripada Sultan yang mahukan reformasi seperti Sultan Mahmud II dan Abdülmecid I termasuk juga beberapa pegawai kerajaan yang berpendidikan barat yang menganggap bahawa institusi agama dan ketenteraan Uthmaniyah tidak lagi relevan dengan keperluan empayar di dunia moden ini. Kebanyakan perubahan yang dibuat adalah simbolik, seperti perubahan pakaian, bertujuan untuk mengubah pemikiran golongan pentadbir empayar tersebut. Kebanyakan pegawai-pegawai kerajaan digalakkan untuk memakai pakaian yang lebih bercorakkan "barat". Usaha seperti ini dibuat untuk menerima adat orang-orang Eropah yang terbukti lebih sesuai pada era tersebut. Usaha reformasi ini amat dipengaruhi oleh Kod Napoleon dan Undang-undang Empayar Kedua Perancis kerana ramai pelajar-pelajar Uthmaniyah yang menuntut ilmu di sana. Antara usaha yang telah dibuat seperti pengerahan sejagat; pendidikan, institusi, dan undang-undang; dan usaha sistematik untuk menghapuskan gejala rasuah. Termasuk juga satu polisi Tanzimat yang dinamakan sebagai "Ottomanism", iaitu satu polisi yang boleh menyatukan semua kesemua rakyat yang berbeza bangsa dan agama( Orang Islam dan bukan Islam, Turki, Yunani, Armenia, Yahudi, Kurd dan Arab). Polisi Tanzimat ini bermula dengan Titah Gülhane(Edict of Gülhane) 1839, yang mengisytiharkan bahawa orang Islam dan bukan Islam adalah sama. Kebanyakan undang Islam telah diadaptasikan dengan undang-undang negara Barat. Seterusnya, pada tahun 1856, Titah Humayun (Hatt-I Humayun) diisytiharkan.

Titah Gülhane sunting

Mustafa Reshid Pasha yang bertanggungjawab sehingga diberi gelaran ‘The Father of Tanzimat”.[1] Kandungan terdiri daripada tentang hak asasi manusia, keadilan, pengutipan cukai, pengambilan dalam perkhidmatan ketenteraan, pelajaran serta kewangan.

Hatt-I Humayyun sunting

Diperkenalkan pada tahun 1856 kesan daripada Perang Crimea- Russia. Antara kandungan penting ialah hak dan keistimewaan yang diterima orang Islam dan Kristian, kebebasan beragama, persamaan cukai dan perkhidmatan tentera, tahap autonomi yang lebih kepada yang bukan Islam. Terdapat beberapa kritikan yang telah diberikan oleh beberapa golongan cerdik pandai yang menganggap piagam ini indah khabar dari rupa kerana dilakukan secara serta merta.[2]

Perlaksanaan Tanzimat sunting

Pada tahun 1840 antara pembaharuan yang dilakukan ialah pengenalan duit kertas pertama daulah Uthmaniyah, pembukaan pos yang pertama, penyusunan semula sistem kewangan daulah Uthmaniyah dan pengenalan Kod Undang-undang Sivil dan Jenayah. Pada tahun berikutnya, perlaksanaan bancian telah dilakukan terhadap golongan lelaki sahaja dan kad pengenalan mula digunakan. Pada tahun yang sama, bendera dan lagu kebangsaan Daulah Uthmaniyah telah diperkenalkan.

Pada tahun 1841 pula, Undang-Perdagangan diperkenalkan oleh Mustafa Reshid yang mempunyai pengaruh undang-undang Perancis. Namun, ulama telah menentang undang-undang ini kerana disifatkan bertentangngan dengan syariat Islam. Akhirnya, beliau disingkirkan dan menyebabkan pembaharuan tergendala. Beliau kembali mentadbir pada tahun 1845 dengan menjadi Menteri luar dan tahun berikutnya sebagai Perdana Menteri.[3] Seterusnya, pada tahun 1847, mahkamah campuran telah diwujudkan dikatakan bagi memberi pengadilan yang adil tanpa mengira kaum dan agama.

Kegagalan Tanzimat sunting

Walaubagaimanapun, Tanzimat ini dikatakan telah gagal untuk mencapai objektifnya. Daulah Uthmaniyah dilihat masih tidak mampu bersaing dengan negara Barat. Pelbagai faktor telah menjurus kepada kegagalan ini sehinggalah Tanzimat ini sehinggalah berakhir semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Ramai sarjana melihat era Tanzimat ini lebih kepada pembaharuan fizikal sahaja sehingga sudut lain dipinggirkan hingga menyebabkan Daulah Uthmaniyah tidak dapat mengawal arus pembaratan.

Tentangan oleh rakyat Turki sendiri sunting

Kebanyakan masyarakat Islam menentang kerana tidak bersetuju dengan hak sama rata antara rakyat bukan Islam dengan orang Islam seperti yang terdapat dalam Piagam Gulhane. Rakyat bukan Islam telah diberikan peluang perniagaan dan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.  Terdapat golongan birokrat yang menjadi Mastermind bagi memberi kebebasan yang luas kepada warga Kristian.[4] Melalui undang-undang Vilayet yang diperkenalkan pada tahun 1864, orang bukan Islam mempunyai peluang pendidikan yang lebih baik. Hal ini tidak disenangi orang Islam. Tetapi pada masa yang sama, golongan bukan Islam masih menganggap penglibatan mereka masih terhad. Banyak kesulitan dan aduan yang diterima dalam menjalankan undang-undang Vilayet ini. Cukai yang tinggi juga telah dikenakan terhadap orang Islam sedangkan sebelum ini hanya dikenakan terhadap orang bukan Islam. Pada tahun 1860-1875, sekolah professional Millet yang ditubuh bercorakkan Barat dan menggunakan Bahasa Perancis. Ahlinya kebanyakkan datang dari Barat. Lebih teruk lagi, apabila sesebuah Millet dilantik dapat memegang jawatan tersebut sepanjang hayat. Kesannya, peluang untuk golongan ulama untuk memegang sesuatu jawatan tipis. Akibatnya, berlakunya ketidakpuasan hati dan pemberontakan daripada orang Islam Turki. Akibat ketidakseimbangan ini, telah wujudnya ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam.

Rakyat Turki yang beragama Kristian turut mempunyai perasaan curiga terhadap perlaksanaan Tanzimat. Pertama, mereka tidak bersetuju dengan persamaan taraf antara Yahudi dengan Kristian kerana sebelum ini taraf orang Kristian lebih tinggi daripada orang Yahudi. Orang Kristian berasa tergugat kerana orang Yahudi boleh memiliki tanah. Mereka merasakan orang Yahudi lebih berkuasa. Yang kedua, penghapusan Sistem Millet yang telah menjadikan semua rakyat adalah sama tanpa mengira fahaman yang dianut.  Sistem Millet merupakan` sistem sosial yang berteraskan kepada agama seseorang, di mana setiap komuniti agama diberi kebebasan autonomi untuk bergerak. Pengenalan sistem ini bertujuan melemahkan penguasaan golongan elit Uthmaniyah.[5] Akibat penghapusan sistem ini, paderi Kristian telah kehilangan kuasa sebagai Ketua Millet. Pemberontakan oleh orang Kristian sering berlaku sekali gus melemahkan institusi kerajaan.

Nota sunting

  1. ^ Kevin Goodwin, “The Tanzimat and the Problem of Political Authority in the Ottoman Empire: 1839-1876”, Honors Projects Overview, 2006, ms 17, https://digitalcommons.ric.edu/honors_projects/5/?utm_source=digitalcommons.ric.edu%2Fhonors_projects%2F5&utm_medium=PDF&utm_campaign=PDFCoverPages
  2. ^ Lois A. Aroian dan Richard P. Mitchell, Timur Tengah dan Afrika Moden, Terjemahan oleh Mohammad Redzuan Othman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, ms 100.
  3. ^ Mohamad Shauki Mohd Radzi, Proses Pembaratan dalam Daulah Uthmaniyah 1789-1876, Sabah: Penerbit Universiti Malaysia, 2012, ms 108
  4. ^ Mohamad Shauki Mohd Radzi, Proses Pembaratan dalam Daulah Uthmaniyah 1789-1876, ms 98.
  5. ^ Lois A. Aroian dan Richard P. Mitchell, Timur Tengah dan Afrika Moden, ms 103.

Penulisan sunting

  • Edward Shepherd Creasy, History of Ottoman Turks; From the beginning of their empire to the present time, London, Richard Bentley (1854); (1878).
  • Maurizio Costanza, La Mezzaluna sul filo - La riforma ottomana di Mahmûd II, Marcianum Press, Venezia, 2010
  • Nora Lafi, "The Ottoman Municipal Reforms between Old Regime and Modernity: Towards a New Interpretative Paradigm", Istanbul, 2007

http://halshs.archives-ouvertes.fr/docs/00/14/62/10/PDF/LafiEminonuOttomanReforms.pdf

  • LAFI (Nora), Une ville du Maghreb entre ancien régime et réformes ottomanes. Genèse des institutions municipales à Tripoli de Barbarie (1795–1911), Paris: L'Harmattan, (2002).
  • LAFI (Nora), Municipalités méditerranéennes. Les réformes municipales ottomanes au miroir d'une histoire comparée, Berlin: K. Schwarz, (2005).
  • Davidson, Roderic H, Reform in the Ottoman Empire, 1856-1876 New York, 1973
  • Mehmet Maksudoglu, Osmanli History (1289-1922): Based on Osmanli Sources, International Islamic University Malaysia, 1999

Bacaan lanjut sunting

  • Gelvin, James L. (2008). The Modern Middle East: A History (ed. Second Edition). Oxford University Press. ISBN 978-0-19-532759-5. |edition= has extra text (bantuan)
  • Hussain, Ishtiaq. "The Tanzimat: Secular reforms in the Ottoman Empire]", Faith Matters Diarkibkan 2012-01-12 di Wayback Machine 2011