Tarian Menora (Jawi: منورا, Bahasa Thai: มโนราห์, มโนห์รา manora) atau nora (Bahasa Thai: โนรา)[1] adalah sejenis drama tari nyanyi yang berasal dari wilayah Melayu lama di Semenanjung Tanah Melayu yang kini merangkumi kawasan Utara Semenanjung (Kedah, Santun, Trang, Krabi, Phuket, Phang-Nga dan Ranong) dan Pantai Timur Malaysia serta Thailand Selatan yang merupakan tempat asalnya.[2] Persembahan ini didasarkan legenda Manohara dalam dongengan Jataka berunsur Buddha yang telah menjadi sebati dengan masyarakat Melayu dan Thai sejak zaman-berzaman.[3] Tari Menora dikatakan berasal dari Narathiwat ada juga menyatakan ia berasal dari Ligor atau Negara Sri Dharmaraja atau sekarang dikenali dengan Nakhon Si Thammarat, kerana ia adalah pusat buddha di Semenanjung, dan ketika itu Utara Semenanjung terutama Ligor, Kedah, Merdelung atau Phattalung, Kelantan dan Patani beragama Buddha. Kerajaan Tambralingga di Ligor atau Nakhon Si Thammarat yang mempunyai hubungan erat dengan Kerajaan Sriwijaya kerana kedua-dua Kerajaan ini adalah Kerajaan Melayu. Busana Menora berdasarkan busana Melayu lama, sangat mirip dengan Mak Yong dengan juga pengaruh Jawa seperti ekor dibelakang dan ketopong mahkota yang mempunyai telinga, berbanding gaya Khmer, Mon dan Thai yg tidak mempunyai telinga.

Nora, dance drama in southern Thailand
Tarian menora yang dipersembahkan di Nong Nooch, Thailand.
Negara Thailand
Rujukan01587
KawasanAsia-Pasifik
Sejarah inskripsi
Inskripsi2021 (sesi 16th)
SenaraiRepresentative List

Tarian ini adakala tidak begitu disambut baik dalam kalangan pemerintah moden rantau tersebut kerana unsur-unsur agama yang ditonjolkan - ia pernah diharamkan di Kelantan bersama wayang kulit dan makyong oleh Parti Islam Se-Malaysia yang menduduki negeri itu pada tahun 1991.[4]

Pada 2021, seni ini diiktiraf rasmi memasuki senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Manusia negara Thailand oleh UNESCO.[2]

Tatacara sunting

Secara umumnya, ciri-ciri asas tarian ini termasuklah pembacaan jampi pemujaan yang panjang berjela, tarian oleh watak utama, pengkisahan drama atau lakonan pendek. Langkah pergerakan tarian Menora ditarikan dengan pergerakan anggota tubuh yang bersendi terutamanya bahagian lengan tangan, jari-jemari dan kaki secara perlahan mengikut rentak lagu yang didendangkan.[5]

Pelaksanaan tarian menora ini ada dua cara berbeza mengikut negeri:[5]

  • Kelantan dan Terengganu banyak menggabungkan penggunaan bahasa Melayu dan gaya gerakan tarian Mak Yong.
  • Kedah dan Perlis dipersembahkan dalam campuran bahasa Melayu dan bahasa Siam, akan tetapi masih berpegang teguh dengan tatacara gaya pengkisahan yang unik bagi negeri Malaysia utara serta menggabungkan beberapa unsur-unsur Jikey dan Mek Mulung.
  • Persembahan di Thailand Selatan pula mengikut geraktari negeri-negeri Malaysia yang berjiranan dengan tempatnya.

Kelengkapan sunting

Alatan muzik sunting

Alat-alat muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian dan nyanyian ini terdiri daripada:[1]

  • sepasang canang,
  • sepasang kesi,
  • pinai,
  • cerek (sepasang kayu buluh),
  • geduk,
  • 2 buah gedombak .

Pakaian sunting

Pakaian penari Menora ini berilhamkan daripada legenda manusia separuh burung. Penari utama yang digelar sebagai Menora memakai kecopong, sejenis mahkota tinggi yang diperbuat daripada logam lembut.[6] Terdapat dua jenis kecopong:

  1. kecopong Melayu - mempunyai 16 bucu di dasarnya yang berbentuk bulat, mempunyai pom-pom, bertelinga runcing dan bersubang
  2. kecopong Siam - mempunyai banyak tingkat dan tirus seperti pucuk rebung di pangkal menaranya

Baju yang dipakai oleh penari Menora berwarna-warni dan berjurai dibuat daripada manik. Pada asalnya, penari tidak sebarang baju di bawah juraian manik tersebut akan tetapi pada zaman moden, baju tanpa lengan digunakan bersama-sama dan berkain selendang. Di bahagian pinggul penari pula dipakaikan dengan ekor keras manik berjurai yang berbucu pom-pom serta diselitkan bersama tali pinggang dan sayap kain lepas. Bagi penari lelaki, seluar longgar akan digunakan yang beralas manik berjurai manakala penari perempuan pula sama seperti penari lelaki cuma tidak mengenakan kecopong.

Aksesori tambahan untuk melengkapkan busana penari Menora adalah gelang lengan, gelang tangan dan kuku cakar panjang iaitu canggai. Canggai-canggai sepanjang 2 - 5 inci yang melentik di hujung diperbuat daripada logam lembut turut dipakai oleh penarinya. Sarung kaki separas lutut berwarna putih digunakan bagi penari Menora Melayu manakala penari Menora Siam tidak beralas.

Rujukan sunting

  1. ^ a b "Music for Theater: Menora". Musicmall Production Pte Ltd. 2004. Dicapai pada 24 September 2010.
  2. ^ a b "Nora, dance drama in southern Thailand". United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). 2021.
  3. ^ "Menora". Dance Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-04-04. Dicapai pada 24 September 2010.
  4. ^ Ab. Aziz Shuaib; Raja Iskandar Raja Halid (2011). "The search for the middle path: Islam and the traditional Malay performings arts". Universiti Malaysia Kelantan.
  5. ^ a b Terry Miller & Sean Williams (2008). The Garland Handbook of Southeast Asian Music. Routledge. m/s. 229. ISBN 978-0-415-96075-5.
  6. ^ Mayer, Julia (5 Mac 2017). "Timeless spell of the Manora". New Straits Times. Dicapai pada 15 November 2020.