Tarian Zapin Lenga

Jenis tarian zapin yang berasal daripada pulau Lingga di kepulauan Riau

TARIAN ZAPIN LENGA

Tarian Zapin Lenga adalah satu-satunya repertoire Zapin Melayu Johor yang paling tua berjaya dikesan di Negeri Johor. Bentuk persembahan Zapin Lenga juga dianggap sebagai prototaip kepada Zapin Melayu Johor, sifat ' Archaic ' dari sudut pergerakan tari dan muzik jelas kelihatan pada gaya penari lelaki dan melodi muzik pengiring. Keistimewaaan Zapin Lenga dari sudut sejarah perkembangan seni Zapin Melayu di Johor ialah kemungkinan besar tradisi tersebut telah diwarisi dari Kerajaan Melayu Melaka setelah Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511.

Lenga dan kawasan Pagoh merupakan daerah berburu Raja-raja Melaka dan di sana juga tempatnya Sultan Melaka melarikan diri sewaktu Melaka diserang Portugis.Pada hari ini, tarian Zapin Lenga tidak lagi menjadi tradisi kesenian yang popular seperti pada zaman dahulu kerana kebanyakkan daripada pewaris-pewaris tua telah pun kembali ke rahmatullah. Tradisi ini juga telah berubah dan bentuknya yang asal kerana adanya penglibatan penari-penari wanita yang pada suatu masa dahulu tidak dibolehkan menarikan tarian zapin Lenga dikhalayak ramai. Zapin Lenga ini mempunyai 6 Langkah atau Ragam iaitu Langkah 1, langkah 2, langkah 3, langkah 4, langkah 5 dan langkah 6. Zapin lenga ini lebih kepada kelembutan dan kemanisan para penari serta lebih ayu ditarikan oleh penari zapin wanita. Namun tarian Zapin Lenga di Bandar Tenggara telah kurang diwarisi oleh mereka yang muda belia. Sebaliknya warisan ini diwarisi generasi yang lebih muda iaitu kanak-kanak Taska. Walaupun begitu, sejarah Zapin Lenga ini masih menjadi sebutan kerana beliawanis-beliawanis yang ada kini hanyalah berlatih untuk kepuasan dan bukan untuk dipertandingkan.