Tasik Chini

tasik di Pahang, Malaysia
(Dilencongkan dari Tasik Cini)

Tasik Chini (Jawi: تاسيق چيني) salah satu tasik daripada 12 tasik yang berdekatan dengan Sungai Pahang di tengah negeri Pahang, Malaysia. Tasik Chini yang merupakan tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera. Tasik ini merupakan kawasan kurang penduduk; pinggiran tasik berkenaan didiami oleh orang asli suku Jakun sebanyak 800 orang tahun 2016.[1]

Tasik Chini
LokasiDaerah Peka, Pahang Tengah
Koordinat3°26′N 102°55′EKoordinat: 3°26′N 102°55′E
Aliran keluar utamaSungai Chini
Negara lembanganMalaysia
Luas permukaan12,565 ekar (5,085 he)
PetempatanChini, Pekan, Temerloh

Sungai Chini, yang mengalir keluar dari tasik itu, mengalir ke dalam Sungai Pahang. Sungai berkenaan diempang untuk mengekalkan kedalaman tasik tersebut semasa musim kering. Walau bagaimanapun, cara ini akan mengganggu ekologi semulajadi tasik itu dan menyebabkan kematian pokok-pokok pada pesisiran tasik disebabkan oleh kenaikan aras air. Tasik ini juga terkenal dengan musim berbunga teratai dari Jun hingga September.

Tasik ini merupakan antara dua kawasan di Malaysia diberikan pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO dalam rancangan Manusia dan Biosfera anjuran pertubuhan tersebut selain Banjaran Crocker di Sabah.[2][1] Kawasan seluas 4,498 hektar di tasik ini diwartakan sebagai suatu hutan simpanan kekal oleh Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac 2019.[3]

Pada 2022, UNESCO mendapati dalam tinjauan berkalanya bahawa tasik ini tidak lagi memenuhi rangkaian Rizab Biosfera kelolaannya akibat penggiatan pembersihan hutan yang diperhatikan serta "penukaran tanah yang intensif" menyebabkan kemerosotan sumber air di sana.[4]

Hubungan dengan manusia sunting

Demografi sunting

Tasik Chini diduduki komuniti kecil Orang Asli selaku penduduk peribumi Semenanjung Melayu, dengan rata-rata berasal daripada etnik Jakun. Petempatan utama di Tasik Chini ialah Kampung Gumum dengan jumlah penduduk keseluruhan dianggarkan kira-kira 400-500 orang.[5][6] Petempatan-petempatan lain yang ada termasuk Kampung Cendahan, Tanjung Puput, Melai dan Ulu Melai.[7]

Kepercayaan setempat sunting

Merujuk kepada legenda orang asli setempat, tasik tersebut didiami oleh seekor naga yang dikenali sebagai Naga Seri Gumum yang kadangkala dibandingkan kehebatan ia dengan raksasa Loch Ness yang terkenal di Scotland.[8] Ia dipercayai mengandungi satu bandar purba seakan-akan yang ada di tamadun lama Kemboja terletak di dasar tasik berkenaan, tetapi projek selanjutnya terbengkalai akibat masalah kewangan.[9]

Satu suku orang asli yang tinggal ditebingnya menjadi tarikan pakar pengkaji bahasa kerana bahasa mereka mempunyai kaitan dengan bahasa Khmer di Kemboja yang menjadi asas kepada teori bahawa orang asal Semenanjung Malaysia telah turun dari kawasan utara ke selatan.

Kemudahan asas sunting

Kerajaan negeri Pahang telah memperuntukkan RM7.5 juta bagi membina chalet, jeti baru dan bengkel kraftangan dengan standard antarabangsa.

Pelbagai homestay di RKT Salong dekat Tasik Chini melibatkan kos RM500,000 akan dibangunkan dengan kerjasama penduduk kampung dan masyarakat orang Asli tempatan. Program ini dapat meningkatkan pendapatan mereka .

Pasukan pemantau Tasik Chini telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Datuk Maznah Mazlan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Pahang Datuk Hoh Khai Mun.

Penyelidikan sunting

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia dan berasal dari Pahang telah meletakkan batu asas Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang diselenggarakan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Januari 2008.

Jabatan Alam Sekitar Pahang mendapati kualiti air ialah pada indeks 2, iaitu masih sesuai untuk mandi-manda dan minum. Cuma keindahan tasik dan bunga-bungaan tidak seindah dan seceria dahulu.

Teratai yang mati dan pupus dijangka kembali menjadi tarikan pelancong menjelang 2009.[10]

Isu alam sekitar sunting

Pencemaran sunting

Menurut seorang Tok Batin salah satu perkampungan Asli di sana bernama Awang Alok, pembalakan dan pelombongan bijih di sekitar kawasan itu telah mendatangkan pencemaran kepada air tasik yang menyebabkan kegatalan kepada anak-anak yang mandi-manda di sana, merosakkan mutu ikan yang ditangkap serta terhalangnya kegiatan mengumpul hasil hutan kerana penutupan kawasan yang dituju oleh pihak pembalak.[11] Tasik ini juga mengalami risiko pencetekan secara beransur-ansur akibat pemendapan sisa galian di dasar tasik lalu boleh mempercepatkan pengeringan tasik tersebut.[12] Masalah pencemaran Tasik Chini juga dikaji bakal mengancam kegiatan ekopelancongan penduduk Orang Asli setempat.[13]

Dr Hedzri Adnan dari Asian Public Intellectuals menyatakan kerisauan di mana perubahan mendadak yang berlaku di tasik tersebut akan menyebabkan keruntuhan ekosistem tasik sebelum tahun 2030.[11] Setiausaha agung Transparency International, Josie Fernandez turut menyatakan pembangunan ini akan menyebabkan tergugurnya tasik ini dari status Rizab Biosfera UNESCO.[11] Walau bagaimanapun, Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob menegaskan bahawa kajian dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mendapati bahawa sampel air berkeladak yang dikumpulkan hanya dapat dijumpai di ladang-ladang RISDA serta tapak Majlis Adat dan Agama Islam Pahang yang berdekatan.[11]

Suatu inisiatif pemulihan dilakukan kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail di mana kerajaan negeri telah bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai hutan simpanan kekal pada 13 Mac 2019.[3]

Rancangan pelombongan sunting

Pada Jun 2021, kerajaan Pahang telah meluluskan lesen perlombongan mangan dan galian lain selama dua tahun sekitar kawasan ini meliputi 40.51 hektar kepada suatu syarikat Hanishah Ventures Sdn Bhd; syarikat itu milik bersama Raja Shah Zurin Raja Aman Shah dan Tengku Hanizar Tengku Muhammad, dua anggota kerabat diraja Pahang.[14] Pelulusan ini dikecam Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang, di mana ketuanya Noor Jehan Abu Bakar menyatakan rasa pertikainya dan skeptik tekad politik kerajaan Pahang memandangkan apa yang dinyatakan dalam janji pemuliharaan oleh kerajaan tersebut yang dianggapnya "hanya pura-pura (lip service)".[14]

Gambar sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b Zakri Abdul Hamid (21 Mei 2018). "Tasik Chini a dead lake?". New Straits Times. Dicapai pada 4 Jun 2021.
  2. ^ "Sabah's Crocker Range recognised as biosphere reserve by Unesco". Bernama. The Malay Mail. 13 Jun 2014. Dicapai pada 13 Jun 2014.
  3. ^ a b Hariz Mohd (2 Jun 2021). "Pemulihan Tasik Chini dalam perancangan kerajaan Pahang". Malaysiakini. Dicapai pada 4 Jun 2021.
  4. ^ Hariz Mohd (24 Julai 2022). "Tasik Chini tak lagi penuhi kriteria rizab biosfera Unesco". Malaysiakini. Dicapai pada 25 Julai 2022.
  5. ^ "Place-Making of Ecotourism in Tasik Chini: From Exploratory to the Contemporary Biosphere Reserve" (PDF). Asian Social Science (dalam bahasa Inggeris). 2013. doi:10.5539/ass.v9n6p84.
  6. ^ Cahyo Seftyono (Julai 2011). "Pengetahuan Ekologi Tradisional Masyarakat Orang Asli Jakun dalam Menilai Ekosistem Servis di Tasik Chini, Malaysia". Jurnal Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (dalam bahasa Indonesia). m/s. 55-67. doi:10.22146/jsp.10925. Dicapai pada 21 Jun 2021.
  7. ^ Habibah, Aura Nur (2010). "Sustainable Livelihood of the Community in Tasik Chini Biosphere Reserve: the Local Practices" (PDF). Journal of Sustainable Development (dalam bahasa Inggeris). 3: 184–196.
  8. ^ "Loch Ness Malaysia". Journey Malaysia. Diarkibkan daripada 1 yang asal Check |url= value (bantuan) pada 2017-06-19. Dicapai pada 2007-02-20.
  9. ^ "Teruskan usaha kesan tasik purba". Utusan Malaysia. 20 Februari 2007. Dicapai pada 2007-02-20. Check date values in: |date= (bantuan)[pautan mati kekal]
  10. ^ Tasik Chini: "Teratai Akan Kembali Berbunga"
  11. ^ a b c d "Orang asli insist lake is dirty". The Star. 17 Ogos 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-08-18. Dicapai pada 17 Ogos 2012.
  12. ^ Rizanizam Abdul Hamid; Asrizal Aris (25 Februari 2017). "Tasik Chini makin nazak". Harian Metro. Dicapai pada 4 Jun 2021.
  13. ^ Man, Zanisah; Ne, Yeoh En (2019). "Orang Asli participation in eco-tourism activities at Tasik Chini, Pahang, Malaysia". Geografia. Malaysian Journal of Society and Space (dalam bahasa Inggeris). 15: 50–63.
  14. ^ a b Hariz Mohd (2 Jun 2021). "Syarikat berkaitan kerabat kendali projek lombong baru di Tasik Chini". Malaysiakini. Dicapai pada 4 Jun 2021.

Pautan luar sunting

Diarkibkan 2012-02-07 di Wayback Machine with information (history, legends, slide shows) on the lake and its people