Tauliah mengajar agama Islam di Selangor

Tauliah mengajar agama Islam di Selangor ialah suatu perlantikan untuk mengajar atau memberi kuliah berkaitan agama Islam di Selangor, Malaysia. Ia diperlukan bagi sesiapa yang ingin mengajar ilmu Islam di Selangor bagi memastikan dakwah yang disampaikan betul dan mengelakkan pengembangan ajaran sesat[1]. Urusan pentauliahan diselia oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Tauliah di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)[2]. Ia selaras dengan undang-undang yang terdapat di Selangor iaitu, Seksyen 118 dan 119 dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003[3]; dan Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Permohonan dan temuduga sunting

Setiap calon yang ingin memohon tauliah mesti menjawab 20 soalan bertulis yang telah disediakan oleh JAIS[4]. Pada kebiasaannya pentauliahan diberikan sekiranya calon lulus proses temuduga dan mendapat surat pentauliahan sementara. Surat tersebut diberikan selepas dua minggu menjalani ujian tersebut. Selepas itu, permohonan akan dipanjangkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen bagi saringan keselamatan sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS[4][5].

Isu berkaitan sunting

Penolakan permohonan tujuh ilmuwan sunting

Pada 19 Ogos 2009, permohonan tauliah tujuh orang ilmuan Islam telah ditolak oleh Jawatankuasa Tauliah[5]. Mereka yang ditolak dikaitkan pembawaan aliran Wahabi. Mereka ialah Fathul Bari Mat Jahya, Mohd Khairi Anwar Abdul Latif, Abdul Razak Muthalib, Muzairi Mustafa, Fadlan Mohd Othman, Dr Azwira Abd Aziz dan Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi.

Penarikan semula tauliah aktivis politik sunting

MAIS menarik balik tauliah mengajar agama yang diberikan kepada semua aktivis politik di Selangor berkuat kuasa pada 31 Disember 2021, susulan daripada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang tidak mahu agama Islam dipolitikkan serta dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak, khususnya di masjid dan surau[3]. Sebelum itu, pada 6 April 2021, Jawatankuasa Tauliah MAIS memutuskan mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah mengajar dan masih berkuat kuasa, dikekalkan hingga tamat tempoh sah tauliah dengan bersyarat[6].

Rujukan sunting

  1. ^ "Dapatkan Tauliah Jika Ingin Berdakwah Di Selangor, Titah Sultan". mStar. 11 Disember 2009. Dicapai pada 28 Disember 2021.
  2. ^ "SURAT TAULIAH DARIPADA MAIS ATAU JAIS". Dewan Negeri Selangor. 2012. Dicapai pada 28 Disember 2021.
  3. ^ a b Norzamira Che Noh (Disember 28, 2021). "Selangor tarik balik tauliah mengajar agama Islam kepada semua aktivis politik". Berita Harian. Dicapai pada Disember 28, 2021.
  4. ^ a b Abdul Rahim Sabri (November 13, 2009). "Jais: Bukan kerana mereka Wahabi". Malaysiakini. Dicapai pada 28 Disember 2021.
  5. ^ a b Abdul Rahim Sabri (November 13, 2009). "Jais tolak 7 penceramah Wahabi?". Malaysiakini. Dicapai pada 28 Disember 2021.
  6. ^ Bernama (Ogos 26, 2021). "Tauliah mengajar individu berstatus ahli politik tidak dibenarkan di Selangor". Astro Awani. Dicapai pada 28 Disember 2021.