Telegrafi

(Dilencongkan dari Telegram)

Telegrafi (daripada perkataan Yunani, tele (τηλε) = jauh, dan graphein (γραφειν) = tulis) ialah penghantaran jarak jauh pesanan bertulis tanpa sebarang pengangkutan fizikal huruf. Radiotelegrafi atau Telegrafi wayarles menghantar pesanan melalui radio. Telegrafi merangkumi berbagai-bagai bentuk penghantaran data yang terkini, termasuk faks, e-mel, dan rangkaian komputer.

Telegraf optik Claude Chappe di atas Litermont berhampiran dengan Nalbach, Jerman

"Telegraf"' ialah mesin untuk menghantar dan menerima pesanan jarak jauh, iaitu untuk telegrafi. Perkataan "telegraf" pada dirinya merujuk kepada telegraf elektrik. Telegrafi wayarles juga dikenali sebagai CW (singkatan untuk continuous wave dalam bahasa Inggeris, iaitu gelombang selanjar). Ia merupakan pembawa yang dimodulatkan oleh penguncian buka-tutup, bertentangan dengan teknik radio yang lebih awal yang menggunakan sela bunga api.

Pesanan telegraf yang dihantar oleh operator telegraf dengan menggunakan kod Morse dikenali sebagai telegram atau kabelgram, seringnya disingkatkan menjadi pesanan kabel atau wayar. Telegram yang dihantar oleh rangkaian teleks, iaitu rangkaian mesin teletaip bersuis yang serupa dengan rangkaian telefon, dikenali sebagai pesanan teleks.

Sebelum perkhidmatan telefon jarak jauh boleh didapati dengan mudah dan pada harga yang murah, perkhidmatan telegram amat popular. Telegram seringnya digunakan untuk mengesahkan urusan perniagaan dan berbeza dengan e-mel, ia biasanya digunakan untuk mencipta dokumen urus niaga yang sah di sisi undang-undang.

Gambar wayar atau foto wayar merupakan gambar akhbar yang dihantar dari lokasi jauh melalui telegraf faksimile.