Televisyen di Amerika Syarikat

(Dilencongkan dari Televisyen Amerika Syarikat)

Televisyen ialah salah sejenis media massa utama di Amerika Syarikat. 99% rumah tangga Amerika Syarikat memiliki sekurang-kurangnya sebuah peti televisyen dan kebanyakan rumah tangga tersebut memiliki lebih dari sebuah peti TV.[1]

Saluran dan rangkaian televisyen sunting

Terdapat tiga jenis asas telelvisyen di Amerika Syarikat, iaitu: televisyen terestrial atau "ke udara", yang boleh dicapai oleh sisapa yang memiliki TV dalam kawasan liputan; televisyen kabel dan televisyen satelit yang memerlukan langganan untuk menerima siarannya.

Televisyen siaran sunting

Amerika Syarikat mempunyai sistem televisyen terpencar yang berorientasikan pasaran setempat (meliputi bandar raya atau kelompok daerah). Amerika Syarikat berbeza dari kebanyakan negara lain kerana tiada khidmat penyiaran kebangsaan. Sebaliknya, pasaran media setempat memiliki stesen televisyen sendiri yang boleh bersekutu atau dimiliki dan dikendali oleh rangkaian televisyen kebangsaan. Stesen televisyen boleh menandatangani perjanjian persekutuan dengan mana-mana rangkaian kebangsaan. Melainkan di pasaran amat kecil yang amat sedikit bilangan stesen, perjanjian persekutuan ini biasanya berbentuk eksklusif, iaitu sesebuah stesen yang menjadi sekutu NBC tidak boleh menyiarkan rancangan ABC, CBS atau mana-mana rangkaian lain.

Seklaipun begitu, untuk memastikan kehadiran kandungan setempat dalam penyiaran televisyen, undang-undang persekutuan negara mengehadkan jumlah rancangan rangkaian yang boleh disiarkan oleh stesen setempat. Sehingga 1970-an dan 1980-an, stesen setempat menyerikan rancangan rangkaian dengan pelbagai rancangan terbitan sendiri. Kini pula, kebanyakan stesen hanya menerbitkan berita tempatan, serta mengisi saki-baki intisari rancangan dengan rancangan bersindiket, atau bahan yang diterbitkan oleh syarikat bebas dan dijual ke stesen individu di setiap pasaran setempat.

Tiga rangkaian utama sunting

Tiga buah rangkaian televisyen swasta di Amerika Syarikat adalah National Broadcasting Company (NBC) dan Columbia Broadcasting System (CBS) yang diasaskan pada zaman terawal teknologi televisyen (sebenarnya, ditubuhkan sebagai rangkaian radio pada 1920-an), dan American Broadcasting Company (ABC), yang asalnya merupakan rangkaian radio yang berpecah dari NBC pada tahun 1943. Di kota-kota besar, hampir semua stesen sekutu rangkaian-rangkaian tersebut bersiaran melalui jalur VHF yang mula-mulanya bertaraf hartanah premium sebelum televisyen kabel berleluasa, sehingga beralih ke televisyen digital pada 2009.

Stesen sekutu rangkaian utama amat serupa intisari rancangannya. Biasanya, siaran pada hari biasa bermula dengan berita awal pagi, diikuti rancangan pagi rangkaian seperti Today terbitan NBC yang menggabungkan laporan berita, ramalan cuaca, wawancara dan muzik. Rancangan bersindiket, terutamanya rancangan wawancara, mengisi waktu lewat pagi, diikuti berita tempatan pada waktu tengah hari (Waktu Timur). Drama lipur lara rangkaian menguasai awal petang, disusuli rancangan wawancara bersindiket seperti The Oprah Winfrey Show. Berita tempatan kembali pada pertengahan waktu petang, diikuti rancangan berita rangkaian kebangsaan sebelum waktu senja, diikuti lagi berita.

Sejam berikutnya (atay ½ jam di zon waktu Tengah) diisi lagi rancangan bersindiket sebelum tibanya waktu perdana, iaitu tiga jam yang paling banyak penontonan televisyen. Siri komedi keluarga selama ini menerajui awal waktu perdana, namun dewasa ini diganti oleh rancangan televisyen realiti seperti Dancing with the Stars, disusuli siri drama seperti CSI: Crime Scene Investigation, House, M.D., dan Grey's Anatomy pada waktu malam.

Pada jam 10 atau 11 malam, disiarkan lagi berita tempatan, disusuli oleh rancangan wawancara larut malam, seperti Late Show with David Letterman atau The Tonight Show with Conan O'Brien. Dari mematikan siaran pada waktu lepas tengah malam hingga subuh (seperti yang diamalkan hingga 1980-an), stesen TV kini mengisi masa ini dengan rancangan bersindiket, ulang tayang rancangan waktu perdana dan/atau berita tempatan, atau iklan setengah jam yang dikenali sebagai infomercial.

Pagi Sabtu biasanya mengetengahkan rancangan rangkaian yang ditujukan kepada kanak-kanak (termasuk kartun animasi), sementara pagi Ahad pula disiarkan rancangan hal ehwal awam yang memenuhi kewajipan stesen untuk menyediakan rancangan khidmat awam. Rancangan sukan dan informercial disiarkan pada tengah hari hujung minggu, diikuti oleh jenis rancangan waktu perdana sama yang disiarkan pada hari biasa.

Televisyen swasta ke udara yang lain sunting

Dari tahun 1955 hingga 1986, semua stesen berbahasa Inggeris yang tidak bersekutu dengan tiga rangkaian terbesar adalah bebas, dan hanya menyiarkan rancangan terbitan sendiri atau bersindiket. Banyak lagi stesen bebas yang masih wujud di Amerika Syarikat yang lazimnya disiarkan melalui jalur UHF. Intisari rancangan stesen sedemikian banyak diisi rancangan bersindiket, yang selalunya berbentuk ulang tayang siri TV dan filem lama.

Pada 1986, munculnya pencabar baru Fox Broadcasting Company menyaingi tiga rangkaian utama. Susulan kejayaan rancangan The Simpsons dan sebagainya, tambahan pula pembelian hak oleh Fox untuk menyiarkan perlawanan National Football League, Fox berjaya menjadi sebuah penyiar televisyen utama. Fox berlainan dari tiga rangkaian lama kerana tidak menyiarkan berita tiap malam, intisari rancangan waktu perdananya cuma dua jam, beberapa stesen sekutunya di kota besar bersiaran melalui jalur UHF sebelum beralih ke siaran digital, dan dua stesen utamanya ialah WNYW di New York, bukan WFOX dan KTTV di Los Angeles, bukan KFOX (tetapi adanya KFOX-TV iaitu sekutu Fox di El Paso). Satu-satunya rancangan berita berjadual Fox ialah Fox News Sunday yang disiarkan pada pagi Ahad; liputan berita tergempar di rangkaian Fox pula disumbangkan oleh Fox News Channel. Kebanyakan stesen sekutu Fox kini menggunakan khidmat pemberita setempat, biasanya bersiaran sejam lebih awal berbanding rangkaian lain, justeru bersaing dengan drama rangkaian lain.

Pada 1990-an, wujudnya tiga rangkaian baru, iaitu The WB (1995), UPN (1995) dan PAX (1998; menjadi "i" pada 2005 dan ION pada tahun 2007). Rangkaian The WB dan UPN bergabung menjadi The CW pada musim luruh 2006, dan pada masa yang sama MyNetworkTV milik News Corporation (yang juga memiliki Fox) diasaskan untuk mengambil alih siaran UPN.

ION bersiaran selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu, menjadikan rangkaian ION berwajib sepenuhnya untuk stesen-stesen sepenuhnya, tetapi juga menyiarkan infomercial di luar waktu perdana. MyNetworkTV bersiaran 12 jam seminggu, Isnin hingga Sabtu. The CW pula bersiaran 13 jam seminggu untuk waktu perdana, 10 jam lagi pada waktu siang.

Siaran televisyen bukan berbahasa Inggeris sunting

Univision, sebuah rangkaian stesen berbahasa Sepanyol, ialah rangkaian TV kelima terbesar mengekori NBC, CBS, ABC dan Fox. Pesaing utamanya ialah Telemundo, sebuah rangkaian bersaudara NBC. Rangkaian berbahasa Sepanyol popular yang lain ke udara termasuk TeleFutura milik Univision yang disasarkan pada kelompok muda-mudi Hispanik, dan Azteca América versi Amerika Syarikat bagi TV Azteca dari Mexico.

Tambahan lagi, Rangkaian Televisyen Haiti yang bertapak di Miami, Florida menyiarkan rancangan terbitan sendiri berbahasa Kreol Haiti dan Perancis di Miami dan beberapa bahagian di kota-kota New Jersey, New York, dan Boston.

Juga terdapat sebilangan kecil stesen setempat yang bersiaran dalam Bahasa Isyarat Amerika beserta sari kata bahasa Inggeris.

Televisyen bukan swasta sunting

Televisyen awam di Amerika Syarikat lebih kecil peranannya berbanding di negara lain. Tiadanya lembaga penyiaran milik negara. Sebaliknya, kerajaan persekutuan membiayai stesen televisyen bukan swasta melalui Perbadanan Penyiaran Awam. Hasil yang dikutip dari kerajaan tidak mencukupi untuk melangsaikan perbelanjaan, maka stesen-stesen ini terpaksa bergantung pada penajaan korporat dan dermaan penonton.

Stesen televisyen awam Amerika Syarikat menyiarkan rancangan yang tidak disiarkan oleh stesen swasta, seperti rancangan pendidikan, kebudayaan, dan hal-ehwal semasa. Kebanyakan stesen TV awam bersekutu dengan Public Broadcasting Service, maka berkongsi rancangan-rancangan seperti Sesame Street dan Masterpiece Theatre. Berbeza dari stesen swasta juga, PBS tidak menerbitkan rancangan sendiri; sebaliknya, stesen-stesen sekutu PBS menerbitkan dan membekalkan rancangan sesama sendiri. NYCTV, khidmat penyiaran milik perbandaran Bandar Raya New York, menghasilkan rancangan asli yang juga disiarkan di beberapa pasaran lain. Cuma sebilangan kecil bandar raya yang memiliki stesen TV utama milik perbandaran.

Juga wujudnya banyak stesen penyiaran keagamaan yang juga bergantung pada sumbangan penonton, termasuk Trinity Broadcasting Network, Daystar Television Network, The Word Network, Total Christian Television, dan INSP.

Televisyen kabel dan satelit sunting

Pada mulanya, televisyen kabel hanya digunakan untuk memantulkan siaran televisyen ke udara ke kawasan yang sukar menerima isyarat dari udara. Mulai 1970-an, wujudnya rangkaian kebangsaan yang hanya bersiaran melalui kabel, bersama sistem TV kabel yang berkhidmat di bandar raya utama. Kini, ramai sekali isi rumah Amerika yang menerima TV kabel, maka rangkaian kabel pada keseluruhannya mengatasi rangkaian siaran ke udara dari segi jumlah penonton.

Rangkaian kabel berbeza dari rangkaian ke udara kerana menyiarkan intisari rancangan yang sama ke seluruh negara. Rangkaian kabel tersohor termasuk USA Network (hiburan am), ESPN dan Versus (sukan), MTV (muzik), Fox News dan CNN (berita), Syfy (cereka sains), Disney Channel (keluarga), Nick dan Cartoon Network (kanak-kanak), Discovery Channel dan Animal Planet (dokumentari), TBS (komedi), TNT (drama) dan Lifetime (wanita).

Pelanggan TV kabel menerima saluran-saluran sedemikian melalui pengendali sistem kabel setempat yang menerima kandungan dari rangkaian lalu memancarkannya ke rumah. Biasanya, kerajaan setempat mengurniakan hak monopoli kepada sebuah pengendali sistem untuk menyediakan perkhidmatan TV kabel dalam lingkungan kawasan tertentu. Undang-undang mewajibkan sistem kabel menyertakan saluran TV ke udara setempat untuk ditawarkan kepada pelanggan.

Kini, khidmat televisyen satelit penyiaran langsung yang wujud di A.S sejak 1990-an, turut menawarkan rancangan-rancangan yang sama dengan TV kabel. Dish Network dan DirecTV merupakan penyedia TV satelit utama di A.S. Pada mulanya, satelit dilancarkan dan digunakan oleh rangkaian televisyen sebagai kaedah mengedarkan rancangan dari ibu pejabat ke stesen-stesen sekutu setempat. Pada 1970-an, penduduk kawasan terpencil yang tiada dapat menerima siaran televisyen terestrial mendapati televisyen percuma boleh diterima dengan memasang ceper satelit besar dan menghalakannya ke arah satelit yang dimiliki rangkaian berkenaan. TV satelit memberi kelebihan kepada penggunanya kerana menyampaikan saluran yang tidak boleh diterima orang lain, termasuk rancangan tanpa iklan, suapan siaran langsung yang tidak sepatutnya disiarkan, siaran dari negara lain dan rancangan TV kabel. Untuk membanteras penerimaan kandungan berbayar secara percuma, isyarat satelit terpaksa dikarau. Teknologi pemancaran terkini membolehkan ceper satelit bersaiz kecil dan perkhidmatan berlangganan dikembangkan lagi.

Perniagaan televisyen sunting

Stesen dan rangkaian swasta ke udara banyak bergantung pada pengiklanan untuk meraih pendapatan. Mengikut kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2001, stesen penyiaran memperuntukkan 16 hingga 21 minit sejam untuk iklan. Kebanyakan rangkaian kabel asas juga meraih pendapatan dari pengiklanan di samping yuran langganan. Rangkaian kabel premium seperti HBO pula tidak menyiarkan iklan. Sebaliknya, pelanggan harus membayar lebih untuk menerima rangkaian premium tersebut. Pengendali sistem TV kabel meraih pendapatan melalui yuran langganan dan juga penjualan iklan tempatan.

Rancangan sunting

Televisyen Amerika Syarikat berbangga kerana menjayakan rancangan-rancangan terkemuka yang mengilhamkan rangkaian televisyen seluruh dunia agar menyiarkan rancangan-rancangan tersebut atau menerbitkan rancangan yang serupa di negara masing-masing. Ada di kalangan rancangan-rancangan lama yang masih disiarkan dan dihidupkan melalui pensindiketan. Begitu juga, sebilangan rancangan Amerika yang terkenal juga diadaptasi dari rancangan luar negara, khususnya United Kingdom dan Kanada.

Siri komedi waktu pertama dikuasai komedi situasi (sitkom) seperti I Love Lucy, M*A*S*H, All in the Family, The Jeffersons, The Cosby Show, Seinfeld, Friends dan Everybody Loves Raymond, dan juga siri lawak sketsa atau anekarama seperti The Carol Burnett Show, dan Rowan and Martin's Laugh-In.

Siri drama pula tampil dalam pelbagai jenis. Genre Western seperti Gunsmoke mencapai kemuncak popularitinya pada 1950-an dan 1960-an. Juga bertahan sekali termasuk drama perubatan (Marcus Welby, M.D., St. Elsewhere, ER), drama keluarga (Eight is Enough, The Waltons, Little House on the Prairie) dan drama jenayah (Dragnet, Hawaii Five-O, Hill Street Blues, Law & Order dan CSI: Crime Scene Investigation).

Semua rangkaian utama menyiarkan rancangan berita pagi (terutamanya The Today Show di NBC dan Good Morning America di ABC), dan juga berita petang yang diterajui pemberita utama rangkaian (Walter Cronkite dan Dan Rather di CBS; Chet Huntley, David Brinkley dan Tom Brokaw di NBC; dan Peter Jennings di ABC). Tidak dilupakan juga rancangan majalah seperti 60 Minutes, 20/20, dan Dateline pada waktu perdana dan Meet the Press (siri terlama di A.S., sejak tahun 1947), Face the Nation dan This Week pada pagi Ahad.

Televisyen realiti sudah lama wujud di Amerika Syarikat, baik berbentuk komedi (Candid Camera, Real People) mahupun drama (COPS, The Real World), diikuti rancangan realiti berbentuk pertandingan yang popular sejak tahun 2000 dengan pelancaran Survivor, diikuti Big Brother, The Amazing Race, America's Next Top Model, So You Think You Can Dance dan American Idol.

Drama lipur lara Amerika sudah menjangkaui 60 tahun siaranbta. Empat judul drama sedemikian sudah berkumandang selama lebih 40 tahun, iaitu The Guiding Light, As the World Turns, General Hospital dan Days of our Lives. Contoh lipur lara waktu perdana terkenal termasuk Peyton Place, Dallas, Dynasty, Beverly Hills, 90210, dan The O.C..

Siaran waktu siang selama ini juga menempatkan banyak rancangan permainan popular (khususnya pada 1970-an), seperti The Price is Right, Family Feud, Match Game, The Newlywed Game dan Concentration. Wheel of Fortune dan Jeopardy! juga mencapai kejayaan di waktu petang sebelum waktu perdana, tidak dilupakan juga rancangan permainan waktu perdana yang dijayakan pada 1950-an dan 1960-an (What's My Line?, I've Got a Secret, To Tell the Truth) dan 2000-an (Who Wants to Be a Millionaire, The Weakest Link, Deal or No Deal).

Rancangan temubual yang paling berjaya ialah The Tonight Show yang (khususnya ketika diacarakan oleh Johnny Carson) disiarkan pada larut malam (selepas 11:30 malam Timur/Pasifik). Tonight Show menjulang dominasi rancangan larut malam oleh sebuah rangkaian selama berpuluh-puluh tahun lamanya serta memberi laluan kepada rancangan-rancangan gabungan komedi dan temubual yang sedemikian, terutamanya yang diacarakan oleh Merv Griffin dan David Letterman.

Rancangan temubual waktu siang yang berjaya pula termasuk The Oprah Winfrey Show, Phil Donahue, The Ellen DeGeneres Show, dan Live with Regis and Kelly. Wujudnya juga rancangan temubual tabloid (trash TV ) yang berunsur ekspolitasi dan mengghairahkan seperti The Jerry Springer Show.

Kitaran hidup rancangan televisyen A.S. sunting

Syarikat penerbitan televisyen menyediakan skrip untuk dijadikan episod rintis (pilot). Rancangan mana yang disangka boleh dikomersilkan oleh syarikat penerbitan kemudiannya dipasarkan ke rangkaian TV, atau pengedar televisyen untuk rancangan rancangan bersindiket. (Misalnya, KingWorld mengedarkan rancangan Oprah secara sindiket siaran pertama kerana rancangan tersebut tidak bersekutu dengan mana-mana rangkaian besar.) Antara faktor yang harus dipertimbangkan rangkaian TV apabila berurusan dengan rancangan baru ialah sama ada rancangan berkenaan serasi dengan penonton sasaran rangkaiannya, dan sama ada rancangan ini digemari para eksekutif rangkaian.

Adakalanya sesebuah rangkaian membeli episod rintis terlebih dahulu sebelum pesaingnya mengambil kesempatan, tetapi pembelian episod rintis ini bukan jaminan bahawa episod-episod seterusnya akan dipesan jua. Rancangan yang berjaya diambil bakal menerima pesanan semusim penuh atau separa musim, selepas itu barulah penerbitan rancangan dimulakan dengan menetapkan latar, kakitangan lengkap dan pejabat penerbitan. Selepas penulis lakon layar diambil kerja, pengarah dipilih, maka bermulanya kerja pembikinan, selalunya dilakukan pada musim bunga dan panas sebelum tayangan perdana pada musim luruh. (Juga adanya rancangan gantian tengah musim (midseason replacement), iaitu rancangan yang ditempah khususnya untuk mengisi kekosongan dalam jadual rancangan yang terjadi akibat kegagalan dan pembatalan rancangan yang dimulakan pada musim luruh. Contoh rancangan sedemikian yang berjaya termasuk Buffy the Vampire Slayer dan The Office.)

Rancangan TV bersiaran di A.S. biasanya lebih kurang 22 episod semusim (iaitu hampir separuh tahun), sementara rancangan asli dalam rangkaian kabel pula setakat 10 hingga 12 episod semusim (hampir tiga bulan), lebih kurang macam televisyen di Britain.

Drama lipur lara Amerika bersiaran pada waktu tengahari, lima hari seminggu, tanpa tempoh rehat yang ketara dalam jadual rakaman dan siaran sepanjang tahun. Ertinya, siri-siri sedemikian bersiaran kira-kira 260 episod setahun, oleh itu para pelakon dan krewnya adalah yan paling sibuk dalam industri hiburan. jarang sekali rancangan lipur lara diulang tayang, maka adalah sukar bagi para penonton difficult "mengejarnya" seandainya terlepas sebulan mahupun seminggu siarannya. Mujurlah, adanya saluran kabel SOAPnet yang menyiarkan ulang tayang untuk semua drama lipur lara ABC, serta drama Days of our Lives, dan The Young and the Restless.

Rangkaian TV menggunakan keuntungan yang diraih dari iklan untuk membiayai syarikat penerbitan yang juga menampung membayar barisan pelakon dan krewnya, di samping menyimpan sebahagian untungnya untuk kegunaan diri. (Adakalanya rangkaian juga memegang peranan sebagai penerbit dan pengedar.) Memandangkan kadar pengiklanan berdasarkan saiz penonton, maka adalah amat penting untuk menyukat bilangan penonton sesebuah rangkaian. Sukatan ini dikenali sebagai ratings. Tempoh kaji selidik sweeps, iaitu bulan November, Februari, Mei, dan adakalanya Julai, merupakan tarikh-tarikh penting dalam industri televisyen, kerana ratings yang diperoleh pada suatu tempoh sweeps ini menentukan perubahgan kadar pengiklanan sehingga tempoh Sweeps seterusnya, maka selalunya perkembangan plot menarik dalam sesebuah rancangan disiarkan pada tempoh sweeps.

Rancangan-rancangan yang berjaya menarik penonton dan pengiklan menerima kelulusan dari pihak rangkaian untuk meneruskan penerbitan, sehingga berakhirnya jalan cerita (untuk rancangan berskrip sahaja) atau tamatnya kontrak (untuk rancangan berskrip dan tanpa skrip), sementara yang tidak berjaya pula diarah segera oleh pihak rangkaian untuk berhenti penerbitan, iaitu pembatalan (cancellation). Wujudnya rancangan yang mengalami ratings rendah tetapi terlepas dari pembatalan lalu mengecapi populariti tinggi, itupun jarang sekali. Selalunya, mana-mana rancangan yang tidak cepat mencapai kejayaan sekurang-kurangnya sederhana terpaksa dibatalkan menjelang akhir sweeps bulan November.

Peraturan sunting

Televisyen terestrial dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (Federal Communications Commission, FCC). FCC memberikan lesen kepada stesen tempatan, dengan mensyaratkan bahawa stesen-stesen komited terhadap rancangan berpendidikan dan kepentingan awam. FCC juga melarang penyiaran bahan-bahan "lucah" dari jam 6 pagi hingga 10 malam. Sungguhpun stesen penyiaran TV boleh menyiarkan apa-apa sahaja sesuka hati pada waktu larut malam tanpa dihalang undang-undang (dan rangkaian kabel pula sepanjang masa), namun adegan berbogel dan kata kesat amat jarang dipertontonkan di televisyen Amerika Syarikat, kerana rangkaian TV khuatir bahawa penyiaran bahan-bahan sebegini boleh meluatkan syarikat pengiklan serta mendorong kerajaan untuk memperketatkan pemantauan kandungan TV. Rangkaian kabel premium lebih berani kerana menayangkan rancangan yang agak lucah pada waktu malam. Wujudnya rangkaian seperti Playboy TV yang dikhususkan untuk menyajikan kandungan "dewasa".

Televisyen kabel kurang sekali diberi pengawasan. Penyedia TV kabel diwajibkan menyertakan stesen terestrial tempatan dalam tawaran mereka, serta dilarang menyiarkan stesen sekutu rangkaian dari kawasan lain di negara.

Sejarah televisyen Amerika Syarikat sunting

Fail:ILoveLucyTitleScreen.jpg
I Love Lucy

Televisyen dikomersilkan buat julung kalinya di Amerika Syarikat pada awal 1940-an, oleh RCA (melalui rangkaian NBC) dan CBS. Pada akhir 1930-an, berkembangnya beberapa sistem penyiaran yang berbeza. Jawatankuasa Sistem Televisyen Kebangsaan (National Television System Committee, NTSC) yang berpiawaian siaran 525 baris diperkenalkan pada 1941 untuk dijadikan piawaian TV seluruh negara hingga akhir abad ke-20. Pemajuan televisyen terhenti ketika meletusnya Perang Dunia II, tetapi pulih setelah perang berakhir.

Pada penghujung 1940-an cuba terdapat puluhan stesen yang beroperasi, tertumpu di kawasan pantai Timur dan Barat. Pada 1950-an, pihak FCC mula mengeluarkan lesen penyiaran kepada berbilang komuniti baik kecil mahupun besar, sekaligus melariskan TV secara mendadak sekali. Pada ketika ini juga berlakunya pertikaian mengenai sistem mana yang wajar digunakan untuk penyiaran warna, tetapi selesai jua dalam masa yang singkat. Separuh isi rumah di seluruh A.S. memiliki peti TV pada tahun 1955, namun siaran warna masih dianggap mewah selama bertahun-tahun lamanya (kebanyakan isi rumah yang mampu membeli peti TV hanya mampu membeli peti hitam putih, dan sedikit sekali rancangan yang disiarkan dengan warna sehingga pertengahan 1960-an).

Kebanyakan rancangan TV terawal merupakan penyesuaian dari rancangan radio tersohor. 1950-an menyaksikan kembangnya genre-genre yang membezakan TV dari filem wayang dan radio, iaitu: rancangan temu bual seperti The Jack Paar Show dan sitkom seperti I Love Lucy. Stesen-stesen di seluruh negara juga menerbitkan rancangan tempatan sendiri yang biasanya bersiaran langsung, baik iklan ringkas mahupun rancangan permainan dan rancangan kanak-kanak yang dibintangi badut dan bermacam-macam watak lucu yang lain. Walaupun sering menjadi popular dan lumayan, tetapi kebimbangan mengenai promosi dan isu-isu lain menyebabkan rancangan setempat akhirnya pudar menjelang pertengahan 1970-an.

Televisyen berbayar (seperti kabel dan satelit) menjadi laris pada 1980-an, dan semenjak itu menjadi semakin megah, sehingga lahirnya konglomerat multinasional seperti Fox.

Amerika Syarikat kini sudah beralih ke televisyen terestrial digital, berikutan undang-undang yang diluluskan pada 2006 mewajibkan semua stesen ke udara menamatkan siaran analog pada Februari 2009, tetapi ditangguh ke 12 Jun. Pada 2008, dianggarkan terdapat 327 juta peti televisyen yang digunakan di A.S.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting