Tengku Ampuan Jema'ah binti Almarhum Raja Ahmad
Raja Permaisuri Agong | |
![]() | |
Tengku Ampuan Hajah Jemaah binti Almarhum Raja Ahmad | |
---|---|
Raja Permaisuri Agong ke- | 2 |
Yang di-Pertuan Agong | Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah |
Negeri | Selangor |
Kelahiran | 1900 Bandar Termasha, Kuala Langat, Selangor |
Kemangkatan | 8 April 1973 (berumur 72–73) Klang, Selangor |
Mula jawatan | 1 April 1960 |
Tamat jawatan | 1 September 1960 |
Penyandang terdahulu | Tunku Kurshiah binti Tunku Besar Burhanuddin |
Penyandang kemudian | Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail |
Seri Paduka Baginda Tengku Ampuan Hajah Jema’ah binti Almarhum Raja Ahmad, Raja Permaisuri Agong Kedua diputerikan di Bandar Termasha, Kuala Langat, Selangor pada tahun 1900 dan mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu dalam kawasan Bandar Termasha.
Pada tahun 1920, Tengku Ampuan Jema'ah berkahwin dengan Sultan Hisamuddin Alam Shah yang ketika itu menjadi pengiring Diraja kepada DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Dengan itu juga baginda menjadi pengiring khas kepada DYMM Tengku Ampuan Fatimah.
Pada tahun 1926, Seri Paduka Baginda Tengku Ampuan Jema’ah telah dikurniakan dengan seorang putera, DYMM Tengku Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Ke-8.
Tengku Ampuan Jemaah ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Selangor pada tarikh 26 Januari 1939 ketika baginda berusia 39 tahun. Namun, Sultan Hisamuddin diturunkan takhta ketika zaman pendudukan Jepun dan jawatan baginda diambil alih oleh Permaisuri Sharifah Mastura. Setelah British kembali, takhta Selangor telah dikembalikan kepada baginda berdua. Baginda menduduki takhta kerajaan Selangor sebagai Tengku Ampuan selama lebih kurang 17 tahun.
Pada 14 April 1960, baginda telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serentak dengan perlantikan Sultan Hisamuddin sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kedua. Namun, suami baginda mangkat sebelum pertabalan pada 1 September 1960. Tengku Ampuan Jemaah menjadi Raja Permaisuri Agong tidak sampai tempoh 5 bulan.
KehidupanSunting
Seri Paduka Baginda Tengku Ampuan Jema’ah rajin mencuba pelbagai kerja pertukangan tangan di istana dan mahir menyulam, mengait dan membuat sulaman tampal. Apabila Seri Paduka Baginda berpindah ke Klang, baginda mengumpul kaum wanita di kampung-kampung dan memulakan program latihan seni pertukangan tangan untuk mereka. Hasil pertukangan ini dihantar ke Hotel Raffles di Singapura di bawah jenama "Pertukangan Tangan Melayu Selangor" yang dibiayai oleh isteri Gabenor Singapura ketika itu. Kedai Pertukangan Tangan Melayu dibuka di Klang dan kemudiannya sebuah lagi cawangan dibuka di Kedai Robinson di Kuala Lumpur dengan bantuan pengurus kedai tersebut.
Baginda juga sering dilihat lazim mengenakan tudung atau selendang menutup kepala dalam majlis-majlis bersama rakyat.
"Gerai Selangor" di pameran Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) di Kuala Lumpur menarik perhatian ramai pelancong Eropah, dan beberapa anugerah barangan perak yang dimenangi oleh gerai itu boleh dilihat di Muzium Istana Alam Shah. Penghargaan yang diterima ini adalah hasil usaha Tengku Ampuan Jema’ah.
Pada tahun 1952, Seri Paduka Baginda menunaikan fardu haji di Mekah dan pada tahun berikutnya Baginda mengiringi Seri Paduka Baginda Sultan Hishamuddin Alam Shah untuk menyaksikan pertabalan Ratu Elizabeth II di United Kingdom dengan menaiki kapal MS Willem Ruys.
KemangkatanSunting
Setelah kemangkatan Almarhum suami baginda pada tahun 1960, baginda bersemayam selaku bonda kepada Sultan Selangor. Baginda mangkat pada 8 April 1973 ketika usia 73 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Klang. Sebagai mengenang jasa Tengku Ampuan Jemaah beberapa buah sekolah telah dinamakan sempena nama baginda. Hospital Tengku Ampuan Jemaah juga mengambil sempena nama baginda.