Raja Perempuan Zainab II
Raja Permaisuri Agong | |
Raja Perempuan Zainab II | |
---|---|
Raja Permaisuri Agong ke- | 6 |
Yang di-Pertuan Agong | Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim |
Negeri | Kelantan |
Kelahiran | Kota Bharu, Kelantan, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malaya British | 7 Ogos 1917
Kemangkatan | 10 Januari 1993 Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan | (umur 75)
Mula jawatan | 21 September 1975 |
Tamat jawatan | 29 Mac 1979 |
Penyandang terdahulu | Sultanah Bahiyah |
Penyandang kemudian | Tengku Ampuan Hajah Afzan |
Raja Perempuan Zainab II (lahir Tengku Zainab binti Tengku Muhammad Petra; 7 Ogos 1917 - 10 Januari 1993) merupakan mantan Raja Perempuan Kelantan dan Raja Permaisuri Agong yang ke-6. Baginda juga adalah permaisuri kepada Sultan Kelantan ke-27 dan Yang di-Pertuan Agong ke-6, Sultan Yahya Petra serta bonda kepada Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra.
Kehidupan awal
suntingTengku Zainab merupakan puteri kepada Tengku Sri Utama Raja Tengku Muhammad Petra bin Tengku Petra Semerak Tengku Idris ibni Sultan Ahmad dan Tengku Maharani Putri Tengku Kembang Petri binti Sultan Muhammad IV. Baginda menerima pendidikan awal agama yang disediakan oleh ayahanda dan bonda baginda selain mendapat asuhan dan didikan tentang adat resam Melayu dan adat istiadat Diraja yang diwarisi dari zaman ke zaman. Baginda juga diajar oleh guru-guru agama yang terkenal di Kelantan.
Kehidupan peribadi
suntingTengku Zainab telah berkahwin dengan Sultan Yahya Petra pada 4 Jun 1939. Baginda dikurniakan lima anakanda, seorang putera dan empat puteri iaitu Tengku Merjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani, Tengku Rohani dan Sultan Ismail Petra.
Gelaran diraja
suntingTengku Puan Temenggong Kelantan
suntingSetelah suami baginda telah dilantik sebagai Tengku Temenggong Kelantan pada 21 Julai 1939, baginda dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan.
Tengku Puan Bendahara Kelantan
suntingPada 6 Februari 1945, baginda dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Puan Bendahara Kelantan selepas suaminya dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan.
Tengku Ampuan Mahkota Kelantan
suntingPada 9 Ogos 1956, selepas suaminya dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan, baginda telah dilantik sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Mahkota Kelantan oleh ayahanda mentuanya Sultan Ibrahim serta dikurniakan Darjah S.P.M.K.
Raja Perempuan Kelantan
suntingBaginda kemudiannya telah dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan pada 17 Julai 1960 dan memakai gelaran nama rasmi sebagai Raja Perempuan Zainab II pada hari Sultan Yahya Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-27. Baginda juga dikurniakan Darjah Kerabat (D.K.) pada ulang tahun pertama keputeraan Sultan Yahya Petra.
Raja Permaisuri Agong
suntingPada 21 September 1975, baginda telah dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-6 setelah suami baginda mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-6.
Tengku Zainab sering mengiringi Sultan Yahya Petra ke luar negera semasa baginda mengadakan lawatan rasmi ke beberapa negara. Ternyata lawatan sedemikian menyediakan ruang yang luas bagi baginda menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang permaisuri. Seri Paduka Baginda seorang yang murah hati dan gemar membuat kerja-kerja kebajikan sosial untuk rakyat jelata. Baginda juga pernah menjadi Presiden untuk pelbagai pertubuhan sosial seperti pertubuhan Pandu Puteri Kelantan dan Institusi Wanita.
Hobi
suntingTengku Zainab menumpukan perhatian khas pada kerja-kerja rumah tangga seperti menghias istana dan menyediakan juadah makanan untuk santapan keluarga Diraja. Baginda sangat gemar membuat kerja-kerja pertukangan tangan, mengumpul barang-barang antik dan berkebun.
Kemangkatan
suntingBaginda mangkat pada 10 Januari 1993 di Istana Negeri, Kubang Kerian ketika berusia 75 tahun.
Eponim
sunting- Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan
- Masjid Raja Perempuan Zainab II, Istana Negeri Kubang Kerian, Kelantan
- Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kubang Kerian, Kelantan
- Sekolah Kebangsaan Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan
- Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan