Tentera Darat Pertama Panzer

Tentera Darat Pertama Panzer (Jerman: 1. Panzerarmee) adalah sebuah ketumbukan kereta kebal Jerman dan merupakan antara formasi armor terbesar Wehrmacht semasa Perang Dunia II. Tentera Darat Panzer 1 asalnya diberi nama Kumpulan Panzer Kleist (Panzergruppe Kleist) dan telah diaktifkan pada 16 November 1940 dengan Fil Marsyal Ewald von Kleist sebagai Panglima.[1]

1. Panzerarmee
Tentera Darat Pertama Panzer (asal Panzergruppe Kleist)
Insignia Tentera Darat Pertama Panzer Jerman
Aktif16 November 1940 – 8 Mei 1945
Negara Jerman Nazi
CawanganHeer
JenisKetumbukan panzer
SaizTentera darat medan
PertempuranPerang Dunia II
Komander
Komander
terkenal
Fil Marsyal Ewald von Kleist

Sejarah perkhidmatan sunting

Panzer Group Kleist telah diatur gerak di Perancis sehingga tahun 1941. Pada April 1941, ia mengambil bahagian dalam pencerobohan Yugoslavia sebagai sebahagian daripada Tentera Darat Ke-2 Generaloberst Maximilian von Weichs. Kumpulan Panzer Kleist tampil cemerlang di Yugoslavia, dengan cepat menghancurkan Tentera Darat Ke-5 dan Tentera Darat Ke-6 Yugoslavia sebelum memasuki Belgrade.

1941 sunting

 
 
Kedudukan Panzergruppe 1 Kleist pada fasa awal Operasi Barbarossa

Pada Mei 1941, Kumpulan Panzer Kleist menjadi Kumpulan Panzer 1 (Panzergruppe 1), yang diserapkan kepada Kumpulan Tentera Darat Selatan Fil Marsyal Gerd von Rundstedt pada permulaan Operasi Barbarossa. Pada pembukaan Operasi Barbarossa pada bulan Jun 1941, Kumpulan Panzer 1 mengandungi Kor III, Kor XIV dan Kor XLVIII (mot.) dengan lima divisyen panzer dan empat divisyen motoris (dua darinya SS) dilengkapi dengan 799 kereta kebal. Kumpulan Panzer 1 berkhidmat di sektor selatan Barisan Timur menentang Tentera Merah dan telah terlibat dalam Pertempuran Brody yang melibatkan sebanyak 1,000 kereta kebal Tentera Merah. Pada 6 Oktober 1941, Kumpulan Panzer 1 telah diperbesarkan kepada Tentera Darat Pertama Panzer ekoran kejatuhan Kiev, dengan von Kleist masih memerintah. Selepas itu Tentera Darat Panzer 1 memulakan kemaraannya terhadap Rostov. Bersama-sama dengan Leibstandarte Adolf Hitler yang dipimpin oleh Obergruppenführer Sepp Dietrich, von Kleist dengan berat hati membuat serangan ke atas Rostov. Tentera Darat Panzernya berjaya menawan kota itu pada November, tetapi Tentera Merah merampasnya semula lapan hari kemudian.

1942 sunting

Pada Januari 1942, Kumpulan Tentera Darat von Kleist, yang terdiri daripada Tentera Darat Panzer 1 berserta dengan Tentera Darat Ke-17, telah dibentuk sempena nama panglimanya, von Kleist. Kumpulan Tentera Darat von Kleist memainkan satu peranan penting dalam menangkis serangan Tentera Merah di Pertempuran Kharkov Kedua pada Mei 1942. Kumpulan Tentera Darat von Kleist telah dibubarkan pada bulan itu. Tentera Darat Panzer 1, masih dibawah von Kleist, yang telah diserapkan ke Kumpulan Tentera Darat Selatan sebelum ini, menjadi sebahagian daripada Kumpulan Tentera Darat A dibawah Fil Marsyal Wilhelm List. Kumpulan Tentera Darat A meneraju kemaraan dalam Caucasus semasa Operasi Blue dan menawan Grozny dan telaga minyak Baku (kini ibunegara Azerbaijan). Tentera Darat Panzer 1 adalah peneraju serangan itu. Serangan awalnya berjaya menawan Rostov, Maykop, Krasnodar, dan keseluruhan kawasan Kuban.

Namun, pada September 1942, penyerangan Kumpulan Tentera Darat A telah terhenti di Caucasus, dan List dipecat. Selepas Adolf Hitler secara singkat mengambil alih sendiri pemerintahan Kumpulan Tentera Darat A, beliau melantik von Kleist sebagai pemerintahnya pada 21 November 1942. Sewaktu von Kleist mengambil alih pemerintahan Kumpulan Tentera Darat A, Kolonel Jeneral Eberhard von Mackensen menjadi Panglima Tentera Darat Pertama Panzer. Pada Disember 1942, sewaktu Tentera Darat Ke-6 Jerman sedang dihancurkan dalam Pertempuran Stalingrad, Tentera Merah melancarkan penyerangan yang berjaya terhadap Kumpulan Tentera Darat A. Tentera Darat Panzer 1 telah dipindahkan melalui Rostov pada Januari 1943, sebelum sempat pihak Soviet memutuskannya di Kuban. Menjelang Februari 1943 ia telah berundur ke barat Sungai Don, dan von Kleist mengundurkan saki baki pasukannya dari Caucasus kedalam kawasan Kuban, timur Selat Kerch.

1943 sunting

Pada Januari 1943, Tentera Darat Pertama Panzer von Mackensen diserapkan ke Kumpulan Tentera Darat Don dibawah Fil Marsyal Erich von Manstein. Sebulan selepas itu, von Manstein menggerakan semula Tentera Darat Pertama Panzer bersama-sama dengan Tentera Darat Keempat Panzer untuk menyerang balas penerobosan Soviet disepanjang rusuk utara. Tentera Darat Panzer 1 menyumbang kejayaan Pertempuran Kharkov Ketiga pada Mac 1943. Pada Oktober 1943 tentera Soviet melintasi Sungai Dnieper antara Dnipropetrovsk dan Kremenchug. Tentera Darat Panzer 1 menyerang balas bersama dengan Tentera Darat Ke-8, tetapi gagal mengusir askar Soviet. Pada penghujung bulan tersebut, sewaktu Tentera Merah merapati Kiev, von Mackensen telah digantikan oleh Kolonel Jeneral Hans-Valentin Hube. Pada Mac 1944, dua ketumbukan kereta kebal Soviet memecah masuk Ukraine dan mengancam untuk memutuskan Tentera Darat Pertama Panzer dan Tentera Darat Ke-8 daripada ketumbukan SS dan Tentera Darat Ke-4 Panzer. Pada bulan yang sama Hitler, yang mendesak ketumbukan-ketumbukannya berjuang hingga ke akhir dalam pertahanan yang tidak fleksibel, memecat von Manstein.

1944 sunting

Tentera Darat Panzer 1 kekal diserapkan ke Kumpulan Tentera Darat Selatan dari Mac 1943 hingga Julai 1944. Pada masa itu askar Jerman telah ditarik keluar dari Ukraine, dan pihak Soviet kini mengancam Warsaw. Pada Mac 1944, krisis melanda Tentera Darat Panzer 1 apabila ia telah dikepung oleh dua barisan ketumbukan Soviet dalam pertempuran Kelompok Kamenets-Podolsky. Satu rempuhan keluar yang berjaya telah dibuat, menyelamatkan ramai tenaga tentera tetapi kehilangan banyak kelengkapan. Pada Oktober 1941, sewaktu Tentera Darat Panzer 1 dibentuk, ia merupakan sebuah tentera darat medan yang besar mengandungi empat kor, beberapa divisyen infantri, panzer, mekanis, motoris, gunung, dan SS, bersama-sama dengan sebuah tentera darat medan Romania dan beberapa divisyen Itali, Romania, Hungary, dan Slovakia. Menjelang musim bunga tahun 1944, Tentera Darat Pertama Panzer telah mengecil dengan banyaknya, hanya mengandungi tiga kor, dua divisyen infantri, empat panzer, dan satu SS. Selepas Julai 1944 ia berundur dari Ukraine dan Poland sebelum bertempur bersama Kumpulan Tentera Darat A di Slovakia (Pertempuran Dukla Pass).

1945 sunting

Sepanjang kewujudannya, dari Oktober 1941 hingga Mei 1945, Tentera Darat Pertama Panzer menghabiskan seluruh masanya di Barisan Timur. Pada musim bunga 1945, tugas utama Tentera Darat Panzer 1 ialah mempertahankan wilayah Ostrava di utara Moravia, yang mana pada waktu itu merupakan kawasan perindustrian terbesar dan terakhir dalam genggaman Reich Ketiga. Di sana Tentera Darat Panzer 1 berdepan dengan kemaraan Barisan Ukraine Ke-4 dari timur laut (Operasi-Ostrava-Opava, 10 Mac – 5 Mei 1945) dan telah kehilangan sebahagian besar kereta kebal berat dan medium kepunyaannya. Pada masa yang sama Ketumbukan Panzer tersebut telah dikapit oleh Barisan Ukraine Ke-2 dari selatan (Operasi Bratislava-Brno, 25 Mac – 5 Mei 1945). Garisan pertahanan Jerman akhirnya runtuh pada awal pagi Penyerangan Prague. Staf Tentera Darat Pertama Panzer, bersama-sama dengan pasukan lain dibawah Kumpulan Tentera Darat Tengah, menyerahkalah kepada pihak Soviet pada 9 Mei 1945 di kawasan Deutsch-Brod, manakala saki baki unit-unit Panzer telah bertaburan dan ditawan sepanjang jalan dari Olomouc ke Wilayah Vysočina. Panglima terakhirnya ialah Jeneral Walter Nehring, yang meninggalkan stafnya dan melarikan diri ke selatan untuk menjadi tahanan Amerika.

Para Panglima sunting

Para Ketua Staf Am sunting

  • Generalmajor Kurt Zeitzler (penubuhan – 24 April 1942)
  • Generalmajor Ernst-Felix Fäckenstedt (24 April 1942 – 15 Mac 1943)
  • Generalmajor Walther Wenck (15 Mac 1943 – 15 Mac 1944)
  • Generalmajor Carl Wagener (15 Mac 1944 – 5 November 1944)

Lihat juga sunting

Nota sunting

  1. ^ George M. Nipe (2012). Decision in the Ukraine: German Panzer Operations on the Eastern Front, Summer 1943. Stackpole Books. ISBN 0811711625 – melalui Google Books.
  2. ^ Raus, Erhard. Panzer Operations p. 353

Rujukan sunting

  • Barnett, Correlli. Hitler's Generals. New York: Grove Weidenfeld, 1989.