Tepak sirih (Jawi: تيڤق سيريه) merujuk kepada bekas menyimpan bahan-bahan dan alat menyediakan daun sirih untuk dimakan kunyah[1][2] dalam kalangan masyarakat Melayu, India dan Cina Peranakan serata rantau Nusantara di Asia Tenggara. Penyediaan ini tidak sahaja khusus untuk tujuan perasmian secara adat (menyambut tetamu, malah diterapkan dalam persembahan-persembahan tarian tradisi[2] serta alat-alat istiadat diraja.[3]

Kelengkapan tepak sirih Peranakan bertatah emas dan perak di Muzium Intan, Singapura.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah telah memberikan kepada Hang Jebat sepiak sirih dalam tepak kepunyaan Sultan Mahmud semasa berhenti rehat.

Rupa sunting

Tepak sirih boleh berbentuk bujur (digelar "puan"), empat segi ("tepak")[1] mahupun bulat. Tepak yang lengkap sering dihiasi dengan susunan bunga dan kain songket,[1] ada juga meja kecil khas yang digunakan untuk menempatkan tepak dalam tujuan tertentu iaitu tatakan (Jawi: تاتاکن‎).[2]

Bahan sunting

Bekas tepak diperbuat dari logam atau kayu dengan tatahan dan ukiran cantik. Buluh serta daun-daun palma dan pandan dianyam juga boleh digunakan untuk bekas tepak yang kecil dan mudah alih terutamanya di kawasan kepulauan Asia Tenggara.[4]

Tepak boleh dicantikkan dengan tatahan logam berharga seperti emas dan perak, malah juga bahan seperti gewang.[4]

Kelengkapan sunting

Tepak yang lengkap mempunyai beberapa barangan penting dalam memakan daun sirih. Helaian daun sirih diletakkan pada gagang atas dalang, satu tepak sirih selalunya mengandungi empat hingga enam susun sirih sebaris yang hendak dilipat sambil tangkai atau "ekor" daun disamakan dan disembunyikan bersisip antara satu sama lain.[1]

Terdapat lima bekas kecil disebut cembul (Jawi: چمبول‎) atau cupu (Jawi: چوڤو‎, di Sumatera Selatan) untuk mengisi buah pinang, kapur makan, gambir, tembakau dan cengkih.[5] Cembul kapur ditonjolkan dari cembul-cembul lain dari segi bentuk dan bahan digunakan: masyarakat Ifugao di pulau Luzon, Filipina menggunakan tulang manusia untuk membuat cembul kapur dengan hiasan menggambarkan hidup si mati empunya tulang, masyarakat Mangyan atau Hanuno'o di pulau Mindoro pula berbentuk lingga dikatakan untuk memberi kuasa kebatinan kepada pemilik.[4]

Alat tertentu juga disediakan seperti kacip pinang untuk membelah buah pinang kepada kepingan dapat dimakan dan gobek sirih untuk menghancur lumat daun sirih agar mudah untuk mereka yang berusia dan tidak bergigi. Bekas ketur disediakan khas untuk meludah keluar habis sirih yang habis dikunyah.[4][6]

Simbolisme sunting

Aturan bahan-bahan yang ada dalam tepak untuk dikapur dan dimakan setiap satunya mempunyai perlambangan tertentu dalam kefahaman budaya Melayu. Daun sirih yang menggambarkan sebagai sesuatu yang berharga iaitu kehidupan yang harmoni; tangkai atau "ekor" daun sirih pula tidak boleh dinampakkan kerana pada anggapan mereka ini adalah satu keadaan yang kurang sopan dan tidak menghormati tetamu.[1]

Bahan-bahan dalam cembul pula yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan: buah pinang melambangkan kejujuran, martabat dan maruah yang tinggi serta keturunan yang baik-baik,[7] kapur lambang hati yang tulus bersih tetapi boleh menjadi agresif dan membinasakan,[7] gambir yang kelat rasanya melambangkan kecekalan hati,[7] tembakau yang rasanya pahit dan memabukkan melambangkan ketabahan dan kesediaan untuk berkorban[7] dan cengkih yang manis bau dan rasanya melambangkan kelembutan dan kehalusan adat budaya serta tutur kata.[7]

Kegunaan dalam upacara adat sunting

Sultan negeri Perak Darul Ridzuan di Malaysia memiliki dua jenis tapak khas sebagai alat kebesaran baginda sejak zaman Kesultanan lagi iaitu Puan Bujur dan Puan Naga Taru.[1] Raja Perlis dikurniakan suatu tepak emas oleh Raja Siam tahun 1842 sebagai pemberian balas ufti diberikan yang kemudiannya menjadi alat kebesaran sendiri,[3] Sultan negeri Terengganu turut memiliki sebuah tepak antara 7 alat kebesaran baginda.[3]

Suatu catatan mengenai upacara pertabalan Putera Mahkota Vajirunhis di Siam menyaksikan baginda diiringi lima orang dayang berpakaian seperti bidadari membawa beberapa barangan mewah termasuk sebuah tepak emas.[3] Di kerajaan Burma pula, kurniaan tepak dilazimkan pada abad ke-15 bergantung kepada pangkat: lapan atau 12 buah tepak diberikan kepada putera sulung atau putera mahkota, pewaris takhta dan Permaisuri memiliki tepak berbentuk seperti istana.[3]

Tepak sirih diletakkan luar kamar tidur pengantin pada malam pertama bersama sebagai tanda keperawanan si isteri dikahwini: jika dia didapati suami telah hilang daranya sebelum itu, maka tapak itu diterbalikkan untuk ditunjukkan halusnya pada keesokan harinya.[8]

Kegunaan dalam seni sunting

Tepak sirih dipergunakan sebagai alat dalam persembahan seni tertentu seperti tari Gending Sriwijaya Palembang, tari Penguton Kayu Agung, tari sanggan sirih, tari tanggai dan sebagainya.[2]

Rupa bekas tepak sirih turut diabadikan dalam siri kedua duit syiling Ringgit Malaysia sejak 1989 di mana ia tertera pada muka belakang kepingan wang bernilai 20 sen.[9]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f "Tepak Sirih". Sirih Pinang. Perpustakaan Negara Malaysia. 1999. Dicapai pada 26 Jun 2021.
  2. ^ a b c d Abdullah Saleh (1987). Peralatan Hiburan dan Kesenian Tradisional Daerah Sumatera Selatan (PDF). Jakarta: Departemen Pendidikan dan Kebudayaan. m/s. 27–40.
  3. ^ a b c d e "Betel Chewing and Royalty", m/s. 17-19, Rooney (1992)
  4. ^ a b c d "The Art", m/s. 36-50, Rooney (1992)
  5. ^ "cembul". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  6. ^ "Kacip". Tepak sirih. Perpustakaan Negara Malaysia. 1999. Dicapai pada 26 Jun 2021.
  7. ^ a b c d e "Pengertian". Sirih Pinang. Perpustakaan Negara Malaysia. 1999. Dicapai pada 26 Jun 2021.
  8. ^ Lim, Fiona; Pakiam, George (Okt–Dis 2020). "A Bite of History: Betel Chewing in Singapore". BiblioAsia. Jil. 16 no. 3. National Library Board. m/s. 4–9.CS1 maint: date format (link)
  9. ^ "Sejarah: Duit Syiling Siri Kedua". Mata Wang dan Syiling. Bank Negara Malaysia. Dicapai pada 27 Jun 2021.

Sumber utama sunting

Pautan luar sunting