Lagu Terang Bulan (ejaan asal/lama Trang Bulan) merupakan lagu yang diambil dari lagu kebesaran negeri Perak dan dijadikan popular oleh Begawan Indonesia, yang dipentaskan di Singapura sekitar 1920-an dan 1930-an. Lagu ini merupakan lagu kegemaran ramai penduduk Perak ketika itu. Lagu ini pada asalnya merupakan rentak sebuah lagu yang telah dicipta oleh penggubah Perancis, Pierre Jean de Beranger (1780-1857).

Lagu ini telah diperkenalkan oleh sebuah kumpulan pancaragam Perancis yang mengadakan persembahan di Pulau Mahé yang terletak dalam Kepulauan Seychelles. Ketika Sultan Idris dari Perak melawat England pada 1888, ia disedari bahawa Perak tidak mempunyai lagu kebangsaan. Pembantu peribadi sultan (Aide-de-camp), Raja Mansur ibni Sultan Abdullah, enggan mengaku bahawa Perak tidak mempunyai lagu kebangsaan dan dengan itu membunyikan lagu yang didengarinya dari Seychelles, melodi yang asalnya ditulis oleh Pierre Jean de Beranger. Selepas itu dia memberitahu Sultan mengenainya, dan Sultan memperkenankan lagu itu sebagai lagu kebangsaan Perak. Liriknya ditulis oleh Raja Ngah Manur bin Raja Abdullah.

Raja Muda Raja Abdullah telah menulis seni kata lagu "Allah Lanjutkan Usia Sultan" yang disesuaikan dengan irama lagu Pierre Jean de Beranger dan kemudian menjadikannya sebagai lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan. Irama lagu ini kemudiannya telah dipilih sebagai irama lagu kebangsaan negara Malaysia, Lagu Negaraku.

Terang Bulan (lagu asal)

Terang bulan
Terang di pinggir kali
Buaya timbul disangkalah mati
Jangan percaya mulutlah lelaki
Berani sumpah 'tapi takut mati
Jangan percaya mulutlah lelaki
Berani sumpah 'tapi takut mati

Waktu potong padi di tengah sawah
Sambil bernyanyi riuh rendah
Memotong padi semua orang
Sedari pagi sampai petang

Waktu potong padi di tengah sawah
Sambil bernyanyi riuh rendah
Bersenang hati sambil bersuka
Tolonglah kami bersama sama

Nota: Penulis lirik dan pencipta lagu tidak diketahui.

Reaksi Indonesia

Berhubung dengan lagu irama 'Terang Bulan' itu telah dijadikan lagu 'Negaraku', maka pemerintah Indonesia telah mengemukakan satu perintah yang diperdengarkan dan diedarkan kepada seluruh rakyat Indonesia, bagi melarang lagu 'Terang Bulan' dinyanyikan. Ianya bagi menghormati penggunaan irama lagu tersebut sebagai lagu kebangsaan Malaysia yang baru ditubuhkan pada waktu itu. Hal ini adalah untuk mengelakkan rakyat Malaysia merasa tersinggung dengan nyanyian lagu Terang Bulan tersebut.[1]


Larangan ini bermula 31 Ogos 1957. Arahan larangan ini dibuat oleh Perdana Menteri Republik Indonesia, dalam satu memo bertarikh 1 September 1957.

Rujukan

  1. ^ Ibrahim Mahmood. (1978), Sejarah Perjuangan UMNO, Penerbitan Pustaka Antara Kuala Lumpur, p.p 666-667

Pautan luar

  • "Terang Boelan". Rudy van Dalm & The Royal Rhythmics. 1963.
  • Ibrahim Mahmood. (1978), Sejarah Perjuangan UMNO, Penerbitan Pustaka Antara Kuala Lumpur,