Terier Dandie Dinmont

baka anjing dari Scotland

Terier Dandie Dinmont[a] ialah satu baka anjing kecil Scotland dalam keluarga terier. Baka ini mempunyai tubuh sangat panjang, tungkai pendek, dan toncet bulu distingtif di kepala. Ia ramah namun gagah dan sesuai untuk interaksi dengan kanak-kanak lebih tua. Terdapat kebimbangan kesihatan spesifik baka: ia dapat terjejas akibat masalah spina oleh sebab tubuh memanjangnya dan baka ini terjejas akibat kanser anjing pada kadar lebih tinggi daripada purata.

Terier Dandie Dinmont
Warna mustard pada terier Dandie Dinmont dapat mempunyai mana-mana cahaya warna antara perang kemerah-merahan dengan perang kekuning-kuningan.
Nama ringkasDandie
Terier Hindlee
Negara asalScotland
Trait
Berat 18–24 paun (8.2–10.9 kg)
Tinggi 8–11 inci (20–28 cm)
Bulu Berbulu kasar
Warna Lada atau mustard
Jangka hayat 11–13 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Baka ini dinamai sempena watak cereka dalam novel Sir Walter Scott, Guy Mannering. Watak ini, Dandie Dinmont, disangkakan sebahagiannya berdasarkan James Davidson, yang dikreditkan sebagai "bapa" kepada baka moden ini. Anjing Davidson diturunkan daripada terier lebih awal milik keluarga, termasuk Allans dari Holystone, Northumberland.

Terdapat tiga buah kelab baka di United Kingdom yang menyokong baka ini, sungguhpun ia berdaftar sebagai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club kerana bilangan rendah pendaftaran anak anjing pada setiap tahun.

Sejarah sunting

 
Sebuah lukisan dua ekor terier Dandie Dinmont dari 1859

Baka ini berasal daripada anjing yang digunakan di desa sempadan England-Scotland. Semasa tahun 1600-an, ia digunakan untuk memburu bejar dan berang-berang.[1] Walaupun asal usul utamanya kekal tidak diketahui, anjing yang dimiliki oleh keluarga Allan dari Holystone, Northumberland pada awal 1700-an dianggap telah terlibat dalam asal usul awalnya.[1]

Anjing ini mungkin sejenis terier sempadan,[2] walaupun teori-teori lain wujud termasuk idea bahawa ia merupakan silangan antara terier Scotland dengan terier Skye.[3] Ketua keluarga ini ialah Willie "Piper" Allan, yang lahir di Bellingham yang berdekatan.[1] Beliau membela anjing untuk pemburuan berang-berang.[4] Lord Ravensworth pernah mengupah Allan untuk membasmi berang-berang dari kolam di Eslington Park. Lord Ravensworth mencuba untuk membeli salah seekor anjing milik Allan selepas beliau berjaya membasmi berang-berang itu, tetapi Allan menolak.[4]

Allan meninggal dunia pada 18 Februari 1779 dan anjing-anjing beliau diserahkan ke dalam jagaan anak lelaki beliau, James.[5] Anak lelaki kepada James pula selanjutnya mewarisi anjing-anjing itu dan menjual seekor anjing bernama Old Pepper kepada En. Francis Sommer yang berasal dari Town Yetholm di sebelah Scotland di sempadan. Old Pepper diturunkan daripada salah seekor anjing milik Willie Allan yang telah bekerja di manor Lord Ravensworth.[5]

Baka ini kekal agak kurang terkenal di luar kawasan sempadan sehingga tahun 1815 semasa novel Sir Walter Scott Guy Mannering diterbitkan. Scott meluangkan masa di kawasan itu sementara Syerif Selkirk belajar tentang kekuasaan jenis terier pakar ini untuk kerja dengan rubah dan berang-berang. Semasa beliau mengarang Guy Mannering, beliau menyertakan watak bernama Dandie Dinmont yang memiliki sebilangan terier bernama Pepper dan Mustard sempena warna lapis bulu. Watak Dinmont sebahagiannya berdasarkan petani dan pemilik terier kehidupan sebenar, James Davidson,[6] yang juga menggunakan istilah generik Pepper dan Mustard untuk anjing-anjing beliau bergantung pada lapis bulu.[7] Anjing-anjing milik Davidson berasal daripada pelbagai sumber termasuk anjing-anjing keluarga Allan, Anderson, dan Faas.[8][9] Davidson mendokumenkan pembiakbakaan beliau dan beliau telah diterima sebagai pencipta baka moden.[10]

 
Terier Dandie Dinmont sekitar 1915

Sesetengah pembiakbakaan saling dengan baka-baka lain berlangsung pada pertengahan tahun 1800-an, yang mungkin telah memperkenalkan darah dachshund ke dalam baka ini,[11][12] namun pembiak baka tertentu mengekalkan susur galur tulen.[11] Teori dachshund pertama kali diperkenalkan oleh John Henry Walsh dengan pseudonim "Stonehenge" pada tahun 1880-an,[13] dan dinafikan oleh ramai pembiak baka dari zaman itu.[14] Menjelang pertengahan tahun 1800-an, baka ini dikenali sebagai terier Dandie Dinmont dan semakin dicari-cari untuk perburuan selepas karangan Scott diterbitkan.[7] Ia kekal sebagai satu-satunya baka anjing yang dinamai sempena watak cereka.[15] Pada sekitar masa ini, baka ini telah mempunyai sesetengah penglibatan dalam perkembangan terier Bedlington.[16]

 
The Fleece Hotel di Selkirk dengan plak yang mencatatkan pembentukan kelab di situ

The Kennel Club dibentuk pada tahun 1873 dan, di Fleece Hotel di Selkirk, Sempadan Scotland pada 17 November 1875, Dandie Dinmont Terrier Club (DDTC) dibentuk,[17] lalu menjadi kelab baka ketiga tertua untuk anjing di dunia.[18] Lord Melgund ialah presiden pertama persatuan itu, manakala E Bradshaw Smith ialah naib presiden pertama. Pembiak baka Hugh Dalziel dan William Stachen juga terlibat dalam pembentukan kelab itu.[19] Piawaian baka diwujudkan oleh William Wardlaw Reid, seorang lagi anggota pengasas kelab itu, yang dipersetujui setahun kemudian dalam satu lagi mesyuarat kelab itu.[17] Pertunjukan kelab diadakan buat pertama kali di Carlisle pada tahun 1877. Pertunjukan-pertunjukan selepas ini diadakan bersama-sama dengan kelab-kelab lain secara tahunan sehingga tahun 1928 apabila pertunjukan berpindah ke Market Hall di Carlisle. Kecuali semasa Perang Dunia Kedua, di sana, pertunjukan terus diadakan sehingga tahun 1982. Pertunjukan terus diadakan di kawasan umum sehingga tahun 2001 apabila pertunjukan berpindah ke selatan ke Cheshire dan ke Lancashire.[17]

DDTC bukan satu-satunya kelab baka di United Kingdom. Untuk sementara, beberapa buah kelab baka diwujudkan di Scotland, tetapi tiada yang bertahan lama kecuali Scottish Dandie Dinmont Terrier Society yang bergabung ke dalam DDTC pada tahun 1929.[17] Kini, sebagai tambahan kepada DDTC, terdapat juga Southern Dandie Dinmont Terrier Society dan, untuk Scotland, Caledonian Dandie Dinmont Club.[17]

 
Seekor terier Dandie Dinmont dan terier putih Tanah Tinggi Barat yang lebih banyak

Baka ini pertama kali didaftarkan dengan American Kennel Club (AKC) pada tahun 1888. Terier Dandie Dinmont diiktiraf oleh United Kennel Club (UKC) pada tahun 1918. Semasa Perang Dunia Kedua, banyak kenel berselerak dan anjing-anjing dimusnahkan, kerana kekurangan makanan yang disebabkan oleh catuan dan kekurangan tenaga kerja. Selepas peperangan, beberapa buah kenel memimpin jalan ke arah pengasasan semula baka ini termasuk Bellmead Kennels, yang terletak mula-mula di Surrey sebelum kemudian berpindah ke Old Windsor.[18] Terier Dandie Dinmont terus dibiakbakakan di Bellmead sehingga awal tahun 1990-an, apabila ia berpindah ke tangan Battersea Dogs and Cats Home.[18]

Pada tahun 2006, The Kennel Club mengiktiraf terier Dandie Dinmont sebagai salah satu baka anjing paling jarang yang asli di Kepulauan British dan meletakkannya dalam senarai baharu Baka Asli Rentan. Baka-baka yang dipilih untuk senarai ini merupakan yang berasal dari United Kingdom dan Ireland, tetapi mempunyai kurang daripada 300 pendaftaran anak anjing setiap tahun. Satu tempoh amat rendah adalah pada antara Julai dengan September 2003, apabila hanya 21 ekor anak anjing didaftarkan, 18 daripadanya merupakan jantan. Secara keseluruhan pada tahun itu, hanya 90 ekor anak anjing didaftarkan di United Kingdom, berbanding dengan 9,823 ekor untuk terier putih Tanah Tinggi Barat. Di samping itu, angka telah menurun ke paras rendah di Amerika juga dengan AKC yang hanya mendaftarkan 75 ekor anak anjing dalam tempoh masa sama.[20] Ikutan usaha selepas tahun 2006, angka pendaftaran terier Dandie Dinmont bertambah baik sedikit dengan 151 ekor anak anjing yang berdaftar dengan The Kennel Club pada tahun 2010, iaitu jumlah tertinggi untuk mana-mana tahun dalam sepuluh tahun sebelumnya. Antara baka terier asli lain, hanya terier Skye, terier Sealyham, terier Manchester, dan terier Glen of Imaal yang mempunyai angka pendaftaran lebih rendah.[21]

Perihal sunting

 
Seekor terier Dandie Dinmont berwarna lada (kiri) dan seekor terier Dandie Dinmont mustard (kanan)

Baka ini mempunyai tungkai pendek dengan tubuh memanjang. Yang luar biasa sesama baka terier Scotland, ia mempunyai telinga labuh.[22] Lehernya berotot kerana telah dikembangkan daripada penggunaan baka ini terhadap buruan lebih besar.[23] Ketinggian tipikal pada paras kelasa ialah 8–11 inci (20–28 cm) dan ia dapat berukuran seberat 18–24 paun (8.2–10.9 kg).[22]

Walaupun terier Dandie Dinmont pada umumnya merupakan baka tahan lasak, ia mungkin mempunyai isu dalam memanjat tangga.[22] Ia mempunyai lapis bulu sutera yang membentuk toncet di atas kepala anjing.[23] Terier Dandie Dinmont mempunyai rupa bentuk tubuh serupa dengan yang pada terier Skye, tetapi lapis bulu terier Skye adalah lebih tebal dan lebih panjang.[23]

Lapis bulunya terdapat dengan dua julat warna, lada dan mustard. Warna lada berkisar daripada hitam kebiru-biruan gelap hingga kelabu perak sangat cerah; warna mustard pula berbeza-beza daripada perang kemerah-merahan hingga perang kekuning-kuningan, dengan kepala yang kelihatan hampir putih. Biasanya, tungkai dan kaki mempunyai warna lebih gelap dengan warna lebih cerah pada tubuh yang perlahan-lahan bercampur dengan warna pada tungkai.[24] Kedalaman lapis bulu dapat mencapai sehingga 2 inci (5.1 cm). Warna lapis bulu biasanya ditetapkan pada masa anjing mencapai usia lapan bulan, tetapi terier Dandie Dinmont masih terus mematang secara fizikal sehingga sekitar usia dua tahun.[22]

Perangai sunting

Baka ini tabah tetapi biasanya ramah dan sesuai untuk kanak-kanak lebih besar.[25] Ia sesuai sebagai pendamping baik dan anjing pengawal tetapi merupakan antara baka terier paling jinak; ia biasanya agak kuat meminta daripada pemiliknya.[26] Walau bagaimanapun, ia terkenal kerana kebolehannya untuk menggali lubang besar dalam tempoh masa singkat.[15] Ia dapat dilatih untuk menjadi baik dengan kucing tetapi tidak patut dipercayai di sekeliling haiwan lebih kecil seperti hamster atau tikus.[25] Ia diperihalkan sebagai anjing yang "sangat game" ("tahan lasak", "cenderung bertarung"), kerana ia cenderung untuk mencabar haiwan lain, termasuk rubah, dan, dalam sesetengah kes, anjing lain.[15]

Kesihatan sunting

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 12.8 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[27]

Oleh sebab tubuh memanjang baka ini, dapat ada masalah belakang dalam baka ini, khususnya dengan cakera intervertebra pada belakang anjing berkenaan. Cakera ini kadang-kadang dapat tergelincir daripada tempatnya, lalu mengakibatkan pengherniaan cakera spina. Gejala bergantung pada bahagian belakang terjejas; ini mungkin termasuk kelemahan, kelumpuhan, dan/atau kehilangan kawalan pundi kencing.[23]

Sebuah kajian Amerika mendapati risiko lebih tinggi untuk pirau portosistemik kongenital luar hati, dengan 1.6% daripada jumlah terier Dandie Dinmont yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 0.18% secara keseluruhan dan 0.05% untuk anjing baka kacuk.[28]

Terier Dandie Dinmont juga berisiko lebih tinggi sedikit untuk menghidap kanser berbanding dengan purata.[29]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: تيريئر دندي دينمون; bahasa Inggeris: Dandie Dinmont terrier

Rujukan sunting

Kutipan sunting

  1. ^ a b c Cook (1885): hlm. 5
  2. ^ Cook (1885): hlm. 70
  3. ^ Warren, Dean M (2002). Small Animal Care and Management (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Albany, New York, Amerika Syarikat: Delmar/Thomson Learning. m/s. 82. ISBN 978-0-7668-1424-0.
  4. ^ a b Cook (1885): hlm. 6
  5. ^ a b Cook (1885): hlm. 7
  6. ^ Cook (1885): hlm. 8
  7. ^ a b Cook (1885): hlm. 9
  8. ^ Cook (1885): hlm. 10
  9. ^ Cook (1885): hlm. 14
  10. ^ Cook (1885): hlm. 15
  11. ^ a b Cook (1885): hlm. 28
  12. ^ Cook (1885): hlm. 69
  13. ^ Cook (1885): hlm. 72
  14. ^ Cook (1885): hlm. 75
  15. ^ a b c Kern, Kerry V (2005). The Terrier Handbook (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: Barron's. m/s. 109. ISBN 978-0-7641-2860-8. dandie dinmont terrier.
  16. ^ Glover, John (1999). The Working Bedlington (dalam bahasa Inggeris). Machynlleth, Powys, United Kingdom: Coch-y-Bonduu Books. m/s. 13. ISBN 978-0-85380-112-2.
  17. ^ a b c d e "A Potted History of the Club" (dalam bahasa Inggeris). The Dandie Dinmont Terrier Club. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  18. ^ a b c Keevil, Paul. "History of the Dandie Dinmont Terrier" (dalam bahasa Inggeris). The Caledonian Dandie Dinmont Terrier Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 November 2011. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  19. ^ Shaw, Vero; Stables, Gordon (1881). The Illustrated Book of the Dog (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom; New York, Amerika Syarikat: Cassell, Petter, Galpin & Co. m/s. 118.
  20. ^ "An Introduction to the Vulnerable Native Breeds" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Januari 2013. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  21. ^ "Comparative Tables of Registrations for the Years 2001 - 2010 Inclusive" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 31 Januari 2012. Dicapai pada 7 Mac 2024.
  22. ^ a b c d Kern, Kerry V; Vriends, Matthew M (1988). The New Terrier Handbook (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Barron's. m/s. 87. ISBN 978-0-8120-3951-1. dandie dinmont terrier.
  23. ^ a b c d Alderton, David (2006). Top to Tail: The 360 Guide to Picking Your Perfect Pet (dalam bahasa Inggeris). Newton Abbot, United Kingdom: David & Charles. m/s. 144. ISBN 978-0-7153-2589-6.
  24. ^ Croxton Smith, Arthur (1909). Everyman's Book of the Dog (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Hodder and Stoughton. m/s. 140.
  25. ^ a b Stall, Sam (2005). The Good, the Bad, and the Furry (dalam bahasa Inggeris). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Quirk. m/s. 97. ISBN 978-1-59474-021-3.
  26. ^ Cunliffe, Juliette (1999). The Encyclopedia of Dog Breeds (dalam bahasa Inggeris). Bath, England, United Kingdom: Paragon. m/s. 243. ISBN 978-0-7525-4161-7.
  27. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  28. ^ Tobias, Karen M.; Rohrbach, Barton W. (2003). "Association of breed with the diagnosis of congenital portosystemic shunts in dogs: 2,400 cases (1980-2002)". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). 223 (11): 1636–1639. doi:10.2460/javma.2003.223.1636. PMID 14664452.
  29. ^ Weiner, Michael P; Gabriel, Stacey B; Stephens, J Claiborne (2007). Genetic Variation: a Laboratory Manual (dalam bahasa Inggeris). Cold Spring Harbor, New York, Amerika Syarikat: Cold Spring Harbor Laboratory Press. m/s. 399. ISBN 978-0-87969-780-8.

Umum sunting