The Beach Boys ialah sebuah kugiran rock Amerika Syarikat yang terbentuk pada tahun 1961 di bandar Hawthorne, California. Kumpulan ini asalnya dianggotai oleh adik-beradik Brian, Dennis dan Carl Wilson, sepupu mereka Mike Love, dan sahabat mereka Al Jardine. Di bawah pengurusan bapa kepada adik-beradik Wilson, iaitu Murry, The Beach Boys menyertai Capitol Records pada tahun 1962. Rakaman muzik terawal kugiran ini disambut hangat di seluruh Amerika Syarikat kerana harmoni vokalnya yang rapat dan seni kata yang mencerminkan kebudayaan muda-mudi California Selatan yang menggemari luncur air, kereta dan asmara. Menjelang pertengahan 1960-an, hala tuju muzik kumpulan ini dikuasai oleh cita-cita daya cipta dan kebolehan menulis lagu si ketua Brian Wilson. Album Pet Sounds dan single "Good Vibrations" (kedua-duanya keluaran 1966) yang kebanyakannya ditulis oleh Brian menampilkan irama yang kompleks, rumit dan berlapis-lapis.

The Beach Boys
Berasal dariHawthorne, California, Amerika Syarikat
GenreRock, pop, surf rock, psychedelic rock
Tahun aktif1961–kini
Syarikat rakaman
Capitol, Brother, Reprise, Caribou, CBS
Pengkarya berkait
The Honeys
Laman sesawang
thebeachboys.com
Ahli Bruce Johnston
Bekas ahliGlen Campbell
The Beach Boys (1964)

Bagaimanapun, Brian lama-kelamaan hilang pengaruhnya dalam kugiran kerana bergelut dengan masalah kesihatan mental dan penyalahgunaan dadah. Ini menyebabkan pembatalkan susulan yang ditunggu-tunggu kepada Pet Sounds, Smile (rakaman sesi-sesi album itu akhirnya keluar pada tahun 2011). Selepas itu, biarpun mereka mengeluarkan sebilangan album yang sungguh berjiwa seni (dengan pelbagai gaya muzik dan ahli-ahli yang bersilih ganti) pada tahun-tahun yang berikutnya, terutamanya pada tahun 1967–1973, namun kugiran ini tidak dapat menuntut kembali kemuncak kegemilangan mereka pada pertengahan 1960-an apabila mereka menyaingi kugiran The Beatles dari segi jualan dan sambutan kritis. Sejak 1980-an, berlakunya pertengkaran di kalangan ahli-ahli kugiran ini untuk merebut royalti, penghargaan untuk penulisan lagu, dan penggunaan nama kugiran. Ekoran keluarnya album studio Stars and Stripes Vol. 1 pada tahun 1996, kugiran ini kembali dengan bersilih ganti ahlinya, apapun tetap diketuai oleh seorang ahli asal yang masih ada (Dennis dan Carl Wilson masing-masing meninggal dunia pada tahun 1983 dan 1998), dan terus menjelajah sampai sekarang.

The Beach Boys sering digelar "America's Band",[1] sementara Allmusic mengulas bahawa "kebolehan mereka yang tiada silapnya... menjadikan mereka kugiran rock yang terulung dan terunggul di Amerika."[2] Kugiran ini telah melakar 36 buah hit Top 40 Amerika (iaitu yang terbanyak oleh sebuah kugiran rock AS) dan 56 buah hit Hot 100, termasuk empat single juara carta.[2] Pada tahun 2004, majalah Rolling Stone menyenaraikan The Beach Boys pada kedudukan 12 dalam senarai "100 Seniman Terhebat Sepanjang Zaman", iaitu kedudukan yang tertinggi buat sesebuah kugiran rock AS.[3] Brian Wilson, Carl Wilson, Dennis Wilson, Mike Love, dan Al Jardine dilantik ke dalam Rock and Roll Hall of Fame pada tahun 1988.

Diskografi sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Still America's Band: The Beach Boys Today" Kevin M. Cherry. National Review. Published July 8, 2002. Retrieved July 12, 2008.
  2. ^ a b Allmusic "The Beach Boys – Overview". John Bush. Allmusic. Retrieved July 12, 2008. Petikan: "the band's unerring ability... made them America's first, best rock band."
  3. ^ "The Immortals: The First Fifty". Rolling Stone Issue 946. Dicapai pada December 16, 2010.

Pautan luar sunting