Kumpulan The Siglap Five merupakan sebuah kugiran muzik Pop Yeh Yeh yang aktif pada era 1960an dahulu. Ditubuhkan pada tahun 1963, ahli-ahlinya terdiri Karim, Mohd. Ali (Nick), Hamidon, Khamsin dan Jaafar. Nama Siglap diambil sempena tempat asal kugiran ini yang terletak di daerah Siglap, timur Singapura.[1]

Kumpulan The Siglap Five
Kulit piring hitam The Siglap Five bersama penyanyi pertama mereka masa itu, Jeffridin.
Latar belakang
Berasal dariSingapura
GenreKugiran
Tahun aktif1963 - 1969, 1998
Syarikat rakaman
Philips, EMI, Echo
Pengkarya berkait
Jeffridin, P. Rosnah, Evel Lyn, Edison Eddie, Hussein Ismail
AhliKarim, Mohd. Ali (Nick), Hamidon, Khamsin, Jaafar

Kugiran The Siglap Five memulakan rakaman suara mereka sendiri di bawah syarikat rakaman Philips Singapura pada tahun 1966, sebelum kemunculan penyanyi Jeffridin yang mula merakam bersama kugiran tersebut di tahun yang sama untuk EP mereka bersama, yang mengandungi lagu-lagu hits iaitu Kenangan-Ku, Seruling Anak Gembala, Seruling Bambu dan Berjanji. Bersama Jeffridin, kugiran The Siglap Five merakamkan empat lagi EP bersama beliau sehingga tahun 1967. Oleh sebab melonjaknya kemasyhuran mereka ketika itu, Jeffridin dan The Siglap Five menjadi antara artis undangan untuk filem Aksi Kuching (1966) keluaran Shaw Brothers' Malay Film Productions, di mana mereka mempersembahkan lagu Jangan Merayu.[2] Namun begitu, atas sebab perjanjian kontrak, lagu ini dirakam semula oleh Ahmad Daud dan John Lee Quintet di bawah label EMI Singapura pada tahun yang sama.

Selain Jeffridin, kugiran The Siglap Five turut menyediakan muzik pengiring di Philips Singapura untuk rakaman lagu-lagu Melayu oleh P. Rosnah sebanyak dua EP.[3] Mereka juga mengiringi penyanyi bukan Melayu seperti Evel Lyn dari Singapura dan Edison Eddie dari Sabah untuk rakaman lagu bahasa Inggeris masing-masing.

Pada tahun 1968, kugiran The Siglap Five menghentikan buat seketika kegiatan seni mereka kerana ahli-ahlinya menjalani Perkhidmatan Negara (National Service) yang diwajibkan oleh Kerajaan Singapura. Pada 1969 pula, The Siglap Five mengiringi penyanyi Hussein Ismail untuk rakaman EP beliau bersama EMI Singapura. Hussein dan kugiran ini juga sempat merakam sebuah lagi EP di bawah label Echo Records.

Setelah hampir 30 tahun menyepi, The Siglap Five bergabung semula dengan Jeffridin untuk rakaman lagu-lagu baru berkonsepkan Pop Yeh Yeh bertajuk Tiada Bayangan Nyata di bawah label SRC di Kuala Lumpur. Itulah juga rakaman terakhir kugiran ini berikutan persaraan dan kematian beberapa orang ahlinya.

Penyanyi-penyanyi Iringan The Siglap Five dan Jumlah Album Dirakamkan sunting

  • The Siglap Five sendiri - 1 EP di bawah label Philips.
  • Jeffridin - 4 EP di bawah label Philips, 1 CD di bawah label SRC.
  • P. Rosnah - 2 EP di bawah label Philips.
  • Evel Lyn - 1 EP di bawah label Philips.
  • Edison Eddie - 1 EP di bawah label Philips.
  • Hussein Ismail - 1 EP di bawah label EMI, 1 ep di bawah label Echo.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting