Timbal balas (antropologi kebudayaan)

Dalam antropologi kebudayaan, timbal balik merujuk kepada pertukaran barangan atau perkhidmatan bukan pasaran, daripada pertukaran barter (pertukaran segera) hinggalah bentuk pertukaran hadiah di mana pulangan diharapkan lambat laun (pertukaran lambat) seperti dalam pertukaran hadiah hari jadi.

Timbal balas umumSunting

Timbal balas umum (general reciprocity) merujuk kepada pertukaran barangan altruistik tanpa mengharap sebarang pulangan serta-merta. Masa untuk balasan hadiah tidak tetap dan tidak dikira daripada segi kuantiti atau kualiti. Kegagalan untuk membalas tidak menyebabkan pemberi itu berhenti memberi.[1]

Dalam masyarakat pemburu dan peramu timbal balas umum merupakan sistem sosial yang memastikan kebajikan masyarakat tersebut terjaga. Apabila terdapat lebihan buruan, adalah wajar bagi pemburu menghadiahkan lebihan daging kepada keluarga-keluarga lain. Memandangkan pemburu tidak mempunyai peti sejuk untuk menyimpan lebihan daging, lebihan yang tidak dimakan serta-merta akan cepat rosak dan basi. Apabila pemburu bersikap murah hati dan berkongsi tangkapan dengan orang lain, ini akan memastikan bahawa dia akan diingati oleh pemburu lain kemudian hari. Sebagai pemburu, kadangkala nasib tidak menyebelahi mereka dan ada hari apabila mereka akan pulang dengan tangan kosong. Ketika itu, ada kemungkinan rakannya akan berkongsi tangkapan untuk membalas budinya.

Timbal balas seimbangSunting

Timbal balas seimbang (balanced reciprocity) merujuk kepada pertukaran barangan di mana pihak-pihak yang terlibat mengharapkan pulangan barangan dan perkhidmatan yang sama nilainya dalam jangka waktu yang tertentu. Berbanding dengan timbal balas umum, timbal balas seimbang melibatkan perhubungan yang lebih formal, jarak sosial yang besar, dan tanggungjawab untuk saling bertukar hadiah. Contoh klasik untuk timbal balas seimbang dalam antropologi budaya ialah rangkaian kula (kula ring) yang diamalkan oleh masyarakat Trobriand seperti yang dikaji oleh Bronisław Malinowski.

Timbal balas negatifSunting

Timbal balas negatif (negative reciprocity) merujuk kepada pertukaran di antara pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan di antara satu sama lain. Masing-masing ingin memaksimakan keuntungan dan mengurangkan pengorbanan dan ini membawa kepada penipuan, penyelewengan dan pergaduhan di antara mereka. Perhubungan ini tidak mengutamakan altruisme dan kewajipan sosial kerana ia lebih bermotivasikan kepentingan individu. Perhubungan ini banyak berlaku di antara musuh-musuh ketat atau orang-orang yang tidak dikenali.

RujukanSunting

  1. ^ Sahlins, Marshall (1972). Stone Age Economics. New York: Aldine de Gruyter. m/s. 193–4.