Tok Selehor

(Dilencongkan dari Tok Selehong)

Abdul Rahman bin Haji Uthman (1871 - 1935; nama penuhnya Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik) atau lebih dikenali sebagai Tok Selehor atau Tok Selehong[1] merupakan salah seorang tokoh ulamak Melayu yang terkemuka kerana mengembangkan syi'ar Islam di Nusantara. [2]

Cendekiawan Islam
Ulama tersohor dari Kelantan
Nama: Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik
Gelaran: Tok Selehor / Tok Selehong / Tok Syair
Lahir: 1871
Wafat: 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Fabruari 1935
Etnik: Melayu
Rantau: Semenanjung Tanah Melayu


Haji Abdul Rahman bin Haji Osman juga dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Syair, atau Tok Syair.

Beliau merupakan tokoh guru pondok yang paling terkemuka di Jajahan Tumpat[3] selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.[4]

Seorang daripada guru awalnya tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kamudian menyambung belajar di pondok Cha-Ok, Patani berguru dengan Tok Cha-Ok @ Haji Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali beliau pergi mendalami pengajian agamanya di kota Makkah - berguru dengan Pak Chik Wan Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, beliau pulang ke tanah air pada tahun 1921 lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsannuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn Ata'Allah sebagi teks utama.[5] Tok Seleong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubung khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran pondok Selehong yang dijadikan semacam kamar khusus tempat belau beribadat dan bersuluk. [6], [7]

Hobi tok guru yang pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar memukat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayan jantan laklung persis orang pelihara ayam serama zaman kini. Beliau merupakan bapa mertua kepada Tuan-tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan Haji Awang. Beliau kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan di Kubur Selehong, Tumpat. Kegiatan dakwah Islamiahnya diteruskan oleh murid-muridnya hingga ke hari ini.

Antara yang masyhur termasuklah Pak Cu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong, Haji Pak Man Berangan, Haji Che Mamat Kok Keli, Haji Awang Lambor, Haji Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdul Rahman Dalam Pator, Haji Abdul Rahman Tendong, Haji Abdul Rahman Pohon Tanjong, Hj. Abdullah Tal Tujoh, Hj Che Mat Padang Upeh, Hj. Abdul Aziz Kg. Tujoh, Hj. Mat Bola Geting, Hj. Saleh Pedada Bunohan, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj. Abdul Kadir Gaal, Yb Hj. Muhammad Batu Hitam dan Hj. Wan Abdul Latif Jerteh (Terengganu).

Rujukan sunting

  1. ^ Museums, History and Culture in Malaysia. By Abu Talib Ahmad
  2. ^ Dato' Haji Abdullah bin Haji Sijang: tokoh ulama silam. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, 2007 - Muslim scholars - 112 pages. Biography of Abdullah bin Haji Sijang, a prominent Malaysian ulama and Muslim scholar.
  3. ^ Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran. By Abdul Rahman Haji Abdullah
  4. ^ Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Volume 79, Issue 2. The Branch, 2006 - Malaysia
  5. ^ Sejarah masyarakat Melayu moden. Diterbitkan oleh Persatuan Muzium Malaysia untuk Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1984 - Malaysia - 269 pages
  6. ^ Contohi Tok Selehor, ingat mati
  7. ^ "Suluk Tok Selehor". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-11-27. Dicapai pada 2018-11-26.

Pautan luar sunting