Tok Temong

pemerintah di negeri Perak

Tok Temong ialah seorang pemerintah perempuan di daerah Temong atau Tumong, negeri Perak sebelum bermulanya pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1528—1549).[1] Di hari pertabalan baginda, beliau telah menghadiahkan sebiji geliga embun (mastika embun) yang dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran negeri Perak hingga ke hari ini.Nama sebenar Tok Temong adalah Puteri Badariah bt Alang Mohamad, berasal dari Acheh, Sumatera.[1]

Beliau juga ialah orang yang bertanggungjawab menyerahkan jajahan Hulu Perak kepada kerajaan negeri Perak yang ada sekarang ini. Tok Temong juga dikenali sebagai Keramat Temong oleh penduduk tempatan.

Tok Temong telah meninggal dunia di Kampung Temong Ulu, Mukim Chegar Galah di Daerah Kuala Kangsar, iaitu kira-kira 11 km ke utara, di antara Jalan Kota Lama ke Kati, berhampiran Jambatan Iskandar. Makam Tok Temong telah dibina semula oleh Jabatan Muzium pada tahun 1979.

Jasa Tok Temong dan Tun Saban sunting

Dalam buku Hulu Perak Dalam Sejarah dan Sejarah Perak, ada diceritakan kisah Tun Saban yang meninggalkan Kampar di Sumatera untuk kembali ke Tanah Melayu. Beliau telah berhijrah ke Beredong Budi di Hulu Patani. Kemudian, Tun Saban berpindah ke kawasan Belum, Hulu Perak lalu membuka perkampungan Relap Reli. Tun Saban menjadi ketua di Belum. Adik perempuannya iaitu Tun Perabu dilantik menjadi ketua di Temong. Perak ketika itu dikunjungi oleh para pedagang dari Melaka, Selangor, Siak, Kampar dan Jambi. Seorang perempuan bernama Tok Masuka dari Daik telah memelihara seorang bangsa Temusai bernama Nakhoda Kassim. Apabila Tok Masuka meninggal dunia, beliau berwasiat dan meminta tempat beliau digantikan dengan seorang raja yang barasal daripada anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat raja-raja yang turun dari Bukit Siguntang tiada terputus di Tanah Melayu.[2]

Tun Saban dan Nakhoda Kassim pun berangkat ke Kampar mengadap Sultan Mahmud Shah memohon supaya seorang putera baginda menjadi Sultan Perak. Sultan Mahmud Shah I telah meminta puteranya yang bernama Raja Mudzaffar menjadi Sultan Perak pada tahun 1528. Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama. Semasa pertabalan, Tok Temong telah membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama Mastika Embun. Kini, Mastika Embun menjadi salah satu alat kebesaran di-Raja Perak dan digunakan dalam Istiadat Pertabalan di-Raja Perak.

Tok Temong telah datang menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Mudzaffar Shah dengan Tun Saban. Sebagai membalas persembahan Tok Temong, Sultan telah mengurniakan sebuah puan bujur (bekas sireh) kepada Tok Temong, tetapi telah dikembalikan oleh Tok Temong. Tok Temong hanya berkehendakkan satu ikrar (janji) daripada Sultan, iaitu Baginda serta anak cucu Baginda hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak dan Tok Temong serta anak cucu beliau memerintah di sebelah kiri mudik Sungai Perak. Dari itu didapati kota-kota Istana dan banyak Makam Sultan Perak di zaman dahulu terletak di sebelah kanan mudik Sungai Perak sehingga pemerintahan Sultan Sir Idris Murshidul al-Adzam Shah I yang mula-mula membuat kota Istana dan makam di sebelah kiri mudik Sungai Perak.

Rujukan sunting

  1. ^ a b Siapakah Tok Temong Dalam Sejarah Perak? di Orang Perak
  2. ^ Hulu Perak dalam sejarah, oleh Raja Razman bin Raja Bendahara Abdul Hamid; 1963
  • Monumen dan Tapak Gali Cari Bersejarah Perak
  • Tempat-tempat bersejarah Perak, oleh Abdul Halim Nasir dan ‎Mohd Zulkifli bin Hj. Abdul Aziz (Hj.); 1981 hlm 78
  • Asal-usul negeri-negeri di Malaysia oleh Zakiah Hanum; 1989, hlm 56