Tulang rangka merupakan penyokong bagi tubuh manusia dan haiwan agar mampu berdiri tegak. Ia merupakan 20 % dari jisim manusia, dan terdiri dari 206 tulang. Secara ringkas terdapat lima fungsi utama tulang dalam badan manusia.

Rangka manusia

Tulang melindungi organ penting lain seperti tulang dada melindungi paru-paru. Tulang tengkorak pula melindungi otak manusia dengan mengelilinginya hampir sepenuhnya.

Tulang menyokong tubuh manusia dalam kedudukan tegak. Tanpa tulang, manusia tidak mampu berdiri tegak kerana otot dan urat manusia tidak mampu menyokong berat badan.

Tulang turut merupakan tempat melekatkan otot pada satu tempat yang kukuh bagi membolehkan pergerakan. Tanpa tempat bagi otot untuk berpegang, kita tidak mampu menggerakkan tangan atau kaki dengan mudah.

Tulang turut merupakan tempat menyimpan sum-sum yang bertugas menghasilkan darah. Darah manusia sentiasa diuraikan oleh badan oleh itu ia perlu digantikan secara berterusan. Sum-sum tulang bertugas menghasilkan sel darah yang baru bagi menggantikan sel darah yang telah dilupuskan oleh badan.

Tulang juga merupakan tempat simpanan bahan galian bagi badan. Oleh itu bagi mereka yang tidak mendapat galian yang secukupnya, tubuh manusia akan menggunakan sebahagian dari tulang untuk menggantikan galian yang penting. Keadaan ini boleh mendorong kepada penyakit osteoporosis. Oleh itu amat penting bagai kanak-kanak dan ibu yang menyusukan anak bagi mengambil galian tambahan seperti kalsium agar tulang sentiasa kuat dan sihat. Ini kerana tulang bagi kanak-kanak sentiasa membesar sementara bagi ibu yang menyusu, kalsium digunakan bagi menghasilkan susu bagi membekal bayi dengan kalsium yang mencukupi bagi perkembangan tulang yang mencukupi. Kalsium boleh diambil dengan meminum susu lembu. Susu soya juga dikatakan mengandungi kandungan kalsium yang tinggi, tetapi terdapat pendapat bahawa kalsium dalam soya / sayuran berada dalam bentuk yang tidak dapat dihadamkan oleh badan manusia.