Tumpeng

Hidangan tradisi kaum etnik Jawa yang berasal daripada pulau Jawa

Tumpeng (atau nasi tumpeng atau nasi tumpang) adalah sejenis hidangan nasi berserta lauk-pauknya dalam bentuk kon; disebabkan itu disebut sebagai 'nasi tumpeng'. Olahan nasi yang dipakai umumnya berwarna nasi kuning, walaupun kerap digunakan nasi putih biasa atau nasi uduk. Kaedah penyajian nasi ini tipikal kepada masyarakat Jawa atau Betawi berketurunan Jawa dan biasanya dibuat ketika kenduri atau sambutan suatu peristiwa atau perayaan penting. Walaupun begitu, masyarakat Indonesia mengetahui aktiviti ini secara umum.

Tumpeng
Tumpeng, nasi berbentuk kon yang dikelilingi oleh pelbagai hidangan Indonesia.
JenisHidangan nasi Sunting ini di Wikidata
Jenis sajianHidangan utama
Tempat asalIndonesia
Kawasan/rantauSeluruh negara di Indonesia, tetapi paling lazim dalam masakan Jawa
Masakan berkaitanIndonesia
Suhu penghidangansuhu panas atau bilik
Bahan utamaNasi berbentuk kon, urab (sayur-sayuran dalam kelapa parut), ayam goreng, tempe goreng, telur rebus, telur dadar dicincang, ikan bilis dan kacang
Bahan yang biasa digunakanBeras, tempe, telur Sunting ini di Wikidata
Keragaman/variasitumpeng robyong, tumpeng putih, tumpeng nasi uduk, tumpeng slametan (nasi kuning)
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini
Tumpeng
Tumpeng untuk kenduri doa selamat

Tumpeng biasanya disajikan di atas tampah (bekas bulat tradisional dari anyaman buluh) dan dialas dengan daun pisang.

Pada tahun 2013, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia mempromosikan tumpeng sebagai salah satu antara 30 ikon masakan Indonesia,[1] dan akhirnya meningkatkan statusnya sebagai hidangan kebangsaan rasmi di Indonesia pada tahun 2014, menggambarkannya sebagai "hidangan yang mengikat kepelbagaian tradisi masakan Indonesia."[2]

Sejarah dan Tradisi sunting

Masyarakat di pulau Jawa, Bali dan Madura mempunyai kebiasaan membuat tumpeng untuk kenduri atau merayakan suatu peristiwa penting. Walaupun begitu kini hampir seluruh rakyat Indonesia mengetahui tentang tumpeng. Falsafah tumpeng berkait rapat dengan keadaan geografi Indonesia, terutama pulau Jawa, yang dipenuhi jajaran gunung berapi. Tumpeng berasal dari tradisi purba masyarakat Indonesia yang memuliakan gunung sebagai tempat bersemayam para hyang, atau arwah leluhur (nenek moyang). Setelah masyarakat Jawa menganut dan dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu, nasi yang dicetak berbentuk kon dimaksudkan untuk meniru bentuk gunung suci Mahameru, tempat bersemayam dewa-dewi.

Walaupun tradisi tumpeng telah terdapat jauh sebelum kemasukan Islam ke pulau Jawa, tradisi tumpeng pada perkembangannya diterima pakai dan dikaitkan dengan falsafah Islam Jawa, dan dianggap sebagai pesan nenek moyang mengenai permohonan kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Dalam tradisi kenduri Slametan (doa selamat) oleh masyarakat Islam tradisional Jawa, tumpeng disajikan dengan sebelum pembacaan Al Quran. Menurut tradisi Islam Jawa, "Tumpeng" merupakan akronim dalam bahasa Jawa : yen metu kudu sing mempeng (apabila keluar harus dengan bersungguh-sungguh). Lengkapnya, ada satu unit makanan lagi namanya "Buceng", dibuat daripada pulut; akronim daripada: yen mlebu kudu sing kenceng (apabila masuk harus dengan bersungguh-sungguh) Sedangkan lauk-pauknya tumpeng, berjumlah 7 macam, angka 7 bahasa Jawa pitu, maksudnya Pitulungan (pertolongan). Tiga kalimah akronim itu, berasal dari sebuah doa dalam surah al Isra' ayat 80:

"Ya Tuhan, masukanlah aku dengan sebenar-benarnya masuk dan keluarkanlah aku dengan sebenar-benarnya keluar serta jadikanlah dari-Mu kekuasaan bagiku yang memberikan pertolongan"

.

Menurut beberapa ahli tafsir, doa ini dibaca Nabi Muhammad sewaktu hendak keluar berhijrah dari kota Makkah menuju kota Madinah. Maka apabila seseorang berhajat dengan menyajikan Tumpeng, maksudnya adalah memohon pertolongan Allah agar kita dapat memperoleh kebaikan dan terhindar daripada keburukan, serta memperolehi kemuliaan daripada yang memberikan pertolongan. Dan itu semua akan didapati apabila mahu berusaha dengan sungguh-sungguh.

Dalam kenduri doa selamat, setelah pembacaan doa, tradisi tidak tertulis menganjurkan pucuk tumpeng dipotong dan diberikan kepada orang yang paling penting, paling dihormati, paling dimuliakan, atau yang paling dituakan di antara para hadirin. Ini bertujuan untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang tersebut. Kemudian semua orang yang hadir dijemput untuk bersama-sama menikmati tumpeng tersebut. Dengan tumpeng, masyarakat menunjukkan rasa syukur dan terima kasih kepada Tuhan sekaligus meraikan kebersamaan dan kerukunan.[3]

Acara yang melibatkan nasi tumpeng disebut secara awam sebagai 'tumpengan'. Di Yogyakarta sebagai contoh, berkembang tradisi 'tumpengan' pada malam sebelum tarikh 17 Ogos, Hari Proklamasi Kemerdekaan Indonesia, untuk mendoakan keselamatan negara.

Lauk iringan sunting

Tiada lauk sampingan khusus yang wajib untuk mengiringi nasi tumpeng. Namun, beberapa lauk yang biasa mengiringi adalah begedil, abon, soya goreng, telur dadar/telur goreng, timun yang dipotong melintang, dan daun saderi. Variasinya melibatkan tempe kering, serunding, urap kacang panjang, ikan masin atau ikan keli goreng, dan sebagainya. Dalam pengertian makna tradisional tumpeng, dianjurkan bahawa lauk sampingan yang digunakan terdiri daripada haiwan darat (ayam atau lembu), haiwan laut (ikan keli, ikan belanak atau rempeyek bilis) dan sayur-mayur (kangkung, bayam atau kacang panjang). Setiap lauk ini mempunyai makna tradisional dalam budaya Jawa dan Bali.

Kepelbagaian sunting

  • Tumpeng Robyong - Tumpeng ini biasa dihidangkan ketika upacara bersiram dalam perkahwinan adat Jawa. Tumpeng ini diletakkan di dalam bakul dengan berbagai jenis sayuran. Di bahagian puncak tumpeng ini diletakkan telur ayam, belacan, bawang merah dan cili.
  • Tumpeng Nujuh Bulan - Tumpeng ini digunakan ketika kenduri kesyukuran tujuh bulan mengandung. Tumpeng ini diperbuat daripada nasi putih. Selain satu kon besar di tengah, tumpeng ini dikelilingi enam buah tumpeng kecil lain. Biasa disajikan di atas tampah yang dialasi daun pisang.
  • Tumpeng Pungkur - Tumpeng ini digunakan ketika hari kematian seorang wanita atau lelaki yang masih bujang. Diperbuat daripada nasi putih yang dihidangkan dengan lauk sampingan sayuran. Tumpeng ini kemudian dipotong menegak dan diletakkan saling membelakangi.
  • Tumpeng Putih - warna putih pada nasi putih menggambarkan kesucian dalam adat Jawa. Digunakan untuk acara yang suci.
  • Tumpeng Nasi Kuning - warna kuning menggambarkan kekayaan dan moral yang luhur. Digunakan untuk majlis kesyukuran yang gembira, seperti kelahiran, perkahwinan, pertunangan, dan sebagainya.
  • Tumpeng Nasi Uduk - Disebut juga tumpeng tasyakuran. Digunakan untuk hari sambutan Maulid Nabi.
  • Tumpeng Istiadat / Pengubahsuaian - Dibuat mengikut kepelbagaian upacara atau citarasa pembuat.

Tradisi kontemporari sunting

Hari ini, kebanyakan rakyat Indonesia menghidangkan tumpeng sebagai hidangan istimewa untuk meraikan hari istimewa; seperti majlis hari jadi, arisan, majlis perkumpulan keluarga atau kejiranan, majlis perpisahan, perayaan, bacaan, dan lain-lain acara meriah.[4] Disebabkan nilai perayaan dan keraian hidangan ini, sehingga kini tumpeng kadang-kadang digunakan sebagai kek hari jadi Indonesia.[5] Pertandingan Tumpeng kadang-kadang diadakan untuk memperingati hari kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos, atau untuk memperingati hari pembebasan wanita, hari Kartini pada 21 April. Tumpeng dalam pertandingan ini dihakimi pada hiasan dan rasanya.

Pautan luar sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Tumpeng, Ikon Kuliner Indonesia" (dalam bahasa Indonesian). Travel Kompas.com. 22 April 2013. Dicapai pada 11 June 2014.CS1 maint: unrecognized language (link)
  2. ^ Nadya Natahadibrata (10 February 2014). "Celebratory rice cone dish to represent the archipelago". The Jakarta Post. Dicapai pada 2014-07-09.
  3. ^ [1], trifter.com, Tumpeng: Mountain-Like Dish to Express Gratitude, Retrieved 2009-11-30
  4. ^ Meir, Arisca. "Tumpeng, Special Dish For Special Ceremony". inloveindonesia.com. Dicapai pada 20 July 2014.
  5. ^ McAuliffe, Annelise. "A Look at Birthday Cakes from Around the World". Honest Cooking, Gastronomy and Travel. Dicapai pada 20 July 2014.