Turandot (disebut "Turandokh") ialah opera tiga babak arahan penggubah Giacomo Puccini untuk libreto Itali, oleh Giuseppe Adami dan Renato Simoni, berdasarkan cerita yang asalnya ditulis oleh Carlo Gozzi.

Poster pementasan awal Turandot
Senarai opera Giacomo Puccini

Le Villi (1884)
Edgar (1889)
Manon Lescaut (1893)
La bohème (1896)
Tosca (1900)
Madama Butterfly (1904)
La fanciulla del West (1910)
La rondine (1917)
Il trittico: Il tabarro (1918)
Il trittico: Suor Angelica (1918)
Il trittico: Gianni Schicchi (1918)
Turandot (1926)

Latar belakang

sunting

Puccini meninggal dunia sebelum sempat menghabiskan babak terakhir. Opera ini kemudiannya dihabiskan oleh Franco Alfano. Persembahan pertama Turandot dibuat di Teatro alla Scala, di Milan, pada 25 April 1926, di bawah pimpinan konduktor muzik Arturo Toscanini. Persembahan pertama tersebut hanya memuatkan muzik-muzik Puccini tanpa meletakkan tambahan yang dibuat oleh Alfano. Persembahan seterusnya memuatkan cerita yang lengkap hingga ke babak terakhir.

Turandot diambil dari bahasa Parsi yang bermaksud "anak perempuan kepada Turan". Turan berada di dalam rantau Asia Tengah dan pernah menjadi sebahagian dari jajahan Parsi. Di Parsi, sebuah cerita dongeng lama yang dikenali sebagai "Turandokht", di mana "dokht" diambil dari perkataan "Dokhtar" (bermaksud "anak perempuan"); yang mana sebutan "kh" dan "t" tidak disebut dengan jelas. Walau bagaimanaun, menurut ahli penyelidik, Patrick Vincent Casali, huruf akhir "t" tidak patut digunakan dalam sebutan nama opera atau merujuk kepada tajuk opera. Ini adalah menurut penyanyi soprano pertama untuk opera ini, Rosa Raisa yang menyatakan Giacomo Puccini tidak pernah menyebut “t” yang terakhir. Tambah lagi, menurut Patrick Vincent Casali, susunan muzik yang ditulis untuk intonasi penyanyi tenor / pelakon lelaki utama, Calaf, menyebabkan sebutan akhir “t” itu agak mustahil. [1]

Peranan

sunting
Peranan Jenis suara Tayangan pembukaan
April 25, 1926
(Konduktor: Arturo Toscanini)
Puteri Turandot soprano Rosa Raisa
Maharaja Altoum, ayahanda Turandot tenor Francesco Dominici
Timur, raja buangan dari Tartar (Mongol) bes Carlo Walter
Putera Calàf, anakanda Raja Timur tenor Miguel Fleta
Liù, hamba soprano Maria Zamboni
Ping, ketua Canselor bariton Giacomo Rimini
Pang, ketua pekerja istana tenor Emilio Venturini
Pong, ketua untuk dapur diraja tenor Giuseppe Nessi
Pengawai Mandarin bariton Aristide Baracchi
Putera Parsi tenor Tiada nama pada malam pembukaan
Penanda hukuman (Pu-Tin-Pao) tidak menyanyi Tiada nama pada malam pembukaan
Pengawal istana, pembantu penanda hukuman, budak-budak lelaki, paderi, pengawai Mandarin, orang-orang kenamaan, lapan orang cerdik pandai, dayang-dayang puteri Turandot, askar-askar diraja, ahli muzik dan lain-lain
Tempat: Peking, China
Masa: Zaman lampau

Sinopsis

sunting

Babak 1

sunting

Di hadapan istana diraja

Pegawai Mandarin mengumumkan bahawa sesiapa yang ingin mengahwini Puteri Turandot (Popolo di Pekino!) mesti menjawab 3 teka teki, tetapi jika gagal menjawab, Putera tersebut akan dihukum pancung. Putera Parsi yang telah menyahut cabaran, gagal menjawab teka-teki yang diberi dan kini menanti hukuman.

Dalam keadaan yang sibuk dengan ramai orang yang datang untuk melihat hukuman pancung itu, seorang tua yang buta terjatuh ditolak dan hamba beliau, Liù menangis meminta pertolongan. Seorang pemuda terdengar jeritan dan mengenal pasti bahawa si tua tersebut ialah ayahnya, seorang Raja Tartar bernama Timur, yang dihukum buangan. Putera Muda berasa amat gembira bertemu semula dengan ayahanda beliau. Ayahanda beliau, Timur, memberitahu, hanya Liù sahaja seorang hamba yang kekal dan setia padanya. Apabila ditanya oleh oleh Putera Muda itu, Liù menjawab, kerana suatu ketika dahulu, Putera Muda pernah tersenyum padanya (Koir, Liù, Putera Muda, Timur: Indietro, cani! ).

Matahari mula terbit, Putera Parsi diarak ke tempat hukuman. Putera Parsi itu masih muda dan tampan, orang ramai termasuk Putera Muda tersebut merayu agar Puteri Turandot menunjukkan belas kasihan kepada beliau (Koir, Putera Muda: O giovinetto! ). Puteri Turandot muncul dan dengan gaya bersahaja sahaja melambaikan tangan kepada para penghukum untuk meneruskan hukuman pancung. Putera Muda itu yang pertamakali ternampak Puteri Turandot, terus jatuh cinta padanya. Putera Persia dijatuhkan hukuman pancung.

Putera Muda yang mabuk cinta, tampil untuk membunyikan gong: sebagai tanda menyahut cabaran untuk mengahwini Puteri Turandot, namun dihalang oleh tiga pegawai istana, Ping, Pang dan Pong dengan menyindir beliau, ( Fermo, che fai? ) samada beliau rela dipancung demi cinta terhadap seorang perempuan yang kejam. Mereka menyuruh beliau pulang sahaja ke negara asal beliau. Timur menyuruh Liù (yang secara rahsia menyintai Putera Muda tersebut) untuk memujuk Putera Muda itu agar membatalkan hasrat beliau untuk menyahut cabaran sia-sia itu. Liù memujuk Putera Muda dengan aria ( Signore, ascolta! ) yang menyentuh perasaan Putera Muda tersebut. Putera Muda membalas ( Non piangere, Liù - "Jangan menangis, Liù" ), namun tetap dengan pendiriannya. Timur, Liù dan tiga pegawai istana sekali lagi memujuk beliau ( Ah! Per l'ultima volta! ), tetapi tidak diendahkannya.

Putera Muda tersebut memanggil nama Turandot tiga kali dan pantas memukul gong sebanyak tiga kali. Puteri Turadot muncul dan menerima cabaran beliau

Babak 2

sunting

Adegan I

sunting

Di dalam istana, tempat tinggal 3 pegawai istana

Ping, Pang, dan Pong membuat kerja harian mereka sebagai pegawai istana. Mereka membuat persediaan untuk samada "perkahwinan" atau "pengkebumian" bagi Putera Muda yang baru menyahut cabaran Puteri Turandot (Ping, Pang, Pong: Ola, Pang! ) . Ping rindukan kampung halaman beliau di Honan, tempat yang indah yang mempunyai tasik kecil di kelilingi oleh rumpun buluh. Pong pula terkenangkan kampung beliau berdekatan dengan pekan Tsiang, manakala Pang rindukan taman di kampung halaman beliau di Kiu. Ketiga-tiga pegawai tersebut rindukan memori indah kehidupan lama, jauh dari istana (Ping, Pang, Pong: Ho una casa nell'Honan ) yang penuh dengan kekejaman Puteri Turandot. Trumpet istana kedengaran, ketiga-tiga pegawai bersiap sedia untuk mengadap Maharaja.

Adegan II

sunting

Di balai singgahsana

Maharaja Altoum, ayahanda kepada Turandot memberi amaran kepada Putera Muda itu agar tidak meneruskan cabaran, (Altoum, Putera Muda: Un giuramento atroce ), namun beliau tidak mengendahkannya amaran itu. Turandot muncul dan menjelaskan ( In questa reggia ) yang pada suatu ketika dahulu, moyangnya, Puteri Lo-u-Ling, pernah menderita dan dibunuh oleh orang asing, dan kini beliau bersumpah akan membalas dendam dengan tidak akan membenarkan lelaki untuk memiliki beliau.

 
"In questa reggia"

Turandot memberi amaran kepada Putera Muda dan menyuruh beliau membatalkan sahaja niat untuk mengahwininya, namun Putera Muda masih tetap dengan pendiriannya.

Puteri Turandot memulakan teka-teki pertama ( Straniero, ascolta! ), "Apakah yang lahir setiap malam dan mati setiap subuh?". Putera Muda berfikir agak pantas dan menjawab "Harapan".

Soalan ke-dua ( Guizza al pari di fiamma ), "Apakah yang berkilau merah dan panas seperti cahaya tetapi bukan api?". Putera Muda tunduk untuk berfikir seketika dan lantas menjawab "Darah". Turandot terkejut dan naik darah apabila orang ramai memberi sokongan kepada Putera Muda tersebut.

Soalan terakhir ( Gelo che ti da foco ), "Apakah sesuatu yang seperti ais tetapi membakar seperti api?". Putera Muda agak terkedu dengan soalan ini. Puteri Turandot agak gembira dan mula menyakat Putera Muda yang agak panik. Tiba-tiba, dengan tangisan girang, Putera Muda menjerit, "jawapannya ialah Turandot!!".

Puteri Turandot terkejut kerana beliau tidak sangka sesiapa boleh memberi 3 jawapan yang tepat. Beliau merayu agar ayahandanya tidak menyuruh beliau mengahwini Putera Muda itu, namun menurut ayahandanya, "Janji adalah janji" (Turandot, Altoum, Putera Muda: Figlio del cielo ).

Ketika Puteri Turandot mula menjadi murka, Putera Muda menahan Puteri itu dan berkata "Kamu tidak tahu nama saya. Sekiranya kamu boleh meneka nama saya dengan tepat sebelum matahari terbit esok, saya akan setuju untuk dihukum pancung, kalau tidak, kamu akan jadi milikku.." ( Tre enigmi m'hai proposto ). Turandot bersetuju. Maharaja berkata, beliau berharap agar dapat memanggil Putera Muda sebagai menantunya di siang hari kelak

Babak 3

sunting

Adegan I

sunting

Dari jauh kedengaran penyampai istana mencanangkan arahan Puteri Turandot kepada penduduk Peking bahawa tiada siapa boleh tidur sehingga dapat mencari nama Putera Muda tersebut atau mereka akan dihukum bunuh. Putera Muda menunggu subuh hari dan menyanyikan lagu kemenangan "Tiada siapa boleh tidur, termasuk kau o Puteri" (Nessun dorma) kerana beliau yakin tiada siapa pun yang tahu nama beliau.

Ping, Pong, dan Pang muncul dan menawarkan Putera Muda dengan perempuan-perempuan dan kekayaan agar beliau melupakan sahaja Turandot ( Tu che guardi le stella ), namun beliau tidak melayan mereka. Liù dan Timur ditangkap oleh askar-askar diraja kerana dilihat bercakap dengan Putera Muda sebelumnya. Turandot muncul dan memaksa Timur dan Liù untuk bercakap. Putera Muda berkeras mengatakan mereka tidak tahu nama beliau.

Apabila ditanya “Siapakah nama orang muda itu” oleh Puteri Turandot kepada Liù, gadis itu menjawab bahawa beliau tahu tetapi tidak akan memberitahu. Liù diseksa, namun hanya menjawab "nama orang muda itu adalah cinta". Turandot menyuruh Ping mendera Liù agar memberi jawapan, Liù memberitahu Turandot ( Tu che di gel sei cinta ), bahawa beliau juga perlu mengenal cinta. Liù kemudiannya merampas pisau dari pengawal istana lalu membunuh dirinya.

Apabila Timur yang buta itu diberitahu bahawa Liù telah mati, beliau menangis dan memberi amaran kepada Turandot bahawa beliau akan dimurkai oleh tuhan. Timur dan orang ramai membawa pergi mayat Liù dan meninggalkan Turandot dan Putera Muda bersendirian.

Putera Muda tersebut mengingatkan Turandot di atas kekejaman beliau (Putera Muda, Turandot: Principessa di morte ) dan kemudian, menarik Turandot di sisinya dan lantas menciumnya, walaupun puas dihalang oleh Turandot.

Hanya di sini sahaja kerja gubahan penggubah Puccini. Beliau meninggal dunia sebelum sempat menghabiskan kerja beliau. Kerja selebihnya ini disambung oleh Franco Alfano.

Putera Muda cuba untuk membuat Turandot jatuh cinta padanya. Walau pada mulanya gagal, namun setelah Turandot dicium, Puteri tersebut mula terasa cinta dan kasih saying. Puteri Turandot menyuruh Putera Muda pergi dan membawa segala rahsia dirinya bersama pemergiannya, namun, Putera Muda itu membuka rahsia nama beliau “Calaf, anak kepada Timur”. Kini Turandot telah tahu nama beliau dan boleh menggunakannya untuk menghancurkan Putera tersebut. Putera Muda hanya berserah (Turandot, Calaf: Del primo pianto ).

Adegan II

sunting

Di dalam balai singgahsana. Siang hari

Turandot dan Calaf pergi mengadap maharaja. Turandot mengumumkan bahawa beliau tahu nama Putera Muda tersebut, Turandot berkata "Nama beliau ialah … Cinta!" ( Diecimila anni al nostro Imperatore! ).

Orang ramai menjerit kegembiraan meraikan pasangan bercinta itu ( O sole! Vita! Eternita ).

Aria-aria terkenal

sunting
  • "Tanto amore segreto" (Rahsia cintaku) - Liù dalam Babak I, Adegan I
  • "Signore, ascolta!" (Tuan, dengarlah) - Liú dalam Babak I
  • "Non piangere, Liù" (Jangan menangis, Liù) - Calaf dalam Babak I
  • "In questa reggia" (Dalam istana ini) - Turandot dalam Babak II, Adegan II
  • "Nessun dorma" (Jangan sesiapa tidur) - Calaf dalam Babak III
  • "Tu che di gel sei cinta" - Liú dalam Babak III
  • "Del primo pianto" (dari adegan terakhir yang tidak sempat dihabiskan oleh Puccini)

Nessun dorma menjadi popular kepada pendengar ramai termasuk bukan peminat opera terutama kepada pendengar di negara barat.

Rakaman terpilih

sunting
Tahun Penyanyi-pelakon
(Turandot, Calàf, Liù)
Konduktor,
rumah opera dan orkestra
Label
1966 Birgit Nilsson,
Franco Corelli,
Renata Scotto
Francesco Molinari-Pradelli,
Teatro dell'Opera di Roma orchestra and chorus
Audio CD: EMI
ASIN: B000002SE0
1972 Joan Sutherland,
Luciano Pavarotti,
Montserrat Caballé
Zubin Mehta,
London Philharmonic Orchestra
Audio CD: Decca Records
ASIN: B0000041Q3
1977 Montserrat Caballé,
Mirella Freni,
Jose Carreras
Alain Lombard,
Palais de la Musique
Audio CD: EMI Classics
ASIN: B00004ZDLG
1988 Eva Marton,
Plácido Domingo,
Leona Mitchell
James Levine,
Metropolitan Opera orchestra and chorus
DVD: Deutsche Grammophon
ASIN: B000094HMU
1998 Giovanna Casolla,
Sergej Larin,
Barbara Frittoli
Zubin Mehta,
Teatro del Maggio Musicale Fiorentino Fondazione
DVD: RCA
ASIN: B00000IBVC

Nota: "Kat:" ialah singkatan untuk nombor katalog syarikat rakaman; manakala ASIN ialah nombor rujukan amazon.com

Rujukan

sunting
  1. ^ The Pronunciation of Turandot: Puccini's Last Enigma , oleh Patrick Vincent Casali (Vol 13, 1997); Rujukan Oxford http://oq.oxfordjournals.org/cgi/reprint/13/4/77/

Pautan luar

sunting