Garis Masa Kempen Penaklukan Jepun Di Tanah Melayu

Sebelum 1941Sunting

1 Mac 1933, Port Dickson, Negeri Sembilan

 
Kompeni Percubaan Menjadi Asas Penubuhan Rejimen Askar Melayu
Kompeni Percubaan untuk Rejimen Askar Melayu ditubuhkan dengan 25 orang rekrut. Kompeni ini diistilahkan sebagai percubaan kerana tujuannya hanya untuk melihat sama ada orang-orang Melayu boleh mengikuti disiplin ketenteraan. Lambang Rejimen yang dipilih menggunakan sepasang harimau berjuang yang menyokong sebuah mahkota raja. Di dalam bulatan terdapat keris dan sarungnya bersilang dan cogan kata Rejimen "Ta'at Setia" ditulis dengan huruf Jawi. Kompeni percubaan ini dilatih oleh pegawai-pegawai yang dipilih khas oleh Pejabat Kolonial . Mejar G. McI. S. Bruce dari Rejimen Lincolnshire dilantik menjadi pegawai pemerintah pertama pasukan ini. Senarai 25 orang rekrut perintis boleh didapati dalam rencana Askar Melayu
1 Januari 1935, Port Dickson, Negeri Sembilan
Kompeni percubaan Askar Melayu dibesarkan menjadi Rejimen Askar Melayu dengan kekuatan permulaan seramai 150 orang. Pengambilan rekrut dipercepatkan, Dengan tambahan 232 orang rekrut, 2 kompeni raifel ditubuhkan dengan sebuah markas Batalion termasuk satu Platun mesingan dilengkapkan dengan mesingan Vickers, Seksyen Semboyan dan Kumpulan Tambur (Corps of Drums).

1936, Port Dickson, Negeri Sembilan

Berek pertama untuk Rejimen Askar Melayu dibina dalam tahun 1936 menghadap laut berhampiran bandar Port Dickson. Kemudahan disediakan termasuklah bangunan-bangunan Rejimen, pejabat-pejabat, kuarters dan dewan makan.
Dengan pembesaran pesat, Rejimen Askar Melayu kekurangan pegawai dan ketua platun. 4 orang askar yang berkebolehan dipilih untuk kenaikan menjadi Ketua Platun, dan dijadikan pegawai muda. Mereka menerima latihan ringkas selama 3 bulan di Port Dickson dan kemudiannya ditumpangkan dengan Rejimen Royal Inniskilling Fusiliers di Singapura untuk mendapatkan pengalaman operasi.

1937

Latihan lanjutan Askar Melayu dijalankan di Singapura, dan ramai anggota Askar Melayu mengambil bahagian dalam latihan bersama tentera yang terbesar pernah diadakan di Timur Jauh.

1938

Rejimen Askar Melayu dihantar ke Singapura untuk latihan tentera peringkat batalion dan lain-lain latihan lanjutan.
Anggota Askar Melayu mula dikenali kerana kemahiran menembak mereka. Dalam satu kursus kendalian Bren gun di Singapura, pegawai kadet Askar Melayu mendapat 4 tempat pertama dalam kemahiran menembak. Rejimen Askar Melayu juga mula membuat latihan penggunaan mortar dan senjata anti-kereta kebal.

1941Sunting

Mac 1941

 
Shenton Thomas memberikan kuasa untuk penambahan anggota Rejimen Askar Melayu menjadikan dua Batalion.
Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Shenton Thomas memberikan kuasa untuk penambahan anggota Rejimen Askar Melayu menjadikan dua Batalion. Pengambilan rekrut dipercepatkan. Leftenan Kolonel J.R.G. Andre dinamakan sebagai Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu .

April 1941

Perancangan Tentera British merancangkan pelan sulit gerak perang dipanggil Operasi Matador. Jeneral Pemerintah Markas Gerakan Tanah Melayu Leftenan Jeneral Arthur Ernest Percival membuat strategi menggunakan pasukan-pasukan yang ada untuk kegunaannya. Jen. Percival merancang untuk menggunakan satu Divisyen untuk pertahanan bahagian Selatan Semenanjung Tanah Melayu dan menempatkan satu Kor Tentera dengan dua Divisyen untuk pertahanan perbatasan di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu.
Pelan melibatkan penghantaran pasukan tentera memasuki wilayah Thailand sebelum pendaratan askar-askar Jepun di Songkhla dan Pattani dan menafikan penubuhan tapak pendaratan untuk askar-askar Jepun. Operasi Matador meramalkan tempat paling baik untuk menyekat kemaraan askar Jepun adalah di jalan raya menuju Pattani di satu kedudukan dikenali dengan nama “The Ledge”

Ogos 1941

Platun menggunakan 10 buah kenderaan Bren Gun Carrier ditubuhkan di bawah pemerintahan Kapten R.R.C. Carter. Platun ini berlatih dengan Batalion Kedua Rejimen Loyals.

15 Ogos 1941

Satu kumpulan besar Askar-askar Australia Dari Divisyen ke-8 tiba di Singapura.
 
Askar India Sampai ke Singapura Untuk menguatkan Pertahanan

28 November 1941

Flotilla Penyapu Periuk Api Ke-21 ditubuhkan di Singapura menggunakan korvet HMAS Maryborough, HMAS Bendigo, HMAS Goulburn dan HMAS Burnie.

November 1941Sunting

29 November 1941

Markas Udara Singapura menerima amaran bersedia melancarkan Operasi Matador dalam masa 12 jam. Arahan kemudian dibatalkan apabila Sir Shenton Thomas dan Robert Brooke-Popham enggan melancarkan serangan.

30 November 1941

Pegawai pemerintah Ketumbukan Ke-25 Jepun (25th Army), Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita menerima perintah untuk melaksanakan penaklukan Singapura
No. 1 Skuadron Tentera Udara Diraja Australia ditempatkan di pangkalan udara Sungai Petani.

Disember 1941Sunting

1 Disember 1941

Keadaan Darurat diisytiharkan di Singapura
Sebilangan pegawai-pegawai terlatih dari batalion pertama Rejimen Askar Melayu . ditukarkan untuk menjadi teras penubuhan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu . di bawah pemerintahan Leftenan Kolonel F.W. Young. batalion kedua Rejimen Askar Melayu . ditubuhkan.

2 Disember 1941

 
HMS Prince of Wales Masuk Ke Pelabuhan Singapura Untuk Berlabuh
Dua buah kapal perang besar Tentera Laut Diraja HMS Prince of Wales and HMS Repulse dengan 4 buah kapal pembinasa tiba di Singapura untuk membantu mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu daripada serangan Jepun. Kapal HMS Prince of Wales disiapkan dalam bulan April 1941 dan diberikan nama jolokan 'HMS Unsinkable' (HMS Tidak Boleh Tenggelam) kerana perisai perlindungan khas yang dipasangkan di kapal tersebut. Kapal pengiring terdiri daripada HMS Electra, HMS Express, HMS Tenedos, and HMAS Vampire.

3 Disember 1941

Jeneral Tomoyuki Yamashita membuat keputusan untuk menjadikan 11 Februari sebagai tarikh menawan Singapura. Tarikh ini adalah tarikh Hari Kebangsaan Jepun dan ulang tahun ke 2,600 pertabalan Maharaja Jimmu.

4 Disember 1941

Angkatan laut penaklukan Jepun meninggalkan Pelabuhan Samah, Hainan semasa waktu subuh dan belayar arah selatan.

5 Disember 1941

Ketua Marsyal Udara Sir Robert Brooke-Popham sebagai Panglima Tertinggi Timur Jauh diberikan kuasa menggunakan budi bicara sendiri untuk melancarkan Operasi Matador tanpa perlu merujuk lagi kepada Jabatan Perang di London.

6 Disember 1941

 
Leftenan Jeneral A. E. Percival membuat persiapan untuk melancarkan operasi maatdor tetepi tidak mendapat persetujuan Shenton Thomas dan Brooke-Popham
Kuala Lumpur
Leftenan Jeneral A. E. Percival sedang dalam perundingan dengan Leftenan Jeneral Sir Lewis Heath, Panglima III Kor Tentera British India apabila mereka diberitahu berita mengenai kumpulan kapal pengangkut Jepun sedang menghampiri Tanah Melayu. Percival mengarahkan penghantaran kata kod rahsia “Raffles” kepada semua unit di bawah Markas Gerakan Tanah Melayu meletakkan semua unit pada tahap siaga tertinggi. Percival buat persiapan untuk melancarkan Operasi Matador dan terbang semula ke Markas Gerakan Tanah Melayu di Fort Canning, Singapura.
Singapura
Percival mengadakan perbincangan dengan Gabenor Sir Shenton Thomas, dan Robert Brooke-Popham, Panglima Tertinggi Timur Jauh. Brooke-Popham masih keberatan untuk melancarkan Operasi Matador. Peluang untuk bertindak terlepas.

7 Disember 1941

 
Sebuah pesawat PBY Catalina RAF dalam misi tinjauan ditembak jatuh oleh Tentera Jepun, dengan jelas menyatakan hasrat Jepun untuk berperang
Singapura
Sebuah pesawat PBY Catalina RAF dalam misi tinjauan ditembak jatuh. Beberapa jam kemudian, sebuah pesawat Lockheed Hudson RAAF mengesan kumpulan kapal Jepun 115 kilometer dari Songkhla
Satu lagi perbincangan pegawai-pegawai tertinggi diadakan di Markas Gerakan Tanah Melayu pada jam 10.30 malam, dan sekali lagi Brooke-Popham keberatan membuat keputusan untuk melancarkan Operasi Matador. Beliau menangguhkan keputusan untuk satu hari lagi.

8 Disember 1941

 
Asakr-askar Jepun Turun Dari Kapal Pengangkut Untuk Mendarat Di Thailand
Tentera Jepun melancarkan serangan mengejut ke atas Armada Pasifik Tentera Laut Amerika Syarikat di Pearl Harbor (tarikh serangan adalah pada 7 Disember 1941 tetapi disebabkan oleh Garisan Tarikh Antarabangsa (International Date Line), ketika serangan dibuat pada jam 7 pagi waktu Hawaii, tarikh di Malaya sudah 8 Disember)
Jepun menyerang Hong Kong dan Filipina. Amerika Syarikat dan Britain mengisytiharkan perang ke atas Jepun.
Brooke-Popham membuat keputusan untuk menangguhkan pelancaran Operasi Matador. Pesawat Lockheed Hudson Tentera Udara Diraja Australia mengesan kapal-kapal Jepun 240 batu dari Kota Bharu, terdiri sebagai sebuah kapal kruiser, 4 buah kapal pembinasa dan sebuah kapal pengangkut tentera kira-kira 112 km dari Songkhla.
Kota Bahru - Singora - Patani
Sejurus selepas tengah malam, askar-askar Jepun membuat pendaratan serentak dan menubuhkan turus pantai (beach head) di 3 buah pantai berlainan. Di Songkhla dan di Pattani, askar-askar Jepun dari Ketumbukan ke-25 mendarat tanpa tentangan oleh Tentera Thailand. Sebaliknya di Kota Bharu, askar-askar Jepun dari Divisyen ke-18 Jepun ditentang hebat oleh Tentera British India dan mengalami korban jiwa yang tinggi.
Singapura
Pada jam 4.30 pagi, satu serangan terselaras dilancarkan menggunakan 17 buah pesawat pengebom Tentera Laut Jepun yang berlepas dari Saigon untuk menyerang limbungan kapal di Keppel Harbour, pangkalan Tentera Laut Singapura dan pangkalan udara di Tengah dan Selatar. Krew pesawat pengebom harian melihat Singapura terang benderang dilimpahi cahaya sepanjang serangan pengeboman tersebut dan semboyan serangan udara tidak dibunyikan. Kesan dari serangan ini, Pihak Berkuasa Singapura mengarahkan semua rakyat Jepun di Malaya dan Singapura ditahan. Kapal-kapal Jepun di yang berada di Pelabuhan Singapura juga dikenakan perintah tahanan.
Perbatasan Utara
Menjelang siang hari, dua kompeni askar mekanis dari Divisyen ke-11 India diperintah masuk ke wilayah Thailand untuk menyekat kemaraan askar Jepun di jalan menuju Songkhla. Kolonel H. D. Moorehead memimpin Krohcol masuk ke wilayah Thailand dari Kroh dengan harapan dapat menduduki “The Ledge” untuk menyekat kemaraan askar Jepun.
Serangan Udara
Sepanjang hari, pesawat Jepun menyerang pangkalan udara British di Alor Setar, Sungei Petani, Butterworth dan Pulau Pinang. Pangkalan udara di Kuala Terengganu dan Kuantan juga diserang.
7 buah kapal terbang Lockheed Hudson RAAF menyerang kapal-kapal pengangkut tentera Jepun di Kota Bharu Pesawat RAAF dari 1 Skuadron dan 8 Skuadron menyerang pasukan Tentera Jepun yang mendarat.
No. 21 Skuadron diarahkan berundur ke Butterworth.
Singapura
Menjelang senja, Force Z terdiri dari HMS Prince of Wales dan HMS Repulse dan 4 buah kapal pembinasa sebagai kapal pengiring meninggalkan Pangkalan Laut Singapura untuk menyerang kapal-kapal Jepun yang membawa angkatan penaklukan. Laksamana Sir Tom Phillips sedar beliau tidak akan mempunyai perlindungan udara.

9 Disember 1941

 
Jepun dengan pantas menggunakan pangkalan Kota Bharu untuk menempatkan pesawat-pesawat perangnya.
Pangkalan Udara Kota Bharu -
Pada awal pagi, pesawat Hudson RAAF dari [TUDM Kuantan|Kuantan]] menyerang pasukan Jepun di Kota Bharu tetapi 5 buah pesawat ditembak jatuh. Askar Jepun yang kini dibantu oleh kereta kebal memaksa askar Tentera British India untuk berundur. Askar Jepun membelok untuk menawan bandar Kota Bharu pada jam 2.00 petang.
Pasukan Tentera British meninggalkan pangkalan udara di Gong Kedak dan Machang. Tentera Jepun dengan cepat mengambil pangkalan tersebut untuk kegunaan mereka.
Songkhla
Jeneral Tomoyuki Yamashita membuat persediaan untuk mara dan menawan bandar Jitra, markas Divisyen ke-11 India. Bandar ini juga penting kerana mengawal jalan raya dan jalan kereta api ke pangkalan utara besar di kawasan utara Semenanjung di Alor Setar dan Sungai Petani. Yamashita menugaskan detasmen Saeki dan Briged Kawamura untuk mara menggunakan jalan raya Songkhla – Jitra. Pasukan ini mengatasi satu percubaan menyekat oleh dua kompeni askar India dari 11 Divisyen India di Sadao. Pada tengah malam, pasukan ini menyeberangi sempadan memasuki wilayah Malaya.
Kuantan
Pangkalan Udara Kuantan diserang oleh pesawat udara Jepun yang mengakibatkan 3 buah pesawat Hudson RAAF musnah.
Betong, Selatan Thailand – Detasmen Ando dari Divisyen ke-5 Tentera Jepun yang melalui jalan PattaniKroh menghapuskan pasukan Tentera British India (Rejimen Punjab) dari kumpulan Krohcol di kawasan sempadan berhampiran Betong.
Butterworth
Hanya sebuah pesawat pengebom Bristol Blenheim terselamat dalam serangan udara oleh Tentera Jepun ke atas pangkalan udara Butterworth sejurus sebelum pesawat-pesawat pengebom RAF dijangka berlepas untuk melakukan serangan ke atas pasukan Tentera Jepun di Songkhla. Pesawat tunggal yang terselamat dipandu oleh Sqd-Ldr A. S. K. Scarf meneruskan misi pengeboman bersendirian. Semasa mengebom pangkalan udara di Songkhla, Scarf cedera parah dan mendarat cemas di Alor Setar. Anak kapalnya terselamat tetapi Scarf meninggal dunia di Hospital Alor Setar. Untuk keberaniannya, Sqd-Ldr A. S. K. Scarf diberikan anugerah Victoria Cross.
Pesawat udara Jepun terus mengebom pangkalan udara Butterworth dan menyebabkan dua buah pesawat pejuang Brewster Buffalo RAAF dari 21 Skuadron RAAF dimusnahkan. 21 Skuadron diperintah undur ke Ipoh.

10 Disember 1941

 
HMS Prince of Wales dan HMS Repulse dapat ditenggelamkan oleh pesawat-pesawat Jepun
Laut China Selatan, berhampiran Kuantan -
Force Z terdiri daripada HMS Prince of Wales, HMS Repulse dan 4 buah kapal pembinasa diserang oleh pesawat Jepun jenis Nell dan Betty yang berpangkalan di Saigon. HMS Prince of Wales dan HMS Repulse dapat ditenggelamkan oleh pesawat-pesawat Jepun tersebut.
Brooke-Popham memutuskan untuk menggunakan mana-mana pesawat RAF dan RAAF yang masih selamat untuk pertahanan Singapura sementara menunggukan bantuan sampai. 4 buah pesawat Lockheed Hudson RAAF yang terselamat dari dimusnahkan serangan Jepun atas pangkalan Kuantan diterbangkan ke Sembawang, Singapura.

11 Disember 1941

Jitra
Pertempuran Jitra bermula. Tentera Jepun menggunakan kereta kebal dan bedilan artileri untuk membantu luruan askar infantri menyerang garisan pertahanan yang dijaga Batalion 1/14th Punjab dan batalion 2/1 Gurkha Rifles dari 11 Divisyen India (Mej. Jen. David Murray-Lyon). Askar-askar India tidak menunjukkan kesungguhan berjuang dan dengan mudah ditewaskan. Selepas pertempuran yang mengambil masa hanya 15 jam, kedudukan di Jitra jatuh ke tangan Jepun, dan menjelang petang, garisan pertahanan dicerobohi di beberapa tempat. Murray-Lyon) memerintahkan pasukannya berundur sejauh 10 batu untuk dan berkumpul semula di sebelah selatan bandar Jitra.
Banyak kelengkapan British seperti pengangkutan lori, minyak dan persenjataan ditinggalkan dan ditawan oleh Tentera Jepun. Jepun menawan 50 meriam berat, 50 mesingan berat, 300 buah lori tentera dan paling penting sekali, minyak dan bekalan untuk peperangan selama 3 bulan! Briged ke-15 India mengalami kemalangan jiwa setinggi 75 peratus, dan Briged ke-28 India mengalami 700 kemalangan jiwa. Lebih 3,000 orang askar India dan British menyerah diri. Askar Jepun hanya mengalami 27 kematian dan 83 kecederaan.
Kapten Patrick Heenan, seorang pegawai Tentera British India kelahiran New Zealand memberikan maklumat rahsia pergerakan Tentera British kepada Tentera Jepun. Maklumat yang diberikan membolehkan Jen. Tomoyuki Yamashita memaksimumkan kekuatan Ketumbukan Ke-25 Tentera Jepun.
Tentera Jepun menggunakan pangkalan udara Alor Setar yang baru ditawan untuk melancarkan serangan udara ke atas Pulau Pinang. Brooke-Popham mengarahkan semua pesawat udara British dan Australia diundurkan ke Singapura dan digunakan hanya untuk pertahanan Singapura dan pertahanan konvoi sahaja dan tidak untuk memberikan bantuan kepada Tentera British yang bertempur di Tanah Melayu.

12 Disember 1941

 
Askar Jepun Mendarat
Kota Bharu
Markas Gerakan Tanah Melayu mengarahkan 8 Briged India untuk berundur dari kawasan Kota Bharu. Mengikut perancangan yang disediakan oleh Jeneral A. E. Percival, Briged akan berundur menggunakan laluan jalan kereta api dengan kumpulan menyekat yang kuat, untuk membolehkan bekalan dan kelengkapan diselamatkan dari pangkalan Kuala Krai. Satu Kompeni dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu turun membuat pertahanan di Kuala Krai
Kroh
Batalion 3/16 Punjab diserang hebat oleh Tentera Jepun di Kroh. Markas Gerakan Tanah Melayu takutkan serangan Jepun ini satu gerakan geraham kacip dan akan mengakibatkan 11 Divisyen India terkepung.
Pulau Pinang
85 buah pesawat pengebom Jepun membuat serangan ke atas kawasan awam di Pulau Pinang, menyebabkan lebih 700 kematian dan lebih 1,300 lain cedera. Pesawat pejuang jenis Brewster Buffalo dari 2 buah skuadron Tentera Udara Diraja New Zealand bertempur kali pertama dengan pesawat jenis Mitsubishi Zero Jepun. Pesawat Mitsubishi Zero dengan mudah mengalahkan pesawat Brewster Buffalo.
Laut China Selatan
HMAS Vampire mengiringi kapal pemasang periuk api HMS Teviot Bank memasang periuk api di Laut China Selatan.

13 Disember 1941

 
bendera Azad Hind
Jitra
11 Divisyen tidak berdaya mengekalkan kedudukan dan berundur ke arah selatan. Askar India yang kurang terlatih lari meninggalkan kedudukan mereka dan membuang senjata mereka. Askar Jepun mara ke arah Alor Setar dan mengambil lebih 3,000 orang askar India dan British sebagai tawanan. Tentera Udara Jepun merumitkan keadaan dengan melakukan misi pengeboman dan menyerang askar British yang berundur. Askar-askar Jepun menggunakan basikal dan berpakaian seperti orang-orang tempatan untuk mengelirukan askar British.
Mejar Mohan Singh, salah seorang daripada tawanan perang bersetuju menubuhkan Tentera Nasional India dengan pasukan khas terdiri daripada askar India, Burma dan Thai untuk menentang British. Slogan yang digunakan untuk membakar semangat adalah “Asia untuk Asia”

14 Disember 1941

Alor Setar
Tentera Jepun memasuki Alor Setar dari arah Utara dan menawan pangkalan udara Alor Setar tanpa apa-apa kerosakan kepada landasan dan kemudahan. Bom disusun dengan elok dalam himpunan-himpunan tersusun menunggu untuk dipasang kepada pesawat pengebom. Di ladang getah berdekatan, 1000 tong minyak kegunaan pesawat disimpan. Di mes pegawai, makanan masih panas menunggu untuk dihidangkan. Menjelang tengah hari, pihak Jepun memindahkan pesawat dari Songkhla dan Pattani ke Alor Setar. Menjelang petang, satu skuadron pesawat pengebom Jepun menggunakan minyak dan bom yang ditinggalkan oleh Tentera British meninggalkan pangkalan Alor Setar untuk menyerang askar-askar yang berundur.
Gurun
Pada jam 3 petang pihak Jepun menyerang kedudukan British di Gurun. Menjelang malam, 11 Divisyen berundur dan berlindung di seberang Sungai Muda. Usaha 11 Divisyen melengahkan kemaraan Tentera Jepun dengan meletupkan jambatan tidak kesampaian kerana Tomoyuki Yamashita mempunyai pasukan askar jurutera yang cukup cekap. Apabila jambatan merintangi Sungai Kedah diletupkan, pihak British menganggarkan kerja pembaikan akan mengambil masa 3 hari, tetapi pihak Jepun membaiki jambatan itu dalam tempoh 36 jam sahaja.

15 Disember 1941

 
Pihak British mengharapkan pesawat Brewster Buffalo dapat menandingi pesawat Mitsubishi Zero tetapi hampa apabila mendapati Buffalo serba kekurangan
Butterworth
Pihak British meninggalkan pangkalan udara Butterworth selepas satu minggu mengharungi pengeboman oleh pesawat Jepun. Sekumpulan pesawat pengebom junam (dive bomber) jepun menyerang sekumpulan pesawat Brewster Buffalo RAAF dan berjaya menembak jatuh sebuah daripada pesawat Buffalo itu.
Alor Setar
Tomuyuki Yamashita memindahkan ibu pejabatnya ke Alor Setar. Malam itu dia dan pegawai kanan meraikan kemenangan mereka di mes pegawai pangkalan udara Alor Setar
Pulau Pinang
Tentera Jepun mengebom Pulau Pinang. Pasukan darat merampas kapal dan boat yang berada di pelabuhan.
Medan Perang Utara
saki baki 11 Divisyen kini menghadapi masalah moral yang rendah dan kini bertaburan dalam kumpulan-kumpulan kecil di antara Bukit Mertajam dan Sungai Muda dan mengalami korban perang yang tinggi dan kehilangan senjata yang banyak.

16 Disember 1941

Pulau Pinang
Tentera British meninggalkan Pulau Pinang.
Medan Perang Utara
Apabila Tentera Jepun berjaya menggerakkan pasukan utama mereka dari Pattani menggunakan laluan Kroh, Lt. Jen. Sir Lewis Heath, Panglima III Kor India mengarahkan pengunduran segera ke kawasan pertahanan baru di Sungai Krian. 11 Divisyen pada mulanya berundur ke Sungai Krian, dan kemudiannya ke Kuala Kangsar sebelum membuat pertahanan di Sungai Perak.
Barisan pertahanan III Kor kini bercelaru. Askar-askarnya kini keletihan kerana kurang tidur dan makan. Mereka gemuruh disebabkan oleh serangan udara yang berterusan. Mereka tiada jawapan kepada pergerakan pantas askar Jepun dan penggunaan taktik yang baik yang mementingkan pengepungan, penyusupan dan gerakan merusuk (outflank). Bilangan korban perang yang tinggi meruntuhkan moral tentera.

17 Disember 1941

Pulau Pinang
Tentera Jepun menawan Pulau Pinang tanpa menghadapi sebarang apa-apa tentangan.
Medan Perang Utara
Pengunduran Tentera British berterusan, dan kegagalan mereka memusnahkan pangkalan-pangkalan udara mereka sebelum berundur membawa padah kerana Tentera Jepun menggunakan pangkalan-pangkalan untuk melancarkan pesawat Mitsubishi Zero untuk membuat serangan ke atas mereka.
Lt. Jen. A. E. Percival membuat keputusan untuk membuat pertahanan di Sungai Perak. Seorang pegawai British menulis “keadaan tidak boleh berlanjutan. Anggota sudah terlalu letih. Mereka hanya mendapat rehat semasa bertinggung di dalam lori yang berlebihan muatan semasa perpindahan di waktu malam. Apabila sampai mereka terus bekerja membina pertahanan. Pergerakan mereka menjadi lembab, dan perlu disergah untuk menjalankan arahan-arahan yang mudah. Mereka bergerak bagaikan robot dan menyorok apabila pesawat udara terbang 200 kaki dari aras bumi”.
Ipoh
Enam buah pesawat RAAF berundur ke Singapura. Dua buah pesawat dari 21 Skuadron musnah dalam satu serangan udara.
Alor Star
Pasukan perintis dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun termasuk Panglima Divisyen Lt. Jen. Takuma Nishimura dan Ketua Turus Mej. Jen. Imaye tiba dari Bangkok dengan kereta api. Permusuhan dan kecurigaan tercetus di antara Jeneral Yamashita dengan panglima Divisyen Pengawal Imperial Jepun tersebut. Yamashita mendapati Nishimura sombong dan suka menyendiri. Pergeseran ini akan berterusan dan menjadi duri dalam daging Jen. Yamashita sepanjang kempen.
 
Mitsubishi Zero jauh lebih berkebolehan berbanding dengan pesawat Brewster Buffalo

18 Disember 1941

Tentera British yang berundur daripada Pulau Pinang membuat pertahanan di Selama, selari dengan Sungai Krian. Lt. Jen. Percival terbang ke Ipoh untuk merundingkan strategi dengan Lt. Jen. Lewis Heath. Mereka menyusun semula pasukan-pasukan yang mengalami korban perang yang tinggi menjadi pasukan yang oleh berperang. 6 Briged dan 15 Briged digabungkan menjadi 6/15 briged. Dua batalion dari Rejimen ke-16 Punjab disatukan. Batalion dari Rejimen Leicestershire dan Rejimen East surrey digabungkan menjadi Batalion British

19 Disember 1941

Jalan Grik ke Kuala Kangsar
Pada waktu fajar, satu batalion Argyll and Sutherland Highlanders mara menuju Grik dengan tujuan menyekat kemaraan Jepun menggunakan Jalan Grik ke Kuala Kangsar. Mereka bertembung dengan askar Jepun 54 kilometer dari Kuala Kangsar dan pertempuran sengit berlaku. Menjelang malam, batalion itu terpaksa berundur 6 kilometer ke Lenggong.
Ipoh
Jen. Percival dan Jen. Lewis Heath membuat tinjauan bersama kawasan-kawasan pertahanan selatan daripada bandar Ipoh.
Di Markas Gerakan Tanah Melayu, Jen. Percival membuat perancangan baru, berdasarkan kepada janji yang diberikan oleh London bahawa pasukan bantuan yang dalam perjalanan ke medan perang di Timur tengah akan dialihkan ke Malaya. Strategi baru ini memerlukan kemaraan Tentera Jepun disekat di bahagian tengah Semenanjung Tanah Melayu dan menafikan Tentera Jepun penggunaan pangkalan udara di Kuala Lumpur, Paroi dan lain-lain tempat. Pertimbangan kritikal adalah kedudukan-kedudukan bertahan di antara Ipoh dan Kuala Lumpur. Jen. Percival memilih Kampar sebagai tempat pertahanan utama, dengan Tapah, Bidor dan Slim River sebagai tempat pertahanan lain.

20 Disember 1941

Singapura
Brooke-Popham meluluskan rancangan baru Jen. Percival.
Lenggong
Askar-askar Jepun menggunakan taktik baru untuk menyusup masuk ke dalam barisan pertahanan askar British. Mereka menggunakan rakit untuk menyusuri Sungai Perak dan menyerang pasukan British di Lenggong. Pasukan Argyll & Sutherland Highlanders menyebabkan kadar korban perang yang tinggi di kalangan penyerang, tetapi terpaksa berundur ke Kota Tampan.

21 Disember 1941

Bangkok
Kerajaan Thailand menandatangani pakatan pertahanan dengan Jepun berkuatkuasa serta merta. Di bawah pakatan ini, Thailand akan membantu Jepun menggunakan apa juga keupayaan politik, ekonomi ataupun ketenteraan mengikut keupayaan.
Lenggong
Askar Jepun menggunakan rakit untuk merentasi Tasik Chenderoh. Walaupun sebilangannya dikesan dan ditembak oleh askar-askar British, kebanyakannya berjaya menyusup barisan pertahanan British dan menyerang Kuala Kangsar.
Jen. David Murray-Lyon merasa cemas dan mengarahkan askar-askar berundur lagi dari kedudukan mereka di Sungai Perak.

22 Disember 1941

Kuala Kangsar
Batalion 3/2 Punjab yang berundur dari Grik membuat serang hendap ke atas kumpulan askar Jepun dan menyebabkan bilangan korban yang tinggi. Ini merupakan pertempuran terakhir di kawasan pertahanan Sungai Perak.
Pasukan dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun tiba dari Bangkok untuk menggantikan Detasmen Ando yang berjuang tanpa henti sejak pendaratan di Pattani pada 8 Disember 1941.
 
Askar-askar Gurkha juga berperang di Tanah Melayu menentang Tentera Jepun

23 Disember 1941

Kuala Kangsar
Pihak British berundur sepenuhnya menyeberangi Sungai Perak sebelum tengah hari. Berikutan pengunduran ini Tentera Jepun menyerang Kuala Kangsar. Kesemua pesawat Brewster Buffalo dari 453 Skuadron RAAF yang masih boleh diterbangkan berundur ke pangkalan Sembawang di Singapura.

24 Disember 1941

Ipoh
Di bahagian utara Ipoh, askar-askar India bertempur dengan pasukan Pengawal Imperial Jepun]] di kawasan Chemor untuk melengahkan kemaraan pasukan Jepun. Ini untuk membolehkan Briged 6/15 (gabungan 6 Briged dan 15 Bridged) membuat perkubuan dan pertahanan di kawasan yang telah dipilih oleh Lt. Jen. Percival dan Lt. Jen Heath. Pertempuran di Chemor menyebabkan bilangan korban yang ramai di kedua pihak berjaya memberikan masa untuk pihak British mengundurkan anggota dan kelengkapan dari Ipoh menggunakan kereta api dan jalan raya.
Singapura
HMAS Vampire membuat tugasan iringan untuk kapal yang membawa mereka yang terselamat semasa penenggelaman kapal HMS Prince of Wales dan HMS Repulse dari Singapura.

25 Disember 1941

London
Winston Churchill berjanji kepada John Curtin Perdana Menteri Australia yang Singapura tidak akan jatuh ke tangan Jepun.
Ipoh
Semua kelengkapan di Ipoh yang tidak dapat dibawa oleh Tentera British dimusnahkan untuk menafikan penggunaannya kepada Tentera Jepun. Bandar perlombongan bijih timah kini menunggu di tawan oleh Tentera Jepun.
Dalam masa 18 hari sahaja, pihak Jepun telah menawan wilayah sebelah utara Sungai Perak dan wilayah Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Pulau Pinang dan pelabuhannya sudah ditawan. Dua buah kapal perang utama telah ditenggelamkan. Pasukan Tentera Udara British sudah hampir musnah dan kesemua pangkalan udara di sebelah utara dan di sebelah Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu sudah ditawan tentera Jepun. Tentera Udara Jepun kini menggunakan lapangan terbang itu sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan ke atas kedudukan British.
21 Skuadron dan 453 Skuadron digabungkan untuk menjadikan 21/243 Skuadron.
 
Askar Jepun menunjukkan ketangkasan melalui hutan tebal di tanah melayu, sesuatu yang dikatakan oleh perancang Britsih sebagai sesuatu yang mustahil dilakukan

26 Disember 1941

Ipoh
Pertempuran Ipoh melihatkan askar-askar Ipoh cuba melengahkan kemaraan askar Jepun di sebelah utara bandar Ipoh.
Dalam keadaan di mana pihak Tentera Jepun bertukar-tukar pasukan yang menerajui kemaraan ketumbukan Tentera Jepun, Lt. Jen Percival mendapati bahawa beliau tidak langsung mempunyai pasukan simpanan dan dengan itu tidak dapat merehatkan askar-askarnya. Percival juga risaukan dengan kadar korban perang yang terlalu tinggi dialami oleh askar-askar India yang bertempur di Ipoh untuk melengahkan kemaraan askar Jepun. Pecival mengarahkan kepada semua pemerintah di medan untuk mengurangkan bilangan korban perang.
Apabila mengalami kemalangan dan korban yang terlalu tinggi, askar-askar India berundur ke kawasan di selatan bandar Ipoh. Divisyen Ke-5 Jepun memasuki dan menawan bandar Ipoh. Jen. Yamashita memerintahkan askar Jepun menyeberangi Sungai Kinta pada jam 8.00 malam.
Taiping
Yamashita memindahkan Markas Gerakannya ke Sekolah Tinggi Taiping.
Singapura
Brooke-Popham menghantar kawat ke London untuk meminta pasukan bantuan.
Brig. Jen. Ivan Simson, Ketua Askar Jurutera dilantik menjadi Ketua Pertahanan Awam dan bukan untuk membuat pertahanan bagi pertahanan Singapura. Simson bertanyakan perkara pembinaan perkubuan kepada Lt. Jen Percival yang menafikan permintaan Simson, dengan alasan pembinaan kubu seperti yang dicadangkan adalah tidak baik untuk moral orang awam dan anggota tentera.

27 Disember 1941

Singapura
Panglima Tertinggi Timur Jauh Sir Robert Brooke-Popham dilucutkan jawatan dan digantikan oleh Lt Jen. Sir Henry Pownall.
Maklumat risikan Markas Gerakan Tanah Melayu melaporkan satu kumpulan 34 buah kapal Jepun berada di Songkhla. Ini dinilaikan sebagai kebarangkalian Jepun membuat pengukuhan pasukan yang menakluk Tanah Melayu. Laporan lain menceritakan baj pendaratan kecil yang dipunggah di Songkhla telah dibawa dengan jalan darat ke pantai di selatan negeri Kedah. Ini menunjukkan kemungkinan Jepun menggunakan serangan melalui laut untuk menyusup di belakang garisan pertahanan British.
 
British memusnahkan apa yang tidak dapat dibawa mereka untuk menafikan penggunaan kepada pihak Jepun
Taiping
Dalam perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan Ketumbukan Tentera Ke-25, Yamashita menggariskan pertukaran taktik baru dalam strategiknya menawan Tanah Melayu. Yamashita berhasrat menghantar 1,500 orang askar daripada Divisyen ke-5 Tentera Jepun dengan bot pendaratan menuruni Selat Melaka dan mendarat di belakang garisan pertahanan Tentera British dan menyerang daripada belakang.
 
Robert Brooke-Popham dilucutkan jawatan dan digantikan oleh Lt Jen. Sir Henry Pownall.

28 Disember 1941

Kampar
Askar-askar dari Batalion British, bersama-sama askar India dari 6/15 Briged India dan 28 Briged India yang juga mempunyai askar-askar Gurkha selesai menyiapkan pertahanan di sekitar Kampar. Pasukan British diberikan bantuan artileri dari 155 Rejimen Artileri Medan Lanarkshire Yeomanry dan 88 Rejimen Artileri Medan.
Pasukan Argyll & Sutherland Highlanders mengawal jalan masuk dari arah utara Kampar.
Kampar dijadikan kedudukan pertahanan British yang terkuat sepanjang kempen penaklukan Jepun. Lt. Jen. Percival bertaruh kepada kebolehan pasukannya menyekat kemaraan Tentera Jepun di Kampar dan mengehadkan medan tempur di bahagian tengah Semenanjung Tanah Melayu. Pasukan British di Kampar berhadapan dengan askar-askar Pengawal Imperial dan dua rejimen dari Divisyen Ke-5 Jepun iaitu 41 Rejimen Infantri (Okabe) dan 42 Rejimen Infantri (Ando).

29 Disember 1941

Kampar
Rondaan di kawasan hadapan oleh kedua-dua pihak berakhiran dengan pertempuran-pertempuran kecil yang berterusan di merata tempat. Pada waktu malam, Tentera Jepun memulakan serangan. Bedilan tepat pasukan artileri British ke atas kedudukan Jepun dimulakan dan menyebabkan keresahan ke atas pemerintah-pemerintah Jepun mengenai jumlah korban mereka.
Sembawang
Serangan oleh pesawat Jepun menyebabkan kerosakan teruk ke atas pesawat-pesawat RAAF di pangkalan Sembawang.

30 Disember 1941

Kampar
Tentera Jepun membuat serangan merusuk (outflanking attack) untuk melepasi barisan pertahanan di timur bandar Kampar apabila mereka ditentang oleh 28 Grup Briged India dan menghalang percubaan mengepung oleh tentera Jepun. Bedilan artileri British tepat mengenai kedudukan askar-askar Jepun dan menyebabkan bilangan korban yang tinggi.
Kuantan
Askar-askar Jepun dari Detasmen Takumi (23 Briged Infantri) tiba dengan lori dari Kota Bharu dengan melalui jalan pantai yang kurang elok dan menyerang pertahanan hadapan di Kuantan yang dipertahankan oleh 22 Briged Infantri dari 9 Divisyen India. Mereka juga menyerang serentak pangkalan feri yang merentasi Sungai Kuantan dan di sekitar bandar Kuantan. Detasmen Takumi diarahkan menawan Kuantan.
Fail:Battleboxfortcanning.jpg
Diorama Kubu Pemerintahan di Fort Canning
Johor
Lt. Jen. Percival yang dalam kerisauan meninggalkan markasnya di Fort Canning untuk ke Tanah Melayu untuk perjumpaan penting dengan pemerintah-pemerintah di medan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, Lt. Jen. Percival memberitahu Pemerintah Pasukan Australia Mej. Jen. Bennett mengenai perancangannya untuk berundur ke Singapura dan meletupkan Tambak Johor di antara Johor Bahru dan Singapura
Telok Anson
Untuk menentang kebarangkalian penyusupan oleh pasukan Jepun yang dibawa melalui jalan laut, 1 Kompeni Bebas dihantar ke Teluk Anson (sekarang ini Teluk Intan) untuk mengawal laluan dari situ ke Kampar.

31 Disember 1941

Selat Melaka
'Tentera Laut Diraja (Royal Navy) menghantar 5 buah bot peronda laju kelas Eureka ke arah utara dari Singapura melalui Selat Melaka. Kesemua bot peronda itu diserang oleh pesawat udara Jepun dan di tenggelamkan ataupun tersadai di atas pantai.
'Kuantan
'Tentera Jepun melancarkan serangan ke atas pangkalan feri Kuantan tetapi ditentang hebat oleh askar-askar India dan British yang bertahan di sana. Tentera Jepun menghantar lain-lain unit Tentera di Kuantan untuk menguatkan pasukan penyerang. Sementara itu Tentera Jepun memasuki dan menguasai bandar Kuantan.
'Slim River
'Lt. Jen. Percival dan Lt. Jen. Heath pergi ke Markas 11 Divisyen di Tapah dengan kereta. Dalam perjalanan, Percival singgah di Slim River untuk berbincang dengan Kol. Ian Stewart, Panglima 12 Briged. Percival, Heath dan Kol. Stewart bersetuju bahawa persimpangan jalan kuala kubu baru mesti ditahan oleh Tentera British sekiranya Tentera Jepun hendak dihalang daripada menguasai pangkalan-pangkalan udara di wilayah tengah Semenanjung Tanah Melayu sebelum pasukan-pasukan bantuan yang dijanjikan sampai ke Singapura pada pertengahan bulan Januari.
'Kampar
Askar-askar Jepun yang dikecewakan oleh bedilan artileri yang amat tepat dari kedudukan pertahanan British cuba memecah kebuntuan dengan melancarkan serangan ke atas kedudukan askar-askar Gurkha di bahagian timur pertahanan Kampar. Tetapi askar Gurkha memberikan tentangan bermati-matian dan bertempur tanpa senjata menggunakan senjata kukri mereka dan dapat memaksa askar-askar Jepun mengundur diri. Serangan dilakukan sepanjang hari tetapi kedudukan Askar Gurkha dapat dipertahankan.

Bersambung Ke Garis Masa Kempen Penaklukan Jepun Di Tanah Melayu Januari 1942