Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR, dahulunya Ujian Penilaian Sekolah Rendah) merupakan program pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar pada akhir sesi sekolah rendah di Malaysia dalam pendidikan rendah Malaysia dan diambil oleh murid-murid akhir Tahun Enam.
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah | |
---|---|
Akronim | UPSR |
Jenis | Peperiksaan pendidikan awam |
Agensi pengendali | Lembaga Peperiksaan Malaysia |
Tujuan | Penilaian pendidikan rendah |
Tahun dimulakan | 1988 |
Tahun ditamatkan | 2021 |
Penawaran | Tahun 6; sekali seumur hidup |
Syarat percubaan | Tiada percubaan |
Negara / Wilayah | Malaysia |
Bahasa utama | Bahasa Melayu Bahasa Inggeris Bahasa Cina(SJKC) Bahasa Tamil(SJKT) |
Jumlah calon tahunan | ▲ 445,641 (2019) |
Yuran ujian | Percuma |
Sejarah
suntingUPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima[1]. Pada tahun 1995, format kertas subjek Matematik diubah dengan memperkenalkan soalan subjektif. Pada tahun 2001, penilaian termasuk kerja sekolah calon. Pada tahun yang sama, subjek Sains telah diperkenalkan dalam kertas peperiksaan UPSR dan melibatkan amali Sains.
Pada tahun 2016, kertas Bahasa Inggeris dipecahkan kepada 2 kertas berasingan, iaitu kertas Pemahaman dengan dua bahagian, Section A (objektif) dan B (subjektif), dan kertas Penulisan. Calon yang mengambil UPSR pada 2016 ialah kohort murid pertama yang mengaplikasi KSSR dan sistem Penilaian Berasaskan Sekolah, PBS[2].
Pada tahun 2016, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa format baru UPSR yang ditambah baik akan mula digunakan[3], dengan kemasukan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)[4]. Bagi membolehkan pengujian terhadap kemahiran KBAT, soalan berbentuk aneka pilihan akan dikurangkan, manakala soalan pelbagai objektif akan ditambah[4]. Selain itu, bagi kertas Bahasa Inggeris, ianya akan dipecahkan kepada dua kertas iaitu pemahaman dan penulisan.
Pada awalnya, PBS dijangka yang diguna pakai akan melibatkan 40% markah perolehan murid (bermula dari 2011, ketika murid-murid berada di Tahun Satu sehingga Tahun Enam) dalam penilaian di sekolah, dan 60% adalah daripada kertas peperiksaan UPSR itu sendiri. Namun pada saat akhir iaitu tahun 2016, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan bahawa keputusan UPSR adalah 100% daripada kertas peperiksaan. Objektifnya adalah untuk menilai pencapaian pelajar sekolah rendah dalam kemahiran asas mereka dalam Sains dan Matematik dan juga bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. UPSR dijalankan berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Bermula 2018 ramai yang mengatakan Penilaian Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) akan menggantikan UPSR. Namun begitu, keputusan UPSR menjadi salah satu daripada elemen yang akan menggantikan UPSR. UPSR adalah kini dijadikan salah satu daripada 4 komponen utama PPSR. Ini semua dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai satu tahap baharu terhadap penilaian murid-murid Tahun Enam di sekolah.
Pada 2020, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara, pihak KPM pada 15 April telah membuat keputusan untuk membatalkan UPSR pada tahun tersebut bersama-sama dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan penilaian kaedah baharu akan digunakan untuk menggantikan UPSR.[5]
Pemansuhan
suntingSekitar 2009, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Razali Ibrahim pernah mengusulkan pemansuhan UPSR kerana disifatkan tidak perlu dalam sistem pendidikan negara.[6] Pada 20 Jun 2010, Kementerian Pelajaran Malaysia yang diwakili oleh menterinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan kemungkinan akan memansuhkan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya. PMR dan UPSR mungkin dijadikan sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam[7].
Pada 2019, pihak Kementerian Pendidikan merancang pemansuhan penuh UPSR dalam masa lima tahun sementara mengumpulkan pendapat daripada pelbagai pihak.[8] Setelah perbincangan pada April 2021, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan sepenuhnya UPSR bermula daripada sesi 2021, dan digantikan dengan pentaksiran sekolah secara berterusan dan bukan sebuah peperiksaan awam gantian.[9]
Subjek
suntingSetakat tahun 2019, terdapat empat subjek utama yang diuji bagi murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) dan tambahan 1 subjek bahasa bagi murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
Subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak disenaraikan sebagai subjek teras yang diuji dalam peperiksaan UPSR ini[10]. Walaupun begitu, murid-murid beragama Islam wajib mengikuti subjek Pendidikan Islam kerana ianya dinilai menerusi Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan dicatatkan pada slip keputusan UPSR[11].
Subjek | Bahasa Dalam Peperiksaan | Kertas 1 | Kertas 2 |
---|---|---|---|
Bahasa Melayu | Bahasa Melayu | Pemahaman | Penulisan |
Bahasa Inggeris | Bahasa Inggeris (Inggeris UK) | Pemahaman (Section A dan B) | Penulisan |
Sains
科学 அறிவியல் |
Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (SK)
Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina (SJKC) Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil (SJKT) |
Objektif | Subjektif |
Matematik
数学 கணிதம் |
Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (SK)
Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina (SJKC) Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil (SJKT) |
Objektif | Subjektif |
Bahasa Cina
(华文) (SJKC) |
Bahasa Mandarin
(Cina Ringkas) (简体中文) |
Pemahaman(理解) | Penulisan(作文) |
Bahasa Tamil(தமிழ் மொழி) (SJKT) | Bahasa Tamil(தமிழ் மொழி) | Pemahaman(கருத்துணர்தல்) | Penulisan(கட்டுரை) |
Statistik
suntingBilangan calon
suntingPada tahun 2020, peperiksaan UPSR dimansuhkan kerana Malaysia pada ketika itu berada dalam darurat akibat Pandemik COVID-19 yang menyebabkan kesemua sekolah ditutup dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian[12].
Pada tahun 2019, seramai 445,641 orang calon telah menduduki peperiksaan UPSR yang diadakan di 8,076 buah pusat peperiksaan di seluruh Malaysia[13]. Jumlah ini kemudian dipecahkan kepada dua bahagian iaitu seramai 434,177 orang atau 97.43% dari sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia, dan selebihnya 2.57% calon dari sekolah swasta. Bilangan calon yang mengambil peperiksaan UPSR ini meningkat berbanding tahun sebelumnya, iaitu seramai 440,743 calon yang telah menduduki peperiksaan ini[14].
Tahun | Jumlah calon | Bilangan pusat peperiksaan | |
---|---|---|---|
Sekolah awam | Sekolah swasta | ||
2019 | 434,177[15] | 11,464[15] | 8,076 |
2018 | 430,031 | 10,712 | 8,100 |
2017 | 433,536[16] | 10,258[16] | 8,085 |
Rujukan
sunting- ^ Abdullah, Dr Azlinariah (29 April 2021). "UPSR dalam kenangan 1988-2021". Astro Awani. Dicapai pada 26 Januari 2023.
- ^ "KBAT: 113 sekolah pada tahap baik dan cemerlang". Berita Harian. 8 November 2017. Dicapai pada 26 Januari 2023.
- ^ Aswad Shuaib, Iwan Shu (17 November 2016). "Keputusan UPSR 2016 Capai Standard Kokurikulum Kebangsaan - Mahdzir". MStar. Dicapai pada 26 Januari 2023.
- ^ a b "Format baharu UPSR mula 2016, babit 6 subjek". Berita Harian. 28 September 2015. Dicapai pada 26 Januari 2023.
- ^ "UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan". Bernama. 15 April 2020. Dicapai pada 15 April 2020.
- ^ "UPSR telah dicadang dimansuhkan sejak 2009 - Razali Ibrahim". Astro Awani. 28 April 2021. Dicapai pada 28 April 2021.
- ^ "Kementerian mungkin mansuh UPSR dan PMR". MalaysiaKini. 20 Jun 2010. Dicapai pada 26 Januari 2023.
- ^ "UPSR to be abolished in 5 years". Astro Awani. 9 Mei 2019. Dicapai pada 28 April 2021.
- ^ Hasimi Muhamad (28 April 2021). "UPSR mansuh sepenuhya, PT3 dibatalkan". Astro Awani. Dicapai pada 28 April 2021.
- ^ "Jadikan Subjek Pendidikan Islam Sebagai Syarat Pensijian UPSR, PMR Dan SPM". MStar. 5 Jun 2011. Dicapai pada 29 Januari 2023.
- ^ "Pendidikan Islam, Moral tak perlu jadi subjek teras UPSR". MalaysiaKini. 8 Julai 2010. Dicapai pada 29 Januari 2023.
- ^ Leong, Isabelle (15 April 2020). "COVID-19: UPSR, PT3 tahun 2020 dibatalkan". Astro Awani. Dicapai pada 26 Januari 2023.
- ^ Abu Bakar, Juani Munir (4 September 2019). "Peperiksaan UPSR 2019 bermula hari ini". Utusan Malaysia. Dicapai pada 29 Januari 2023.
- ^ "Keputusan PPSR, UPSR keluar hari ini". Astro Awani. 29 November 2018. Dicapai pada 29 Januari 2023.
- ^ a b PELAPORAN PENTAKSIRAN SEKOLAH RENDAH TAHUN 2019, Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia, m/s. 28, dicapai pada 28 Januari 2023
- ^ a b PELAPORAN PENTAKSIRAN SEKOLAH RENDAH TAHUN 2017, Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada 28 Januari 2023