Ukays

Kumpulan Muzik dari Malaysia

Ukays merupakan sebuah kumpulan rock terkenal di Malaysia dan Indonesia. Komposer Saari Amri adalah seorang insan yang menaikkan nama U.K's di Industri muzik tanah air. Album Bisa Berbisa (1994) terbitannya dijual melebihi 400,000 unit di pasaran. Album itu dianggap antara yang terbaik ketika itu. Dan Amir Ukays juga menjadi perbualan hangat ketika itu di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, kerana kelunakan suara tinggi mendayu. Hingga saat ini lagu Disana Menanti Disini Menunggu sentiasa menjadi siulan orang ramai dan diradio.

Ukays
Juga dikenali sebagai
Uk’s , Ukays
Berasal dariUlu Klang, Selangor Selangor, Malaysia Malaysia
GenreRock, pop rock, balada
PekerjaanPenyanyi/Pemuzik
InstrumenVokal/Band
Tahun aktif1986–kini
Syarikat rakaman
Varia Music (1989–1992)
Mekar Production (1993–1996)
Kumbang Production (1997)
BMG Music (1992–1994,1996–2000)
NSR Music (1995)
Pengkarya berkait
Saari Amri, Azam Dungun, Analisa, Safura
Laman sesawang
https://www.facebook.com/uks.reunion https://www.tiktok.com/@uksreunionofficial https://instagram.com/uksreunionofficial
AhliU.K's
Amir - Vokalis
Mus Satira - gitar utama
Daniel - gitar
Olley - gitar bass
Amirul - Drum

1986-1989 : Ukay & Album Tinggal Irama

sunting

Kumpulan yang pada asalnya dinamakan Ukay ini telah ditubuhkan pada tahun 1986 oleh lima anggota asal iaitu Zul sebagai vokalis, Mie sebagai pemain gitar utama, Well sebagai pemain gitar kedua, Din sebagai pemain bass dan Ali sebagai pemain dram. Nama kumpulan ini diambil kerana kesemua anggotanya ketika itu berasal dari Ulu Klang, di mana Ulu Klang kerap disebut penduduk setempat sebagai Ukay atau UK. Pada ketika itu, seorang komposer baharu bernama Saari bin Jusoh atau lebih dikenali sebagai Saari Amri telah melamar mereka untuk menjadi artis rakaman, seterusnya menghasilkan album pertama Ukay yang berjudul Tinggal Irama pada tahun 1989 di bawah label Varia Music dan diedarkan oleh Perdana Muzikal Industri (PMI). Malangnya, album pertama Ukay ini gagal di pasaran apabila terjual tidak sampai 1,000 keping ekoran vokal yang tidak begitu mantap. Zul kemudiannya meninggalkan Ukay yang ketika itu sudah terumbang-ambing dan pada masa yang sama syarikat yang menerbitkan album mereka, Varia Music jatuh muflis dan terpaksa ditutup.

1991-1994 : Penyertaan Amir, Ukay menjadi Ukays & Isu Royalti

sunting

Pada tahun 1991, Saari Amri telah membuka syarikat produksinya sendiri iaitu Mekar Production hasil perkongsian bersama rakannya, Ridhuan Abu Bakar. Saari yang tidak mahu kumpulan Ukay berkubur telah mengambil mereka untuk dijadikan artis pertama syarikat ini, di mana kelak kesemua penerbitan album Ukay dilakukan oleh Saari Amri. Pada ketika itu, Ukay masih tidak mempunyai vokalis kerana rata-ratanya tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh Saari.

Pertemuan Saari dengan pemuda yang bernama Mohd Azmir bin Muhammad Yusof atau lebih dikenali sebagai Amir telah mengubah nasib Ukay. Dengan penyertaan Amir yang pernah bersama Kumpulan Analisa sebelum ini, maka Saari telah menambahkan huruf 's' di belakang perkataan Ukay untuk menjadikan nama kumpulan ini sebagai Ukays. Ini bermakna Amir adalah penyanyi pertama kumpulan Ukays, bukanlah penyanyi kedua seperti yang dicanang oleh kebanyakan peminat. Pada 17 Februari 1992, mereka telah melancarkan album pertama di bawah jenama Ukays yang bertajuk Mencari, edaran BMG Music. Malangnya album ini juga tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penjualan album sebanyak 15,000 unit yang mengakibatkan Mekar Production menanggung kerugian. Namun Ukays dan Saari tidak mudah berputus asa, sebaliknya belajar dari kesilapan untuk menghasilkan karya-karya yang berkualiti selepas kegagalan album Mencari.

Kemudian pada 26 April 1994, Ukays telah melancarkan album kedua mereka berjudul Bisa Berbisa di bawah label yang sama. Dalam album ini, kumpulan ini mengundang gitaris yang berasal dari Batu Pahat, Johor bernama Azmi bin Hassan atau Amy. Album Bisa Berbisa telah melonjakkan nama Ukays di persada muzik tempatan apabila album ini terjual sebanyak 400,000 unit dengan hampir kesemua lagu dalam album ini hit dan keluar di stesen-stesen radio tempatan. Antara lagu yang popular dalam album Bisa Berbisa ialah Seksa, Kau Satu-Satunya, Siapa Yang Rampas Cintamu, dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu[1]. Album ini kemudiannya diiktiraf sebagai album yang mencatatkan jualan terbanyak di Malaysia pada ketika itu sebelum rekod mereka dipecahkan oleh kumpulan Exist pada tahun 1995 menerusi album Diammu Gunung Berapi yang mencatatkan jualan sebanyak 25,000 unit dan kumpulan Raihan pada tahun 1996 menerusi album Puji-Pujian yang mencatatkan jualan sebanyak 700,000 unit dalam tempoh 6 bulan[2]. Album ini juga telah meletakkan Ukays sebaris dengan kugiran-kugiran besar di Malaysia seperti Search dan Wings.

Namun langit tak selalunya cerah. Di kala Ukays meniti puncak populariti, masalah baharu telah timbul apabila anggota asal Ukays iaitu Well, Din dan Ali mula membangkitkan isu royalti terhadap Mekar Production. Pada asalnya, Mekar menetapkan bayaran royalti sebanyak RM0.50 seunit namun atas permintaan dari mereka bertiga, Mekar mengambil keputusan untuk menaikkan harga royalti kepada RM0.75 seunit. Namun Well, Din dan Ali masih tidak berpuas hati kerana mereka mahukan bayaran royalti sebanyak RM1.00 seunit yang membawa kepada pengunduran mereka dari Ukays. Tindakan mereka yang menarik diri telah menyebabkan Ukays hanya tinggal Amir (vokal) dan Amy(gitar).

Pada masa yang sama, pihak BMG juga meminta bayaran royalti sebanyak RM10,000 daripada pihak Mekar.

1995-1997 : Perpecahan anggota asal,Penyertaan ahli baru & Pertukaran nama Ukays kepada U.K's

sunting

Dalam usaha untuk mengekalkan populariti Ukays yang kian meningkat naik, pihak pengurusan Mekar telah mengadakan uji bakat untuk mencari ahli-ahli baharu yang ingin menyertai Ukays. Hasilnya Mekar berjaya mendapatkan tiga orang pemuzik baharu iaitu Amirol (dram), Daniel (gitar kedua) dan Olley (bass). Amy yang sebelum ini hanya pemuzik sampingan pula diserap masuk sebagai pemain gitar utama. Masuk sahaja anggota-anggota baharu, kumpulan ini sekali lagi dijenamakan semula apabila nama Ukays telah ditukar ejaannya kepada U.K's.

Kemudian, mereka telah mengeluarkan album ketiga yang berjudul Tajam Menikam pada 26 April 1995. Seperti album Bisa Berbisa, album Tajam Menikam juga meletup di pasaran dengan angka jualan mencecah sebanyak 250,000 unit dalam tempoh 4 bulan pertama sahaja, sekaligus merekodkan jualan sebanyak 280,000 unit secara keseluruhannya. Album ini juga turut mendapat tempat yang hebat di Indonesia di mana album mereka terjual melebihi 700,000 unit di sana. Ini adalah satu pencapaian yang sukar diikuti oleh artis lain sehingga kini. Hampir semua lagu dalam album Tajam Menikam keluar di corong radio. Antaranya Sebak, Rhythm Si Jantung Hati, Kekasihku, Pahit Akan Manis Akhirnya, dan Bila Purnama Mengambang.

Pada tahun 1996, Saari Amri telah menerbitkan album keempat U.K's. Kali ini, album yang diberi judul Panas Berpanjangan terjual sebanyak 175,000 unit. Walaupun jumlah jualan album ini agak rendah berbanding sebelumnya, ia masih memegang jualan antara yang tertinggi pada tahun itu. Lagu yang popular daripada album ini ialah Permata Hati, Di Luar Kemampuanku, Sesak, Bila Diri Disayangi, Kekasihku Di Menara dan Iramaku.

Namun seperti yang diduga, panas tidak akan berpanjangan, konflik dalaman yang berlaku di antara U.K's dan Mekar Production telah menyebabkan kesemua anggota U.K's mengambil keputusan untuk menarik diri dan kemudiannya menyertai Ambang Klasik Sdn. Bhd. atas perjanjian syarikat ini dengan Saari Amri. Namun begitu, Amir akhirnya meninggalkan Amy, Daniel, Amirol & Olley kerana merasakan dirinya lebih serasi untuk bekerja dengan Saari Amri, lantas membawa semula nama U.K's. Pada masa yang sama, anggota yang lain kekal bersama dengan Ambang Klasik dan kemudiannya bergabung dengan Rahmad Mega untuk menubuhkan kumpulan Utama pada tahun 1997.

1997-2000 : Album Cuma Aku Yang Hidup & Pijar Kasmaran

sunting

Pada tahun 1997, Saari Amri menerbitkan album kelima U.K'S yang diberi judul Cuma Aku Yang Hidup. Album yang membariskan line-up baharu ini diterbitkan di bawah label baharu iaitu Kumbang Production, namun masih menggunakan BMG Music sebagai pengedar album. Album ini mengalami sedikit penurunan apabila terjual sebanyak 100,000 unit ekoran kemelesetan ekonomi dan isu cetak rompak yang melanda negara pada ketika itu. Lagu yang popular daripada album ini ialah Kerana Pepatah Lukaku Berdarah dan Pahit Ku Telan Jua.

Kemudian pada tahun 2000, U.K's telah melancarkan album keenam yang berjudul Pijar Kasmaran yang diterbitkan & diedarkan sepenuhnya oleh BMG Music. Album ini telah memperkenalkan anggota baharu U.K's iaitu Awie (gitar), Faizul (gitar), Niel (bass) dan Akel (dram). Album ini terjual sebanyak 15,000 unit di Malaysia dan 50,000 unit di Indonesia. Selepas album ini, anggota Ukays telah mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Walau bagaimanapun, Amir tidak pernah mengatakan beliau menarik diri daripada Kumpulan Ukays ataupun U.K's seperti yang dihebahkan oleh bekas ahli kumpulan dalam temuramah bersama media baik dalam surat khabar atau youtube.

Anggota

sunting

Ukay - Tinggal Irama (1989) :

  1. Zul - vokal
  2. Mie - gitar utama dan irama
  3. Well - gitar utama dan irama
  4. Din - bass
  5. Ali - dram


Ukays - Mencari (1992) :

  1. Amir - vokal
  2. Mie - gitar utama dan irama
  3. Well - gitar utama dan irama
  4. Din - bass
  5. Ali - dram


Ukays - Bisa Berbisa (1994) :

  1. Amir - vokal
  2. Well - gitar utama
  3. Amy - gitar
  4. Din - bass
  5. Ali - dram

Amy merupakan pemuzik undangan dalam album Bisa Berbisa sebelum diserap menjadi anggota tetap U.K's.

U.K's - Tajam Menikam (1995) & Panas Berpanjangan (1996) :

  1. Amir - vokal
  2. Amy - gitar utama
  3. Daniel - gitar
  4. Olley - bass
  5. Amirul - dram


U.K's - Cuma Aku Yang Hidup (1997) :

  1. Amir - vokal
  2. Neil - gitar
  3. Awie - bass
  4. Joey - dram


U.K's - Pijar Kasmaran (2000) :

  1. Amir - vokal
  2. Neil - gitar
  3. Faizul - gitar
  4. Awie - bass
  5. Akel Zainal - dram


U.K's - Reunion (2019) :

  1. Amir - vokal
  2. Daniel - gitar
  3. Olley - bass
  4. Amirul - dram
  5. Mus Satira - gitar

Ukays 1989

  1. Achik Roslan - vokal
  2. Well - Gitar
  3. Ali - Dram
  4. TokJie - Bass

Ukays Reborn

  1. Coot - vokal
  2. Amy-gitar/papan nada












Diskografi

sunting

Album studio

  1. Tinggal Irama (1989)
  2. Mencari (1992)
  3. Bisa Berbisa (1994)
  4. Tajam Menikam (1995)
  5. Panas Berpanjangan (1996)
  6. Cuma Aku Yang Hidup (1997)
  7. Pijar Kasmaran (2000)

Album kompilasi

  1. Kelahiran (1991)
  2. Gitarmental (1995)
  3. Greatest Hits (1995)
  4. Greatest Hits Special (1996)
  5. Akustika Bisa Berbisa (1996)

Album pasaran Indonesia

  1. Disini Menunggu (1995)
  2. Cinta Itu Buta (1997)
  3. Disaat Lukaku Berdarah (1999)

Rujukan

sunting
  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-04. Dicapai pada 2019-11-16.
  2. ^ https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2016/03/125715/legenda-raihan

Pautan luar

sunting