Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor

Perlembagaan negeri Johor

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (Tulisan Jawi: اوندڠ٢ توبوه كراجاءن جوهر; ejaan lama: انداڠ٢ توبهکراجاءن جوهر) merupakan satu set undang-undang di negeri Johor, Malaysia yang menjadi perlembagaan asas bagi negeri tersebut. Dimasyhurkan pada 14 April 1895 oleh Sultan Abu Bakar, perlembagaan tersebut menjadikan Johor sebagai negeri Melayu pertama yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

SejarahSunting

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor telah dibuat pada 14 April 1895 yang bersamaan 8 Syawal tahun 1312H. Tahun tersebut merupakan tahun ke-34 Sultan Abu Bakar memerintah di atas takhta Kerajaan Negeri Johor. Digelar "Undang-undang Tubuh Kerajaan" bukanlah kerana baginda ingin menubuh atau mengasas sebuah kerajaan yang baharu tetapi tentang mengurus tadbir kerajaan negeri ibarat sebuah tubuh atau jasad yang lengkap bagi setiap bahagiannya. Hal ini juga menunjukkan baginda Sultan yang punya kedaulatan ke atas negeri telah memperturunkan kuasanya sebagai pemimpin dalam bentuk panduan bertulis sebagai satu anugerah kepada Jemaah Menteri atau Majlis Mesyuarat Negeri yang hadir dari kalangan rakyat jelata agar dapat terlibat sama membantu Sultan dalam urusan pentadbiran negeri.

Undang-undang ini telah digubal oleh Sultan Abu Bakar bersama pembesar negeri di Istana Besar Johor dan dikarang dalam tulisan Jawi oleh firma guaman yang bernama Messrs Rodyk and Davidson di Singapura. Johor merupakan negeri pertama di Tanah Melayu ini yang memperkenalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan melalui Undang-Undang Tubuh tersebut. Ketetapan Undang-Undang Tubuh Kerajaan ini serta Persekutuan Mesyuarat Kerajaan dan aturan taat, teguh, bersetia, dan benar.

Undang-undang ini telah ditandatangani serta disaksikan oleh yang berikut:

  • Tunku Ibrahim (Tunku Mahkota Johor)
  • Dato’ Ungku Mohamed Khalid bin Dato' Temenggong Sri Maharaja Daeng Ibrahim
  • Dato’ Ungku Suleiman
  • Dato’ Jaafar Bin Haji Mohamed ( Menteri Johor)
  • Dato’ Syed Salim bin Ahmad Al-Attas (Mufti)
  • Dato’ Haji Mohamed Salleh (Hakim)
  • Dato’ Abdul Rahman bin Andak (Dato’ Sri Amar Diraja)
  • Dato’ Mohamed Ibrahim Bin Abdullah Munshi (Dato’ Bentara Dalam)
  • Dato’ Mohamed Salleh bin Perang (Dato’ Bentara Luar)
  • Dato’ Jaafar bin Nong Yahya (Dato’ Penggawa Timur)
  • Dato’ Abdul Samad bin Ibrahim (Dato’ Penggawa Barat)
  • Dato’ Abdullah bin Tahir (Dato’ Sri Setia Raja)
  • Dato’ Haji Abdul Rahman (Kadi)
  • Dato’ Yahya bin Shaaban
  • Dato’ Andak
  • Dato’ Mohamed Mahbob
  • Dato’ Mohamed Yahya bin Awal-Ed-Deen

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor telah diisytiharkan pada 14 September 1895 yang bersamaan 24 Rabiul Awal 1313 Hijrah, lima bulan selepas penggubalan.

Pindaan dan TambahanSunting

Tambahan-tambahan terhadap UTKJ telah dibuat pada:

a. 22 April 1908

b. 17 September 1912

c. 12 Mei 1914

d. 17 Julai 1918

e. 18 Julai 1939

f. 1 Februari 1948

Tambahan-tambahan tersebut dibuat atas sebab tertentu. Seperti memperinci sistem kehakiman dalam Negeri Johor, campur tangan British dalam pentadbiran, perjanjian Johor-British 1948 dan sebagainya. Sebagai contoh, dalam satu fasal telah diwujudkan ahli timbangan dalam mesyuarat kerajaan bagi mengenepikan syarat rakyat Johor sebagai syarat lantikan:

"Dan bahawasanya pada menjalankan kuasa yang dicadangkan dalam fasal yang ke 64 bagi Undang-undang Tubuh Kerajaan dan dengan syor dan persetujuan mesyuarat kerajaan adalah kita sekarang suka menentukan iaitu bagi tambahan daripada enam belas orang ahli mesyuarat iaitu bagaimana yang ada tersebut dalam fasal yang ke 46 bagi undang-undang yang tersebut bolehlah dari satu ke satu masa dibenarkan ahli mesyuarat itu daripada lain-lain orang yang tidak daripada rakyat Johor dengan dinamakan ahli “tambahan”."

Seterusnya, pindaan-pindaan telah dibuat pada tahun-tahun berikut:

a. 30 Ogos 1957

b. 20 April 1959

c. 15 November 1959

d. 15 November 1960

e. 29 Julai 1961

f. 12 November 1964 (2 kali)[1]

g. 15 Disember 1966

h. 1 April 1967 (2 kali disebabkan pembetulan/corrigendum)

i. 18 November 1968

j. 9 Mei 1975

k. 25 Julai 1978

l. 23 Disember 1983

m. 23 November 1990

n. 11 Jun 1993

o. 24 Disember 1999

p. 7 November 2003

q. 1 April 2007[2]

KandunganSunting

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1312 (1895) dimasyhurkan pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar[2] (1862-1895M) iaitu pada 4 April 1895. Dimulakan dengan seru bukaan, diikuti dengan bahagian makna-makna bagi perkataan, seterusnya lima bahagian yang mengandungi 64 fasal, berikut adalah lima bahagian tersebut:


1.         Bahagian pertama adalah Undang-undang yang mengandungi fasal 1 iaitu:

Segala syarah-syarah yang ada di atas ini disifatkan seperti suatu bahagian daripada “Undang-undang Tubuh Kerajaan” itu iaitu dimana-mana yang ada berkenaan di dalamnya.

2.         Bahagian yang kedua adalah Raja dan Kerajaan yang mengandungi 26 fasal.

3.         Bahagian yang ketiga adalah Jemaah Menteri mengandungi 17 fasal.

4.         Bahagian yang keempat adalah Mesyuarat Kerajaan yang mengandungi 12 fasal.

5.         Bahagian yang kelima adalah Berbagai-bagai Ingatan yang mengandungi 8 fasal.[3]

Kesinambungan Perlembagaan MalaysiaSunting

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor telah memainkan peranan penting di kalangan masyarakat Melayu semasa menentang penubuhan Malayan Union. Faktor utama penentangan adalah kerana kesemua Sultan di Negeri-negeri Melayu akan hilang kuasa dan kedaulatan mereka terhadap negeri masing-masing, serta disebabkan cara Sir Harold MacMichael mengugut untuk mendapatkan tandatangan para Sultan.

Sultan Ibrahim dari Johor sendiri telah dipaksa oleh MacMichael untuk menandatangani perjanjian tersebut, membangkitkan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu, sambil mendakwa bahawa menandatangani perjanjian tersebut adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang tidak membenarkan Sultan Johor daripada melakukan apa-apa tindakan yang boleh menggugat kedaulatan negeri Johor. Sebagai maklum balas terhadap penentangan tersebut, baginda menganjurkan perhimpunan agung pertama UMNO di istana baginda di Johor Bahru pada Mei 1946. Beliau turut sama memboikot perlantikan gabenor pertama Malayan Union.

Hasil daripada kejayaan orang-orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union, para pemimpin negeri-negeri Melayu yang lain turut menggunakan Undang-undang Tubuh Negeri Johor sebagai model bagi perlembagaan masing-masing bagi melindungi kedaulatan negeri-negeri Melayu dan kemudiannya digunapakai sebagai panduan dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. Haji Buyung Adil, "Sejarah Johor", Kuala Lumpur, DBP, 1971 p. 261.
  2. Fauzi Basri and Hasrom Haron. "Sejarah Johor- Moden 1855-1940: Satu Perbincangan dari Pelbagai Aspek", Kuala Lumpur. Jabatan Muzium Semenanjung Malaysia, 1978, p. 229.
  3. Ibid, p. 251
  4. Ibid, p. 254

Pautan luarSunting

  1. ^ The Law of The Constitution of 1895 Incorporating all amendments up to 1 January 2008, hlm. 73.
  2. ^ Hanif Md Lateh & Izziah Suryani Mat Resad. 2018. Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1312/1895. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, ISBN: 978-967-412-622-3
  3. ^ Hanif Md Lateh, Izziah Suryani Arshad @ Mat Resad & Ahmad Saiful Abdul Manaf. 2014. Peranan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1312 (1895) terhadap sosio-politik kerajaan Johor. al-Sirat, Jun(14): 60-67.