Undang-undang antarabangsa

Undang-undang dalam halangan perdagangan antarabangsa ialah badan undang-undang yang "mengawal kegiatan-kegiatan entiti yang mempunyai keperibadian antarabangsa". Secara tradisi, itu bermaksud kelakuan dan hubungan dua hala antara negara-negara dunia. Akan tetapi, sekarang undang-undang antarabangsa juga difahami sebagai meliputi struktur dan kelakuan pertubuhan antarabangsa dan, setakat tertentu, perbadanan-perbadanan multinasional dan individu-individu. Sebagai contoh, rangkaian restoran McDonald's ialah badan korporat antarabangsa manakala George Soros ialah salah satu contoh individu berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana dikatakan oleh Rosalyn Higgins dalam bukunya "Masalah-masalah dan Proses: Undang-undang Antarabangsa dan bagaimana kita menggunakannya" (Problems and process: International law and how we use it), undang-undang antarabangsa ialah sistem normatif "yang digubal berdasarkan prinsip-prinsip yang sama, prinsip yang diikuti semua, tidak kira sama ada kita kaya atau miskin, berkulit putih atau hitam, beragama atau tidak, atau datang dari negara yang maju atau sedang membangun". Keperluan undang-undang antarabangsa ketara apabila berlakunya keinginan-keinginan dan kehendak berbeza mengikut negara di peringkat antarabangsa. Undang-undang antarabangsa adalah perlu bagi mengatur keinginan dan kehendak antara negara yang sering bercanggah ini.

Istilah "Undang-undang antarabangsa umum" harus dibezakan dengan "Undang-undang antarabangsa khusus". Kedua-duanya merupakan sistem undang-undang supranasional. Undang-undang antarabangsa umum merujuk kepada hubungan atara negara dan entiti antarabangsa manakala undang-undang antarabangsa khusus merujuk kepada percanggahan undang-undang munisipal antara undang-undang negara yang berbeza apabila berlaku, umpamanya, masalah perceraian dan hak penjagaan anak yang berlaku antara keluarga yang ahlinya berlainan warganegara. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada hubungan khusus individu dalam negara berasingan mereka serta undang-undang yang manakah harus dipakai dalam keadaan ini. Undang-undang antarabangsa umum biasanya dipanggil undang-undang antarabangsa sahaja.


Skop undang-undang antarabangsa sunting

Undang-undang antarabangsa mengenalpasti dan meletakkan negara sebagai aktor utama di pentas antarabangsa. Oleh sebab kewujudan negara membuat anggapan bahawa adanya kawalan dan terhadap sesuatu kawasan, undang-undang antarabangsa berkait dengan pengambilan sesuatu kawasan, immuniti negara dan tanggungjawab undang-undang negara dalam perhubungan mereka sesama sendiri. Undang-undang juga mengambil berat akan layanan sesuatu negara terhadap rakyatnya dalam kawasan jajahan mereka sendiri. Secara langsung, wujudnya rejim komprehensif yang mengenai hak kumpulan, layanan terhadap pendatang asing, hak pelarian, jenayah pada peringkat antarabangsa, masalah kewarganegaraan dan hak asasi manusia secara amnya. Ia juga meliputi penjagaan sekuriti, stabiliti dan keamanan di peringkat antarabangsa, kawalan senjata, penyelesaian diplomatik pertikaian yang berlaku dan pengaturan penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa. Sekalipun undang-undang antarabangsa ada masanya tidak dapat menggelakkan perperangan, ia sekurang-kurangnya dapat mengawal kelakuan antara pihak-pihak yang berbalah dan menggariskan layanan terhadap tahanan perang. Antara fungsi-fungsi lain undang-undang antarabangsa adalah untuk regulasi isu-isu berkait alam sekitar global, perkongsian global seperti perairan antarabangsa, angkasa lepas, komunikasi global dan perdagangan antarabangsa.

Sementara undang-undang munisipaliti di dalam sesuatu negara bersifat hierarchikal ataupun vertikal, dengan badan penggubalan undang-undang (seperti parlimen) yang boleh menguatkuasakan undang-undang terhadap semua, undang-undang antarabangsa pula bersifat horizontal, dengan semua negara berdaulat dan secara teorinya sama taraf. Disebabkan oleh keadaan ini, terdapat masalah asas dalam penguatkuasaan undang-undang di peringkat antarabangsa kerana penguatkuasaannya tertahluk kepada kemahuan negara-negara bersama dan kekuatan negara-negara tersebut dalam penggubalan, kepatuhan dan penguatkuasaan sebarang undang-undang. Walaupun terdapat pengecualian, secara amnya negara memasuki sesuatu perjanjian berdasarkan kepentingan sendirinya dan keuntungan yang bakal diperoleh, dan bukan disebabkan oleh tanggungjawabnya. Sebagaimanya yang diperkatakan oleh D.W. Greig, "undang-undang antarabangsa tidak bolehlah dianggap berasingan daripada faktor politik yang beroperasi dalam perhubungan antarabangsa".

Walaupun terdapat cabang, undang-undang antarabangsa secara lazimnya tidak mempunyai sistem kehakiman yang wajib bagi mereka yang melanggar undang-undang ini atau bagi negara-negara yang ingin membawa pertikaian sesama mereka untuk diadili. Ini tidak menafikan wujudnya tiada tribunal-tribunal dalam perundangan antarabangsa. Sebagai contoh, kewujudan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah sebagai satu cara bagi masyarakat dunia untuk menguatkuasakan undang-undang ke atas mereka yang melanggarnya.

Secara tradisi, hanya negaralah yang merupakan subjek undang-undang antarabangsa. Akan tetapi, dengan prolifirasi badan-badan yang mempunyai status dwikewarganegaraan ataupun multinasional dalam beberapa dekad kebelakangan ini, mereka telah diiktiraf sebagai pihak-pihak yang relevan juga. Beberapa intepretasi undang-undang hak asasi antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang perdagangan antarabangsa (contohnya NAFTA Bahagian 11) telah turut menyenaraikan badan-badan koperat, dan juga individu.

Konflik pada asas undang-undang antarabangsa sunting

Abad ke-17, 18 dan ke-19 menampakkan penularan konsep negara nation-state, iaitu sebagaimana kita kenali pada hari ini diperintah berdasarkan pemusatan kuasa di kerajaan pusat (Contoh: Persekutuan Malaysia merupakan contoh konsep negara yang moden berbanding empayar Melaka yang kuno). Konsep begini wujud disebabkan oleh penularkan sifat nasionalisme, yang menekankan persamaan keturunan dan bangsa sebagai sebab untuk bersatu membentuk suatu negara (Contoh: diasaskan dengan anggapan bahawa China ialah satu negara bersama untuk semua orang Cina). Sehingga permulaan abad ke-20, hubungan antara negara diatur dengan Triti, iaitu perjanjian bagaimana hendak berlaku kepada negara lainnya. Masalah cara ini ialah perjanjian tersebut tidak dapat dikuatkuasakan, dan negara seringkali bertindak sesuka hati mereka meskipun telah berjanji untuk berlaku baik. Kebanyakan orang kini menganggap bahawa negaralah unit utama perihal antarabangsa. Negara boleh memilih untuk secara rela melibatkan diri dalam komitmen di bawah undang-undang antarabangsa, akan tetapi akan mengikut nasihat peguam mereka sendiri apabila soal interpretasi timbul.

Dengan berlalunya abad ke-20, jumlah konflik yang ganas dan bersenjata, terutama semasa Perang Dunia Kedua dan Perang Dunia Pertama menyebabkan ramai sedar akan kelemahan sistem triti antarabangsa. Dalam satu percubaan untuk mewujudkan sistem perundangan yang lebih gental di peringkat antarabangsa, satu kenderaan untuk penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ditubuhkan dan undang-undang jenayah antarabangsa yang baru diaplikasikan di Perbicaraan Nuremberg. Dalam 50 tahun kebelakangan ini, lebih banyak undang-undang antarabangsa dan badan penggubal undang-undang antarabangsa diwujudkan, seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda.

Terdapat sebilangan orang yang berpendapat bahawa perkembangan semasa ini bahaya kepada konsep negara dengan mengambil kuasa daripada kerajaan negara dan memberikannya kepada badan penggubalan antarabangsa seperti PBB dan Bank Dunia. Sesetengah cendakiawan kini berpendapat bahawa undang-undang antarabangsa telah berkembang menjadi sesuatu yang lebih daripada hanyalah persetujuan negara-negara. Terdapat trend baru untuk mengadili tindak-tanduk sesebuah negara dari segi undang-undang antarabangsa (lihat kerajaan dunia untuk anjakan dan pergerakan ke arah ini). Sesetengah negara lainnya termasuk Amerika Syarikat menentang idea-idea ini dan menekankan bahawa hanya kedaulatan ialah undang-undang antarabangsa sebenar dan negara mempunyai hak mutlak mentadbir perihal mereka sendiri. Sesetengah cendakiawan juga membezakan proses penggubalan dan kehakiman di peringkat antarabangsa dengan proses penggubalan dan kehakiman dalam negara. Para penentang pendapat ini mengatakan bahawa negara hanya memberi komitmen kepada undang-undang antarabangsa dengan kerelaan sendiri dan mahkamah antarabangsa hanya berfungsi dengan persetujuan negara-negara. Disebabkan undang-undang antarabangsa ialah satu cabang undang-undang yang baru perkembangannya tidak dapat dinilai dan kerelevanan dan proprietinya hangat dipertikaikan.

Sumber undang-undang antarabangsa sunting

Undang-undang antarabangsa mempunyai tiga sumber utama: triti antarabangsa, adat dan prinsip-prinsip am perundangan (daripada Artikel, Akta Mahkamah Keadilan Antarabangsa). Triti antarabangsa adalah berteraskan kemestian negara-negara secara expresif dan secara sukarela yang diterima antara mereka dalam bentuk perjanjian. Adat undang-undang antarabangsa adalah bersumberkan amalan-amalan biasa negara dalam arena antarabangsa yang diikuti oleh opinio juris iaitu kepercayaan negara-negara yang amalan-amalan ini perlu dikuatkuasakan oleh undang-undang. Keputusan-keputusan kes mahkamah di peringkat antarabangsa dan tulisan para cendakiawan juga dilihat sebagai sumber persuasif adat dan amalan undang-undang antarabangsa di samping juga sebagai bukti kelakuan negara itu sendiri. Cubaan untuk menghuraikan adat dan amalan undang-undang antarabangsa diperkasakan selepas Perang Dunia Kedua dengan penubuhan Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ILC). Adat yang telah dikodifikasikan itu dijadikan wajib dalam mengintepretasikan sesuatu adat yang tersorok dalam sesuatu perjanjian. Untuk negara yang tidak menjadi anggota bagi triti, kerja ILC masih boleh diterima sebagai adat yang diaplikasikan terhadap negara-negara berkenaan. Prinsip-prinsip am perundangan pula ialah prinsip-prinsip yang wujud dalam semua sistem perundangan yang diamalkan di dunia. Sesetengah kebiasaan undang-undang antarabangsa mencapai status kebiasaan utama jus cogens dan berkuatkuasa ke atas semua negara dengan tiada pengecualian. Prinsip-prinsip am semua sistem perundangan dunia juga diaplikasi apabila diperlukan.

Tafsiran undang-undang antarabangsa sunting

Dimana terdapat pertikaian mengenai maksud sebenar dan setakat mana aplikasi undang-undang kebangsaan, ia merupakan tanggungjawab mahkamah-mahkamah untuk menentukan apakah maksud tepat undang-undang yang dipertikaikan ini. Dalam undang-undang antarabangsa secara keseluruhannya, tidak terdapat mahkamah yang mempunyai kuasa untuk melakukan ini. Secara amnya ia ialah tanggungjawab negara-negara itu sendiri untuk mengintepretasikan undang-undang itu untuk dirinya sendiri. Oleh sebab ini, tidak hairanlah kata sepakat jarang dicapai dalam satu pertikaian.

Apa yang terdapat dalam Konvensyen Vienna ke atas Undang-undang Triti ialah:

"Satu triti itu akan diintepretasi dengan niat baik (Bona fide dalam Bahasa Latin; Good faith dalam Bahasa Inggeris)[1] dengan mengikut maksud biasanya yang diberi kepada triti dalam konteks dan tujuan sebenarnya." (Artikel 31(1))

Ini sebenarnya ialah kompromi antara tiga teori intepretasi yang berbeza:

  • Pendekatan teks atau biasa menggangap satu triti haruslah diintepretasi dalam "maksud biasa" teks triti tersebut. Sebagai contoh, satu perjanjian antara Malaysia dan Kanada untuk menjual getah dengan gandum sebagai tukaran haruslah dilihat dalam tukaran kedua-dua komoditi itu sahaja dan tiada maksud lain daripada itu.
  • Pendekatan subjektif iaitu mengira niat di sebalik triti tersebut, atau "konteks" yang dimaksudkan semasa penulis triti menulisnya. Contoh: Apakah niat Malaysia dalam menjual getah kepada Kanada? Apakah niat Kanada memberi gandum sebagai tukaran?
  • Pendekatan objektif atau matlamat triti tersebut, iaitu intepretasi yang paling sesuai untuk sebab triti. Contoh: Malaysia mahukan gandum untuk rakyatnya yang sukakan roti canai, maka gandum diperlukan untuk membuat roti tersebut. Kanada pula negara yang berbukit-bukau, maka ia perlukan getah untuk membuat tayar yang berkualiti. Triti antara mereka mestilah berhaluan matlamat kedua-dua negara ini. Dalam maksud ini, kedua-dua negara ini mesti dapat apa yang mereka hajatkan. Pendekatan ini juga diberikan nama "Pendekatan berkesan".

Apa yang dihuraikan di atas hanyalah peraturan am sahaja; peraturan khusus masih terdapat dalam cabang-cabang khusus undang-undang antarabangsa.

Penguatkuasaan oleh negara-negara sunting

Selain daripada kecenderungan sesuatu negara untuk menegakkan sesetengah norma-norma tertentu, penguatkuasaan undang-undang antarabangsa sentiasa bersumberkan tekanan ke atas satu sama lain untuk berlaku secara konsisten dan mengotakan janji-janji mereka. Sebagaimana sebarang undang-undang sekalipun, terdapat banyak juga pencabulan undang-undang antarabangsa yang tidak dipedulikan. Yang dipedulikan sekalipun, ia sentiasa diselesaikan melalui diplomasi dan kesan pencabulan itu terhadap imej negara berkenaan. Semasa pencabulan telah menjadi satu kebiasaan dalam realiti, negara-negara secara biasa cuba mengelak daripada dinampakkan sebagai telah melanggar komitmen mereka. Negara juga boleh bertindak sendiri dengan memutuskan perhubungan diplomatik atau mengenakan sekatan tehadap mereka sesama sendiri. Dalam sesetengah kes, mahkamah dalam negara mungkin boleh memberi keputusan yang tidak memihak kepada suatu negara asing (berkenaan undang-undang antarabangsa khusus) dalam satu perbicaraan, akan tetapi cabang ini adalah kompleks iaitu melibatkan pertembungan undang-undang antarabangsa dengan undang-undang kebangsaan.

Negara-negara mempunyai hak mempertahankan diri jika adanya negara lain yang bertindak menggunakan kekerasan untuk menyerang kawasan tahlukan negaranya atau kedaulatannya. Negara juga boleh bergabung dengan negara rakan yang lain untuk berkerjasama menyerang kembali pihak lawannya. Negara yang telah dicabuli kedaulatannya itu mesti memberikan persetujuannya ke atas sebarang gabungan bersama tersebut. Hak ini diiktiraf dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Penguatkuasaan oleh badan antarabangsa sunting

Pencabulan Piagam PBB oleh mana-mana ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh diungkitkan oleh negara yang tidak puas hati dalam Persidangan PBB untuk tindakan lanjut. Persidangan tidak boleh membuat resolusi yang wajib, tetapi di bawah "resolusi Bersatu Untuk Keamanan" Persidangan PBB telah mengistiharkan bahawa dirinya layak memberi kelulusan penggunakan kekerasan jika Majlis Keselamatan PBB gagal bertindak disebabkan tindakan veto salah seorang anggota Majlis itu. Persidangan PBB juga boleh mengenakan tindakan lain (seperti sekatan ekonomi) jika situasi memanggil untuknya. Akan tetapi, kesignifikanan kesahan resolusi seperti ini masih menjadi tanda tanya kerana Persidangan PBB tidak boleh membuat resolusi yang wajib.

Negara yang tercabar oleh pencabulan tersebut juga boleh mengadu kepada Majlis Keselamatan. Majlis Keselamatan boleh meluluskan resolusi di bawah Bahagian VI Piagam PBB untuk mengsyorkan "Penyelesaian Pasifik Pertikaian". Resolusi sedemikian tidak wajib di bawah undang-undang antarabangsa, akan tetapi ia dilihat sebagai kehendak Majlis Keselamatan. Dalam sesetengah kes yang jarang, Majlis Keselamatan boleh meluluskan tindakan penggunaan kekerasan, sekatan ekonomi dan tindakan serupa dalam pada tindakan sesorang entiti antarabangsa bertindak "mencabuli Keamanan dan melakukan aksi aggressif" di bawah Bahagian VII Piagam PBB dan ini adalah wajib di bawah undang-undang antarabangsa.

Ia telah dikatakan bahawa resolusi-resolusi yang diluluskan di luar Bahagian VII juga boleh mengikat, dengan asas kepada ini ialah kuasa besar yang diberikan kepada Majlis Keselamatan di bawah Artikel 24(2) yang mengatakan bahawa "dalam menjalankan tanggungjawab ini (menjaga keamanan dan sekuriti antarabangsa), ia akan bertindak dengan Prinsip-prinsip dan Matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu". Sifat mandatori resolusi-resolusi seakan ini telah disahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam pendapat nasihatnya ke atas Namibia. Sifat mengikat resolusi berkenaan juga boleh dilihat daripada intepretasi dan gaya bahasa yang digunakan, serta maksudnya.

Jika kedua-dua pihak setuju, negara juga boleh membawa pertikaian sebegini ke perbicaraan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda. Keputusan-keputusan yang diberikan Mahkamah dalam kes sebegini adalah mengikat, walaupun ia tidak mempunyai cara menguatkuasakan keputusannya. Mahkamah juga boleh memberikan pendapat nasihatnya ke atas apa-apa persoalan undang-undang yang timbul oleh mana-mana organisasi yang diberikan kelulusan melakukan sedemikian di bawah Piagam PBB. Sesetengah kes nasihat yang dibawa ke muka mahkamah telah mencetuskan kontroversi dengan kesahihan mahkamah tersebut membuat perbicaraan.

Biasanya kes-kes yang rumit (yang mana berjumlah kurang daripada 150 sejak mahkamah ini diwujudkan daripada Mahkamah Tetap Keadilan pada tahun 1945) boleh memakan masa bertahun lamanya dan secara amnya melibatkan beribu-ribu muka surat rayuan, bukti, dan peguam yang mempunyai pengkhususan dalam undang-undang antarabangsa yang paling baik di dunia. Dari tahun 2006, masih terdapat 12 kes yang menunggu di ICJ. Keputusan yang dibuat melalui arbitrasi lain mungkin atau tidak mengikat mengikut sifat perjanjian arbitrasi, dengan keputusan yang berpunca kes-kes kontentious yang dilawan di hadapan ICJ mempunyai sifat mengikat ke atas negara-negara yang terbabit.

Walaupun negara atau organisasi antarabangsa secara biasanya ialah pihak-pihak yang terlibat dalam satu pertikaian, sesetengah triti seperti Konvensyen Antarabangsa berkenaan Hak Sivil dan Politik terdapat satu pilihan protokol yang membenarkan individu yang hak asasinya dicabuli untuk mengemukakan petisyen kepada Komiti Hak Asasi Manusia antarabangsa.

Sejarah sunting

Sepanjang peredaran zaman, satu kod telah beransur-ansur wujud yang menekankan hubungan antara negara. Walaupun semasa di ambang peperangan, envoi dikira sebagai terlindung daripada keganasan. Cubaan-cubaan pertama ke arah ini yang telah berevolusi menjadi undang-undang antarabangsa pada hari ini berasal daripada era Renaissance di Eropah. Pada era Zaman Pertengahan, ia dianggap menjadi tanggungjawab Gereja untuk menjadi orang tengah dalam satu pertikaian pada peringkat antarabangsa. Semasa Majlis Constance, satu pemikir agama, peguam dan diplomat terkenal, Pawel Wlodkowic, yang merupakan rektor di Universiti Jagiellonia di bandar Krakow negara Poland mengemukakan teori bahawa semua, temasuk negara-negara bukan Kristian, mempunyai hak memerintah di dalam kawasan pentadbiran mereka sendiri dan hidup secara aman dan harmoni di atas tanah mereka.

Pada permulaan abad ke-17, beberapa perkara am boleh didapati daripada situasi politik:

  1. Negara-negara bebas dan memerintah sendiri wujud.
  2. Hampir kesemuanya diperintah raja.
  3. Triti Wesphalia dikatakan menjadi dalang di sebalik penularan konsep sesebuah negara moden negara bangsa dengan meletakkan negara sebagai berdaulat dan tidak bertanggungjawab terhadap sesiapa di dalam sempadan sendiri.
  4. Topik-topik perperangan seringkali berkait dengan perluasan tanah jajahan, kekayaan dan hak perdagangan.

Sesetengah orang menggariskan bahawa undang-undang antarabangsa berevolusi untuk menyentuh mengenai negara-negara baru yang bebas daripada pengaruh Paus dan Gereja Katolik dan keadaan ini membawa keperluan kod-kod baru kelakuan antara negara di Eropah.

Mubaligh Kristian berbangsa Perancis, Emeric Cruce (1590-1648) mecadangankan mengadakan wakil-wakil daripada kesemua negara berkumpul di satu tempat untuk mengadakan perbincangan tentang konflik-konflik antara mereka untuk mengelakkan perperangan dan mewujudkan lebih keamanan. Beliau menulis tentang idea ini dalam bukunya Cyneas Baru (1623) dan memilih Venice sebagai bandar tempat pertemuan tersebut. Beliau juga mencadangkan bahawa Paus megetuai perjumpaan itu dan ini ditolak oleh negara-negara Protestan kerana berlakunya Perang Tigapuluh Tahun pada masa yang sama. Cadangan beliau ini melibatkan penghampusan ketenteraan dan ini tidak dipandang secara berat oleh mana-mana pihak. Meskipun begini, beliau tetap diberikan tempat dalam sejarah kerana membuat ramalan bahawa hubungan antarabangsa merupakan suatu keperluan dalam menyelesaikan pertikaian.

Negarawan-negarawan yang wujud pada ketika itu mempercayai bahawa tiada negara yang boleh mengelakkan daripada berlaku perperangan dan semua haruslah bersiap-sedia menghadapi keadaan tersebut. Ketua Menteri Raja Henry VII, Maximilien de Bethune mencadangkan satu perikatan antara negara-negara Eropah untuk perbincangan penyelesaian masalah antara negara dan melakukan perang bersama ke atas Kerajaan Uthmaniyyah Islam di Turki. Beliau memanggi rancangan ini sebagai Rancangan Besar (Grand Design) akan tetapi ia tidak pernah dilaksanakan.

Selepas Perang Dunia I, negara-negara di dunia membuat keputusan bergabung membentuk badan antarabangsa. Presiden Amerika Syarikat Woodrow Wilson mencadangkan idea Liga Bangsa-Bangsa akan tetapi selepas ia dibentuk Amerika Syarikat tidak pula menyertainya.

Liga Bangsa-Bangsa lenyap selepas Perang Dunia II meletus. Pada masa yang sama, badan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang ditubuhkan. Pada tarikh 1 Januari 1942, Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt mengistiharkan "Deklarasi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu" mewakili 26 negara yang meyatakan kesediaan mereka menentang kuasa-kuasa Paksi. Sebelum perang itu berakhir, wakil-wakil 50 negara bermesyuarat di bandar San Francisco untuk menulis piagam bagi badan antarabangsa untuk menggantikan Liga Bangsa-Bangsa. Pada tarikh 24hb Oktober 1945, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi kenyataan dengan harapan untuk menghilangkan peperangan dan mewujudkan keamanan buat selama-lamanya.

Prinsip-prinsip pelayaran India menjadi sumber peraturan-peraturan navigasi di lautan dan perdagangan serantau.

Sistem bandar-negara yang diamalkan bangsa Greek kuno amat dekat konsepnya kepada sistem negara nation-state yang diamalkan di zaman moden. Liga Aetolia dan Liga Achaea 3 tahun S.M. mewakili cara-cara awal untuk mewujudkan kerjasama di peringkat antarabangsa dan memudahkan kewujudan sistem perbicaraan sebagai cara menyelesaikan pertikaian.

Teori perundangan antarabangsa sunting

Undang-undang alam sunting

Benih undang-undang antarabangsa sepertimana dikenali pada hari ini ditanam pada abad ke-16 dan abad ke-17, apabila pengaruh Gereja Roman Katolik di peringkat antarabangsa Eropah semakin menapis. Ramai penggubal teori-teori undang-undang antarabangsa pada masa itu hanya mempedulikan kebenaran-kebenaran axiomatik yang difikir terletak dalam undang-undang alam. Francisco de Vitoria, Profesor Dominica keagamaan di Universiti Salamanca, menelitikan apanya yang dikatakan perang yang adil dan kesahan pemerintahan Sepanyol di Benua Amerika. Beliau berbuat demikian semasa kegemilangan penjajahan Sepanyol selepas ketumpasan Peru yang ganas pada tahun 1536.

Sekolah Eklektik sunting

Hugo Grotius merupakan ahli agama Belanda dan juga humanis dan perundangan yang menulis De jure belli ac Pacis Libri Tres ("Tiga Buku berkenaan Perang dan Aman") pada tahun 1625 mengatakan bahawa negara juga seperti individu perlulah dikawal prinsip berdasarkan nilai-nilai moral dan keadilan Tuhan. Kebanyakan isi buku beliau berdasarkan buku Bible dan sejarah klasik perang yang adil teori Augustine dari Hippo. Dia juga bersumberkan undang-undang dalam negara iaitu undang-undang kontrak apabila dia menotakan bahawa perhubungan dikawal oleh jus gentium iaitu undang-undang rakyat yang didirikan dengan persetujuan komuniti negara. Lihat pacta sunt servanda untuk keterangan lanjut.

Prinsip-prinsip sekolah eklektik ini kemudiannya menjadi definasi undang-undang antarabangsa di Eropah, terutama doktrin-doktrin kedaulatan dan kemerdekaan negara. Prinsip-prinsip ini diiktiraf dalam Triti Westphalia dan menjadi asas kepada triti-triti lainnya seperti Triti Osnabrück dan Triti Münster.

Satu lagi pemikir ekliktik, ahli falsafah Jerman Christian von Wolff mengatakan bahawa asas kepada komuniti antarabagsa mestilah satu negara kuasa besar dunia yang mempunyai hak memerintah ke atas negara-negara lain atau civitas maxima. Pendapat ini ditolak kerana sifat penjajahannya oleh diplomat Swiss Emmerich de Vattel yang lebih sukakan prinsip negara-negara yang sama taraf seperti yang diartikulasi undang-undang alam abad ke-18. Vattel dalam bukunya Le droit des gens mengatakan bahawa undang-undang negara bersumberkan adat pada satu belahnya, dan undang-undang alam pada belahnya yang lain.

Perundangan Positivisme sunting

Sekolah positivisme awal menekankan kepentingan adat dan triti sebagai sumber undang-undang antarabangsa. Para pemikir sekolah ini antaranya ialah Alberico Gentilis, seorang profesor undang-undang sivil di universiti Oxford yang menggunakan contoh-contoh dalam sejarah untuk menegak bahawa undang-undang positif jus voluntarium ditentukan melalui persetujuan umum. Satu lagi profesor di Oxford, Richard Zouche, menerbitkan panduan pertama undang-undang antarabangsa pada tahun 1650.

Pada abad ke-18, perundangan positivisme menjadi popular dan menjadi sehahagian daripada falsafah perundangan antarabangsa. Ahli falsafah sekolah positif paling utama ialah Cornelius van Bykershoek, satu penggubal undang-undang masyhur yang menekankan bahawa sumber undang-undang antarabangsa ialah adat dan triti yang dipersetujui ramai oleh negara-negara. Satu lagi ahli positif, John Jacob Moser ialah penulis terkenal Jerman yang menekankan kepentingan amalan negara dalam undang-undang antarabangsa. Ahli positif zaman kini, Georg Friedrich von Martens menerbitkan panduan pertama yang sistematik berkenaan undang-undang antarabangsa, Percis du droit des gens moderne de l'Europe.

Perkembangan nasionalisme dan falsafah Hegelia pada abad ke-19 menolak undang-undang alam semakin ke tepi daripada perundangan semasa. Undang-undang komersial dinasionalkan ke dalam undang-undang antarabangsa khusus yang lain daripada undang-undang antarabangsa umum. Positivisme menekankan kepentingan rasional lebih daripada nilai-nilai moral dan kelakuan. Kongres Vienna pada tahun 1815 mengiktiraf sistem perundangan antarabangsa dan politik yang berdasarkan keadaan di Eropah pada masa itu.

Cabang undang-undang antarabangsa sunting

Nota dan rujukan sunting

  1. ^ bonaface

Lihat juga sunting

Topik-topik berkaitan: komuniti antarabangsa, kerajaan dunia, kerakyatan, keganasan, persetujuan alam sekitar, bahasa perantaraan antarabangsa, negara, keutuhan wilayah, Prinsip tidak campur tangan.


Undang-undang
 
Sistem perundangan Common law | Undang-undang sivil | Undang-undang adat | Undang-undang agama | Undang-undang sosialis | Undang-undang antarabangsa

Sumber undang-undang Undang-undang statut (Perundangan | Kod sivil | Pentafsiran statut)
Undang-undang bukan statut (Adat | Undang-undang kes | Ekuiti)

Penghukuman Undang-undang umum (Undang-undang jenayah | Undang-undang perlembagaan | Undang-undang pentadbiran)
Undang-undang khusus (Undang-undang sivil | Undang-undang kewajipan | Kontrak | Tort | Wasiat dan Pegangan)
Mahkamah (Sistem perseteruan | Sistem penyiasiatan | Bukti | Kehakiman | Peguam)

Falsafah perundangan Falsafah undang-undang | Undang-undang semulajadi | Perundangan positivisme | Perundangan formal | Perundangan realiti | Penafsiran undang-undang | Teori perundangan feminis | Undang-undang dan ekonomi | Pengajian undang-undang kritikal | Perbandingan undang-undang
Lihat juga:Senarai cabang undang-undang