Unit Penyelarasan Pelaksanaan

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (Tulisan Jawi: اونيت ڤڽلارسن ڤلقسانأن) merupakan jabatan kerajaan Malaysia yang mempunyai maklumat mengenai Rancangan Malaysia dan kaedah pemantauan.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan
اونيت ڤڽلارسن ڤلقسانأن
Kerajaan Malaysia
Intisari agensi
Dibentuk1971; 53 tahun yang lalu (1971)
JenisKerajaan
Ibu pejabatBangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62502 Putrajaya
Kakitangan1,386 (2018)
Belanjawan tahunanMYR 536,563,300 (2018)
Eksekutif Kerajaan
  • Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah
Agensi induk
Jabatan Perdana Menteri Malaysia
Laman sesawang
www.icu.gov.my

Sejarah sunting

Inisiatif Dasar Ekonomi Baru sunting

Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) telah wujud semenjak 14 Oktober 1969. Pada peringkat awal penubuhannya, pejabat ini telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB). Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1970, sebuah unit telah ditubuhkan pada tahun 1971 yang dikenali sebagai Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Penilaian (Implementation,Coordination and Evaluation Unit - ICEU). Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) diletakkan di bawah Unit ini.

Pada tahun 1972, ICEU digabungkan dengan Unit Kemajuan Pentadbiran (UKP) dan dikenali sebagai Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran (UPPKP). Unit ini berpindah lagi dan kali ini ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketika itu, ia dikenali sebagai Bahagian Penyelarasan Pelaksanaan (BPP). Namun selepas beberapa tahun, BPP diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dikenali kini sebagai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP).

Majlis Tindakan Negara sunting

Kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Negara (MTN) ekoran pelancaran DEB pada tahun 1970. Strategi serampang dua mata DEB ialah untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Peranan utama MTN ialah untuk mengesan, menyelaras dan memastikan pelbagai program dan projek pembangunan yang dirancang, dilaksanakan dengan sempurna dan berjalan lancar berdasarkan Arahan No. 1 Tahun 1971.

Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Penilaian (ICEU) telah digabungkan dengan Unit Kemajuan Pentadbiran (Development Administration Unit - DAU) dan dikenali sebagai Unit Penyelarasan, Pelaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran (Implementation, Coordination and Development Administration Unit – ICDAU).

Apabila peranan Kemajuan Pentadbiran dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam, Unit ini dikenali dengan Bahagian Penyelarasan Pelaksanaan dan kemudian ditukar kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) di bawah JPM.

Dasar Pembangunan Nasional sunting

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah dilancarkan pada tahun 1991 menggantikan DEB. Arahan No. 1 Tahun 1991, Jentera Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional telah dikeluarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri bagi menggantikan Arahan No. 1 Tahun 1971. Matlamat utamanya ialah untuk mewujudkan jentera penyelarasan pelaksanaan, pengesanan dan pengawasan bagi menentukan pelaksanaan rancangan di bawah DPN selepas 1991 dapat dicapai. Pada tahun 1996, arahan ini telah digantikan dengan Arahan No. 1 1996. Arahan ini menerangkan mengenai mekanisme jentera pelaksanaan DPN. Pada tahun 2001, Arahan ini sekali lagi dipinda selaras dengan Dasar Wawasan Negara.

Bagi meneruskan matlamat DEB melalui DPN untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan, pengesanan Rancangan Pembangunan Negara diteruskan dengan sistem komputer yang lebih canggih di Bilik Gerakan Negara (BGN) yang berkonsepkan bilik operasi perang. Selain tujuan tersebut, UPP antara lain dipertanggungjawab memastikan sistem penyampaian dasar, program serta projek yang dirancang berjalan secara cekap dan berkesan supaya faedahnya dapat dinikmati masyarakat, sekali gus mencapai matlamat pembangunan nasional.

Pengukuhan sunting

Fail:Logo-Jabatan-Perdana-Menteri.png
Logo lama Unit Penyelarasan Pelaksanaan.

Pada 1 Jun 1999 dengan rasminya UPP telah beroperasi di kompleks Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya iaitu Pusat Pentadbiran Persekutuan yang baru. UPP merupakan salah satu jabatan kerajaan yang pertama berpindah di Putrajaya. Perpindahan ini juga merupakan satu pendekatan kepada perlaksanaan Kerajaan Elektronik dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kejayaan projek Koridor Raya Multimedia.

Arahan No. 1, 2010 dikuatkuasakan pada 23 Disember 2010. Prinsip utama Arahan No. 1, 2010 adalah memperkukuhkan lagi jentera penyelarasan pelaksanaan di bawah MTN dan ICU JPM kekal bertindak sebagai urusetia.

Arahan No. 1/2004, Majlis Tindakan Negara (MTN) dikuatkuasakan sejak 15 Oktober 2004 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 24 Februari 2005. MTN menggantikan Dasar Pembangunan Negara untuk meneruskan peranannya sebagai penguasa, pemantau dan pengawalan terhadap Polisi Penguatkuasaan Kerajaan serta pelaksanaan program/projek. Objektif utama peranan Arahan No. 1/2004 adalah untuk mengenal pasti Dasar Wawasan Negara dalam mencapai Wawasan 2020. ICU JPM merupakan setiausaha MTN.

Pada 15 Mac 2005, kabinet telah memutuskan agar ICU JPM mengetuai Program Pemantauan Outcome yang menitikberatkan hasil dan impak bagi setiap projek agensi kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan badan-badan berkanun.

ICU JPM turut diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek pembangunan utama negara. Antara projek yang dimaksudkan ialah Tunas Mekar, Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Projek Infrastruktur Awam (PIA), Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan Projek Industri Luar Bandar.

Pada tahun 2007, ICU JPM telah dipertanggungjawabkan menjadi penyelaras utama Program Pembasmian Kemiskinan yang kini dikenali sebagai Program Kesejahteraan Rakyat.

Pautan luar sunting