Universiti London

universiti awam persekutuan di London, United Kingdom
(Dilencongkan dari University of London)

Universiti London ( bahasa Inggeris: University of London ) ialah sebuah persekutuan kolej dan institut yang bersama-sama merupakan salah sebuah universiti yang terbesar di dunia. Diasaskan pada tahun 1836, kebanyakan kolej dan institutnya tersebar di seluruh Greater London, walaupun terdapat juga anggota gabungannya di kaunti Kent yang berjiran, serta di Scotland, dan Paris.

Universiti London
University of London
London University Crest
JenisPersekutan universiti
Ditubuhkan pada1836
CanselorPuteri Diraja Anne
Naib CanselorSir Graeme Davies
Pelajar125,000
Lokasi,
Laman sesawanghttp://www.london.ac.uk/
Dewan Senat, direka bentuk oleh Charles Holden, menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran pusat serta perpustakaannya.

Gambaran keseluruhan sunting

Universiti London ialah sebuah badan persekutuan yang terdiri daripada 31 anggota gabungan autonomi (18 buah kolej dan 13 buah institut). Selain daripada University College London (UCL) dan King's College, kolej-kolej lain yang termasyhur termasuk Imperial College London, London Business School, London School of Economics and Political Science (LSE), Queen Mary, Royal Holloway dan School of Oriental and African Studies.

Untuk kebanyakan tujuan praktis dari penerimaan masuk pelajar hingga perundingan pembiayaaan daripada kerajaan, kesemua 18 kolej juzuk diolahkan sebagai universiti berasingan. Dalam persekutuan universiti, kolej-kolejnya dikenali sebagai Badan-badan Pengiktirafan, dengan kuasa untuk memeriksa pelajar-pelajar sendiri dan kemudian untuk Universiti London menganugerahkan ijazah. Salah satu syarat keahlian persekutuan Universiti London adalah bahawa kolej-kolej juzuknya tidak menganugerahkan ijazah sendiri. Pada masa ini, Kolej Imperial dan UCL mempunyai kuasa untuk menganugerahkan ijazah sendiri, tetapi masih tidak pernah menggunakan kuasa yang diberikan ini.

Kesemua 13 institut atau Badan-badan Tersenarai dalam sistem Universiti London menawarkan kursus-kursus ijazah yang bukan sahaja di dianugerahkan tetapi juga diperiksa oleh University of London. Selain itu, Universiti London juga melesenkan penganugerahan ijazah kepada universiti-universiti di luar sistemnya. 12 universiti di England, serta banyak lagi di Kanada dan negara-negara Komanwel yang lain (khususnya Afrika Timur) bermula sebagai kolej bersekutu Universiti London. Menjelang dekad 1970-an, hampir semua kolej ini telah membebaskan diri daripada Universiti London. Bagaimanapun, pada tahun-tahun kebelakangan ini, peranan University of London ini telah dihidupkan semula disebabkan globalisasi pasaran pendidikan tinggi, dan bilangan institut akademik di luar United Kingdom yang menawarkan semula diploma dan ijazah Universti London semakin bertambah.

Universiti London ialah universiti yang terbesar di United Kingdom, selepas Universiti Terbuka.

Lokasi sunting

Universiti London pada dirinya tidak memiliki sebarang kemudahan pengajaran atau penyelidikan disebabkan kesemua ini diuruskan oleh institusi-institusi dan kolej-kolej yang merupakan anggota gabungannya. Bagaimanapun, Universiti London mempunyai pejabat-pejabat dan perpustakaan-perpustakaan sendiri; yang paling penting ialah Dewan Senat di Bloomsbury yang juga merupakan tempat kediaman rasmi Canselor.

Sejarah sunting

 
Gambar 6 Burlington Gardens, tempat pentadbiran University of London antara 1870 hingga 1899

Diasaskan pada tahun 1836, Universiti London pada mula-mulanya terdiri daripada dua buah kolej, iaitu Kolej University of London (UCL) yang sebelum itu tidak mempunyai status universiti yang rasmi dan tidak menguji pelajar-pelajarnya dengan cermat, serta Kolej King London (KLC) yang merupakan sebuah universiti sejak 1829 tetapi hanya menerima masuk ahli-ahli Gereja England. Kedua-dua Kolej Universiti London (diasaskan pada 1827) dan Kolej King London (diasaskan pada 1829) wujud sebelum University of London yang pada mula-mulanya bertindak sebagai badan peperiksaan untuk kolej-kolej jusuknya.


6 Burlington Gardens

Pada tahun 1858, Universiti London meluaskan peranannya dan menawarkan Program Luar University of London kepada calon-calon di luar kolej-kolejnya. Ini merupakan jenis program yang pertama di dalam United Kingdom. Sebuah ibu pejabat yang baru dibina di 6 Burlington Gardens untuk membekalkan dewan-dewan peperiksaan dan pejabat-pejabat untuk peranan ini.

Pada tahun 1878, Universiti London mencapai lagi satu kedudukan pertama ketika merupakan universiti pertama di UK untuk menerima masuk pelajar-pelajar wanita pada syarat-syarat yang sama dengan pelajar-pelajar lelaki. Empat pelajar wanita memperoleh Sarjana Muda Sastera pada tahun 1880 dan dua pelajar memperoleh Sarjana Muda Sains pada tahun 1881. [1]

Pada tahun 1898, sebahagian disebabkan kritikan bahawa universiti-universiti hanya bertindak sebagai pusat pentadbiran peperiksaan, serta panggilan untuk penyelidikan dan pendidikan dijadikan fungsi universiti yang lebih utama, Akta Universiti London yang pertama diluluskan. Akta itu membaharukan Universiti London dan memberikannya kuasa untuk mengawasi kandungan kursus serta taraf akademik dalam institusi-institusinya. Pengawasan dilaksanakan melalui fakulti-fakulti dan Lembaga-lembaga Pengajian terpusat, dan Kolej King dan Kolej Universiti kini merupakan bahagian-bahagian dalam juzuk Universiti London. Satu unsur simbolik untuk pemusatan baru universiti ini adalah bahawa harta Kolej Universiti London menjadi harta Universiti London. [2]

Peluasan peranan yang ketara ini bermaksud University of London sekali lagi memerlukan ruang yang lebih besar dan oleh itu, 6 Burlington Gardens dikosongkan pada 1899. Tidak lama selepas 6 Burlington Gardens dikosongkan, University of London mengalami satu tempoh pengembangan yang pesat dengan kolej-kolej berikut menyertainya:


Pembinaan Dewan Senat

Pengembangan yang pesat ini bermaksud bahawa tempat baru University of London tidak mencukupi dan satu perpindahan diperlukan lagi pada dekad 1920-an. Sebidang tanah besar di Bloomsbury yang berhampiran dengan Muzium British dibeli daripada Duke Bedford dan Charles Holden dilantik sebagai arkitek dengan arahan "jangan menyarankan satu fesyen sementara yang tidak sesuai untuk bangunan-bangunan yang akan menempatkan sebuah institusi yang mempunyai sifat sebegitu kekal seperti sebuah universiti." Permintaan yang luar biasa ini mungkin diilhami oleh peristiwa William Beveridge. Ketika beliau yang baru menjadi pengarah LSE meminta seorang pemandu teksi untuk membawanya ke University of London, beliau diberikan jawapan: "Oh, kamu bermaksud tempat dekat Pusat Pengajian Jahit-menjahit Diraja". [3] Holden membalas dengan reka bentuk Dewan Senat, ibu pejabat universiti terkini, yang merupakan bangunan kedua terbesar di London ketika itu. [4]

Semasa Perang Dunia II, kolej-kolej University of London bersama-sama dengan pelajar-pelajarnya meninggalkan bandar raya London untuk tempat-tempat yang lebih selamat di United Kingdom, sedangkan Dewan Senat digunakan oleh Kementerian Maklumat, dengan bumbungnya dijadikan tempat pengawasan oleh Kor Balai Cerap Diraja. Walaupun bangunan itu dibom beberapa kali, bangunan itu muncul dari peperangan tanpa banyak kerosakan; khabar-khabar angin ketika itu mengatakan bahawa Adolf Hitler bertujuan untuk mempergunakan bangunan itu sebagai ibu pejabatnya di London. [5] Tempoh setengah abad kedua yang lalu tidak begitu penuh peristiwa dan dicirikan terutamanya, dengan pengembangan dan pengukuhan dalam universiti. Ancaman utama yang tunggal merupakan sebilangan kolej yang lebih besar (terutamanya UCL, King, LSE dan Imperial) sekali sekala membayangkan kemungkinan untuk meninggalkan University of London, walaupun ini biasa berlaku hanya ketika kolej-kolej itu berunding untuk memperoleh lebih banyak kuasa.

Bagaimanapun, pada 9 Disember 2005, Kolej Imperial menjadi kolej pertama yang memutuskan secara rasmi untuk meninggalkan University of London. Majlisnya mengumumkan bahawa mereka akan memulakan perundingan untuk menarik diri daripada University of London sempat untuk perayaan seratus tahunnya dan supaya dapat menganugerahkan ijazah-ijazah sendiri.

Alumni sunting

Malaysia sunting

Lain sunting

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ http://www.london.ac.uk/history.html Laman web rasmi Universiti London: Sejarah ringkas Universiti London
  2. ^ Japanese Students at Cambridge University in the Meiji Era, 1868-1912: Pioneers for the Modernization of Japan, Noboru Koyama. Percetakan Lulu, September 2004.
  3. ^ Laman web Bandaraya Bunyi
  4. ^ Laman web Bangunan-bangunan Emporis
  5. ^ "Laman web Persatuan Abad Ke-20". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-09-25. Dicapai pada 2006-09-25.

Pautan luar sunting