Vincent van Gogh

(Dilencongkan dari Van Gogh)

Vincent Willem van Gogh (30 Mac 1853–29 Julai 1890) merupakan seorang pelukis Belanda yang terkenal pada abad ke-19.

Vincent van Gogh
Self-Portrait, 1887, Institut Seni Chicago
Kelahiran
Vincent Willem van Gogh

30 Mac 1853
Meninggal dunia29 Julai 1890(1890-07-29) (umur 37)
DikebumikanCimetière d'Auvers-sur-Oise, Perancis
49°04′31″N 2°10′44″E / 49.07531°N 2.17894°E / 49.07531; 2.17894
WarganegaraBelanda
PendidikanAnton Mauve
Terkenal keranaPelukisan
Gerakan politikPascaimpresionisme

Kehidupan awal sunting

Dilahirkan di Zunbert, wilayah Brabant Utara, Belanda Selatan, ayah Van Gogh, Theodorus, merupakan seorang paderi bagi Gereja Pembaharuan Belanda (bahasa Inggeris: Dutch Reformed Church) yang kecil.[1][2] Ibunya bernama Anna Cornelia Carbentus dan berketurunan bangsawan.[3] Van Gogh mempunyai dua orang adik lelaki dan tiga orang adik perempuan yang bernama Anna, Theo, Cornelius, Elizabeth, and Wilhelmien.

Ketika berusia dua belas tahun, Van Gogh bersekolah di sekolah berasrama di kampung Zevenbergen, yang terletak 15 batu dari tempat tinggalnya dan tamat persekolahan ketika berumur 16 tahun. Menggunakan pengaruh bapa saudaranya, Cent, beliau bekerja di pejabat Goupil & Cie di Hague.[4] Goupil merupakan pusat pembaik pulih, khusus dalam menyalin lukisan-lukisan terkenal. Apabila Van Gogh mencapai umur 20 tahun, beliau telah ditukarkan, dengan perakuan yang baik, ke cawangan Goupil di London pada bulan Mei 1873 dengan gaji sebanyak 90 lire setahun. Beliau menyewa sebuah bilik di rumah Mrs. Loyer yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Ursula/Eugenie, dan di situlah bermula hubungan cinta pertamanya dengan wanita yang selalunya putus setengah jalan. Van Gogh mencintai Ursula tanpa memberitahunya dan ketika beliau meluahkan perasaannya terhadap Ursula, beliau mendapati bahawa Ursula tidak pernah mencintainya dan ini mematahkan semangatnya.

Pada tahun 1875, Cent, bapa saudaranya, mengaturkan pertukaran Van Gogh ke cawangan Paris dengan harapan semangatnya dapat dipulihkan dengan pertukaran tempat bekerja. Di sini, beliau menjadi bertambah cuai dalam kerjanya dan setelah diberikan tiga bulan notis, maka berakhirlah latihannya selama enam tahun sebagai seorang peniaga seni. Van Gogh yang ketika itu berusia hampir 23 tahun, menganggur dan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk masa hadapan. Beliau membuat keputusan untuk pulang ke England, di mana beliau bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah berasrama. Selepas berhenti dari situ, Van Gogh mengajar di sebuah sekolah di Isleworth.

Pengkhutbah sunting

Sebagai seorang pemuda, hasrat Van Gogh yang terkuat ialah untuk membantu sesama manusia. Sebagai anak kepada seorang paderi, beliau sudah tentunya memilih jalan keagamaan. Dengan itu pada tahun 1878, Van Gogh memohon untuk memasuki sekolah teologi, tetapi ditolak. Beliau kemudian menjadi paderi tak terlatih dan berjimat makan dan keperluan hidup agar dapat menyimpan wang untuk diberikan kepada orang miskin. Sekiranya Van Gogh berjaya menjadi pengkhutbah, seperti yang dicubainya selama beberapa tahun, beliau mungkin boleh melakar dan melukis sebagai hobi, tetapi sudah pastinya bahawa beliau tidak akan menjadi seorang pelukis.

 
Rumah yang Van Gogh bertinggal di Cuesmes dari Ogos 1879 hingga Oktober 1880; adalah ketika tinggal di sini bahawa beliau memutuskan untuk menjadi seorang pelukis.

Misi khutbah Van Gogh merupakan satu kegagalan yang berpunca daripada usahanya yang keterlaluan. Pada usia 25 tahun, ketika beliau berkhutbah di kalangan petani dan pelombong arang batu di Borinage di selatan Belgium, perwatakannya yang penuh semangat dan amalan ajaran Kristian secara bulat-bulat, menyebabkan beliau memusuhi pegawai atasannya, dan ini kemungkinannya menakutkan orang-orang yang dibantuinya. Meskipun, beliau ingin membantu sesama manusia, beliau tidak pandai mengendalikan perhubungan sosial. Oleh itu, ketika berumur 27 tahun, beliau memilih untuk menggunakan seni sebagai cara untuk meluahkan perasaan. Punca utama Van Gogh menjadi sebagai seorang pelukis adalah bahawa beliau boleh mencurahkan perasaannya melalui seni. Jika beliau tidak boleh meringankan kesengsaraan peladang Belanda yang miskin, sekurang-kurangnya beliau boleh menunjukkan simpatinya melalui lakaran dan lukisan. Mungkin juga ini adalah cara Van Gogh mendekati dirinya dengan Tuhan dan dalam suasana sebeginilah, kemahiran seninya terbentuk.

Dalam jangka hayatnya yang pendek, Van Gogh menulis hampir seribu pucuk surat, selalunya sebanyak beberapa pucuk sehari. Kebanyakannya ditujukan kepada adik lelakinya Theo, mungkin satu-satunya orang yang memahami dirinya. Hanya kepada Theo, Van Gogh dapat menggambarkan perasaan yang membuak-buak di dalam dirinya. Surat-surat itu yang disimpan oleh isterinya, dianggap luar biasa; pengkritik-pengkritik kesusasteraan telah membandingkannya dengan hasil penulisan "Pengakuan" oleh pakar agung Rusia abad ke-19. Tetapi walaupun Van Gogh menulis dengan penuh perasaan, beliau kelihatannya merasakan bahawa luahan kata-kata tidak dapat menggantikan luahan melalui lukisan.

Kehidupan sebagai pelukis sunting

 
Lukisan "Pemakan Ubi Kentang"

Setelah membuat keputusan ketika berumur 27 tahun bahawa misi kehidupannya ialah untuk menjadi seorang pelukis, Van Gogh membuka studio pertamanya di pondok seorang pelombong arang batu Borinage. Beliau membayar sewa dengan sedikit wang yang dihantar oleh ayahnya, dan di studio itulah beliau bermula belajar sendiri dengan kerja yang mencurah-curah. Dari Paris, Theo menghantar berbungkus-bungkus lukisan untuk Van Gogh menyalin dan belajar, dan dari cawangan Goupil, pengurus Hague menghantar buku teks yang berkenaan dengan pandangan tirus dan anatomi. Theo mencadangkan kepada Van Gogh supaya mengikutinya ke Paris, tetapi Van Gogh merasa keberatan untuk menggembara ke Paris, suatu tempat yang dianggap sebagai pusat seni dunia. Sebaliknya, pada musim panas 1880, beliau pergi ke Brussel dan tinggal di hotel termurah dijumpainya. Van Gogh tinggal di Brussel semasa musim sejuk tahun 1880-1881. Di sini, beliau bergelut dengan latihan lakarannya dan sentiasa melapurkan perkembangan dirinya kepada Theo.

Pada tahun 1881, Van Gogh balik ke rumah keluarganya di Etten di mana beliau jatuh cinta kepada sepupunya, Kee Vos, seorang janda. Kee Vos menolak cintanya dan berpindah ke Amsterdam, diikuti oleh Van Gogh, tetapi Van Gogh masih tidak diterima oleh Kee Vos. Pada akhir tahun 1883, beliau membuat keputusan untuk sekali lagi cuba tinggal bersama ibu bapanya. Ketika ini, Van Gogh masih menggunakan warna-warna gelap seperti perang dan hijau gelap. Antara lukisannya ialah "Willows". Pada tahun 1886, Van Gogh pergi ke Paris untuk melawat adiknya dan di sana, beliau tertarik dengan teknik lukisan. Lukisan "Pemakan Ubi Kentang" (bahasa Inggeris: Potato Eaters) lazimnya dikatakan "hasil terbaik" Van Gogh yang pertama. Tidak terdapat sebarang rujukan keagamaan dalam kenyataan Van Gogh terhadap karya itu.

Lapan bulan selepas kematian ayahnya, Van Gogh meninggalkan Belanda, dan tidak pernah pulang lagi ke situ. Faedah daripada lawatannya selama tiga bulan di Antwerp adalah penambahan pendedahannya kepada warna, atau, lebih tepat lagi, beliau telah mula berfikir mengenai warna dengan lebih lanjut. Van Gogh merupakan pengguna warna yang paling giat pada masanya. Beliau berasa bahawa warna membawa makna yang istimewa selain daripada hanya untuk dilihat.

Apabila Van Gogh tiba di Paris pada tahun 1886, beliau begitu bersemangat untuk belajar dan bersedia untuk menimba pengalaman baru. Dalam tempoh dua tahun, beliau bertukar sepenuhnya menjadi seorang pelukis. Warna yang terang dan gemilang membanjiri hasil karyanya. Van Gogh melukis pemandangan dalam kedai kopi yang aman dan gambaran bayu bertiup merentasi muka bumi. Gambaran muram tentang buruh-buruh yang sedang bekerja telah digantikan dengan syot padat diri dan rakannya yang sedang berehat. Van Gogh bekerja kuat untuk menyempurnakan kemahiran tekniknya. Beliau melukis menggunakan teknik libasan dengan menggunakan warna-warna yang garang.

 
Lukisan "Bunga Matahari"

Pada tahun 1888, hasil karyanya mencurah-curah. Dari tempoh Van Gogh mula menjadi masyhur pada bulan Februari sehingga kemasukannya ke hospital selepas fikirannya terganggu pada bulan Disember, Van Gogh telah menghasilkan sekurang- kurangnya 90 lakaran dan 100 lukisan. Jumlah hasilnya hampir menjadi sesuatu yang memalukan. Van Gogh mempertahanan dirinya dengan merujuk kepada kepantasan Claude Monet. Dari bulan Februari 1888 sehingga bulan Mei 1889, Van Gogh menghasilkan sebanyak 200 lukisan, dan juga banyak lakaran. Hasil karyanya ketika berada di Arles telah meletakkan dirinya sebagai satu gergasi seni, tetapi apabila hasil itu berakhir, Van Gogh hanya mempunyai tempoh setahun lagi untuk hidup.

Salah satu daripada hasil karya Van Gogh yang paling terkenal, "Bunga Matahari" (bahasa Inggeris: Sunflowers) menonjolkan kegemilangan warna yang mula digunakan oleh Van Gogh di Arles. Beliau menjadikan penelitian bunga matahari sebagai perhiasan di biliknya, dan setiap satunya memancarkan kegemarannya kepada cahaya, warna dan cara mudah. Telah dikatakan bahawa kuning keemasan dan jangka hayat bunga matahari yang pendek itu menarik minat Van Gogh

Di selatan, Van Gogh merupakan seorang lelaki yang sunyi. Banyak dari lukisannya, seperti gambar bilik tidurnya, mencerminkan keinginannya untuk teman. Lukisan itu ceria, tetapi terdapat tanda daripada perasaan terkongkong dan kesepiannya yang terpendam. Perasaan Van Gogh ini digambarkan dalam lukisannya melalui gambaran bilik yang sempit dan setiap benda yang dilukisnya secara berpasangan: dua bantal, dua kerusi dan sehinggakan kepada lukisan yang digantung juga berpasangan.

Diserang penyakit sunting

Van Gogh diserang penyakit epilepsi dan pernah mengugut untuk mencederakan Paul Gauguin, seorang pelukis Perancis, dan beliau juga telah menghiris sebahagian telinganya dalam serangan epilepsi yang sama. Apabila Van Gogh tersedar kembali di hospital Arles, serangan itu tidaklah merisaukan dirinya. Selepas van Gogh pulih, beliau telah kembali melukis di lapangan dengan kanvas dan kekudanya.

Van Gogh dimasukkan ke hospital sekali lagi pada 8 Mei 1889, dan diberikan dua bilik, satu untuk tidur dan satu lagi untuk melukis. Dalam beberapa minggu selepas kemasukannya ke hospital, beliau, diiringi oleh seorang pengawal, telah dibenarkan keluar ke kawasan luar bandar untuk melukis. Serangan penyakit Van Gogh yang pertama di Saint-Remy selepas melawat Arles merupakan serangan yang teruk. Sekiranya tidak diiringi oleh pengawal, beliau mungkin membunuh diri dengan menelan catnya yang beracun. Walaubagaimanapun, Van Gogh masih dibenarkan pulang ke rumah. Di situ doktornya selalu menjemput beliau datang untuk makan malam.

Van Gogh percaya bahawa kehidupan adalah tiada penghujung. Salah satu lukisan terakhir Van Gogh ialah "Ladang Gandum dengan Gagak" (Wheatfield with Crows). Lukisan itu dikatakan menunjukkan perasaan Van Gogh yang ingin bebas seperti burung tetapi terhad oleh langit mendung yang gelap. Serangan epilepsi dan kekecewaan yang akhirnya mendorong Van Gogh membunuh diri, tidak menjejaskan mutu ataupun jumlah hasil seninya. Walaupun selepas peristiwa di Arles, apabila Van Gogh memotong sebahagian daripada telinganya dan cuba memakannya, beliau terus memaksakan dirinya melukis, lukisannya terganggu hanya seketika.

 
Kubur Van Gogh.

Setiap kali selepas serang epilepsi berlalu, Van Gogh menjadi riang seperti biasa dan mula melukis pandangan darat, potret, dan potret diri, serta menulis berpuluh-puluh keping surat dengan jelas dan waras. Meskipun beliau berasa risau tentang epilepsinya, Van Gogh sedar bahawa serangan itu tidak menjejaskan hasil seninya. Karya seninya bukanlah karya seseorang yang gila. Gaya matang yang berkembang di Arles bertambah gemilang dan karya lukisan terakhirnya dilukis dengan menggunakan warna yang terang dan garang.

Kematian sunting

Pada 27 Julai 1890, Vincent Van Gogh cuba membunuh diri setelah pulih daripada satu lagi serangan epilepsi. Selepas diserang, Van Gogh keluar berjalan. Selepas beberapa ratus ela dari rumah tumpangnya, beliau memasuki sebuah kawasan ladang gandum, dan menembak diri pada bahagian perutnya. Kemudian, Van Gogh berjalan pulang ke rumah tumpang dan kembali ke biliknya sebelum dijumpai terbaring dengan mukanya tersembam di atas katil oleh tuan rumah tumpangan itu. Vincent Van Gogh mati dua hari kemudian selepas peristiwa itu ketika berusia 37 tahun dan dikebumikan di perkuburan bandar Auvers-sur-Oise, Perancis.

Lukisan sunting

Van Gogh melukis dan mengecat dengan cat air ketika di sekolah, tetapi hanya beberapa contoh yang masih ada dan taraf hak milik beberapa lukisan pada masa itu telah dicabar.[5] Ketika beliau mengambil seni sebagai orang dewasa, beliau mulai di peringkat rendah. Pada awal tahun 1882, bapa saudaranya, Cornelis Marinus, pemilik galeri seni kontemporari terkenal Amsterdam meminta lukisan dari Den Haag, tetapi karya van Gogh tidak menepati jangkaan. Marinus menawarkan komisen kedua dengan ciri-ciri yang lebih khusus, tetapi sekali lagi kecewa dengan hasilnya. Beliau bertahan; beliau bereksperimen dengan pencahayaan di studionya dengan menggunakan bidai yang pelbagai, dan bahan lukisan yang berbeza. Selama lebih dari satu tahun dia bekerja dengan figura-figura tunggal - kajian yang sangat terperinci dalam warna hitam dan putih yang pada masa itu hanya mendapat kritikan. Kemudian, lukisan-lukisan tersebut diiktiraf sebagai karya-karya agung awal.[6]

Gaya lukisan sunting

Perkembangan gaya van Gogh biasanya berkait dengan tempat beliau menetap di kawasan-kawasan berbeza di Eropah. Beliau cenderung untuk membenamkan diri dalam budaya tempatan dan keadaan pencahayaan walaupun beliau masih mengekalkan pandangan visual individu sepanjang masa. Perkembangannya sebagai seorang seniman adalah perlahan, dan beliau menyedari batasan pelukisannya. Beliau sering memindahkan rumahnya, mungkin untuk mendedahkan dirinya pada rangsangan visual baharu lalu mengembangkan kemahiran teknikalnya.[7] Sejarawan seni Melissa McQuillan percaya pemindahan itu juga mencerminkan perubahan gaya, dan Van Gogh menggunakan pemindahan tersebut untuk mengelakkan konflik, dan sebagai langkah bertenang ketika artis idealis itu berhadapan dengan realiti keadaannya ketika itu.[8]

Rujukan sunting

Petikan sunting

Sumber sunting

Pautan luar sunting