Buka menu utama

Việt Cộng ataupun secara penuhnya Viet Nam Cong San (Komunis Vietnam) adalah nama panggilan untuk seorang rakyat Vietnam yang menyokong Barisan Pembebasan Kebangsaan (National Liberation Front) di Vietnam Selatan.

SejarahSunting

Barisan Pembebasan Kebangsaan mewujudkan pasukan gerila dipanggil Việt Cộng untuk memperjuangkan penyatuan semula Vietnam yang dibahagikan kepada dua negara berdaulat ekoran Perjanjian Geneva. Istilah Việt Cộng mula digunakan oleh Presiden Ngo Dinh Diem untuk memperihalkan kira-kira 10,000 orang askar komunis yang tinggal di persembunyian di Vietnam Selatan selepas penandatanganan Perjanjian Geneva 1954, yang mensyaratkan penarikan balik semua askar Komunis ke Vietnam Utara. Việt Cộng yang ditinggalkan menjalankan gerakan subversif secara halus untuk menggoyahkan kewibawaan kerajaan Ngo Dinh Diem. Hanya kemudiannya Việt Cộng menjalankan pemberontakan secara terbuka. Pada asalnya, Việt Cộng hanyalah kumpulan-kumpulan kecil penentang Presiden Ngo Dinh Diem, yang bertindak zalim menindas rakyat Vietnam berfahaman Buddha. (Diem sendiri adalah seorang Katholik).

Dengan peredaran masa, kumpulan-kumpulan Việt Cộng disusunkan dalam tahun 1960 untuk menjadikannya pasukan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan, dan kemudiannya dalam tahun 1969 menjadi pasukan bersenjata kepada Kerajaan Revolusi Sementara (Provisional Revolutionary Government). Anggota Việt Cộng kebanyakannya diambil di kalangan rakyat Vietnam Selatan, tetapi dikuatkan dengan gerila daripada Vietnam Utara. Việt Cộng menerima panduan, senjata dan bekalan daripada Vietnam Utara.

Fail:Vc hide.jpg
Rajah Menunjukkan Persembunyian Việt Cộng

Việt Cộng disusunkan kepada 3 peringkat. Pasukan regular menjalankan operasi tentera di bawah arahan kepimpinan Barisan Pembebasan Kebangsaan. Pasukan Việt Cộng sepenuh masa dikumpulkan di dalam kompeni dan menjalankan operasi tentera di bawah arahan kepimpinan wilayah. Việt Cộng juga mempunyai kumpulan gerila sambilan, disusunkan mengikut platun dan skuad, khususnya untuk pertahanan setempat.

Sebagai gerila, Việt Cộng tidak menggunakan uniform yang tetap, dan Amerika Syarikat menghadapi kesukaran untuk membangunkan strategi menentang pergerakan gerila. Việt Cộng sukar dibezakan daripada rakyat biasa. Selepas menjalankan operasi, gerila Việt Cộng kembali ke pangkuan masyarakat setempat ataupun bersembunyi di pengkalan mereka. Ada pengkalan yang dibina di bawah tanah, di tepi-tepi sungai dan di kawasan pergunungan. Sekali sekala, Việt Cộng akan melancarkan serangan besar ke atas bandar ataupun pengkalan tentera di Vietnam Selatan untuk memporak perandakan kerajaan Vietnam Selatan.

Perang gerila yang dilaksanakan Việt Cộng memberikan kesan yang hebat, kerana askar Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat sukar membezakan Việt Cộng daripada rakyat biasa. Serangan paling hebat Việt Cộng adalah Serangan Tet dalam tahun 1968, di mana serangan terancang dilancarkan ke atas lebih 90 buah bandar dan pengkalan tentera. Pasukan berani mati Việt Cộng berjaya merempuh dan mengambil alih kedutaan Amerika Syarikat. Walaupun Serangan Tet gagal mencapai objektifnya, Việt Cộng membuktikan keupayaannya menjadi pasukan tentera yang berkesan. Serangan Tet berjaya mengaibkan Tentera Amerika dan menjadi titik tolak penentangan pembabitan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam.

Việt Cộng terus berjuang dan menghadapi beberapa serangan besar oleh Tentera Amerika tetapi dapat bertahan. Akhirnya, antara tahun 1969 dan 1972, Amerika Syarikat menarik keluar tenteranya atas desakan ramai. Dalam tahun 1975, Việt Cộng bersama dengan Tentera Rakyat Vietnam Utara (PAVN) berjaya mengalahkan Tentera Vietnam Selatan dan menggulingkan kerajaan Vietnam Selatan. Kerajaan Revolusi Sementara mengambil alih kuasa dan kemudiannya bersatu dengan Vietnam Utara.

Kemenangan Việt Cộng paling menyerlah adalah Pertempuran Ap Bac di mana mereka mengakibatkan kekalahan teruk Tentera Vietnam Selatan walaupun bilangan tentera Vietnam Selatan jauh lebih ramai, dan dibantu kenderaan perisai M113 dan diberikan nasihat oleh penasihat Tentera Amerika.

Selepas tamat Perang Vietnam, anggota Việt Cộng diserap masuk ke dalam Tentera Rakyat Vietnam Utara (PAVN)

Pautan LuarSunting

RujukanSunting